Sunday, March 1, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:

Assalamualaikum,

HAIWAN BERBANGGA DENGAN BAHASA
MELAYU HILANG BAHASA KERANA PPSMI

(Sedutan teks ucapan Ketua Pimpinan PRIMA, Pak Dharma dalam forum ‘Menentang PPSMI’ pada 28 Februari 2009, mulai jam 9.00 malam di Sekolah Agama Rakyat (SARA) Gedong Lalang, Ampangan di Seremban anjuran TERAS dengan kerjasama Dewan Ulama PAS Negeri Sembilan)

Segelintir Melayu yang menjadi pendukung Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), adalah Melayu Abdul Wahab dan Abdul Wahib yang bersedia untuk ‘dijual’ menerusi sistem undang-undang Siddiq Sigaraga, ketika Tuan Penasihat meraih keuntungan 25 persen. Disebabkan menjual Melayu Abdul Wahab dan Abdul Wahib lebih menguntungkan daripada ‘berniaga unta’ yang diwarisi oleh Hussin Lempoyang, justeru orang Melayu memerlukan Melayu Abdul Wahub tampil menyelamatkan keluarga Melayu Isketambola daripada undang-undang Siddiq Sigaraga yang mempraktikkan kekuasaan Dato’ Nikah Kahwin.

Dato’ Nikah Kahwin yang mengakui kepada isteri orang yang diceroboh rumahnya ketika si suaminya keluar dengan memberitahu: Salah tu memang salah, tetapi itu undang-undang dato’ yang bikin. Justeru tak hairanlah Dato’ Nikah Kahwin itu wajar dilabelkan sebagai ‘Musang Berjanggut’ mengikut persepsi Allahyarham Tan Sri Dr P Ramlee. Apalagi sejak dekad 1950-an lagi menerusi filemnya ‘Pendekar Bujang Lapok’ secara kritis menerapkan ‘Sekolah Buta Huruf’ sambil salah seorang daripada karektor menyebut: Alif tendang mim, nun tendang wau – sarkas’. Maknanya, wajarlah ‘alim mim nun wau’ itu sarkas dan ditakrif sebagai ‘Sekolah Buta Huruf’.

Justeru pelaksanaan PPSMI ini akan meletakkan Bahasa Melayu menjadi bahasa sisipan seperti keperihalan akhbar tulisan jawi sekadar menjadi akhbar sisipan, ketika akhbar Cina dan Tamil mampu bertahan. 100 tahun dari sekarang pada 3009, generasi Melayu ketika itu tak akan menyalahkan UMNO, PAS atau PKR apabila mereka tak memiliki bahasanya, tetapi menyalahkan generasi Melayu sekarang sebagai nenek moyang mereka yang bahlul, tolol dan konyol! Dalam masa haiwan seperti lembu, kerbau, kambing berbangga dengan bahasa haiwannya, Melayu kehilangan bahasa disebabkan PPSMI yang bangsat.

-Pak Dharma


INFO HAK ASASI MANUSIA:


SASTERAWAN GUNA PENTAS PAS
ISU PPSMI BUKAN TUJUAN POLITIK

Beberapa orang sasterawan telah menggunakan pentas PAS dalam perjuangan untuk memansuhkan PPSMI termasuk Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said, kata Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik. Memberitahu peserta forum ‘Mansuhkan PPSMI’ di Sekolah Agama Rakyat (SARA) Gedong Lalang, Ampangan di Seremban malam 28 Februari 2009, Dato’ Ustaz Abu Bakar mengakui Dato’ A Samad Said tampil di pentas PAS di Terengganu. “Dato’ A Samad Said mengaku beliau bukan ahli PAS tetapi meminjam pentas PAS, ketika sasterawan bertindak secara berhemah tetapi Menteri Pelajaran (Dato’ Seri Hishamuddin Hussein) bertindak garang,” menurut Dato’ Ustaz Abu Bakar.

Seterusnya beliau juga menasihatkan Pemuda UMNO bertindak lebih rasional apabila dipanggil ‘celaka’, ketika banyak ‘kecelakaan’ berlaku disebabkan tindak tanduk bapak-bapak UMNO. PPMSI beritahu Dato’ Ustaz Abu Bakar adalah antara ‘kecelakaan’ yang berpunca daripada bapak-bapak UMNO. Banyak ‘kecelakaan’ berlaku sekarang seperti kebakaran hutan di Australia, kemusnahan Gaza akibat serangan Yahudi atau ribut salji di Amerika Syarikat semuanya berpunca daripada perbuatan tangan manusia, kata Dato’ Ustaz Abu Bakar. “Justeru ‘kecelakaan’ yang dihadapi oleh Pemuda UMNO sekarang adalah disebabkan tangan mereka sendiri,” ujar beliau menambah.

Dato’ Ustaz Abu Bakar memberitahu sebagai salah seorang ahli penal dalam forum ‘Mansuhkan PPSMI’ yang dianjurkan oleh TERAS dengan kerjasama Dewan Ulama PAS Negeri Sembilan pimpinan Tuan Haji Kassim. Selain daripada Dato’ Ustaz Abu Bakar, ahli panel yang turut serta ialah Ustaz Zulkifli Omar, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan dan Pak Dharma, Ketua Pimpinan PRIMA. Forum yang pada awalnya dijangka turut disertai oleh Presiden TERAS, Ustaz Azmi Hamid digantikan oleh Ustaz Zulkifli Omar, di samping Ustaz Haji Wan Azhar Wan Ahmad dari Muslim Care bertindak selaku moderator.

Sementara itu seorang peserta forum Haji Jamlus dari Jelebu, mengalu-alukan langkah menggerakkan ‘Himpunan 100 Ribu’ di hadapan Istana Negara, 7 Mac 2009 ini sebagai mesej ‘Mansuhkan PPSMI’. Haji Jamlus seterusnya berikrar akan meneruskan segala usaha pimpinan, sekiranya mereka ditahan pihak berkuasa. “Kami akan mengumpulkan dana bagi mempertahankan pimpinan menerusi undang-undang,” beritahu Haji Jamlus. Peserta dari Rembau, Sdr Taufik mendesak penentangan wajar disertakan dengan fakta bagi menangkis dakyah kementerian pelajaran yang memaksa PIBG memberikan bukti kerjayaan PPSMI sekarang.


INFO SASTERA & BUDAYA:


ANTARA KEMATANGAN POLITIK
DI SAMPING KERAKUSAN KUASA

Oleh: Mohd Affandi Hassan
(Sasterawan dan Pengkritik Sastera Melayu)


Setelah lebih dari 51 tahun berkuasa di Malaysia, UMNO/BN berjaya menjadikan kerakusan kuasa sebagai satu strategi politik yang berisiko, tetapi boleh dilakukan dengan berjaya jika mempunyai cukup wang untuk dibelanjakan bagi maksud itu. Tetapi mereka gagal memperlihatkan kematangan politik. Mereka bercakap tentang tamadun, adab, sikap demokratik, kejujuran berpolitik dan sebagainya, tetapi perbuatan mereka di Perak memperlihatkan sebaliknya.


Paling ketara ialah sikap anti-rakyat yang mereka perlihatkan dengan menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha untuk menyerahkan kepada rakyat membuat pilihan mereka setelah berlaku kebuntuan yang merugikan rakyat seluruhnya, akibat perbuatan UMNO sendiri. Apa yang berlaku di Perak sekarang diceritakan dengan terperinci oleh Sejarah Melayu dalam berpuluh episod yang menunjukkan kesalahan raja-raja Melaka membuat keputusan, sehingga menimbulkan kesusahan kepada rakyat di samping menyerlahkan kezaliman raja-raja Melaka yang menjadi teras sistem beraja Melayu moden.


Mujurlah muncul seorang tokoh besar Melayu dalam diri Tun Perak yang sabar dan bijaksana itu. Banyak kali raja-raja Melayu diselamatkan oleh tindakan berhemah dan bijaksana Tun Perak. Anak-anak muda sekarang, termasuk ahli politik yang bercita-cita tinggi, harus membaca kembali kitab penting ini. Perkara ini disebut di sini untuk menyedarkan orang Melayu bahawa raja-raja Melaka, yang menjadi teras kesultanan Melayu, adalah manusia biasa yang mewariskan kelemahan mereka kepada raja-raja Melayu yang kemudian, sebagai manusia yang sentiasa membuat silap betapa pun tingginya daulat mereka.


Raja dan rakyat yang menerima hakikat ini adalah golongan beriman yang menerima ajaran para nabi dan para sahabat baginda. Ucapan Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar ketika menerima perlantikan sebagai Khalifah menjadi teras prinsip kepemimpinan dalam Islam dan dalam tamadun Melayu sebelum dikotorkan oleh pengaruh Barat. Hal ini pun disebut dalam Sejarah Melayu dan perlu dicari sendiri oleh orang muda dan pemimpin politik untuk dijadikan teladan.


Para pemimpin UMNO/BN banyak sekali membuat laporan polis tentang kejahatan ketua-ketua parti pembangkang. Hampir semua laporan itu tidak memperlihatkan kematangan berpolitik kumpulan yang telah berkuasa lebih dari 51 tahun. Banyak daripada laporan itu hanya untuk melepas geram dan menunjukkan perasaan benci meluat yang amat sangat, kerana kuasa dan peluang yang selama ini dinikmati oleh puak ini menjadi semakin nipis setelah golongan ini menerima kekalahan dalam PRU 12, April 2008.


Dengan muka bengis seorang samsing, para pelapor ini menyeranah lawan politik mereka sebagai penderhaka, biadab, kurang ajar dan segala makian yang tidak pantas keluar dari mulut pemimpin yang sudah berkuasa lebih dari 51 tahun yang sedia kala mengaku paling sopan, beradab, jujur dan bersih. Semua ini terjadi kerana sifat kerakusan kuasa itu sudah menjadi darah daging, tidak boleh lagi bertolak ansur untuk menerima kekalahan dalam pilihan raya secara gentleman. Mereka akan menjadi lebih bengis dan merbahaya jika dibenarkan berkuasa selama 50 tahun lagi.


Seperti yang dibayangkan dalam amaran seorang Bendahara Melaka, orang yang biasa makan daging tidak teragak-agak untuk membunuh sesiapa saja yang tidak disenanginya. Dan pembunuhan politik di zaman moden boleh berlaku dalam 100 cara. Barangkali di situlah tersembunyi kematangan politik para political animals. Kemuncak kerakusan itu diperlihatkan dalam tempik sorak penuh makian di luar Dewan Rakyat oleh sekumpulan pemuda UMNO yang marahkan YB Karpal Singh yang dituduh telah menghina raja-raja Melayu dan pemuda UMNO.


Beliau dihalang memasuki Dewan Rakyat, seolah-olah Dewan Rakyat itu rumah pemuda UMNO yang tidak boleh dimasuki tanpa izin tuan rumah. Dalam dunia politik yang matang, lebih banyak digunakan perbahasan dan perdebatan yang diucapkan dengan wibawa, iaitu wibawa dari segi kelakuan dan berwibawa dari segi ilmu. Nampaknya orang UMNO kehilangan punca bila berdepan dengan lawan mereka yang jauh lebih pintar berhujah dan pandai bermain dengan kata-kata yang boleh membuat pihak sebelah lagi menjadi gila.


Itulah yang terjadi di halaman Dewan Rakyat pada hari Khamis 26 Februari 2009, satu tarikh dan kejadian yang sangat penting dalam perkembangan demokrasi di Malaysia. Siapakah yang akan menghukum mereka? Dalam politik demokrasi di Malaysia, yang akan dihukum seringkali pihak yang berkata benar, bukan yang bertindak liar dan biadab.


INFO SUARA PROLITAR:


MAT TAIB JADI ‘WIRA MELAYU’
SEKADAR BAKAR MERIAM BULUH!

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Mohd Taib sepatutnya mencermin diri sendiri apabila mengingatkan pihak lain ‘jangan cuba kebangkitan kemarahan orang Melayu’. Tan Sri Muhammad yang terlepas daripada hukuman di mahkamah Australia kerana ‘tak tahu berbahasa Inggeris’ sepatutnya menasihati pimpinan UMNO supaya menghapuskan PPSMI yang membangkitkan kemarahan orang Melayu sekarang. Apalagi Tan Sri Muhammad yang pernah diselamatkan oleh ‘Bahasa Melayu’ seharusnya tampil sekarang meredakan kemarahan orang Melayu kerana PPSMI.

Isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu sekadar ‘masalah kulit’ sahaja, malah bersifat sementara. Ianya lebih bertujuan kepada ‘gimmik politik’ untuk memperoleh publisiti semata-mata. Tetapi isu PPSMI adalah kepentingan Melayu, justeru kemarahan orang Melayu adalah dimulakan oleh UMNO sendiri. UMNO yang lakukan penghapusan kepada kekebalan raja-raja Melayu dengan pindaan perlembagaan pada 1993. Tan Sri Muhammad tak perlu salahkan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, tetapi salahkan diri sendiri kerana tak mampu menegur pimpinan UMNO. Tan Sri Muhammad tak perlu nak berlagak jadi ‘wira Melayu’ kalau sekadar membakar ‘meriam buluh’. – (Man Cincai, Selayang, Selangor – 1 Mac 2009): PAK PARJO

HIDUP BAHASA MELAYU!