
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
BERI INTENSIF KEPADA PENULIS
DASAR BARU PERPUSTAKAAN NEGARA!
DASAR BARU PERPUSTAKAAN NEGARA!
Assalamualaikum,


Menurut Puan Nafisah pihak PNM menawarkan peruntukan RM25,000 bagi sebuah judul buku karya pengarang dengan pesanan terus kepadanya sebagai menggalakkan mereka terus berkarya. Justeru katanya, pengarang mampu menikmati sesebuah hasil karyanya dengan tawaran maksimum sejumlah RM25,000 yang tak membabitkan ‘pihak ketiga’ mahupun penerbit sendiri. Langkah tersebut beritahu Puan Nafisah adalah memberi kredit kepada kalangan pengarang bagi melindungi mereka daripada dieksploit oleh pihak lain. Sebelum ini memang sudah menjadi diketahui umum bagaimana pihak lain mengeksploitasi karyawan sekalipun dikuatkuasa akta hakcipta dan harta intelek.


Lainlah buku yang bernasib baik, apabila jumlah RM25,000 dengan kuantiti yang kecil, apabila tawaran turut diberikan kepada penerbit menerima pesanan PNM. Kes seperti ini tak banyak, justeru penerbit sedia berkompromi dengan pengarang bagi urusan penerbitan berkenaan. Misalnya, sejumlah RM25,000 itu terpaksa dikongsi bersama penerbit bagi urusan penerbitan dengan natijah pengarang menerima RM11,000, di samping penerbit RM14,000 termasuk kos percetakan. Ini juga dikira pengarang masih bernasib baik, kerana bagi pengarang yang kurang bernasib baik mungkin sahaja mereka menerima kurang daripada jumlah tersebut. Aduhai!

- Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA:
PRESTASI SUKAN KURANG UMMMP!
ATLET BERBEZA DENGAN GLAMOUR ARTIS

Prestasi atlet Malaysia di Sukan SEA, Korat, Thailand yang berlangsung sekarang (Disember 2007) dikatakan menimbulkan banyak rungutan di kalangan peminat-peminat sukan tanah air. Malah Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Azalina Othman Said turut melahirkan rasa kesal dengan prestasi yang ditunjukkan, seolah-olah reputasi Malaysia sebagai negara yang disegani dalam bidang sukan semakin merudum menjelang alaf baru 2000. Bukan sahaja Dato’ Azalina, malah peminat-peminat sukan tanah air kecewa malah menyifatkan pegawai-pegawai persatuan sukan lebih mementingkan keegoan sendiri daripada melonjakkan kecemerlangan sukan.


Beliau juga melahirkan rasa terkilan apabila ramai atlet yang berjasa tak diberi penghargaan, berbanding dengan artis yang glamour dengan populariti. Katanya, dalam bidang sukan bolasepak ramai pemainnya yang berjasa besar tak diberi anugerah bintang kebesaran yang membawa gelaran berstatus ketika ramai artis menerima penganugerahan sekalipun kemampuan mereka terhad. Misalnya, kata Hajjah Fauziah Memang Dato’ Ghani Minhat dan Dato’ Soh Chin Aun sudah menerima anugerah bintang kebesaran, tetapi rakan-rakan mereka seperti Santokh Singh, Ng Boon Bee, Arthur Koh, Shahruddin Abdullah, Hassan Sani, James Wong dan beberapa lagi masih tak diberi penghargaan.

PIMPINAN PRIMA AMBIL INISIATIF
KETEGANGAN HAMPIR CETUSKAN BIMBANG

Apabila ibu bapa kedua-dua pelajar berkenaan menemui pimpinan PRIMA bagi membantu mereka, pertemuan diadakan bersama wakil pimpinan UMNO Bahagian Gombak yang juga jawatankuasa penduduk, Sdr Zainal Alam, wakil masjid dan pihak polis sendiri setelah pihak UMNO menghubungi pejabat ADUN Gombak Setia. Dalam pertemuan tersebut dimaklumkan sebelah pihak membuat laporan polis, sementara pihak satu lagi turut membuat laporan polis berikutan rumah sebuah keluarga diserang dengan menggunakan senjata tajam oleh sekumpulan remaja yang diimpot dari luar Taman Seri Gombak, tetapi dua pelajar berkenaan pula ditangkap.

Justeru 8 Disember 2007, PRIMA terpaksa menghubungi pejabat Menteri Dalam Negeri bagi meminta dua pelajar terbabit dibebaskan berikutan menjelang Hari Raya Aidiladha, setelah usaha yang dilakukan oleh ibu bapa pelajar-pelajar berkenaan gagal. Bagaimanapun 10 Disember 2007, dua pelajar terbabit dibebaskan dengan jaminan polis, di samping perdamaian dijalankan bagi kedua-dua pihak menerusi kerjasama polis dan UMNO Bahagian Gombak dalam usaha membendung ketegangan kaum. Justeru PRIMA bagi pihak ibu bapa dua pelajar terbabit mengucapkan terima kasih kepada pejabat Menteri Dalam Negeri, pihak polis, dan UMNO Bahagian Gombak terutama Omar Sudi Abdul Manan dan Zainal Alam Mahmud.
INFO SASTERA & BUDAYA:
‘RINDUKU JAUH DI KAABAH’
NOVEL PENGEMBARAAN KEJIWAAN

Sebaliknya Siti Rugayah memilih untuk mengembara selepas berkahwin dengan lelaki dalam kalangan keluarga berstatus bernama Sallehuddin. Rupa-rupanya suami Siti Rogayah mengalami penyakit kronik, di samping menghembuskan nafas di bumi Mekah al-Mukarramah. Tak disedarinya Muhammad Qayum yang melarikan diri daripadanya juga mengembara di Mekah al-Mukarramah melanjutkan pengajian, di samping sanggup mendermakan darah bagi membantu suami Siti Rogayah. Kemarahan Romlah pembaca novel itu terhadap pengarang novel berkenaan menjadi kompleks apabila menyedari ianya adalah guru yang mengajar di sekolah agama tersebut.

Romlah pula turut mengembara apabila disingkirkan dari sekolah agama, tetapi memilih ke sekolah menengah biasa meneruskan pengajiannya. Apalagi ketika Romlah terperangkap dengan kumpulan tabligh, kemuncak kembaranya ialah kerinduan yang amat sangat herhadap kaabah. Pengembaraan kerohanian dalam ‘Rinduku Jauh Di Kaabah’ digarap menerusi imbas kembali ‘novel di dalam novel’ yang menjadi renungan watak Romlah terhadap insiden yang pernah menimpa Ustaz Fikri, malah dilambangkan pula kepada pertemuan Muhammad Qayum dan Siti Rogayah ketika di pengajian pondok Pulau Nyiur di Pattani. Novel berharga RM16.90 senaskhah ini diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprise, Batu Caves, Selangor.
PARLIMEN SUDAH TAK SELAMAT
SERAH MEMORANDUM DITAKRIF ‘HARAM’


Dato’ Kamal Amir menyebut insiden di bangunan Parlimen 9 Disember 2007, bukan sahaja memalukan polis malah kewibawaan kerajaan juga turut dipersoal apabila lokasi Parlimen dijadikan medan ‘mempersenda’ institusi penggubal undang-undang. Dalam insiden tersebut aktivis masyarakat termasuk pimpinan politik seperti Dato’ Mustapha Ali, Dr Lo’ Lo’ dan beberapa lagi ditangkap, sekalipun pimpinan pembangkang di Parlimen cuba mententeramkan keadaan. “Kekerasan bukanlah menyelesaikan masalah, kerana Presiden George Bush yang bertindak secara arogan menghantar tentera ke Afghanistan dan Iraq pada tahun 2000 sekadar mampu membunuh manusia, tetapi setelah tujuh tahun tak mencapai sebarang matlamat,” jelas Dato’ Kamal Amir.
KOMENTAR
bersama Pak Parjo.
PERIHAL PANDANGAN PIMPINAN VETERAN
HARAPLAH ‘TAK SOKONG MEMBAWA REBAH’!


Syahdan telah disuratkan oleh tukang-tukang canang mengenai lima orang pimpinan Kumpulan Tindakan Hak-Hak Hindu (Hindraf) hari ini (14 Disember 2007) ditahan di bawah ISA. Memanglah fakir tak berhasrat mahu mengulas lebih lanjut akan perkara yang sudah disuratkan itu, tetapi teringat jugalah fakir akan Pak Lah kepada peringatan nenek moyang fakir dahulukala: Jangan sampai sokong membawa rebah! Biasanya nenek moyang fakir apabila rumpun pisangnya berbuah di kebun, akan ditupang (sokong) pada bahagian tandan bagi mengelakkan pokoknya rebah akibat buah yang memanjang lebat di tandan. Begitulah! Kadangkala akan rebah juga pokok pisang nenek moyang fakir mengikut cuaca seperti ribut, hujan dan sebagainya (seperti novel anak cucu fakir ‘Semperong’ yang belum terbit lagi).
Maka sudah disuratkan orang kepada fakir tak lama dahulu, seorang bekas tahanan ISA Abdul Malek Hussein menerima pampasan RM2.5 juta, disebabkan kerajaan secara keliru menahannya di bawah ISA. Entahlah! Tetapi akan fakir diberitahu di dalam ‘Kitab Melayu’ perihal Raja Dewa Sura itu ditahan tak dibicara (kira-kira macam ISA jugalah gamaknya!) setelah negerinya Pahang dialahkan oleh Melaka. Maka Raja Dewa Sura diletakkan di bawah pengawasan Tun Bija Sura, lalu ianya dibiarkan bebas ke sana ke mari dengan tak dipasung. Setelah beberapa lamanya, diperintahkan pula Raja Sura Dewa itu diletakkan di bawah pengawasan Seri Nara Diraja, maka dipasunglah ia mengikut ‘Kanun Melaka’. Adanya!
Adalah kepada suatu hari berkatalah Raja Dewa Sura kepada Seri Nara Diraja (Tun Ali), semasa hamba di bawah pengawasan Tun Bija Sura tidaklah hamba disakiti, malah tak pernah dipasung (maknanya dilokap), tetapi dengan ‘keling tua’ (disuratkan dalam ‘Kitab Melayu’ itu, maksudnya Seri Nara Diraja) akan hamba diperlakukan seorang orang yang bersalah jua. Maka dijawab oleh Seri Nara Diraja, akan Tun Bija Sura itu orang gagah lagi pahlawan besar tentu tuan hamba tak boleh lepas (atau tak akan lari ke mana-mana), sebaliknya hamba ini sudah tua lagi hamba kepada raja, kalau tuan hamba lepas, tentulah hamba dimurkai raja. Tahulah fakir ketika itu sudah berlaku perihal ‘dua peraturan’ mengikut tafsiran sendiri seperti juga diberitahu kepada:
HIDUP BAHASA MELAYU.