Monday, June 8, 2009

SUARA DARI REMBAU


Perhebatkan menentang PPSMI:
Jangan beri ruang kepada UMNO

PAS Rembau membawa usul dalam Mukatamar PAS yang berakhir semalam (7 Jun 2009) mahukan PPSMI dan Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) diteruskan serta diperhebatkan dengan tak memberi ruang kepada UMNO, kata Timbalan Yang Dipertuanya, Rozmal Malakan(gambar, baju putih). Menurutnya, PAS Rembau tak berkompromi dengan isu PPSMI, malah bersedia menyertai gerakan GMP di mana-mana sahaja dalam usaha menentang PPSMI. "Kita akan perhebatkan penentangan sekalipun terpaksa menunggu hingga kehancuran pendukung-pendukung PPSMI yang mementingkan kedudukan dan kepentingan diri sendiri," jelas beliau menambah.

Bagaimanapun suara kerdil dari Rembau kurang diberi perhatian dalam perhimpunan besar yang dihadiri kalangan ilmuan agama, profesional dan mereka yang tak prihatin dengan perjuangan bahasa dan budaya. Rozmal juga memberi jaminan PAS Rembau akan bersama dengan pejuang-pejuang bahasa bagi mendaulatkan Bahasa Melayu, di samping menentang PPSMI berterusan. "PPSMI akan dihapuskan, kalau rakyat mengambil pendekatan bersama menolak UMNO dalam sebarang pilihanraya kecil mahupun pilihanraya umum," beritahu Rozmal selanjutnya.

DIARI SEORANG GURU

Cuti sekolah guru bekerja:
Tugas yang melewati ganjaran

oleh: Cikgu Fadzli

Ramai yang kata guru kini lebih beruntung. Selain gaji yang tinggi, cuti pun banyak. Itu orang yang kata, hakikatnya tidak. Cuti punkerja perlu jalan supaya pelaksanaan tugasan lancar selepas sekolah. Susah menerangkan kepada masyarakat yang cuti sekolah ýang banyak tidak sedikit pun mengurangkan kerja guru. Sebenarnya, tugas guru melewati segala ganjaran yang ada termasuk gaji. Jika hendak dibandingkan gaji, masih lagi perlu penambahbaikan kerana kurang berbaloi dengan pengorbanan yang diberikan, Cikgu Fadzli menulis menerusi blognya www.cikgumalaysia.com

Jika di mana-mana jabatan lain, kita mempunyai kakitangan sokongan namun guru perlu menjalankan tugasnya dengan keupayaan sendiri. Tiada siapa lagi mahu mengisi borang, membuat kertas kerja dan pelbagai urusan kebajikan pelajar melainkan guru juga yang laksanakan. Jadi, guru tidak bercuti namun banyak lagi perlu diselesaikan sebab semasa sekolah hanya memikirkan pendekatan mengajar semata-mata. Memang sejak dekad 1960-an lagi tanggapan demikian, justeru guru-guru dilabel sebagai pejuang untuk kenaikan gaji.

Ironinya, tak siapa peduli perjuangan guru-guru Melayu sejak 1950-an mahukan kerajaan wujudkan pengajian Melayu hingga ke peringkat tinggi menerusi gerakan Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Melayu Semenanjung (KKGMS), di samping mendaulatkan Bahasa Melayu seperti disuarakan Cikgu Mohd Noor Ahmad, Cikgu Mohd Noor Hamid, Cikgu Ahmad Abdul Rahman, malah Cikgu Ahmad Arshad (bekas Ahli Parlimen Tangkak) berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggunakan Bahasa Melayu disambut tepukan gemuruh. Apabila dapat tunggakan kenaikan gaji pada dekad 1960-an, guru-guru sekadar mampu membeli 'volkswagen' dan vespa - justeru ianya dituduh berjuang kerana gaji!

INFO SASTERA & BUDAYA

PUISI

Sepermai Fatamorgana

Aduhai semalamku segalanya
kenangan manis yang dikumpul
waktu telah satu demi satu
dibatalkan oleh mimpi-mimpi
yang mungkir lalu rebahlah
sumpah tak terkotakan janji idaman
bagaikan simfoni kehilangan lagu
bagaikan bunga menguntum
tak berputik.

Sungguh amat lamanya sudah
kita berpisah imbauan
mimpi-mimpi yang tewas
terus jua merasuk jaga
dan tidurku siang menakung luka
malam menatang duka.

Setiap kali aku tengadah
kau masih jua tetap di situ
dengan senyuman menyaksikan
betapa kakiku yang luka
menari-nari di lantai pelangi
menanti gemalainya angin fajar
meniup hilang rintihan kalbu
yang kian piatu dan terbuang.

Waktupun bagaikan biasa
amat patuh mengumpul
citra semalam yang tetap jua
setekunnya menyusun lapis nestapa
santak ke sudut benua
sarat harapan sepermai fatamorgana.

-Yassinsalleh
jam 1540
Jun 7, 09
dalam pedih meniti
nestapa pelaut tua
mencari pelabuhan semalam.

Chao Phrya

Chao Prya, banyaknya
kiambang kau hanyutkan.

Dulu aku berenang menghilir
arusmu dingin dan jernih.

Kini untuk membasuh
muka pun aku tak tergamak.

Chao Phrya bila kita jumpa lagi
ingin amat aku merenangi
dingin jernih arusmu
bagaikan dulu menyelami dasarmu
membaca ceritera sejarah
Ayuthayamu yang megah gagah.

Chao Phrya bila kita jumpa lagi nanti
pastikanlah aku dapat membasuh muka!

-Yassinsalleh
jam 1513
Mei 21, 09
Sathorn Taksin Jetty
Sungai Chao Phrya
Kota Bangkok, Thailand.

BUDAYA POLITIK MELAYU...

Gaya Kepemimpinan Islam
Mengikut landasan dalam PAS

Antara perkara menyeronokkan ketika melihat gaya berpakaian dalam muktamar PAS, ialah kemunculan songkok dan baju Melayu, bersama-sama jubah dan serban atau baju Melayu dan ketayap (kopiah). Apakah imej yang ingin ditonjolkan melalui cara berpakaian itu? Jawapannya mungkin berada dalam tata kelakuan dan cara berpakaian para pemimpin UMNO. Di sini yang terjadi adalah sebaliknya: kita lihat songkok dan baju Melayu bertaburan dengan banyaknya, diselit sekali sekala dengan ketayap tanpa serban. (Gambar hiasan, pimpinan PAS berketayap, bersongkok dan berserban)

Apakah kesimpulan yang boleh kita ambil? Nampaknya UMNO sangat yakin menayangkan semangat Melayu, atau kebangsaan Melayu, yakni Malay nationalism yang berkerak hangit dalam gerakan itu. Manakala PAS pula menayangkan gaya Arab yang dimelayukan dalam pakaian baju Melayu dengan serban, atau paling kurang baju Melayu dengan ketayap. Yang bersongkok dalam PAS kelihatan agak janggal dan diri pemakainya juga kelihatan tak berapa selesa, seolah-olah (?) terkeluar dari kelompok yang dominan.

Orang berketayap dalam UMNO pun berasa macam itu juga. Jelas songkok dan ketayap tidak boleh bersama, kerana kedua-duanya adalah lambang dua jenis gaya berlagak dan gaya bertindak yang berbeza. Adakah ini mencerminkan kelemahan tamadun Melayu? Sehingga ini soalan ini tidak pernah dibincangkan, kerana bagi rakyat biasa songkok dan ketayap melambangkan pertentangan politik orang Melayu dari kumpulan yang sama, yang perbezaannya hanya kelihatan dari segi zahir, tetapi masih kabur dari segi batinnya.

Bagi rakyat songkok melambangkan orang yang kurang agamanya, atau bukan dari golongan yang berpendidikan agama; manakala yang berketayap sudah pasti dari kumpulan yang mendapat pendidikan agama dan boleh dipercayai orang yang kuat agamanya. Sekarang timbul soalan baru: Adakah cara berfikir rakyat ini perlu dilanjutkan selama-lamanya? Bagaimana jika dikemukakan slogan Satu Islam untuk Malaysia? Jadi tidak ada lagi Islam Hadhari, Islam PAS, Islam UMNO dan lain-lain. Kata orang UMNO, mereka sudah ada Satu Malaysia, yang di dalamnya termasuk Satu Islam.

Tentu saja pandangan ini ditentang oleh orang PAS, kerana sudah jelas UMNO menjadikan Islam hanya layak ditempatkan pada kedudukan kedua, bukan kedudukan utama. Bagi PAS slogan Satu Islam itu di dalamnya termasuk Satu Malaysia, yang tentu saja ditolak oleh orang UMNO. Jika orang UMNO menerima slogan Satu Islam, mereka tidak relevan lagi. Yang akan jadi ketua mereka nanti ialah para pemimpin PAS. Adakah ini cara berfikir dalam tamadun Melayu yang dikatakan bercorak Islam itu? Masalah ini tidak pernah timbul, baik di kalangan UMNO mahu pun di kalangan PAS. (Gambar hiasan, pimpinan UMNO bersongkok dan berbaju Melayu)

Tetapi dengan menimbulkan masalah ini, kita boleh melihat dengan jelas bagaimana terpisahnya orang Melayu dari segi politik dan agama. Satu kelompok mewakili kumpulan nasionalis Melayu yang menggunakan agama untuk mendapatkan legitimasi dalam gerakan politik mereka. Inilah UMNO. Satu kelompok lagi mewakili golongan agama (yang di dalamnya termasuk ulama) yang melihat politik sebagai alat yang berkesan untuk mendapat peluang terbuka dalam kehidupan moden, yang hanya boleh dicapai melalui kekuasaan politik.

Kumpulan agama dalam UMNO mengambil jalan pintas berasaskan kekuatan politik UMNO untuk mendapat faedah politik itu bagi diri mereka. Dalam konteks ini mereka adalah golongan oportunis. Bolehkan kita membuat kesimpulan yang sama tentang golongan nasionalis dalam PAS? Para penganalisis politik berkata, kedua-dua parti Melayu ini menjadi tempat hijrah ahli politik yang ditolak oleh UMNO yang akan diberi tempat dalam PAS; dan sebaliknya. Kata mereka, ini tidak bererti kedudukan ini sama dengan peri bahasa “dua kali lima” yang terkenal itu.

Apa yang terjadi, kata mereka, kedua-dua parti Melayu itu menggunakan orang buangan itu untuk mendapat kekuatan baru dengan menggunakan orang buangan tadi sebagai bukti kelemahan pihak lawan. Adakah ini pun jenis tamadun Melayu yang baru timbul setelah mereka pandai berpolitik? Jika kesimpulan ini benar, maka kita boleh melihat bagaimana parti nasionalis dan parti agama tidak berasa janggal menggunakan orang buangan sebagai alat politik mereka. Dalam konteks ini, kita tidak boleh bercakap tentang kebenaran dan kejujuran, kerana semuanya ditentukan oleh matlamat politik yang tidak semestinya jujur.
Di sinilah terdapat persamaan antara kepemimpinan UMNO dan PAS. Adakah ini yang menyebabkan PAS mengajak UMNO untuk menubuhkan kerajaan perpaduan? Kita harus ingat, masing-masing mempunyai muslihat politik tersendiri; dan tujuan muslihat politik itu hanya satu, iaitu melemahkan kedudukan pihak lawan dengan menunggang mereka jika terdapat isyarat mereka boleh ditunggangi untuk mendapat matlamat politik masing-masing. Adakah inilah budaya politik yang dipakai oleh UMNO dan PAS untuk mendapat matlamat politik mereka?
Soalan ini penting kerana jawapannya berada dalam cara berpakaian dan bertindak kedua-dua parti Melayu ini. Biarlah para penganalisis politik memikirkan persoalan ini dan memberikan jawapannya dalam analisis politik mereka. Kita pun harus ingat, lebih ramai yang memihak kepada salah satu kumpulan, dan sangat sedikit yang bertunjangkan analisis ilmiah yang objektif. Jadi sudah jelas betapa korupnya budaya politik Melayu ini. - [7/6/2009]. Mohd. Affandi Hassan

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...

Gempar sekalian anak Melayu:
Kerajaan perpaduan dicanangkan

Sebermula gemparlah di segala pelusuk negeri akan penghulu harakah Melayu (PAS) Orangkaya Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang mahukan 'kerajaan perpaduan'. Maka, adapun gerangannya sebelum ini tak pernah sekalian orang banyak mendengar 'kerajaan perpaduan' itu. Arakian suatu ketika dulu Orangkaya Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang menyebut-nyebut akan 'kerajaan perpaduan'. Habislah kecut perut sekalian anak Melayu dalam harakah (UMNO) mendengar Tengku Razaleigh, kerana bimbang ia menjadi Orangkaya Perdana Menteri kalau dipersetujui oleh Orangkaya Dato' Seri Anwar Ibrahim dan kawan-kawannya, termasuk juga Orangkaya Marang itu.

Syahdan terlupalah orang banyak perihal Chin Peng mahu balik ke negeri ini, adanya. Di sana sini mereka bercakap mengenai 'kerajaan perpaduan', tak peduli lagi perkara Chin Peng itu. Begitulah pandainya penitir canang menitir macam burung ketitir lakunya. Arakian adapun Tun Bija Sura itu moyang Seri Bijaya Raja Tun Sabtu, dan akan Seri Bijaya Run Sabtu itu beranakkan Tun Siak yang di Aceh, itulah orang ternama sembilan orang, Hang Jebat seorang, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, Hang Ali, Hang Iskandar, Hang Hassan, Hang Husin, Hang Tuah; orang sembilan itulah yang tiada boleh bertara, barang lakkunya tiada berturut oleh orang lain (apalagi sekalian penitir canang dan pengampu itu). Dan akan Hang Tuah itu terlebih, cerdik, gagah, berani. Maka diperbuat orang pantun:

Hang Tuah Laksamana Melaka
Taming Sari hulubalang Jawa
Lagi gagah bijaksana belaka
Hasad dengki terbawa-bawa
Arakian disuratlah oleh anak cucu fakir seperti dalam 'Kitab Melayu' daripada:







HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG:

Speaker Selangor tutup firma:
Patuhi etika perjawatan awam
Assalamualaikum,

Lama juga tak hubungi YB Teng Cheng Khim, sejak beliau dilantik menjadi Speaker DUN Selangor. Kadangkala layari laman blog beliau pun, tak berapa aktif sangat; justeru jarang untuk singgah melayari. Selepas isu penggantungan keahlian Ketua Pembangkang Selangor Dato' Seri Dr Khir Toyo, saya sengaja tak mahu hubungi beliau disebabkan tak banyak yang difikirkan mengenai politik negeri Selangor. Bagaimanapun semalam saya meminta isteri saya hubungi YB Teng berkaitan dengan masalah guaman; yakni urusan peribadi yang tak kait mengait dengan politik.

Rupa-rupanya YB Teng tak lagi terbabit dalam firma guaman apabila dilantik menjadi Speaker selepas PRU12, 8 Mac 2008. "Firma guaman saya sudah ditutup puan, sebagai penjawat awam saya dilarang terbabit dengan perniagaan," beritahu YB Teng. Maknanya, beliau mematuhi etika sebagai Speaker yang melarang terbabit dalam perniagaan iaitu prasyarat yang perlu dipatuhi. Memang YB Teng mempunyai pendirian tegas apabila menutup firma guamannya, malah agak berbeza pendapat dengan keluarganya. YB Teng mengakui ayahnya adalah orangkuat MCA di Johor, di samping adiknya bekas Exco kerajaan negeri Pulau Pinang dari Parti Gerakan.

Sebenarnya ramai juga rakan-rakan saya dari kalangan peguam, tetapi komitmen YB Teng sebagai rakan lebih merapatkan hubungan keluarga saya dengan beliau. Misalnya, anak saya Allahyarham Ikram Hafiz dalam 'facebook'nya menulis caption di bawah gambar YB Teng: 'Peguam yang saya kasihi'. Allahyarham pernah mendapatkan khidmat YB Teng dalam satu kes di mahkamah, tetapi sebaik sahaja kes berkenaan selesai YB Teng menghilangkan diri. Hampir sebulan baru dapat dihubungi untuk meminta beliau menghantarkan bil, sebaliknya YB Teng sekadar heh heh heh!

Kawan-kawan seperti Radzi Mustapha, Haji Yahaya Abdul Rahman, YB Wee Chee Keong, Ahmad Nizam Hamid (gambar, baju gelap), Ahmad Haniff dan seorang berdua lagi juga berpesan agar hubungi mereka kalau berkaitan masalah guaman. Kebiasaan peguam pula h/p selalunya sekadar 'peti suara' sahaja, justeru terpaksa menghantar SMS sahaja. Dalam fenomena begini YB Teng akan cepat memberi respons, malah akan membuat panggil sekalipun santak jam 12.00 malam. Ketika YB Teng menelefon semalam (7 Jun 2009) kebetulan saya di Rembau, tetapi tak sempat mengunjungi YTM Dato' Lela Maharaja, Dato' Haji Muhamad Sharip Othman, Undang Luak Rembau yang baru menjalani rawatan mata.

Sebelah paginya jam 10.30 am (7 Jun 2009), Zakaria Bidin (gambar)menunggu di Seri Pacifik bersama Dato' Aziz Chemor. Sekonyong-konyong Dato' Aziz mengajak ke Makasar hari Rabu ini (10 Jun 2009) kerana urusan huh huh huh! Zakaria Bidin tak boleh nak pergi disebabkan tak bersiap-siap paspot, di samping memberitahu Dato' Aziz, "Kalau saya tinggalkan KL dua tiga hari, susah keluarga saya, kerana kami ni kais pagi makan petang, kais petang makan malam, kasi malam makan pagi besok, jadi Dato' faham-fahamlah." Sinikal Zakaria Bidin menyebabkan Dato' Aziz membatalkan tempahan tiket pesawat, kerana saya juga tak akan ke Makasar skiranya Zakaria tak ikut sama. Aduhai!

-Pak Dharma.

YANG TERSURAT & TERSIRAT

Kumpulan 'terbuka' kuasai PAS:
Bagaimana konsep kerajaan perpaduan?

Media arus perdana mewar-warkan Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak bersikap terbuka menerima konsep kerajaan perpaduan yang di 'test market' oleh Presiden PAS Tuan Guru Dato' Seri Haji Hadi Awang. Kerajaan perpaduan itu kononnya membabitkan PAS dan UMNO, tetapi Najib mengakui tak berkuasa membuat keputusan. Beliau terpaksa mendapatkan pandangan pimpinan komponen yang lain. Sandiwara ini hampir sama pula dengan 1970, apabila Tun Razak juga mengaku tak berkuasa dalam isu kerajaan campuran.

Tun Razak juga menyifatkan kenyataan Tan Sri Abdul Samad Idris (ketika itu timbalannya di kementerian pembangunan luar bandar) sebagai kenyataan peribadi berkaitan kerajaan campuran UMNO-PAS. Heh heh heh! Tetapi Najib pula menyifatkan kenyataan Khairy Jamaluddin sebagai 'peribadi' dalam isu menyeru pengundi tak keluarmengundi di Penanti. Sebaliknya media arus perdana tak pula mewar-warkan ucapan dasar Presiden PAS itu mahukan dakwaan 'peribadi' Najib oleh 19 media asing di luar negara 'dibersihkan'. Astaga!

Sebaliknya Hadi dalam ucapan penangguhan di Muktamar PAS ke 55 di Stadium Melawati semalam (7 Jun 2009) menegaskan, sesiapa yang meninggalkan bantera itu (PAS), pastinya akan tenggelam. PAS disifatkan parti yang memperjuangkan Islam sebenar, tatkala suasana hari ini penuh dengan rasuah, kerosakan akhlak dan masalah ekonomi. Kini PAS katanya seperti dilaporkan http://www.harakahdaily.net/ , sudah diterima pelbagai pihak samda kawan mahupun lawan, samada Islam mahupun bukan Islam. Beliau juga menyatakan komitmen PAS adalah bahtera yang diakui lawan akan kekuatannya, selain akan tetap dengan bahtera tersebut juga.
Beliau turut menjelaskan beberapa isu membabitkan 'tahaluf siyasi' hari ini yang dilakukan PAS dalam mendepani politik nasional. Penubuhan Kelab Penyokong PAS disentuh selain persefahaman dengan pelbagai pihak dalam isu-isu tertentu ketika adanya krisis tertentu.
Sebelum ini Barisan Alternatif dan kini Pakatan Rakyat menjadi medan PAS bersepakat dalam kerjasama politik, katanya. "Allah memerintahkan supaya kita mengutamakan perdamaian kerana matlamat adalah untuk menyelamatkan manusia," ujarnya. Beliau turut menyatakan PAS tidak boleh menutup ruang kepada mana-mana pihak, sebaliknya terbuka untuk menerima semata-mata untuk memberi kebaikan kepada manusia.

Presiden PAS juga menyatakan, muktamar PAS kali ini berjalan baik "walaupun ada keriuhan tetapi tidak ada kekacauan". Beliau menyeru sidang muktamar meneruskan perjuangan dengan tema muktamar 'Islam Memimpin Perubahan'. Justeru ketika Najib mahukan UMNO 'Rebah atau Berubah'; Hadi pula menjelaskan 'Islam Memimpin Perubahan'. Apabila Hadi beritahu 'pintu terbuka', Najib pula bersedia menimbangkan - 'terbuka untuk menjemput Najib atau terbuka mengikut haluan Najib'?