Saturday, October 20, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:

‘PUASA ENAM’ SELEPAS RAYA
MENJADI AMALAN WARGA EMAS


Assalamualaikum,

Tak terasa lagi meriah masuk seminggu berpuasa, kalau dibandingkan sekitar dekad 1950-an mahupun 1960-an, seolah-olah sebulan Syawal menikmati suasana Hari Raya. Di kalangan warga emas sekarang, sebaik sahaja hari raya ketiga mereka sudah mulakan ‘puasa enam’ menyebabkan anak-anak dan cucu-cucu sahaja menjamah juadah apabila berkunjung ke rumah mereka. Di masa lalu warga emas memilih hariraya ke 15 untuk memulakan ‘puasa enam’, setelah semua anak cucu kembali bersekolah atau yang berusia 18 tahun memasuki tentera yang menjadi kebanggaan keluarga kerana ‘dahi bertomen, betis berbebat, minum air dalam besi, api dalam kaca, petik di tepi tengah menyala’.


Memang saya balik ke kampung di Jelebu hari raya pertama bagi mengucup dahi ibu yang sudah berusia lebih 82 tahun, tetapi Alhamdullillah masih sihat di samping mampu melayani kerenah anak, cucu dan cicit. Hariraya kedua bersama keluarga ke Bagan Datoh di Perak mengunjung ibu dan bapa mertua pula. Mereka juga sudah berusia hampir 80 tahun, tetapi masih sihat sekalipun kadangkala diganggu dengan demam-demam biasa apabila cuaca tak berapa baik. Hariraya kelima, sekali lagi balik ke Jelebu menziarahi pusara ayahanda saya Dato’ Sati Haji Daud bin Haji Ahmad antara pejuang prolitar di daerah kecil yang terbabit dalam gerakan nasioanalisme sekitar dekad 1940-an.


Sebagai pejuang prolitar, beliau terbabit dalam gerakan meneroka tanah untuk petani-petani miskin sekitar dekad 1950-an, tetapi secara berhemah (bukan secara haram) atas kapisitinya ketua adat di daerah Jelebu. Beliau berhasil meneroka tanah di Geylang dan Lakai di Teriang Hilir kepada 50 petani, diikuti di Kampung Seperti, Hulu Teriang untuk 100 petani dengan memperoleh 2 ¾ ekar setiap orang. Ketika kemuncak menuntut kemerdekaan, beliau memegang jawatan Setiausaha UMNO Cawangan Kuala Klawang, dengan menjemput Tunku Abdul Rahman menghadiri rapat raksasa di padang pekan Kuala Klawang. Beliau yang mengkagumi perjuangan prolitar Aziz Ishak yang prihatin dengan isu petani dan orang Melayu tak bertanah, turut meninggalkan UMNO pada 1961 bagi memberi sokongan moral kepada menteri pertanian dan syarikat kerjasama itu.


Sekalipun disisihkan oleh generasi muda UMNO, beliau tetap dikenang menjelang Hari Raya kerana sekitar dekad 1950-an, suasana di kampung meriah dengan takbir dan tahmid pada malam raya. Beliau memimpin kumpulan jemaah surau berkunjung rumah ke rumah disekitar Kampung Petaling, Kampung Mengkan dan Kampung Pianggu pada malam raya bertakbir dan bertahmid. Orang Melayu di sekitar tiga kampung berkenaan memang merasakan kemeriahan berkunjung rumah ke rumah pada dekad 1950-an dan 1960-an ketika malam raya, tetapi imbauan suasana tersebut sudah lama berakhir kerana tiada kesinambungan meneruskan tradisi tersebut.


KUBUR DENGAN TIGA NESAN
MENJADI TANDA TANYA KELUARGA


Pagi ini (20 Oktober 2007), bapa saudara saya Abdul Latiff Haji Ahmad beritahu menerusi telefon mengenai sebuah kubur keluarga di Bukit Perah, Batu Kikir di daerah Jempol ditemui dengan tiga batu nesan. Entahlah! Disebabkan belum lagi menziarah keluarga di Batu Kikir, memang tak tahu mengenai kubur yang dikatakan mempunyai tiga batu nesan itu. Beliau hubungi saya, mungkin sahaja sekitar 2003 saya pernah turut menghadiri mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan bagi membincangkan isu kenaikan ‘mas kahwin’. Dalam mesyuarat tersebut keputusan sebulat suara diambil bagi menghapuskan perbezaan ‘mas kahwin’ wanita berstatus ‘anak dara’ dan ‘janda’, tetapi apabila kenaikan ‘mas kahwin’ diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad bin Hassan, perbezaan status ‘anak dara’ dan ‘janda’ dikekalkan. Aduhai!


Batu nesan bagi kubur pula tak pernah ditetapkan sama ada satu, dua, tiga atau lebih daripada jumlah tersebut. Malah dibeberapa tempat, batu nesan kubur sekadar satu sahaja sebagai tanda pengenalan kepada keluarga yang menziarah. Dua batu nesan bagi kubur pula perkara biasa, kerana di mana-mana pun menjadi kelaziman, begitulah! Abdul Latiff juga mengakui tak menjadi kesalahan kubur diletakkan tiga batu nesan, tetapi bimbang ianya menjadi kemusykilan masyarakat. Sewaktu menghadiri mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan pada 2003 dulu, memang wakil pejabat agama daerah Jempol turut hadir; bagaimanapun tak sempat pula berkenalan kerana dalam mesyuarat wakil-wakil pejabat agama daerah lebih banyak mendiamkan diri daripada bersuara.

-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:


JAWATAN EXCO KERAJAAN NEGERI
PERAK MAHUKAN ADUN BERIJAZAH


Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menganggap Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Tajol Rosli Mohd Ghazali melatah bagi mempertahankan kedudukannya di Perak apabila membuat kenyataan mahukan Exco Kerajaan Negeri Perak akan datang perlu mempunyai ijazah. Beliau turut meramalkan Tajol Rosli berhadapan dilema dengan isu menteri besar akan digugurkan, berasa hairan bagaimana Menteri Besar Perak boleh membuat kenyataan tersebut, dalam masa dirinya sendiri belum pasti mengekalkan kerusi Menteri Besar Perak. “Mungkin sahaja Menteri Besar Perak yang akan datang tak mahu meletakkan syarat ADUN berijazah bagi menduduki kerusi Exco,” katanya.


Kamal mengulas laporan berita radio petang ini (20 Oktober 2007), yang menyebut Menteri Besar Perak Dato’ Seri Tajol Rosli Mohd Ghazali memberi syarat, Exco kerajaan negeri Perak selepas pilihanraya nanti dipertimbangkan dari kalangan ADUN berijazah. Bagaimanapun kriteria bagi pemilihan calon yang bertanding kerusi ADUN tak pula ditetapkan daripada kalangan pemimpin yang berijazah. Seterusnya Kamal yang pernah terbabit sebagai aktivis Pemuda UMNO ketika di bawah pimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak turut melahirkan rasa hairan dengan kenyataan Tajol Rosli, seolah-olah mahu mendahului pimpinan UMNO termasuk Pak Lah dan Najib dalam menetapkan hala tuju perjuangan parti.



“Perkara menetapkan Exco adalah dasar parti, justeru tak seharusnya Tajol Rosli boleh membuat kenyataan sebelum keputusan dibuat oleh pimpinan Pusat,” beritahu Kamal sambil menunjukkan ‘perlembagaan UMNO’. Di samping itu Kamal juga turut menyebut Perdana Menteri Britain, Winston Churchill yang lebih hebat dari Tajol Rosli pun, bukan individu yang berijazah. Malah Perdana Menteri Britain, John Major yang terbabit dalam isu pencerobohan pertama ke atas Iraq pada 1990 bukan dari kalangan pemimpin Parti Konservatif yang berijazah. Katanya lagi, Ronald Reagan yang pernah dipilih menjadi Presiden Amerika Syarikat sekadar lulus diploma kewartawanan sahaja.

LOGIKNYA PUTERI BN DITUBUH
NORAINI SASAR BELIA BUKAN MELAYU


Ketua Pergerakan Puteri UMNO Dato’ Noraini Ahmad dilaporkan mahu Barisan Nasional (BN) menubuhkan Pergerakan Puteri bagi mensasarkan belia-belia bukan Melayu menyertai parti komponen BN. Ketika merasmikan mesyuarat Puteri Parti Progresif Penduduk (PPP) di PWTC hari ini (20 Oktober 2007), saranan Noraini segera mendapat respons Presiden PPP Dato’ M. Kayveas yang mahukan BN mempunyai Pegerakan Puteri secepat mungkin. Tak tahulah logiknya penubuhan Pergerakan Puteri BN, kalau sekadar mahu mensasarkan kepada belia-belia bukan Melayu menyertai mana-mana komponen parti BN.


Memang saranan Noraini mempunyai agenda yang selaras dengan perjuangan Puteri UMNO, bagi menarik minat belia-belia bukan Melayu berpolitik. Sebaliknya dalam pelaksanaan agenda tersebut belum tentu ianya memberi banyak manfaat kepada legasi perjuangan Melayu. Misalnya, hak ketuanan politik Melayu terpaksa diagih bersama hingga kawasan pilihanraya yang majoriti pengundi Melayu belum tentu ditandingi oleh calon UMNO. Presiden PPP juga tak mungkin mampu mempertahankan kerusi Parlimen Ipoh dan Menglembu (Ipoh Barat dan Ipoh Timur) yang menjadi kawasan tradisi parti berkenaan sejak pilihanraya 1959, sebaliknya mengharapkan kawasan pilihanraya yang majoritinya pengundi Melayu.

Puteri UMNO pula mungkin terjebak dengan naratif kerjasama seperti kontrak sosial yang diwar-war parti komponen BN, apabila menghadapi pilihanraya sama seperti dialami Pergerakan Wanita UMNO sebelum ini. Setiap kali menjelang pilihanraya umum mahupun pilihanraya kecil, Wanita UMNO bertungkus lumus di kawasan calon-calon komponen BN bertanding. Sebaliknya pergerakan wanita parti komponen BN entah di mana membawa diri, apabila Wanita UMNO merayu undi di pondok-pondok perayu. Justeru PRIMA melihat pembentukan Pergerakan Puteri BN akan memberi beban kepada Noraini, ketika komponen dalam Puteri BN ‘goyang kaki’ dan ‘lenggang kangkung’.


INFO SASTERA & BUDAYA:


MANSOR BENTANG KERTAS KERJA
NARATIF PERSURATAN DARUL MAKMOR


Aktivis PRIMA yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah akan membentangkan kertas kerja mengenai sejarah persuratan Darul Makmor (negeri Pahang) pada majlis perjumpaan penulis di Rumah Persatuan Penulis Nasional (Pena), 28 Oktober 2007. Menurutnya, penghormatan yang diberikan oleh Pena kepadanya, memberi ruang kepada beliau untuk memperkatakan kedaulatan bahasa Melayu dalam sejarah persuratan Darul Makmor sama ada karya-karya penulis di zaman silam, mahupun surat menyurat rasmi antara pembesar-pembesar Melayu dengan pedagang-pedagang Inggeris. “Urusan dagang dan perniagaan di masa lalu pada asasnya seratus peratus menggunakan Bahasa Melayu,” beritahu Mansor.


Sementara itu bekas wartawan Wak Ismas Saring aktivis penulis di Selangor ketika menelefon pada malam 18 Oktober 2007, memberitahu perjumpaan tersebut bermula pada 26 Oktober hingga 28 Oktober 2007. Katanya, pada 27 Oktober 2007 perbincangan menyangkut mengenai penulis-penulis muda yang memberi fokus kepada keterlibatan mereka dalam sastera Melayu. Pemilihan bulan Syawal bagi menganjurkan perjumpaan tersebut, mungkin sahaja mahu mengambil sempena hariraya yang masih diraikan oleh masyarakat Islam. Apalagi pada hari Sabtu, 27 Oktober 2007 Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz turut mengadakan ‘rumah terbuka’ mulai jam 8.30 malam di kediamannya No 1, Lorong Dato’ Sulaiman 8, Taman Tun Dr Ismail.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo


KEMUNCAK PENCAPAIAN ANAK MELAYU
RAMAI BERCITA-CITA MAHU JADI ANGKASAWAN


Arakian akan media arus perdana melaporkan ramai anak-anak Melayu mula bercita-cita mahu menjadi angkasawan, selepas penampilan Dr Sheikh Muszaphar Shukor Dato’ Sheikh Mustapha di Stesen Angkasa Antarbangsa (ISS) menjadi pencapaian anak Melayu pertama dalam bidang penerokaan angkasa. Sebermula teringatlah fakir di zaman nenek moyang yang lampau, akan keperihalan Laksamana Hang Tuah itu menjadi anak Melayu pertama belayar hingga ke Benua Keling dan ke Benua China, maka ramailah juga anak-anak Melayu mahu menuruti jejaknya belayar ke seluruh pelusuk dunia. Perihal belayar macam Laksamana Hang Tuah, tak dituruti oleh anak-anak Melayu itu, tetapi akan membunuh sahabat sendiri memanglah ramai, apalagi ‘yang menikam dari belakang’.


Adapun Dr Sheikh Muszaphar itu dijangka akan balik semula ke bumi esok hari (21 Oktober 2007), malah ketika dilihat di kaca TV malam semalam (19 Oktober 2007), beliau bukan sahaja bermain gasing malah turut bertutur dalam Bahasa Melayu. Maka tahulah fakir akan Bahasa Melayu itu taklah mempunyai cacat celanya dalam bidang sains dan teknologi, apabila berkumandang dalam jarak lebih 350 kilometer dari bumi. Sayugia, eloklah ramai anak-anak Melayu bercita-cita mahu menjadi angkasawan, tetapi bukan sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’, seperti diberitahu kepada fakir pada dekad 1970-an, apabila Misbun Sidek menjadi idola peminat-peminat badminton.


Syahdan akan Misbun Sidek itu menggegar dunia badminton apabila menumbangkan satu demi satu juara ternama sama ada Morten Frost Hansen (Denmark), Lim Swee King (Indonesia) dan Prakash Padukone (India) yang menjadi legenda badminton, ketika di Malaysia sukan berkenaan merudum jatuh. Makanya, banyaklah gelanggang badminton dibina di merata pelusuk kampung, apalagi di bandar-bandar kerana anak-anak Melayu bercita-cita mahu menjadi juara badminton dunia seperti keperihalan Misbun Sidek itu. Akan fakir juga bercita-citalah mahu mengikut jejak nenek moyang dahulukala untuk menjadi ‘Mamak Bandaro’ yang sudah lupus dalam sejarah bangsa Melayu sama seperti catatan-catatan yang ditulis oleh:

HIDUP BAHASA MELAYU!