Wednesday, June 3, 2009

BENCANA ATAU KECUAIAN MANUSIA?


Kerugian kira-kira RM25 juta
Period pentadbiran Idris Jusoh

Menteri Besar Terengganu Dato' Ahmad Said memberitahu mengenai kerugian kira-kira RM25 juta berikutan sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak di sini, runtuh semalam (2 Jun 2009) menyebabkan timbul pelbagai persoalan kerana stadium bernilai RM292 juta itu baru setahun digunakan.Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, struktur bahagian bumbung di tempat duduk utama termasuk Pentas Diraja ranap dan menimpa sebuah kereta, tiga motosikal serta sebuah jentera berat yang diletak berhampiran kawasan itu, tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sekalipun Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan kerajaan Terengganu melakukan siasatan segera kerana ia tidak sepatutnya berlaku berikutan stadium itu baru disiapkan dan digunakan pada Sukan Malaysia (Sukma), tahun lalu. “Hal-hal sebegini yang menyebabkan kita tidak berpuas hati... adakah kejadian itu kerana kontraktor, perunding yang tidak melakukannya dengan betul atau pihak yang mengesahkan kerja akhir tidak membuatnya secara teratur, “Ia mungkin juga disebabkan hal-hal di luar jangkaan yang kita tidak tahu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Titian Gemilang kelima di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Stadium yang boleh memuatkan 50,000 orang itu, dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lalu dan yang pertama di Asia dibina menggunakan sistem bumbung tanpa sokongan tiang. Pembinaan stadium tersebut adalah pada masa pentadbiran bekas Menteri Besar Dato' Seri Idris Jusoh. Justeru beberapa pihak berpendapat Idris Jusoh perlu tampil memberikan penjelasan berkaitan isu stadium, ketika krisis selenggara dan urus selia kereta Perdana exco kerajaan masih menimbulkan misteri.

MENJELANG PRK DI KELANTAN...


UMNO macam seladang terluka:
Misi balas dendam di Manek Urai

Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh Dato’ Seri Anwar Ibrahim tak menolak kemungkinan UMNO/BN akan bertindak lebih agresif melaga-lagakan Pakatan Rakyat (PR) menjelang pilihanraya kecil DUN Manek Urai di Kelantan Julai ini. UMNO akan melancarkan misi balas dendam berikutan keputusan pilihanraya kecil DUN Penanti 31 Mei 2009 lalu bagaikan seladang terluka, katanya ketika memberikan amanat meraikan kemenangan Dr Mansor Othman di Yayasan Aman semalam (2 Jun 2009) lapor harakahdaily.net.

mengingatkan Kerajaan Pakatan Rakyat supaya lebih berhati-hati dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana kemenangan Pakatan Rakyat di Dewan Undangan Negeri (Dun) N12 Penanti menjadikan Umno lebih agresif merancang berbagai usaha buruk untuk memenuhi dendam mereka. “Awasi usaha Umno akan datang kerana mereka akan lakukan apa saja untuk meruntuhkan Pakatan Rakyat termasuk melaga-lagakan kepimpinan gabungan ketiga-tiga parti,” jelasnya memberi amaran kepada petugas-petugas komponen PR.

Beliau menambah, pihak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) juga memainkan peranan dengan arahan BN supaya rakyat yang cenderong kepada Pakatan Rakyat tidak boleh mengundi walhal dalam pilihan raya umum lepas nama mereka tertera dalam buku daftar pemilih.
Tidak mustahil Pilihan raya Kecil Manik Urai, Kelantan nanti sambung Anwar, BN cuba melakukan berbagai helah untuk membersihkan nama mereka di Penanti.

INFO SASTERA & BUDAYA

PUISI

Gembalanya Yang Katik

Jangan sebut pasal perjuangan
menentang penjajahan Inggeris
itu dianggap mengagungkan
perjuangan kominis
nanti kena tangkap
masuk tahanan tanpa bicara he he he
kalau dibicarakan pun
apalah gunanya ya!

Jangan juga sebut
nama mayat gadis Mongol
nama teknikal sejenis bom pun
jangan sebut perihal
jual beli kapal juga
tak boleh dicakap-cakapkan
yang terbang jangan
yang menyelam lagilah pulak.

Kalau mulut ju gatal sangat
nak menyebut-nyebut juga
sebelum disenarai takbolehkan
cepat-cepatlah sebut
dan cakap dan citrakan
perihalnya kisahnya PKFZ
naga peliharaan si pawang tua
yang telah menelan
12 bilion duit kita
dan duit mak bapak kita
dan duit anak-anak kita
dan duit cucu-cucu kita
yang telah dibuatnya
macam duit mak bapak dia
macam pusaka tinggalan
nenek moyang dialah
tu kononnya
cepat-cepatlah sebut
kuat-kuatlah sebut
jangan tak sebut!

Yang lain-lain
jangan sebut-sebut dulu
aku kena cek
dengan deep throath aku dulu
yang mana masih boleh sebut
kalau tersalah sebut
nanti percuma jadi batu
ditegur sang kelembai
atas titah perintah
gembalanya yang katik.

-Yassinsalleh
jam 0314
Jun 3, 09
sepi malam adalah teman setia
mengulit rindu mendakap pilu.

Kok Sampai Waktunya

Tak berberas antah digesek
masaklah bubur
tak berlauk parang diasah
sarungkan di pinggang
masuklah hutan buat perangkap.

Kalau tak nyinggah pelanduk
tebanglah bayas sayurkan umbut
kok bocor atap sisipkan bertam
kok tak berkain perca dijahit
pellit badan
kok tak bertali pisau dikilir
rautkan rotan.

Kok sampai waktunya
dianjak orang batu sempadan
disekat orang empangan
dianjak orang tangga rumah nan gadang
langirlah keris gentakan mentera
gempitakan sasa ketatkan simpai di kepala
pertahankanlah maruah keturunanmu
suatu bangsa yang tulus mulia.

Setapak melangkah
kok undur menyerah
merasailah badan dimakan padah
kok keris terhunus
disarungkan tak makan darah
tanggunglah aib tujuh keturunan
anak jantan tak berbatu
celah kangkang tak berbulu.

Demikianlah falsafah didikan
ibu dan ayah warisan turunan
nenek moyangku Melayu!
mana mungkin aku jadi kaya raya
beli kapal jual kapal
minta balak jual balak
jual negeri jual emak.

Makanya, bila tak berduit
nak beli toto aku mintaklah
50 ringgit pada sahabat yang ada
bermanja pada yang kasih
merajuk pada yang sayang
meminta pada yang ada.

-Yassinsalleh
jam 1122
Jun 3, 09
terasa amat piatunya badan
tidur di halaman
rumah nan gadang
menadah embun kekeringan.

KOMENTAR:


bersama Pak Parjo...

Kata orang dahulu kala:
Biarlah seladang dpd anjing

Kata sahibul hikayat gemparlan sekalian orang banyak mendengar ceritera Manohara Odelia Pinot didera di dalam istana Kelantan. Maka tersibarlah di seluruh pelusuk negeri Indonesia akan keburukan di negeri Melayu itu. Syahdan tersebutlah orang-orang Tengku Temenggong diberitahunya sekalian orang banyak mengenai Manohara itu malas sangat bangun solat subuh, adanya. Adapun Manaohara itu bapanya bukanlah orang Jawa, tetapi bahawasanya berasal dari negeri atas angin. Sebermula kata orang dahulukala di Pahang itu banyak seladang, maka pergilah orang berburu membawa anjing.


Syahdan diberitahu oleh orang banyak anjing itu, kalau sudah biasa makan taik; tak di makan pun diciumnya jua! Maka mengapa pula memelihara anjing, kerana seladang itu biarkan ia menebong di mana-mana. Seladang itu tak akan menyerang manusia kalau ia tak dilukai, kata orang tua-tua. Arakian telah sudah hadir sekaliannya, maka Sultan Mansor Shah pun berangkat ke Majaphit, kerana menjadi kegemaran raja-raja Melayu mencari jodoh ke Jawa sejak dahulu kala. Setelah berapa lamanya di laut sampailah ke Majapahit. Maka kedengaran kepada betara Majapahit, disuruhnya alu-alukan seperti dipantunkan orang:


Disemai benih nan layu
Buah kelapa dibawa-bawa
Ramai anak gadis Melayu
Maka kenapa dicari ke Jawa


Arakian dikarang sekalian orang banyak seperti disurat dalam 'Kitab Melayu' oleh:








HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG:

Anggap pihak lain 'buta sejarah':
Diri sendiri tak hasilkan sebuah buku!

Assalamualaikum,

Bukan sahaja karya-karya Allahyarham Tan Sri Dr P Ramlee tak dibuat kajian secara ilmiah, malah karyawan lain juga tak dibuat analatikal. Tak sama dengan kritikan terhadap keganasan pada period darurat, barangkali pengkritiknya mengharapkan puji-pujian daripada pemerintah; apalagi dikalangan wartawan yang heh heh heh! Justeru tak hairanlah wartawan terbabit mentakrif ada pihak 'buta sejarah', sedangkan mereka sendiri tak pernah menghasilkan buku sejarah. Kadangkala tak tahu membezakan antara ilmuan sejarah dengan pengkaji sejarah, hingga sesiapa sahaja boleh dipanggil 'pakar sejarah'. Alahai!

Dato' S Roomai Noor juga pernah terbabit sebagai aktivis PKMM di Pahang, di samping Haji Mahadi juga antara aktivis PKMM dan KMM di Negeri Sembilan. Tak hairanlah Roomai Noor (nama sebenarnya Taib Salleh) membuat kritikan menerusi filem-filemnya secara radikal. Misalnya dalam 'Bawang Putih Bawang Merah' beliau menggarap sinikal dengan watak pemotong kayu (Putih Lawak, gambar) duduk di hujung dahan, di samping memotong di pangkal dahan. Nah, terjunlah si pemotong kayu denan kapak, kapaknya!


Humor Roomai Noor mudah iaitu: UMNO/BN barangkali berhasrat mahu menebang pokok (PR), tetapi duduk di hujungnya sambil menetak di pangkal dahan (Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak). Apabila dahan yang ditetak luruh ke tanah, bukan sahaja PR jatuh terjerembap malah UMNO/BN juga menjadi pemotong kayu dalam'Bawang Putih Bawang Merah' yang digarap oleh Roomai Noor. Apalagi Pak Ali yang mau menunjuk-nunjuk kemahiran menangkap semilang, tak semena-mena dai sendiri terkena duri ikan berkenaan.

Haji Mahadi juga menerusi 'Permata Di Perlimbahan' menampilkan watak seseorang yang mahu memberi racun kepada musuhnya, tetapi yang diracun orang yang dikasihinya sendiri. Mungkin sahaja ianya dianggap karya untuk hiburan semata-mata, tetapi Roomai Noor dan Haji Mahadi adalah pejuang nasionalisme tempatan di negeri mereka bukan sekadar menghasilkan karya pada period penjajah. Adik Roomai Noor dikenali Yusuff Taib juga terbabit dalam gerakan militan menentang kolonial British yang tak mengharapkan apa-apa ganjaran daripada menteri mahupun pemerintah. Justeru pimpinan UMNO tak perlu takutkan bayang-bayang sendiri dengan meamanipulasi isu Chin Peng dan komunisme!

-Pak Dharma