Friday, February 1, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)




DARI LAMAN BLOG:



SEMPENA HARI WILAYAH
KECOH SEJARAH PEMBUKA KL



Assalamualaikum,


Cuti umum esok (1 Februari 2008) sempena ‘Hari Wilayah Persekutuan’ yang sudah diwartakan, masih menimbulkan kekecohan apabila diungkit mengenai tokoh yang mahu diiktiraf sebagai pembuka Kuala Lumpur. Sekitar dekad 1980-an, ketika Tan Sri Abdul Samad Idris atas kapisiti Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan diminta Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan (ketika itu dipimpin oleh Dato’ Dr Sulaiman Mohamed) bercakap dalam simposium ekonominya, menyebut tokoh pembuka Kuala Lumpur ialah Raja Abdullah bin Raja Ali. Pembukaan Kuala Lumpur oleh Raja Abdullah pada 1859 ialah berikutan penemuan ‘cabang tiga’ sungai, di samping membangunkan perlombongan bijih timah di Ampang.



Sebaliknya fakta tersebut disanggah oleh Pemuda MCA (pimpinan Dato’ Lee Kim Sai ketika itu) kerana kononnya Kuala Lumpur dibuka oleh Yap Ah Loy @ Yap Tek Loy. Astaga! Malah Pemuda MCA turut menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Tun Hussein Onn, dengan membuat tanggapan ‘kertas kerja’ Tan Sri Abdul Samad Idris berbau pekauman. Berdasarkan silibas sejarah yang diguna pakai di sekolah-sekolah ketika itu memang menyebut Yap Ah Loy, Kapitan Cina di Kuala Lumpur di samping membuka Kuala Lumpur (ditakrifkan sebagai membangunkannya). Tak tahulah! Raja Abdullah memang orang Melayu, berdasarkan sejarah bertulis beliaulah yang membuka perusahaan lombong bijih di Ampang pada 1859.



Yap Ah Loy pula sekadar Kapitan Cina yang ketiga, selepas Hiu Siew dan Liu Ngim Kong. Pada 1854 Yap Ah Loy baru sahaja berhijrah ke Melaka dari Negeri China ketika berusia 17 tahun, kemudiannya bekerja sebagai buruh di Lukut, Negeri Sembilan (ketika itu di bawah pemerintahan Selangor). Beliau juga pernah menjadi buruh di bawah Kapitan Cina di Rasah, Seremban Yap Ah Shak. Kronologi kedatangan Yap Ah Loy pun tak membuktikan beliau pembuka Kuala Lumpur, apalagi ketika Majlis Municipal Kuala Lumpur menerbitkan buku ‘100 Tahun Kuala Lumpur’ pada 1959, pihaknya mengambil sempena kedatangan Raja Abdullah pada 1859.


Memang kita berasa hairan bagaimana silibas mengenai sejarah di sekolah-sekolah ketika itu mengangkat Yap Ah Loy sebagai pembuka Kuala Lumpur, sekalipun menerusi buku yang diterbitkan oleh Majlis Municipal Kuala Lumpur (sekarang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) sudah mengiktiraf tarikh 1859 sebagai bermulanya sejarah Kuala Lumpur dengan penemuan oleh Raja Abdullah. Sebelum penampilan Raja Abdullah pula, Sutan Puasa sudah memulakan penerokaan Kuala Lumpur dengan membina kedai nasi di ‘cabang tiga’ sungai yang dikenali sekarang ‘Jalan Melayu’. Hina sangatkah apabila disebut orang Melayu yang membuka Kuala Lumpur. Aduhai!



-Pak Dharma.



INFO HAK ASASI MANUSIA:


‘JALAN MELAYU’ DI KUALA LUMPUR
WAJAR DINAIK TARAF SERTA NILAI BARU



Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KekWa) diminta memulihara ‘Jalan Melayu’ di pinggir Sungai Gombak dan Sungai Kelang bagi menjadi legasi kebanggaan bangsa. Gesaan itu dibuat oleh Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz sempena ‘Hari Wilayah Persekutuan’ esok (1 Februari 2008) berdasarkan fakta sejarah, di jalan itulah bermulanya pembukaan Kuala Lumpur oleh Raja Abdullah bin Raja Ali pada tahun 1859. Malah di jalan itulah juga peniaga Minangkabau dikenali Sutan Puasa membangunkan perniagaan hingga membolehkan pelabur-pelabur mengusahakan industri perlombongan, katanya.


“Jalan Melayu juga wajar dinaik taraf serta diberi nilai baru sejajar dengan peranan kuala sungai ‘cabang tiga’ sebagai mercu tanda pembukaan Kuala Lumpur,” menurut Dato’ Kamal Amir selanjutnya. Beliau berasa hairan menjelang dua tahun lagi Kuala Lumpur akan menyambut 150 tahun pembukaannya iaitu pada 2009, tetapi ‘Jalan Melayu’ tak membawa apa-apa makna. Justeru katanya, DBKL dengan kerjasama KekWa sudah boleh memikirkan dari sekarang bagi menjadikan ‘Jalan Melayu’ itu sebagai legasi kemegahan bangsa di samping mercu tanda bermulanya pembukaan dan pembangunan Kuala Lumpur sekarang.







INFO SASTERA & BUDAYA:


TAMPARAN KEPADA CEDEKIAWAN
ANUGERAH ‘SASTERAWAN NEGARA’ DIKEMBALI



Khalayak sastera dikatakan digemparkan dengan isu khabarnya salah seorang penerima anugerah ‘Sasterawan Negara’ akan memulangkan semula kurniaan tersebut setelah merasakan pembangunan sastera di negara ini tak mengikut landasan sebenar kesusasteraan Melayu. Menurut sumber berkenaan, Sasterawan Negara terbabit sukar menerima senario perkembangan sastera sekarang, kerana jauh menyimpang daripada yang diasaskan sejak dekad 1930-an, 1940-an dan 1950-an. Sekalipun tak dinyatakan sebab musabab sebenarnya, tetapi sebagai sasterawan yang berkaliber tentunya beliau merasa reputasinya terjejas sekiranya membiarkan fenomena sekarang berterusan, kata sumber berkenaan seterusnya.


Bagaimanapun sumber tersebut tak menyebut identiti sasterawan terbabit, tetapi Sasterawan Negara yang pertama Keris Mas dan yang ketiga Usman Awang sudah meninggal dunia. Berdasarkan barisan Sasterawan Negara yang menerima anugerah masih belum ramai jumlahnya, mungkin sahaja khalayak sastera boleh mengagak siapa Sasterawan Negara yang dikatakan mahu memulangkan semula anugerahnya. Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, tak seharusnya mengambil sikap membeku dengan isu berkenaan, menurut sumber itu lagi. Anugerah tersebut dari kerajaan yang disampaikan oleh Yang Dipertuan Agong, sudah tentu ianya menjejaskan negara. “Sastera yang dicemari oleh anasir-anasir bobrok perlu dibanteras segera,” jelas sumber itu.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo



MEMILIH CALON YANG BERSIH
SUKAR MENILAI SECARA LAHIRIAH



Sebermula dicanangkan ke seluruh pelusuk negeri akan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah membayangkan pilihanraya terlalu dekat seperti disebut Buletin Utama TV3 jam 8.00 malam (31 Januari 2008). Maka diberitahu kepada fakir akan perihal Dato’ Seri Abdullah mahukan calon-calon yang bersih mewakili UMNO (gamaknya bukanlah ahli-ahli Gabungan Pemantau Pilihanraya Bersih dan Adil iaitu BERSIH!). Kata sahibul hikayat, selepas peristiwa 13 Mei berkatalah Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, dalam sebuah negara yang semua orangnya buta, sesiapa yang buta mata sebelah pun bolehlah menjadi raja, seperti diberitahu kepada:









HIDUP BAHASA MELAYU!