Sunday, February 3, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)



DARI LAMAN BLOG:


IKLAN UNIKNYA SINGAPURA
PROMOSI HEBAT DI TV MALAYSIA

Assalamualaikum,



Memang sudah lama juga melihat iklan ‘uniknya Singapura’ di kaca TV, dengan latar belakang muziknya lagu ‘Menceceh’ ciptaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, tetapi saya tak peduli sangat. Apalagi iklan menjadi sumber kewangan mana-mana agensi penyiaran bagi menampung segala kos, justeru perkara biasa sahaja pengiklanan dibuat oleh TV terbabit. Sebaliknya apabila seorang rakan dari Melaka menelefon pagi ini (2 Februari 2008), di mana logiknya Malaysia memperomosi hebat mengenai keunikan Singapura, saya juga tertanya-tanya, mengapa ya! Mungkinkah Singapura sudah membantu memberi promosi kepada negara ini ketika Tahun Melawat Malaysia 2007 lalu? Entahlah!



Tak tahulah di mana uniknya Kampung Gelam, Kampung Ubi, Singlap atau lain-lain perkampungan Melayu di Singapura; apalagi di bumi berkenaan ramai pejuang-pejuang nasionalisme Melayu dibuang oleh Inggeris pada period hegemoni kuasa penjajah dulu. Misalnya, Syed Masyhor di Sarawak dibuang negeri ke Singapura sekitar dekad 1840-an, malah bagi rakyat Sarawak pahlawan mereka dikatakan meninggal dunia di Singapura. Sebaliknya, berdasarkan potret Syed Mashhor yang terbabit menentang Inggeris di Selangor sekitar dekad 1870-an, mereka adalah orang yang sama. Syed Masyhor seolah-olah meneruskan legasi perjuangannya menentang Inggeris apabila berhijrah di Selangor.




Ngah Ibrahim bersama bapa mertuanya Dato’ Laksamana Mohd Amin juga turut dibuang ke Singapura berikutan insiden pembunuhan J.W.W. Birch di Pasir Salak pada 1876. Mereka berdua meninggal dunia di Singapura, tetapi sekitar dekad 1990-an pusaranya dipindahkan oleh kerajaan negeri Perak ke tanah tumpah darahnya sebagai menghargai perjuangan mereka. Alhamdullillah! Sebaliknya Dato’ Bandar Tunggal (Abdullah bin Ahmad) di Sungai Ujong, Negeri Sembilan yang dibuang ke Singapura pada 1874, meninggal dunia di negara berkenaan. Pusaranya tak dapat dikesan setelah lama sangat terbiar, sekalipun dikatakan dikebumi berhampiran Makam Habib Noh.


Dato’ Haji Sahil, Undang Luak Rembau juga dibuang ke Singapura selepas dipecat oleh Inggeris pada 1887, berikutan langkahnya berperang melawan Inggeris semata-mata mempertahan maruah ketuanan Melayu. Dato’ Haji Sahil menuntut semula sebidang tanah di Simpang (lokasi yang terletak antara Tampin-Lubok Cina) yang diserahkan oleh Undang Luak Sungai Ujong, Dato’ Kelana Syed Abdul Rahman Syed Ahmad. Berikutan kalah dalam peperangan tersebut, Dato’ Haji Sahil dipecat sekalipun pembesar-pembesar di Negeri Sembilan tak menyertai kepongahan Inggeris. Memang Dato’ Haji Sahil bernasib baik apabila dibenarkan balik ke Rembau selepas dua tahun di Singapura, beliau meninggal dunia ketika bercuti di kampung halamannya. Alahai!


-Pak Dharma.




INFO HAK ASASI MANUSIA:



BACA PUISI DI DAMANSARA
PRIMA MENEMUI ANWAR IBRAHIM


Majlis baca puisi di rumah Tan Sri Khalid Ibrahim, di No 26 Jalan Setiabudi 5, Bukit Damansara akan diadakan pada 12 Februari 2008 mulai jam 8.00 malam akan disertai oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA dua hari lalu (31 Januari 2008), pihak pimpinan panatianya Sdr Omar Jaafar bersetuju dengan cadangan awal PRIMA bagi mengadakan majlis baca puisi bermula 8.00 malam, diikuti dengan dialog bersama Dato’ Seri Anwar pada jam 9.00 malam. Sdr Omar yang juga pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri Melaka memberitahu penyair Dinsman akan turut mendeklamasikan puisi.


Sementara itu Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz memberitahu, penyair-penyair PRIMA yang akan mendeklamasikan sajak pada majlis berkenaan termasuklah M. Ashikin (Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah), L. Mankadir Shamsi, Yassinsalleh, Mohd Sayuti Omar, Datin Rozie dan beberapa lagi. Seterusnya kata Dato’ Kamal Amir, beliau sendiri bersama pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail (Pak Ya) akan mewakili PRIMA dalam dialog bersama Dato’ Seri Anwar, terutama berkaitan dengan ‘Deklarasi Perdana 10 Keprihatinan’. “PRIMA akan bercakap mengenai kepentingan budaya dan sastera Melayu, tak lebih daripada itu,” jelas Dato’ Kamal Amir.




INFO SASTERA & BUDAYA :



SERAH SEMULA ‘SASTERAWAN NEGARA’
ANUGERAH SUDAH TAK BERMAKNA LAGI



Penganugerahan kepada Sasterawan Negara di masa akan datang tak bermakna lagi, sekiranya kerajaan mengambil remeh isu menyerahkan semula anugerah berkenaan, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) yang juga novelis Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Mengulas isu salah seorang Sasterawan Negara mahu menyerahkan semula anugerah berkenaan baru-baru ini, Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM merayu sasterawan terbabit menimbang semula hasratnya, kerana anugerah tersebut akan hilang nilainya apabila penerima anugerah memulangkannya semula. “Justeru kerajaan wajar menilai semula senario kebobrokan dalam sastera Melayu, hingga martabat Sasterawan Negara turut dipersoal,” ujar Dato’ Dr Mohd Mansor.


Ketika menghubungi sekretariat PRIMA pagi ini (2 Februari 2008) Dato’ Dr Mohd Mansor melahirkan rasa kecewa dengan isu Sasterawan Negara yang mahu menyerahkan semula anugerahnya, berpunca daripada kebobrokan dalam senario kesusasteraan Melayu sekarang. Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor apabila segelintir sasterawan boleh ‘dibeli’ dengan ringgit dan sen, masalah kebobrokan memang menjadi barah dalam kesusasteraan Melayu. Katanya, institusi yang diberi tanggungjawab membangunkan sastera juga perlu dipantau, bagi mengelakkan berlakunya ‘kekacauan’ dalam perkembangan kesusasteraan sekarang. “Sastera Melayu bukan diukur berdasarkan citarasa individu tertentu, kerana sastera Melayu adalah milik bangsa Melayu,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo



KEMUSNAHAN HARTA BENDA
PITB PERLUKAN RM30b ATASI BANJIR



Alkisah tersebutlah akan kebimbangan di dalam negeri mengenai banjir, kerana setiap tahun kerugian lebih RM1 bilion akibat kemusnahan harta benda dan hasil pertanian. Hebatnya bencana alam! Syahdan berkatalah Pengarah Tebatan Banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Dato’ Ir Abdul Rahim Kaparwi hari ini (2 Februari 2008), sebanyak RM30 bilion diperlukan bagi mengatasi masalah banjir di seluruh negara bagi melaksana Pelan Induk Tebatan Banjir (PITB) secara menyeluruh dan holistik. Heh heh heh! Tak banyaklah gamaknya, kerana koridor pembangunan di Sabah pun mencecah lebih RM100 bilion. Apa sangatlah dengan RM30 bilion yang disebut oleh Dato’ Ir Abdul Rahim, memang mudah sahaja bagi ‘politik angka’ menyediakan. Barangkali!


Syahdan fakir pun diberitahu seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’, kononnya kepada suatu malam akan Wan Empuk dan Wan Melini melihat cahaya di kawasan humanya di Bukit Seguntang. Adapun cahaya yang dilihat oleh Wan Empuk dan Wan Melini itu ialah padinya berbuahkan emas, berdaunkan tembaga dan berbatangkan suasa. Maka hairanlah mereka berdua, kerana sebelumnya padi dihuma diganggu bencana alam termasuklah makhluk perosak, adanya! Sekonyong-konyong dilihatnya tiga orang anak raja di huma mereka yang memperkenalkan diri sebagai anak Raja Suran yang turun ke dasar laut lalu berkahwin dengan Puteri Syahrulbariah anak Raja Aftibul-ardh, kerana air melimpah di dasar laut gerangannya bukanlah banjir seperti disebut oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!