Saturday, April 11, 2009

MALIS KAHWIN ANAK DATO' KAMAL AMIR...

Anwar berselisih jalan:
Ku Li sampai lewat sedikit


Jurucakap PRIMA Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz meraikan majlis perkahwinan anak perempuannya hari ini (11 April 2009) di kediamannya No 27, Jalan Rimba 9/8, Seksyen 9 Kota Damansara. Beliau bersama isterinya Datin Rohana Ismail, mengucapkan terima kasih kepada semua tetamu, sahabat handai dan pimpinan negara yang turut hadir meraikan majlis perkahwinan anak mereka. Antara tetamu yang hadir termasuklah Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, Ahli Parlimen Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan isteri, Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali, Ahli Parlimen Pasir Mas, Dato' Ibrahim Ali.


Turut juga hadir ialah bekas Ketua Menteri Sabah Dato' Osu Sukam, Dato' Manan Othman, Dato' Dr Ibrahim Saad dan Dato' Tamrin Ghafar. Ketua pimpinan PRIMA Pak Dharma (sasterawan Dharmala N.S.), Pengerusi GMP (Grakan Mansuh PPSMI) Dato' Dr Hassan Ahmad, Pengerusi Kumpulan Karangkraf Haji Hishamuddin Yaakob juga hadir meraikan majlis perkahwinan anak Dato' Kamal Amir. Dato' Seri Anwar Ibrahim dan isteri turut merenjis tepung tawar, sebelum bertolak ke Ipoh. Sementara Tengku Razaleigh yang terlewat sedikit sampai, sempat menghadiri majlis 'makan berhadap' bersama Tamrin Ghafar, Ibrahim Ali, Manan Osman dan Osu Sukam.











SURAT NIK AZIZ NIK MAT...

Terharu dgn keluhan YB:
Pimpinan UMNO tak mesra


(Surat YAB Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat, berikutan kritikan berkaitan menyebut ayat-ayat al-Quran oleh bukan Islam, di samping mengheret Mufti Perak Dato' Harussani oleh media arus perdana dan pimpinan UMNO)


9 April 2009

YB Encik Nga Kor Ming
EXCO Kerajaan Negeri Perak
Pejabat EXCO Negeri Perak
30000 IpohPERAK DARUL RIDZUAN.

Menemui YB Encik Nga dengan ucapan salam sejahteraYang Berhormat,Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah mengikuti isu di sekitar percubaan YB untuk mengenali Islam melalui pembacaan Ayat-Ayat Al-Quran dengan tekun. Saya juga terharu mendengar keluhan YB yang berbunyi “saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan Al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.”Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati YB.

Mudah-mudahan dengan sikap “tidak mesra Umno” dan pemimpin-pemimpin Umno tentang kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia akan meningkatkan lagi kesedaran Non-Islam untuk lebih mengkaji, mendalami dan mengadakan forum serta wacana mengenai Islam dengan cara yang lebih meluas.Saya mempunyai sebuah impian. Dalam tempoh tidak berapa lama lagi mudah-mudahan akan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau dan Kadazan yang tampil menjadi Qari, Ustaz, Khatib dan Imam di seluruh negara.

Kalau Jenghiz Khan yang mengetuai tentera Moghul menyerang dan memusnahkan hampir seluruh Kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi sempat ditebus semula keagungan Islam melalui cucunya yang bernama Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya. Maka saya mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Islam akan kembali gemilang di negara kita melalui kaedah dan insiden yang hampir sama. Mudah-mudahan YB lah orangnya yang akan meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.
Mari kita bina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog dan wacana. Tajuk-tajuk seperti “dimana tak kenanya Islam” atau “apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam” bolehlah difikirkan. Anggota panel boleh terdiri daripada tokoh-tokoh PAS, Umno, DAP, PKR dan pemimpin-pemimpin NGO, pensyarah serta pendakwah bebas. Ia boleh dijadikan sesi kuliah bersiri yang boleh dianjurkan di PWTC, di masjid-masjid, surau-surau, kuil-kuil dewan-dewan perhimpunan, di universiti-universiti, baik di IPTS atau IPTA.

Sekali lagi saya mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T di atas kekuatan dan keberanian yang ada pada YB. Terus tekun dan beristiqamahlah dalam mengharungi ujian-ujian ini. Insya Allah saya seakan-akan sedang melihat sekerdip lilin yang bercahaya di hujung sana. Marilah kita sama-sama ke sana.* MEMBANGUN BERSAMA ISLAM

*(TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT)
Menteri Besar KelantanMerangkapMursyidul Am PAS

SELADANG JAWAB DR M...


Jangan kait pembangkang
Melayu perjuangkan bahasanya.

Mahathir telah banyak menghancurkan ketemaddun dan ketuan Melayu sejak memerintah 22 tahun lalu dan kini kembali semula berkuku untuk membuktikan bahawa Melayu tidak boleh ke mana-mana jika tidak menumpang bangsa asing termasuklah bahasanya!Adakah dia sengaja menutup sebelah mata akan kemajuan sains serta matematik negara-negara maju seperti Jepun, German, Peranchis, China dan beberapa negara lagi yang pada awalnya tidak maju tetapi tidak menggunakan bahas Inggeris sebagai bahasa sain mereka.

Mereka kini berjaya!Oleh itu kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini yang ada di catat dalam pelembagaan malaysia tidak berguna satu sen pun pada mahathir bagi mengangkat kemajuan negara ini. Maka tidak berguna satu sen pun Bahasa Kebangsaan di Perlembagaan. Dan Jika Kerajaan Najib Rosmah mempertahankan PPSMI mengikut telunjuk Mahathir, jelaslah rakyat Malaysia yang menyokong Najib Rosmah telah melanggar perlembagaan Malaysia!

Apakah perlembagaan Malaysia hari ini hanyalah risalah biasa kepada mereka yang berperangai macam lanun ini?Jangan kaitkan dengan parti pembangkang soal tuntutan PPSMI - ianya adalah tuntutan rakyat! Mahathir jangan kelirukan rakyat!Siapakah yang mendapat keuntungan besar untuk membekalkan peralatan pengajaran PPSMI ini? Itu adalah persoalan yang jelas disembunyikan kerana ianya mungkin untuk kroni Mahathir Najib Rosmah. Perjuang bahasa jangan undur, ianya adalah satu pencabulan kehormat oleh mereka yang berkuasa.
(*Seladang ialah pengendali laman blog http://tokperan.blogspot.com/ aktivis bahasa Melayu, penyajak dan pendeklamator puisi. Beliau pernah menjadi ahli jawatankuasa Dewan Persuratan Melayu Pahang - DPMP)

Dr Mahathir Pertahan PPSMI...


26 dalil menjadi bukti:
Bukan menidakkan Bahasa Melayu

1. Saya berasa amat sedih apabila membaca laporan berkenaan demonstrasi yang dipimpin oleh tokoh sastera Melayu menentang pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

2. Kononnya ini akan menidakkan kebolehan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam ilmu ini. Konon ia akan mengurangkan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

3. Kita harus ingat bahawa pelajaran bukan semata-mata untuk memaju atau mengembangkan bahasa. Pelajaran adalah untuk penguasaan ilmu, pelbagai jenis ilmu.

4. Yang boleh meningkatkan taraf dan kemajuan bahasa ialah matapelajaran bahasa itu sendiri dan diperingkat yang lebih tinggi mata pelajaran sastera.

5. Sains dan matematik tidak mungkin menolong kemajuan bahasa, khususnya bahasa Melayu.

6. Ini disebabkan bahasa sains dan matematik bukan daripada bahasa Melayu. Sebahagian besar daripada perkataan-perkataan dalam mata pelajaran ini adalah dalam bahasa Latin yang di-Inggeriskan.

7. Memang benar kita boleh Melayu-kan perkataan-perkataan ini, seperti juga kita Melayu-kan perkataan daripada lain-lain bahasa.

8. Memang boleh tetapi perkataan-perkataan sains bukan satu dua tapi beratus-ratus. Dan perkataan ini menjadi asas kepada perkataan yang mempunyai makna yang amat berlainan.

9. Umpamanya perkataan Oxygen (Oksigen) - satu jenis gas. Derivative (cabang) daripada perkataan ini adalah seperti berikut;

• Oxygenation
•Oxidation
• Oxide
• Oxidants
• Deoxydation
• Oxidise
• Oxidification
• Dioxide
• Monoxide
• Peroxide
10. Ini hanya bagi satu elemen daripada sebanyak 120 (118) elemen.

11. Tiap satu mempunyai banyak derivative. Tetapi ada perkataan-perkataan lain yang hanya untuk ilmu sains. Jika semuanya nak di-Melayukan, bahasa Melayu akan bertukar menjadi bahasa Inggeris, ejaan lain bunyi semacam. Sebenarnya ia bukan bahasa Melayu lagi.

12. Ilmu sains dan matematik bukan ilmu yang statik. Ilmu-ilmu ini berkembang sepanjang masa. Tiap hari ada hasil kaji selidik, penerokaan, ciptaan dan perluasan yang diperkenal melalui ratusan kertas-kertas yang ditulis.

13. Hampir semua ditulis dalam bahasa Inggeris. Untuk menterjemah tulisan ini kita perlu orang yang fasih dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan faham ilmu yang hendak diterjemah.

14. Kita ada beberapa kerat sahaja orang yang berkebolehan seperti ini. Itupun dalam dua tiga bidang sahaja. Orang yang layak seperti ini tidak berminat menjadi penterjemah seumur hidup. Apabila sains dan matematik diajar dalam bahasa Melayu, orang seperti ini tidak akan ada lagi. Bagaimanakah kita hendak ikuti perkembangan ilmu sains?

15. Sebaliknya kertas ilmiah akan terus dikeluarkan beratus-ratus lagi, semuanya dalam bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain. Maka tanpa kebolehan menterjemah semua ilmu baru ini akan tertinggallah orang Melayu dalam bidang ilmu yang amat penting di zaman ini.

16. Kalau kita masih tidak dapat menerima kenyataan di atas, kaji sahaja jumlah Phd dalam bidang sains yang hanya belajar sains dalam bahasa Melayu dan tidak faham bahasa Inggeris. Berapa ramaikah daripada pakar dalam bidang perubatan yang hanya belajar dalam bahasa Melayu, tanpa buku dalam bahasa Inggeris sebagai buku teks.

17. Apakah penuntut luar bandar tidak dapat menguasai bahasa Inggeris?

18. Sekali lagi perhitungan perlu dibuat berkenaan jumlah mereka yang dari kampung yang memegang jawatan tinggi dalam Kerajaan dan swasta kerana lulus dalam bahasa Inggeris dan mampu berhujah dalam bahasa berkenaan. Yang menentang PPSMI pun dari kampung juga tetapi dapat kelulusan bahasa Inggeris. Bahkan mereka sering berbahasa Inggeris.

19. Duta dan diplomat kita, berapa ramaikah yang hanya boleh bertutur kata dalam bahasa Melayu yang memegang jawatan penting dalam Kementerian Luar?

20. Pakar sains dan perubatan dan juga pegawai tinggi Kerajaan sering dikehendaki mengambil bahagian dalam persidangan antarabangsa. Apakah mereka dapat berhujah dan mengambil bahagian secara berkesan dengan mengguna hanya bahasa Melayu?

21. Saya bukan hendak memandang rendah bahasa bangsa saya sendiri. Tetapi saya perlu terima hakikat yang sebenar.

22. Bahasa sesuatu bangsa akan dipelajari oleh orang asing jika bangsa itu amat maju dan terkenal dengan ilmu yang dimiliki dan diterokai olehnya. Demikian sebelum abad ke-15 Masihi orang Eropah terpaksa belajar bahasa Arab kerana tamadun Islam pada masa itu gah dan amat dihormati. Tetapi selepas orang Islam ketepikan sains, ilmu perubatan dan hisab, orang Eropah tidak lagi mempelajari bahasa Arab. Sebaliknya orang Arab dan Islam terpaksa belajar bahasa Eropah.

23. Jika kita ingin bahasa Melayu digunakan dengan meluas kita perlu majukan diri kita dalam semua bidang terutama bidang ilmu dahulu. Sebelum daripada itu minat untuk belajar bahasa Melayu akan terhad kepada sekumpulan kecil sahaja.

24. Kita belajar sains dan matematik untuk memajukan bangsa kita supaya satu hari mungkin kita akan terkenal berkenaan dengan penerokaan dan kajiselidik oleh kita dan orang lain akan belajar bahasa kita untuk mendapat ilmu yang diteroka oleh kita.

25. Penguasaan ilmu amat penting bagi masa depan seseorang. Janganlah kita perjudikan masa depan anak orang kerana kononnya kita seorang nasionalis yang begitu sayang kepada bahasa kita. Sayang bahasa tidak boleh melebihi sayang bangsa. Mereka yang sayang bangsa mereka ingin lihat bangsa mereka maju, berilmu dan dihormati dunia. Hanya kerana boleh bertuturkata dalam bahasa sendiri tidak akan menjadikan bangsa kita dihormati dan disegani orang.

26. Akan rosaklah bangsa dan negara jika dasar negara ditentukan oleh orang yang berdemonstrasi. Lebih rosak lagi jika yang berdemonstrasi didalangi oleh politik pembangkang.

(*Tun Dr Mahahthir Mohamad, bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden UMNO yang mencetuskan idea PPSMI. Terbabit dalam gerakan nasonalisme pada dekad 1940-an, dan menyertai 37 aktivis pelajar Universiti Malaya, Singapura menghantar memorandum menentang kerakyatan Jus Soli pada 1950).