
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
TERENGGANU MAJU SELEPAS 2004
PAK LAH PERLEKEH MB-MB TERDAHULU
Assalamualaikum,

Beberapa orang kawan mengirim SMS pengumuman Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) sudah mendapat ilham, sekalipun masih tak sebut fasal tarikh Pilihan Raya Umum Ke 12, berdasarkan laporan media hari ini (5 Februari 2008). Apalagi Pah Lah membuat pengumuman berkenaan di Kota Bharu, seolah-olah memberi signal kepada Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Kelantan, Dato’ Annuar Musa senarai calon-calon yang dikemukakannya, ok laaa! Peliknya, Pak Lah ungkit mengenai pemerintahan PAS di Terengganu tak membuat sebarang perubahan, seolah-olah lupa Terengganu diperintah oleh UMNO/BN sejak 1961-1999. PAS mentadbir negeri Terengganu hanya pada 1959-1961, kemudiannya 1999-2004. Itu sahaja!


Ilham Pak Lah sekadar mahu membubarkan Parlimen, sebaliknya tarikh pembubaran belum lagi diilhamkan, seolah-olah para karyawan yang memperoleh ilham dengan cara yang berbeza. Kabarnya, pemuzik terkenal di Indonesia Idris Sardi ilham akan mencurah datang apabila isterinya sentiasa memberi sumber idea di sisinya. Begitu juga mengenai Allahyarham Tan Sri P. Ramlee mampu memperoleh sumber ilham bagi mencipta lagu-lagu di mana-mana sahaja, sekalipun dalam suasana hiruk pikuk. Sebaliknya penyair-penyair muda sekarang menunggu waktu malam yang sunyi sepi bagi menghasilkan puisi atau menulis cerpen sambil menghisap rokok bersambung puntung. Heh heh heh!
Tetapi semakin lambat diberikan tarikh, mungkin juga terencat program mereka yang sudah menghadiri kursus menghadapi pilihan raya. Misalnya, kalau tarikh yang diilham Pak Lah kebetulan pula menyangkut hari perkahwinan saudara mara, tentulah sukar mahu membuat pilihan. Apalagi mereka yang terbabit bagi mengira undi atau mengawal pusat pengundian, akan melangsungkan perkahwinan tentulah menjadi masalah kepada kedua-dua belah pihak. Sebaik-baiknya setelah memperoleh ilham membubarkan Parlimen, eloklah gunakan kaedah para seniman bagi sumber ilham menentukan tarikh pula. Setakat ini BN dikatakan mampu mempertahan 2/3 majoriti, ayuh ‘tepuk dada tanya selera’ – membujur lalu melintang patah. Hubaya!
-Pak Dharma.
INFO HAK ASAS MANUSIA:
LEGASI KECOH DAFTAR PEMILIH
KELEMAHAN KETARA PENGERUSI SPR


Menurut Dato’ Kamal Amir, kalau ADUN seperti Dato’ Zahidi tak menyedari namanya dipindahkan oleh SPR, bagaimana dengan mereka yang kurang memberi perhatian kepada isu daftar pemilih. Seterusnya kata Dato’ Kamal Amir, terlalu sukar bagi sesiapapun menerima hakikat apabila SPR tak meneliti persempadanan pilihan raya hingga pengundi-pengundi di DUN Baseri dipindahkan ke DUN Titi Tinggi dan Chuping. Apalagi insiden pengundi dipindahkan membabitkan Kelantan, Perlis, Pahang, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan. “Sebelum kekecohan meledak pada hari pengundian seperti tahun 2004, Tan Sri Abdul Rashid perlu menerima tanggungjawab kebobrokan SPR ini dengan berundur,” katanya.
INFO SASTERA & BUDAYA:
HASILKAN KARYA BUKAN PAKSAAN
PEMILIHAN BUKU TEKS BUKAN KEUTAMAAN
PEMILIHAN BUKU TEKS BUKAN KEUTAMAAN


“Tak mungkin Dr Lim Swee Tin mahu melahirkan karya popular dan picisan semata-mata mahu dipilih oleh PPK bagi skim Komsas, sebaliknya beliau kecewa dengan isu kebobrokan dalam sastera Melayu masakini,” ujar Dato’ Dr Mohd Mansor. Beliau juga meminta Dr Lim Swee Tin terus menghasilkan karya-karya besar, di samping memujuk Dato’ Dr A Samad Said menarik balik keputusannya tak mahu dipanggil ‘Sasterawan Negara’, tetapi kembali bergerak memperbetulkan kebobrokan yang dicipta oleh manusia dengan melacurkan sastera Melayu. “Kami bersama PRIMA memang bergerak ke arah mempelopori bulldozer meranapkan kebobrokan tersebut,” katanya.
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
MENUKAR SIKAP HIDUP RAKYAT
PERIHAL KU LI MEMACU IKTISAD


Syahdan dibacakan kepada fakir akan ‘Kitab Melayu’ itu, adapun saudagar-saudagar dari atas angin turunlah mereka berniaga ke Melaka kerana meningkatkan iktisad mereka. Adalah kepada suatu hari seorang saudagar dari Arab melihat akan Raja Kassim itu menjual ikan ke kapalnya bersama nelayan-nelayan lain di Melaka. Akan saudagar Arab itu dipeluknya Raja Kassim, lalu dimandikan serta dipermuliakan sebagai anak-anak raja jua, adanya. Sebermula berasa hairanlah Raja Kassim, kerana selama ini tak sesiapa pun di negeri Melaka itu mahu memberi bantuan kepadanya.
Syahdan mustaidlah perjanjian Raja Kassim yang tak menerima bantuan dari kerajaan di Melaka dengan Saudagar Arab itu, kalau ia menjadi raja maka permudahkanlah urusan perniagaan saudagar-saudagar Arab di pelabuhan Melaka. Maka kepada suatu malam, pergilah Raja Kassim dengan bantuan Saudagar Arab itu menemui bapa saudaranya Seri Nara Diraja Tun Ali, lalu mereka membawa gajah ke rumah Bendahara Seri Wak Raja. Sebermula dilanggarlah istana Raja Melaka yang tak memberi bantuan atau subsidi kepada rakyatnya itu, dan matilah Sultan Abu Shahid dan Raja Rekan itu seperti disebut-sebut oleh:
HIDUP BAHASA MELAYU!