Thursday, March 20, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

SEKIRANYA 30 BERPALING TADAH
PM HADAPI RISIKO ‘UNDI TAK PERCAYA!

Assalamualaikum,

Ketika minum teh tarik di gerai makanan Thai di Jelebu semalam (18 Mac 2008), pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah menelefon berkaitan susunan kabinet baru yang diproklamir Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 12.00 tengahari. Memang saya tak mengikuti perkembangan tersebut kerana tak sempat pula menonton TV, di samping mendengar warta berita pun sekadar menerusi radio di kereta. Tetapi rakan-rakan peneroka Felda yang turut sama minum teh tarik menyebut susunan kabinet Dato’ Seri Abdullah sebagai ‘rancak di labuh’ (indah khabar dari rupa), seolah-olah mereka juga mampu memberi pandangan, terutama apabila Ahli Parlimen mereka Dato’ Seri Rais Yatim diletakkan di kementerian luar negeri.

Begitulah! Peneroka Felda yang melepak bersama saya di gerai makanan Thai juga mampu memberi maklum balas dengan kabinet yang diproklamir Dato’ Seri Abdullah. Apalagi berasa hairan dengan gerai makanan Thai yang mendominasi medan selera seluruh negara, termasuk daerah Jelebu yang terpencil dari arus kota. Maknanya, mereka juga sudah memahami isu politik negara, hinggakan keputusan pilihanraya 8 Mac 2008 pusat pengundian di situ (MRSM Titi) saya diberitahu calon BN sekadar memperoleh lebih 290 undi berbanding PAS lebih 350 undi, sekalipun majoriti pengundi di kawasan (saluran) berkenaan ialah komuniti Cina.

Malah bagi peti undi di (SMUJ) di Petaling yang juga majoriti Cina, calon BN (Dato’ Seri Rais Yatim) sekadar menang tak sampai 10 undi. Apalagi di pekan Titi (Hosapa), calon BN ketinggalan jauh di belakang calon PAS hingga 90 peratus, yang memperlihat calon BN di Parlimen Jelebu bergantung sepenuhnya kepada kawasan Felda di beberapa kelompok termasuk Palong, Pasoh, Titi, Lakai atau Air Baning. Dalam konteks ini tak seharusnya pandangan peneroka Felda yang menyifatkan kabinet Dato’ Seri Abdullah ‘rancak dilabuh’ tak diambil kira, setelah menerima puji-pujian dari kalangan yang berselindung di sebalik heh heh heh, tetapi lebih bersifat huh huh huh!

Maknanya, pengundi Cina di Parlimen Jelebu tak segan silu untuk mengundi calon PAS iaitu mesej yang perlu diperhatikan iaitu anjakan pengundi Melayu boleh membawa padah kepada seluruh struktor kekuatan BN. Kedudukan 140 – 82 kerusi di Parlimen juga bukan sekadar tak memperoleh majoriti dua pertiga, malah dengan 30 kerusi berpaling tadah, Dato’ Seri Abdullah boleh berhadapan dengan ‘undi tak percaya’ sekiranya tak menuruti kehendak akar umbi. Apabila 30 Ahli Parlimen berpaling tadah, 82 Ahli Parlimen Pembangkang akan membantu mencukupkan 112 undi bagi melancarkan ‘undi tak percaya’ yang akan memalukan, memilukan dan menyayukan lanskap politik negara dalam tempoh terdekat. Aduhai!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


TAK BIJAK DESAK PM LETAK JAWATAN
DALAM SENARIO YANG MAMPU DIKAWAL

(Kenyataan media pimpinan PRIMA diketuai sasterawan Dharmala N.S., Haji Yahaya Ismail, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah dan Haji Mohd Sayuti Omar di Kuala Lumpur, 19 Mac 2008).
Langkah pertubuhan NGO mahupun orang perseorangan mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah kurang bijak, ketika senario politik masih boleh dikawal demi survival perjuangan bangsa Melayu. PRIMA menolak sebarang usaha mendesak Dato’ Seri Abdullah meletak jawatan sekadar berdasarkan prestasi buruk BN pada pilihanraya 8 Mac 2008. Justeru, pihak NGO mahupun orang perseorangan tak munasabah mencampuri urusan UMNO, kerana ahli-ahli UMNO mampu memberi mesej kepada pimpinan mereka. Dengan ini PRIMA menyokong pimpinan negara di bawah Dato’ Seri Abdullah, selagi UMNO memberi kepercayaan penuh kepada kepimpinan beliau.

Berikutan prestasi buruk BN pada pilihanraya lalu, PRIMA berpendapat ianya bukan tanggungjawab Dato’ Seri Abdullah secara individu, tetapi pimpinan BN harus menerima tanggungjawab tersebut secara kolektif. Bagi memperkukuhkan semula struktor pimpinan UMNO mahupun BN, adalah menjadi tanggungjawab ahli-ahli di peringkat akar umbi yang seharusnya prihatin dengan kepentingan bangsa Melayu. Justeru PRIMA mengalu-alukan keprihatinan tokoh berpengalaman UMNO Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang mengambil inisiatif mengajak semua 193 Bahagian UMNO meminta pucuk pimpinan mengadakan Perhimpunan Agung Khas menjelang 11 Mei 2008 bagi mengatasi kemelut dalam UMNO yang mendorong kepada prestasi buruk pada pilihanraya baru-baru ini.

Inisiatif Tengku Razaleigh selaras dengan pengalaman UMNO pada pilihanraya 1969 yang berhadapan dengan prestasi tak menentu. Tak seorang pun Ahli Parlimen UMNO sekarang berpengalaman seperti Tengku Razaleigh yang terbabit dalam pilihanraya sejak 1969. Ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad menulis surat mendesak Tunku meletakkan jawatan adalah berasas kerana berlakunya rusuhan kaum atau tragedi berdarah 13 Mei. Maknanya, ketika itu keamanan negara tergugat berikutan prestasi buruk UMNO dan Parti Perikatan dalam pilihanraya berkenaan. Begitu juga pada pilihanraya 1999 apabila prestasi UMNO merosot, desakan meminta Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan adalah disebabkan lanskap politik ketika itu serba goyah, payah dan layah! Apalagi gerakan reformasi meneruskan demonstrasi yang menjejaskan kestabilan politik.

Pilihanraya umum ke 12 pada 8 Mac 2008 tak menimbulkan sebarang kekalutan, kekemelutan mahupun kekelabutan hingga boleh mendesak Dato’ Seri Abdullah untuk meletakkan jawatan. Justeru Dato’ Seri Abdullah tak perlu didesak berundur dari jawatan Perdana Menteri, selagi pimpinan UMNO dan BN memberi sokongan kepada beliau. Pihak NGO mahupun individu seharusnya menghormati ahli-ahli UMNO dengan menyerahkan segala urusan pimpinan parti berkenaan di tangan mereka. Bagaimanapun pihak PRIMA menyokong setiap inisiatif ahli UMNO, pimpinan parti yang berwibawa atau mana-mana kumpulan reformis dalam UMNO yang mengambil langkah positif mahu memperkukuhkan semula pimpinan Melayu menerusi UMNO seperti ditunjukkan oleh Tengku Razaleigh.

TAMPARAN HEBAT KEPADA PM
APABILA DUA TIMBALAN MENTERI MENOLAK
Langkah dua orang Ahli Parlimen UMNO menolak jawatan timbalan menteri yang diproklamir oleh Perdana Menteri Dato’ Abdullah Ahmad Badawi semalam (18 Mac 2008) memberi tamparan hebat kepada pimpinan Presiden UMNO dan Pengerusi BN itu, menurut pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail. Katanya, belum pernah berlaku dalam senario politik di Malaysia, apabila Ahli Parlimen yang dilantik memegang jawatan dalam pimpinan kerajaan menolak selepas diproklamir. Bukan sahaja langkah tersebut sebagai protes terbuka, malah memperlihatkan kewibawaan Dato’ Seri Abdullah turut dipersoal. “Adalah memalukan apabila keputusan Perdana Menteri tak dihormati lagi oleh ahli partinya,” beritahu Haji Yahaya.

Sementara itu penyair Yassinsalleh menganggap kewibawaan Dato’ Seri Abdullah ditahap paling rendah, apabila proklamir susunan kabinet yang dibuatnya disanggah oleh ahli partinya sendiri. Justeru katanya, beliau menyokong kenyataan pimpinan ‘Generasi Profesional & Pewaris Bangsa (ProWaris) Sdr Feriz Omar hari ini (19 Mac 2008) yang mendesak Dato’ Seri Abdullah meletakkan jawatan. Menurut beliau, dalam konteks moral apabila Perdana Menteri tak dihormati oleh parti-partinya secara terbuka hingga pelantikan jemaah menteri dipertikai, wajar bagi pemimpin terbabit berundur. Hari ini (19 Mac 2008) Ahli Parlimen Jerantut Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dan Ahli Parlimen Kimanis, Dato’ Anifah Aman menolak jawatan timbalan menteri yang ditawarkan kepada mereka. “Apabila mereka menolak bermakna sudah ada asas undi tak percaya kepada Perdana Menteri,” kata Sdr Yassinsalleh.

Ketika mengulas peletakan jawatan Setiausaha Agung UMNO dan BN, Dato’ Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad seperti dilaporkan media hari ini (20 Mac 2008), pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah pula memberitahu, fenomena yang berlaku sekarang adalah ‘signal’ kepada pimpinan negara di bawah Dato’ Seri Abdullah dalam mendengar pandangan dari pringkat akar umbi. Kenyataan Dato’ Radzi amat jelas menghiris perasaan orang Melayu apabila meletakkan jawatan setelah ‘khidmatnya tak diperlukan lagi’ oleh ketua parti. “Istilah yang disebut Dato’ Radzi samalah seperti ‘habis manis sepah dibuang’ yakni mendedahkan sikap ketua parti yang tak peka dengan masalah pandangan peringkat akar umbi,” jelas Dato’ Dr Mansor.

PIMPINAN UMNO PERLU RASIONAL
KU LI MAHU PULIH ‘KRISIS KEYAKINAN’
Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz yang juga bekas Exco Pemuda UMNO meminta pimpinan UMNO bersikap rasional terhadap saranan Tengku Razaleigh Hamzah mahukan Perhimpunan Agung Khas diadakan 11 Mei 2008 ini. Katanya, Ku Li melihat prestasi buruk UMNO dalam pilihanraya 8 Mac 2008 lalu merupakan satu ‘krisis keyakinan’ yang teruk, justeru perlu dipulihkan segera. Baru-baru ini Ku Li menulis surat kepada semua 193 Ketua Bahagian UMNO bagi mengusulkan ‘Perhimpunan Agung Khas’ segera sebaik-baiknya sempena ulangtahun UMNO ke 62 tahun pada 11 Mei 2008 ini. Bagaimanapun setakat ini dua orang pimpinan UMNO Bahagian menolak pandangan Ku Li dengan tak merujuk kepada jawatankuasa Bahagian masing-masing.

“Sepatutnya pimpinan UMNO Bahagian berfikiran matang di samping menerima secara rasional pandangan Ku Li demi memulihkan semula ‘krisis keyakinan’ yang dihadapi oleh UMNO sekarang,” ujar Dato’ Kamal Amir yang mula menjadi aktivis UMNO sejak dekad 1970-an dan membarisi Exco Pemuda pada period pimpinan Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak dekad 1980-an. Sambil menyifatkan Ketua Bahagian yang menolak saranan tersebut sebagai terburu-buru, Dato’ Kamal Amir mengingatkan setiap pemimpin UMNO ‘jangan cuba menyelam air di dalam tunggak’, tetapi perlu memahami kaedah ‘dilipat sebesar kuku, direntang sebesar alam’. Justeru katanya, setiap pimpinan UMNO janganlah terjebak ke dalam fenomena ‘sudah terantuk baru mahu tengadah’.

DILEMA SUSUNAN KABINET BARU
UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM TERSEPIT

Undang-Undang Keluarga Islam yang sudah dirangka berhadapan dengan dilema berikutan susunan kabinet baru dyang diproklamir 18 Mac 2008 lalu, beritahu pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA beliau yang juga Presiden Kaunseling di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di samping bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM pihaknya merasa ‘tersepit’ apabila ‘Undang-Undang Keluarga Islam’ yang digerakkan oleh kementerian berkenaan sebelum ini, dipimpin oleh menteri di kalangan bukan Islam. “Pihak kami berasa sia-sia undang-undang tersebut dirangka, kerana bimbang pelaksanaannya tak menepati sasaran sebenar,” jelas Dato’ Dr Mohd Mansor.
Seterusnya kata Dato’ Dr Mohd Mansor, berdasarkan Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil dilantik menjadi penasihat kementerian berkenaan, lebih wajar beliau dilantik menjadi senator bagi memegang semula jawatan menteri tersebut. Beliau juga mengakuai, Dato’ Seri Shahrizat lebih sesuai meneruskan perkhidmatan di kementerian tersebut, untuk kesinambungan tugas yang berkaitan dengan undang-undang keluarga Islam di bawah kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat yang sudah dirangka. “Tak wajar undang-undang keluarga Islam dilaksanakan di bawah menteri yang bukan Islam, sekalipun timbalan menterinya masih orang Islam, kerana tugas pelaksanaan adalah di tangan menteri,” menurut beliau selanjutnya.

AHLI PARLIMEN WANGSA MAJU
RAI KEMENANGAN BERSAMA PENYOKONG

Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wangsa Maju, Sdr Wee Choo Keong yang juga Setiausaha Agung Parti Demokratik Malaysia (MDP) mengadakan majlis meraikan kemenangannya di Taman Bunga Raya malam ini (19 Mac 2008). Kira-kira 300 penyokong parti persepakatannya PKR dan PAS turut hadir yang pada awalnya dijangka di padang permainan di Jalan Mahsuri 1. Bagaimanapun disebabkan hujan lebat turun sejak jam 3.00 petang, majlis berkenaan dipindahkan ke hadapan rumah salah seorang pimpinan PKR di Wangsa Maju di Jalan Mahsuri 1 yang siap dipasang khemah untuk sambutan Mauludirasul pada esok hari (20 Mac 2008). Turut hadir beberapa tetamu termasuk ADUN Selangor bagi kawasan Kota Damansara Dr Nasir Hashim dan aktivis PKR di peringkat awal Sdr Ng Lam Yong.

LAPORAN MUTAKHIR:

UNDI TAK PERCAYA KEPADA PAK LAH
ANWAR AMBIL ALIH PERDANA MENTERI?
Pilihanraya kecil dijangka Mei 2008 nanti dipercayai memberi laluan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim memasuki Parlimen berikutan tempoh kelayakannya bertanding dalam pilihanraya berakhir April 2008 ini. Dalam fenomena sekarang menurut sumber yang rapat dengan PKR, aura Dato’ Seri Anwar mampu memenangi hati pengundi memberi sokongan kepada Penasihat PKR itu. Masa sudah tiba bagi lanskap politik Malaysia berubah secara drastik, apabila usul undi tidak percaya akan dikemukakan di Parlimen bagi menyingkirkan pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Seterusnya beritahu sumber tersebut, setakat ini senarai nama Ahli-Ahli Parlimen yang akan berpaling tadah sudah berada dalam tangan pihak pimpinan PKR. Bagi membawa usul undi tak percaya itu, mereka sekadar memerlukan 30 sokongan Ahli Parlimen lagi disebabkan persepakatan PKR, DAP dan PAS sudah mempunyai 82 Ahli Parlimen, jelas sumber berkenaan. Dengan jumlah 112 undi di Parlimen sudah memadai bagi membawa usul tersebut yang memperlihatkan kedudukan BN semakin terdesak. “Nama-nama mereka yang sudah mengambil pendirian tersebut ada dalam tangan pimpinan PKR, hanya menunggu waktu yang baik apabila Dato’ Seri Anwar dipilih menjadi Ahli Parlimen dalam pilihanraya kecil nanti,” menurut sumber berkenaan.

PEMANDU TEKSI ISLAM SOKONG
TAK WAJAR PAK LAH LETAK JAWATAN

Persatuan Kebajikan Pemandu-Pemandu Teksi Islam Malaysia (PKPTIM) menyokong kenyataan pimpinan PRIMA menolak sebarang usaha mana-mana pihak mendesak Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan. Presiden penajanya, Sdr Zainal Abidin Rasidin berkata selepas penubuhannya hari ini (20 Mac 2008), prestasi terburuk BN pada pilihanraya 8 Mac 2008 lalu, memang tanggungjawab secara kolektif semua pimpinan BN. Menurut Sdr Zainal, buat masa ini PKPTIM mempunyai keahlian lebih 100 ahli di Lembah Kelang, di samping ianya akan dikembangkan ke seluruh negara dalam usaha membela kepentingan dan kebajikan pemandu-pemandu teksi.

Sdr Zainal juga memberitahu PKPTIM turut melantik pimpinan PRIMA sasterawan Dharmala N.S. menjadi Penasihat Sementara persatuan tersebut, bagi menggerakkan penubuhan secara terancang. Bagaimanapun katanya, PKPTIM berharap Dato’ Seri Abdullah tak terperangkap dengan ‘pagar-pagar’ di kelilingnya yang menjadi ‘sokong membawa rebah’. Justeru Sdr Zainal menambah, pihaknya melihat ‘krisis keyakinan’ yang dihadapi UMNO sekarang memerlukan suntikan perkasa bagi membuang virus yang menular sejak beberapa waktu. PKPTIM berpendapat kata Sdr Zainal lagi, Dato’ Seri Abdullah memerlukan tokoh yang mempunyai pakej berpengalaman seperti Tengku Razaleigh Hamzah membantu beliau dalam menghadapi ‘krisis keyakinan’ ini. “Pihak kami sentiasa berdiri teguh di belakang Pak Lah dan Ku Li bagi memulihkan ‘krisis keyakinan’ UMNO,” beritahu Sdr Zainal.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

CERDIK DIPINGGIR DALAM PIMPINAN
BUDAYA SIASAH DIWARISI ORANG MELAYU

Sebermula tersebutlah dalam negeri Melayu seorang ilmuan Dato’ Dr Noordin Selat yang pernah menjadi setiausaha siasah kepada menteri, di samping dilantik ia duduk tara orang besar-besar di balairongseri memberitahu budaya siasah (kata anak cucu fakir ialah politik) orang Melayu ialah meminggirkan orang cerdik pandai dalam barisan pimpinan. Syahdan akan Dato’ Dr Noordin itu berkata demikian apabila diwawancara oleh penyurat warkah Melayu hari ini 11 Rabiulawal 1429 (atau seperti kata anak cucu fakir 19 Mac 2008). “Orang ramai sudah benci dan menyampah dengan budaya politik negara seperti kurang ajar di Parlimen (balairongseri), mengata orang, janji tidak ditepati serta orang cerdik diketepikan dan jika diletakkan di dalam barisan kepemimpinan dianggap berbahaya,” ujar Dato’ Dr Noordin.

Syahdan fakir juga diberitahu akan Hang Nadim yang cerdik itu, pada suatu hari pergilah ia ke pantai melihat pegawai-pegawai dan segala hulubalang berkubukan betis apabila todak menyerang Singapura. Habislah sekalian pegawai-pegawai dan segala hulubalang yang berkubu akan betis itu mati ditombaki todak. Maka berkatalah Hang Nadim, “Mengapa dato’-dato’ semua berkubu akan betis, bukankah lebih baik kita berkubu batang pisang!”. Mendengar kata Hang Nadim yang masih kecil berumur kira-kira 10 tahun itu, Dato’ Bendahara pun memerintahkan orang berkubu batang pisang. Maka banyaklah ikan todak mati di pantai Singapura hingga bangkainya berbau busuk ke seluruh negeri. Lalu berkatakan Dato’ Bendahara di dalam hatinya, “Lagikan budak ini masih kecil terlalu cerdik ia, betapa kalau dia sudah dewasa, lebih baik aku persembah jahatnya kepada baginda, biar dibunuhnya budak itu!”. Memang selalulah fakir berfikir-fikir dengan:













HIDUP BAHASA MELAYU!