PILIHANRAYA UMUM KE 12, 8 MAC 2008
‘UNDI CALON, BUKAN UNDI PARTI’
SERUAN DARIPADA PIMPINAN PRIMA
DARI LAMAN BLOG
SINGGAH DI HENTIAN LEBUHRAYA
HAMPIR DISERBU PEKERJA INDONESIA
Assalamualaikum,
Hampir saya tergelak besar ketika singgah di hentian lebuhraya Seremban, selepas berlangsung pilihan raya umum (Pemilu) di Indonesia beberapa tahun lalu. Bukanlah keputusan pilihanraya itu menyebabkan saya mahu tergelak besar, tetapi kawan saya Dr Abdul Wahid Suhaimi dan Haji Abu Bakar Ninggal diserbu beberapa orang pekerja am dari Indonesia sebaik sahaja masuk ke kawasan hentian berkenaan. Keputusan Pemilu di Indonesia ketika itu memperlihatkan kejatuhan Parti Golongan Karya (Golkar) yang dipimpin Pak Akbar Tanjong di tangan gabungan parti-parti politik pimpinan Haji Abdul Rahman Wahid (Gus Dur) dan Megawati Sukarnoputeri. Sebaik sahaja masuk ke kawasan hentian saya terus duduk menunggu Dr Abdul Wahid (bekas penyokong setia Dato’ Seri Anwar Ibrahim) dan Haji Abu Bakar memesan minuman.
Apalagi jam sudah hampir 3.00 pagi, dalam keadaan terkuap-kuap mengantuk memang wajar pun berhenti untuk meneguk kopi. Kebetulan kami baru balik dari satu kawasan Felda menemui seseorang dalam usaha memberi sokongan moral kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim (ketika itu masih lagi di dalam penjara Sungai Buloh). Beberapa orang pekerja am dari Indonesia itu menghampiri Dr Abdul Wahid sambil mengerling ke arah saya yang terkuap-kuap menunggu Haji Abu Bakar memesan kopi. Mereka bertanya pada Dr Abdul Wahid sama ada saya (yang duduk terkuap-kuap itu) Pak Akbar Tanjung atau ‘pelanduk dua serupa’. Selepas Dr Abdul Wahid memberi penjelasan, pekerja-pekerja am Indonesia berlalu tetapi sempat juga melambai tangan ke arah saya.
Dr Abdul Wahid memberitahu pekerja-pekerja am Indonesia itu menyangka saya Pak Akbar Tanjung, sekalipun saya tak pernah ambil tahu mengenai Pemilu di Indonesia yang membawa kejatuhan Golkar. Maknanya, rakyat Indonesia tak memikirkan kekalahan Golkar, sebaliknya ciri-ciri kepimpinan politik diberi keutamaan. Bagi mereka memang tak senang dengan pentadbiran Allahayarham Presiden Suharto yang memimpin Golkar, sebaliknya rakyat Indonesia tak menyalahkan parti terbabit. Bagaimanapun Pemilu yang digerakkan di Indonesia berbeza dengan pilihanraya umum di Malaysia, kerana calon-calon yang bertanding tak ditetapkan kawasan masing-masing. Calon-calon yang menang dikira berdasarkan peratusan undi yang diterima oleh parti masing-masing bagi jumlah kerusi yang diperolehi. Begitulah!
Bagi pekerja-pekerja am Indonesia yang bekerja di Malaysia, mereka juga dikenakan tanggungjawab mengundi menerusi kedutaannya di Kuala Lumpur. Golkar dikatakan menerima undi daripada warga negara mereka yang bekerja di Indonesia, justeru tak hairanlah pekerja-pekerja terbabit terkeliru ketika terserempak saya di hentian lebuhraya Seremban. Memang Dr Abdul Wahid dan Haji Abu Bakar juga berasa hairan apabila pekerja-pekerja warga Indonesia itu menyangka saya Pak Akbar Tanjung, menyebabkan mereka berdua mencari gambar pemimpin Golkar itu di akhbar-akhbar. Bagaimanapun saya difahamkan ketika berkunjung ke Indonesia, Golkar sukar mencapai kemenangan apabila dipimpin oleh Pak Akbar Tanjung disebabkan sentimen keJawaan yang menebal di Jakarta. (Pak Akbar Tanjung berketurunan Minangkabau).
-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA
TERUJA MENJELANG HARI MENGUNDI
PENYAIR DI PERLIS GESA PILIH CALON
Kalangan penyair dan penulis di Perlis turut menyibar risalah meminta rakyat mengundi calon dan bukan parti seperti disarankan oleh PRIMA. Penyair Nahmar Jamil dari Kangar mengirimkan risalah-risalah berkenaan yang disampaikan oleh mereka yang menamakan diri masing-masing Toyol, Kelawar Tok Bah, Gedembai dan Kongkiak. Menurutnya, kalangan UMNO di Perlis turut kecewa dengan keputusan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan semula Menteri Besar Perlis Dato’ Seri Shahidan Kassim bertanding menjadi calon pilihanraya. “Ada 12 dalil atau perkara Dato’ Seri Shahidan tak boleh lagi jadi Menteri Besar, sebut sahaja satu persatu semua orang Perlis tahu,” menurut risalah berkenaan.
Justeru kalangan penyair dan penulis di Perlis terpaksa bangkit menyeru rakyat Perlis merealisasikan saranan pimpinan PRIMA iaitu ‘UNDI CALON, BUKAN UNDI PARTI’ dengan gesaan mengundi calon yang menentang Dato’ Seri Shahidan. Mereka juga turut menyelar pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahukan calon-calon bersih mewakili BN, sebaliknya meletakkan ramai ‘calon-calon haprak’ kerana berharap rakyat terus ‘memilih parti dan bukannya calon’. Risalah yang disibar oleh penyair-penyair dan penulis-penulis di Perlis itu turut memuatkan ungkapan puisi yang sinikal berjudul: PANGKAH lah BN (yang dimaksudkan ‘lah’ ialah PM).
PANGKAH lah BN
Supaya
Harga barang segera naik
Petrol segera naik
Tol segera naik
Budak sekolah X kena yuran…tipu
Budak universiti kena PTPTN
Rasuah merajalela
Corect, corect, corect…terus
Merajalela!
KALAU KERAJAAN TAK TERBABIT
PECAT SERTA MERTA PENGERUSI SPR.
Langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan tanda dakwat khas bagi menanda kuku atau jari pengundi dalam usaha mengadakan pilihanraya telus mengikut sistem demokrasi, cuba digagalkan oleh pengerusinya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sebagai misi terakhirnya menjalankan tugas, beritahu Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Laporan media hari ini (5 Februari 2008) mengenai keputusan SPR di saat-saat akhir itu atas alasan pihak polis mengesan cubaan tipu yang babitkan empat indvidu tiga negeri, sebagai mengecewakan. “Sekiranya empat individu terbabit sudah disiasat polis, tak ada sebab SPR membatalkan perancangan awal menggunakan dakwat berkenaan,” kata Dato’ Kamal Amir.
Seterusnya ujar Dato’ Kamal Amir, sekalipun Tan Sri Abdul Rashid menjalankan tugas kali terakhir kerana tempoh perkhidmatannya disambung setahun sahaja, beliau (Tan Sri Abdul Rashid) tak seharusnya mengambil sikap mudah. Apalagi Ketua Polis Negera Tan Sri Musa Hassan sendiri mengakui siasatan awal polis sudah dilakukan, dan mereka yang cuba mengelirukan ketelusan pilihanraya sudah dipantau, justeru tak ada sebab SPR bedolak dalik, jelasnya. Beliau juga turut membidas Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang terus bersandiwara dengan menafikan kerajaan tak terbabit dengan urusan SPR. “Kalau tak terbabit, kerajaan harus bertanggungjawab memecat Pengerusi SPR serta merta sebelum hari mengundi 8 Mac ini,” beritahu Dato’ Kamal Amir.
INFO SASTERA & BUDAYA
GOLONGAN YANG HARAM DISOKONG
DARI BUKU MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
(Dipetik dari buku Mohd Asri Zainul Abidin sebelum beliau dilantik menjadi Mufti Negeri Perlis)
Apabila orang Islam menganggap persoalan politik ialah sesuatu yang tiada kaitan dengan Islam, maka mereka menyerahkan kuasa kepada sesiapa sahaja yang mereka suka dengan perhitungan nafsu tanpa melihat kepada tuntutan-tuntutan agama. Hasil dari sikap ini maka individu serta golongan yang jahat dan zalim menguasai tampuk pemerintahan. Golongan ini menganggap kuasa adalah sumber dan lesen untuk mereka melakukan apa sahaja tanpa merasa takut kepada amaran-amaran Allah. Politik dijadikan modal untuk mengaut kekayaan dan harta serta melakukan jenayah dan kezaliman ke atas orang lain. Ini adalah politik yang diwarisi daripada Fira’un dan kuncu-kuncunya. Firman Allah dalam surah al-Qasas ayat 4:
(Maksudnya): Sesungguhnya Fira'un telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Is menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah dia dari golongan yang membuat kerosakan.
Sekiranya Fira'un membunuh anak-anak lelaki di kalangan Bani Israel kerana bimbang tergugat kuasa dan politiknya demikian juga dengan pewaris menghapus dan menghancurkan segala musuh politiknya yang boleh menggugat sistem kezaliman dan kekejaman yang dihidupkan. Para ulama seperti disebut oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam ‘Fath al-Bari’ menamakan Abu Jahl sebagai (Fira’un bagi umat ini) kerana sikapnya yang menentang kebenaran dan zalim. Sebenarnya Fira’un adalah gelaran yang diberikan kepada sesiapa memerintah Mesir Kuno. Abu Jahl bukan pemerintah negeri Mesir dan beliau juga tidak membunuh anak-anak lelaki Quraisy atau Israel, namun sikapnya yang bangkit melakukan kezaliman dan mengepalai penentangan terhadap kebenaran melayakkan beliau dianugerahkan gelaran berkenaan.
Golongan zalim akan menghadap Allah dengan kemurkaanNya. Demikian juga para pengikut dan penyokong mereka akan dihadapkan ke atas jenayah sokongan terhadap kezaliman. Oleh itu bertaubatlah jika anda pernah menyokong golongan yang zalim, sam ada dengan suara, perbuatan atau undi anda. Janganlah diulangi kemungkaran ini di kala kezaliman kelihatan sangat jelas dan nyata di hadapan mata kita. Allahu Akbar wa lillah al-Hamd.
KOMENTAR
bersama Pak Parjo.
SURAT RAHSIA YANG DIDEDAH
ORANG BESAR MENJADI BIMBANG
Kata sahibul hikayat orang besar di Pulau Mutiara bernama Tan Sri Dr Koh Tsu Koon itu berasa bimbanglah ia apabila surat rahsianya kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi diketahui oleh sekalian rakyat jelata. Adapun disuratkan orang pada hari Rabu (5 Mac 2008 bersamaan 27 Safar 1429) mengakulah orang besar itu surat berkenaan bocor, lalu diminta siasat sesiapa yang membocorkannya. Seperti disuratkan orang banyak, adapun orang besar tersebut memberikan kontrak bernilai RM1 bilion kepada pedagang Motorola untuk meneruskan perdagangannya di Pulau Mutiara itu, telah ditafsir oleh orang banyak sebagai merasuah. Kononnya pedagang terbabit melabur RM350 juta dengan menjadikan negeri Melayu ini sebagai tempat pemasarannya.
Syahdan akan Sultan Malikul Mansor itu terbuanglah ke Manjong, setelah menerima surat rahsia daripada abangnya Sultan Malikul-Tahir. Adapun surat rahsia yang dibawa oleh Tun Perpateh Tulus Tukang Sagari itu kononnya mempersilakan Sultan Malikul Mansor ke istana, tetapi apabila masuk menghadap semua juak-juak hulubalangnya diminta tinggal di luar. Maka Sultan Malikul Mansor bersama menterinya Sidi Ali Hisamuddin dibuang ke Manjong, dengan Sidi Ali Hishamuddin dipenggal lehernya. Setelah tiga tahun berasa masygholllah Sultan Malikul Tahir kerana menurunkan adiknya dari takhta, lalu dihantar surat yang tak rahsia menjemputnya semula ke istana. Tetapi sampai di Padang Maya Sultan Malikul Mansor singgah di kubur menterinya Sidi Ali Hisamuddin lalu hilanglah dia menurut ceritera Kitab Melayu dan:
HIDUP BAHASA MELAYU!