Monday, March 30, 2009

DARI PEJABAT ANWAR IBRAHIM...



Ucaptama 'Forum Krisis Ekonomi Sejagat
& Masa Depan ASEAN Di Bangkok - Anwar

30 Mac 2009 - Ketua Pembangkang Dewan Rakyat Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan menyampaikan ucaptama di Forum Krisis Ekonomi Sejagat Dan Masa Depan ASEAN di Universiti Chulalongkorn, Bangkok pada 30hb Mac jam 1.30 PM. Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga bekas menteri kewangan itu akan membicarakan krisis kewangan mutakhir ini di dalam konteks kepimpinan beliau pada tahun 1997; sewaktu krisis kewangan yang melanda Asia. Beliau juga akan menawarkan beberapa pandangan di dalam membentuk Asean yang stabil serta makmur.


Professor Pirom Kamolratanakul, Rektor Universiti Chulalongkorn akan menjadi hos forum tersebut manakala HRH Sukumphan Paribatra Boriphat, Wizurai Bangkok dan mantan Timbalan Menteri Luar Thailand akan menyampaikan ucapan pendahuluan.
Acara ini adalah sebahagian dari siri syarahan oleh pemimpin ASEAN terkemuka bagi berkongsi pandangan, pengalaman dan cita-cita untuk pembangunan demokrasi serta perkembangan rantau di tengah dunia yang melangkah pesat ini. Forum ini dianjurkan oleh Thailand Political Database Project.

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...


Terserah Kepada Keputusan Najib:
Macam Perihal Peristiwa Raja Suran

Syahdan Orangkaya Pengerang Dato' Seri Azalina Othman Said itu tak berhasrat meletakkan jawatan menteri sekalipun tak terpilih dalam permuafakatan harakah Melayu (UMNO) baru-baru ini. Adapun Orangkaya itu memberitahu sekalian orang banyak, segalanya terserahlah kepada keputusan Orangkaya Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Arakian bukan sahaja Orangkaya Pengerang, bahkan beberapa Orangkaya Menteri juga enggan meletak jawatan. Maka ramailah menteri yang akan dicantas kerana ianya menyokong Orangkaya Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Maka diketahui oleh Orangkaya Dato' Seri Rais Yatim, Orangkaya Dato' Seri Khaled Noordin, Orangkaya Tan Sri Muhammad Mohd Taib dan segala timbalan menteri mereka semua tak disenangi oleh anak-anak buah harakah Melayu itu.

Hatta beberapa lamanya maka Raja Suran itu pun beranaklah dengan Tuan Puteri Onang Kiu anak Raja Chulan, seorang perempuan terlalu baik parasnya, pada masa itu tiadalah sebagainya seorang jua pun. Maka dinamai oleh ayahanda baginda Tuan Puteri Chendan Wasis. Syahdan beranak dengan Tuan Puteri Zaris Gangga tiga orang laki-laki, Bichitram Shah seorang namanya
dan Paldu Tani seorang namanya, Nila Manam seorang namanya. Maka Tuan Puteri Chendani Wasis dipinang oleh Raja Hiran, didudukkannya dengan anaknya yang bernama Raja Chulan.

Maka oleh Raja Suran anaknya yang bernama Paldu Tani itu dirajakannya di Negeri Amdan Negara dan Nila Manam dirajakannya di Bija Negara akan menggantikan kerajaan baginda, maka Bichitram Shah dirajakannya di Negeri Cnadu Kani. Maka kata Bichitram Shah, "Aku tua dirajakan di negeri kecil, baiklah aku membuang diriku." Arakian kalau semuanya diserahkan kepada Orangkaya Dato' Seri Najib seperti perihal Bichitram Shah inilah di dalam 'Kitab Melayu' dikarang oleh:





HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG...

Jawatan Dlm Borang Calon:
Zambry Sengaja Nak Timbul Sensasi
Assalamualaikum,

Mempersoalkan teknikal kertas pencalonan Dato' Seri Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin yang mengisi di ruang pekerjaannya sebagai 'Ahli Dewan Negeri' dan bukan 'Menteri Besar' amat jelas pimpinan UMNO bankrap idea, malah mungkin pupus sama sekali di masa akan datang. Dato' Dr Zambry Kadir seorang intelektual Melayu tak seharusnya berfikiran jumud, semata-mata sudah tak ketahuan bagi menghadapi keberangan Melayu terhadap UMNO. Majoriti Melayu tak akan memaafkan UMNO dalam insiden di istana pada 6 Februari 2009 (Kecuali segelintir Melayu Abdul Wahab dan Melayu Abdul Wahib di dalam UMNO). Melayu yang mengamalkan budi bahasa budaya kita, tak mampu menerima insiden memalukan, memilu dan mengilukan itu.

Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak pun dalam kertas pencalonan apabila bertanding dalam pilihanraya tak akan mengisi ruang di borang berkenaan sebagai 'Timbalan Perdana Menteri'. Pada pilihanraya 1990 misalnya, calon pembangkang di Parlimen Sungai Siput P. Patto meletakkan dalam borang pencalonan pekerjaan beliau ialah 'penganggur'. Bantahan dibuat oleh penyokong-penyokong Dato' Seri Samy Vellu, tetapi ditolak oleh pegawai pilihanraya yang membenarkan calon berkenaan bertanding. Sekalipun calon terbabit kalah, tetapi mesejnya jelas iaitu calon BN dalam keadaan gelabah perlu melakukan tatacara yang diluar pemikiran rasional. Pekerjaan dalam borang penamaan calon tak penting, malah petani, buruh kasar, nelayan atau apa sahaja boleh digunakan asal sahaja sumber kewangannya halal.

Pada period pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad juga deposit bagi calon dinaikkan sehingga RM10 ribu bagi Parlimen dan RM5 ribu bagi DUN sekalipun pihak perundangan menjelaskan ianya tak logik dilaksanakan. Makna deposit ialah 'wang pendahuluan' atau 'pertaruhan' yang tak seharusnya melebihi daripada elaon Ahli Parlimen (tak sampai RM5 ribu) atau elaon DUN (lebih kurang RM3 ribu). Justeru UMNO/BN yang terdesak akan melakukan apa sahaja sekalipun dinasihati oleh pakar perundangan mengenai istilah 'deposit'. Bagaimanapun bagi menghalang calon-calon pembangkang di kalangan prolitar bertanding, deposit RM10 bagi Parlimen dan RM5 ribu bagi DUN memang menjadi keberatan kepada mereka; apalagi dengan kos lain-lain termasuk poster, kempen dan tenaga kerja.

PRK di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Air bukanlah ujian kepada pimpinan Najib, tetapi sebenarnya sama ada martabat rakyat masih mampu dipertahankan. Di kawasan Parlimen Pekan sendiri, Najib hampir kecundang pada pilihanraya 1999 dengan majoriti tipis, di samping bergantung kepada persempadanan baru pilihanraya kalau pun tak bergantung kepada 'pengundi pos'. Tak perlu diuji sama ada majoriti Melayu menyokongnya atau tidak, kerana pilihanraya sekadar proses demokrasi. Di Singapura pun Lee Kuan Yew dan PAP terus bertahan sejak 1959, dengan memperalat demokrasi bagi meneruskan hegemoni kuasa. Siddiq Sigaraga juga boleh memperdaya Melayu Abdul Wahab dan Melayu Abdul Wahib, justeru apa salahnya heh heh heh!

-Pak Dharma

TERSIRAT DI HATI KAMAL AMIR...


Solat Hajat Anak Muda:
Moga Najib Tak Jadi PM

Proses demokrasi ala Malaysia yang disuburkan oleh UMNO/BN melihat berlakunya pertandingan 15 penjuru pada hari penamaan calon hari ini 29 Mac 2009 bagi pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau di Kedah. Selepas tragedi 1987, UMNO juga tewas dalam PRK di Johor Bahru, apabila keceluparan mencabar Dato' Shahrir Samad mengosongkan kerusinya. Apabila UMNO/BN hampir tergugat dengan PRK di Ampang, taktik mengumpan pengundi-pengundi dengan jumlah wang untuk pembangunan digunakan. Dato' Harun Idris tewas kerana dikaitkan dengan tragedi yang tak tentu hujung pangkal pada 1969. UMNO berjaya membunuh kerjaya politik Dato' Harun, tetapi terpaksa membayar harga yang tinggi apabila DUN Kelantan kembali semula ke pangkuan PAS pada pilhanraya 1990.

UMNO/BN akan melakukan apa sahaja untuk menang di PRK Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Air pada 7 April 2009. Bagaimanapun orang Melayu tak lagi taksub dengan UMNO; berikutan insiden gambar Najib dikoyak di beberapa tempat di utara. Sebahagian besar anak-anak muda ikut sama bersolat hajat berjemaah malam ini (29 Mac 2009), memohon Najib tak diterima oleh istana memegang jawatan Perdana Menteri. Keberangan orang Melayu kepada UMNO, semakin sukar dibendung apabila Najib memimpin UMNO mengikut kaedah demokrasi yang mereka tetapkan. Kalau Najib mahu rakyat menterjemahkan aspirasi beliau, sudah lama ianya diterjemahkan, tetapi cuba disembunyikan dengan tatacara yang memalukan, memilukan dan menyayukan! Bermula dengan Raja Petra Kamaruddin ke ISA, kehilangan penyiasat persendirian dan terbaru Ahli Parlimen Puchong digantung setahun.

(*Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz bekas wartawan Utusan Malaysia sekitar dekad 1980-an, terbabit dalam keusahawanan. Bekas Exco Pemuda UMNO bagi biro hal ehwal antarabangsa ketika Pemuda di bawah pimpinan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, beliau lantang membuat kritikan-kritikan)

PADA HEMAT L. MANKADIR...



Jangan Terpukau Pada Najib:
UMNO Masih Lagi Terkurung

Menyembelih kerbaukah bagi mengucapkan kesyukuran mereka yang terpilih dalam barisan pimpinan UMNO; apalagi mau dirapatkan saf setelah semuanya tak ketahuan? Atau sembelih kerbau untuk tujuan tolak bala? Tetapi apakah pejuang bahasa menentang PPSMI terpukau dengan Najib sebagai Presiden UMNO? Apakah 'Kerajaan Perpaduan' jerangkap UMNO untuk meredakan serangan PAS? Dengan menggantung 'Harakah' dan 'Suara Keadilan', UMNO macam mahu keluar dari kurungan, tetapi mengunci dari luar. UMNO pun bersorak-sorak kerana menyangka impiannya tercapai, tetapi tak menyedari masih terkurung di dalam bilik. Apalagi kalau bilik itu bersepah-sepah dengan najis. Bayangkanlah!

TV malam ini paparkan ulasan Menteri Besar UMNO Zambry Kadir, mengenai calon PAS di Bukit Gantang Ir Muhamad Nizar Jamaluddin kerana ikut cadangan DAP. Hishamuddin pula dengan kepongahannya beritahu 13 calon Bebas bertanding di Bukit Selambau kerana protes calon PKR. Sebab nak hadapi tiga pilihanraya kecil inilah, UMNO gantung penerbitan 'Harakah' dan 'Suara Keadilan'. PRK di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, UMNO gigit jari kerana tak dapat nak kelentong orang ramai apabila 'Harakah' dan 'Suara Keadilan' jadi pilihan. UMNO tak perlulah nak jadi macam keldai memakai kulit singa; pusing ikut mana pun orang ramai dapat bezakan yang mana keldai, yang mana singa!

(L. Mankadir Shamsi mempunyai laman blognya sendiri http://www.tokperan.blogspot.com/, adalah bekas editor majalah 'Koleksi' dan akhbar 'Harakah' pada dekad 1980-an. Sekarang terbabit membuat dokumentari untuk TV swasta, dan mengarah drama TV).

YASSINSALLEH BERPUISI...

Kicau Serindit

Kerana wajahmu
separuh sembunyi
melalui matamu
aku masuk
ke kamar kalbumu
taman pelangi
mekar ranum
kuntum-kuntum orkid
menari-nari
dalam melodi bayu
mengiringi
kicau serindit
mendayu pilu
menahan sendu.

-Yassinsalleh
Jam 2245
Mac 09
Bukit Puchong, Selangor

CATATAN LARUT MALAM AFFANDI...



Dr. Mahathir Mohamed:
Sebagai Si Luncai Politik Melayu

Tidak ada siapa pun menduga, Dr. Mahathir Mohamed yang dianggap oleh UMNO sebagai pemimpin besar mereka yang diberi peluang (lebih tepat merebut peluang) menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, hanyalah seorang Si Luncai saja, yang terjun dengan labu-labunya sambil bernyanyi “Biarkan, Biarkan!” Dia keluar UMNO, terjun dari perahu bocor yang ditinggalkannya kepada Abdullah Badawi. Dia marahkan Abdullah kerana tidak ikut telunjuknya. Jika benarlah Abdullah rasuah dan dia tahu, dia tidak seharusnya melantik Abdullah sebagai penggantinya.

Jika dia tidak tahu ternyatalah dia bukan seorang pemimpin yang cekap membaca peribadi budak-budak bawahannya. Dia cerca dan hamun Abdullah sebagai perasuah dan pembinasa UMNO. Abdullah yang pendiam dan tidak suka bergaduh tidak menjawab bahawa dia menerima perahu buruk yang bocor di sana sini, sebuah organisasi yang likat dengan rasuah. Tidak terfikir oleh orang UYMNO Dr. Mahathir Mohamed akan terjun perahu seperti Si Luncai. Kini kata khabarnya dia akan masuk UMNO balik setelah terjun dengan labu-labu keangkuhannya kerana terlampau bencikan tokoh pilihannya yang disedarinya tidak boleh dicucuk hidung. Sangkanya dia dapat jadikan Abdullah Badawi budak suruhannya, tetapi ternyata meleset.

Dengan caranya yang tersendiri, Abdullah Badawi muncul sebagai seorang tokoh UMNO yang lain dari yang lain: lemah lembut, bersahaja, tidak pandai menyelar musuh dengan bahasa yang kesat, dan lebih istimewa beliau sentiasa tersenyum dalam keadaan yang rumit sekali pun. Dia tahu orang yang dilantiknya sebagai menteri dengan diam-diam mengkhianatinya, tetapi tidak diambil tindakan apa-apa. Dia sedar tindakannya tidak disukai orang-orang seperti Si Luncai kita, tetapi dia tetap sabar dan terus menjalankan tugasnya. Tiba-tiba dia dituduh rasuah kerana kononnya anaknya dan menantunya mengambil kesempatan daripada kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Si Luncai berjaya memberi gambaran buruk kepada Abdullah Badawi, anaknya dan menantunya. Bagaimana dengan anak-anak Dr. Mahathir Mohamed sendiri? Mungkin jarang orang tahu ada anaknya yang mempunyai bangunan besar di Vancouver, Kanada. Orang yang bekerja di luar negeri tahu banyak rahsia tentang tokoh ini, yang mujurlah tidak didedahkan. Jika tidak, malu besarlah Malaysia dan orang Melayu. Sebagai Perdana Menteri, dia paling banyak mengembara, hingga ke Antartica. Buat apa di sana? Bolehkah Melayu dimajukan dengan berhijrah ke Antartica? Kita tidak diberitahu berapa belanja setiap lawatan rasmi yang banyak itu ditanggung rakyat Malaysia, yang faedahnya terbang di angin lalu saja, hanya ada dalam ucapan dan penegasan, tetapi tidak nampak di alam nyata.

Biarlah semua itu tersembunyi dan disembunyikan sehingga tiba waktunya untuk dibuka bagi pengetahuan umum. Apa yang penting di sini ialah hakikat sebenar tokoh ini. Seperti orang lain juga, banyak dosanya. Cuma orang Melayu yang baik hati berdiam diri, tidak ungkit kerana perkara-perkara itu terlalu memalukan dan menyakitkan hati. Paling utama bagi UMNO, perpecahan dalam UMNO berlaku kerana Dr. Mahathir Mohamed tidak dapat menerima saingan daripada tokoh-tokoh UMNO yang mungkin lebih cerdik dan lebih berkarisma daripada beliau, mungkin juga lebih jujur. Dr. Mahathir Mohamed komplen mengapa keputusan Ketua Pemuda UMNO mengambil masa yang lama untuk diumumkan: kerana terdapat unsur rasuah.

Tentu ada orang masih ingat bagaimana pengiraan undi 1987 memakan masa yang menghairankan; tetapi akhirnya Dr. Mahathir menang dengan 42 undi (lebih rendah daripada kemenangan Khairy Jamaluddin terhadap Mukhriz anak Mahathir) mengalahkan Tengku Razaleigh yang diduga akan menang. Kalau beliau mahu mengira semua itu, jangan lupa apa yang terjadi ke atas anda. Tanda orang itu baik hati dan jujur, dia sedar kesilapannya, oleh itu dia tidak mengungkit kesilapan orang lain yang belum tentu silap. Khairy Jamaluddin tidak dihukum oleh Lembaga Disiplin, hanya diberi amaran kerana kesalahan orang lain yang dia sendiri tidak tahu menahu tetapi dia harus bertanggungjawab kerana dia Naib Ketua Pemuda.

Ini bukan pembelaan kepada Khairy, hanya sekadar memberitahu fakta yang diselewengkan. Memang ahli politik suka menyelewengkan fakta, tetapi janganlah terlalu melampau kerana perbuatan itu menunjukkan anda tidak mempunyai integriti. Jika kita tidak senang dengan kemenangan Khairy, bolehkah kita berkata kita juga tidak senang dengan kemenangan 42 undi Dr. Mahathir Mohamed tahun 1987 itu. Penganalisis politik yang ramai sekarang boleh tolong kita menjelaskan perbezaan dua kemenangan yang meragukan itu. Samakah kemenangan Khairy tahun 2009 dengan kemenangan Dr. Mahathir Mohamed tahun 1987?

Kini Dr. Mahathir Mohamed kembali ke perahu UMNO setelah terjun beberapa lama kerana terlalu panas berada di dalam perahu di bawah nakhoda baru (Pak Lah). Kini nakhoda yang ditunggu-tunggunya sudah dapat merebut kuasa dengan izin Pak Lah sendiri, setelah menerima tekanan yang sangat hebat daripada Muhyiddin Yassin yang bekerja di bawah naungan Dr. Mahathir Mohamed. Kembalinya Si Luncai ke perahu sebenarnya tidak memberi manfaat apa-apa yang istimewa, selain dari menambah beban perahu yang sudah sarat dengan barangan bermasalah. Benarkah Dr. Mahathir Mohamed faktor penting dalam penyatuan UMNO?

Sehingga ini tidak ada penganalisis politik berani menidakkan andaian itu, walaupun mereka tahu sudah beberapa kali Dr. Mahathir Mohamed memecahbelahkan UMNO untuk memastikan kedudukannya tidak terjejas. Dari segi ini, Dr. Mahathir Mohamed telah memberi panduan baik kepada pemimpin UMNO, bahawa laungan mementingkan parti tidak semestinya baik, jika kedudukan sendiri terancam. Itulah falsafah politik seorang ahli politik, tetapi bukan seorang negarawan. Ahli sejarah jangan lagi membuat kesilapan dengan mengangkat Dr. Mahathir Mohamed sebagai seorang negarawan. Dia tidak layak diberi penghormatan itu jika tindak tanduknya dan ideanya tentang PPSMI dianalisis dengan kritis.

Bekas Ketua Pemuda UMNO yang kini naik pangkat dalam UMNO memanggil sesiapa juga yang mengkhianati perjuangan orang Melayu, misalnya menolak bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, adalah petualang yang mesti ditolak. Silapnya ialah orang terlalu memandang tinggi kedudukan Dr. Mahathir Mohamed dari pandangan lahir saja, dengan itu mereka telah “over rated” sumbangan Dr. Mahathir Mohamed. Inilah masalah dalam politik dan sejarah orang Melayu yang mesti diselesaikan dengan tuntas dengan menggunakan teori yang betul. Orang Melayu perlu cerdik dan berani menilai sumbangan tokoh-tokoh yang mereka senangi dengan menggunakan teori yang boleh menghuraikan banyak rahsia tentang tokoh yang dinilai terlampau tinggi itu. 29/3/2009).

[*Mohd. Affandi Hassan, bekas pegawai tinggi kementerian yang pernah berkhidmat di bawah pentadiran Tun Dr Mahathir Mohamed sejak dekad 1980-an, dan berpengalamn dalam pengurusan dan pentadbiran kerajaan. Dilahirkan di Kelantan pada 1942, beliau pesara PTD dan menetap di Petaling Jaya]