Thursday, January 29, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:

GENCATAN SEJATA DARI ZIONIS:
OBAMA SEKADAR BONEKA YAHUDI

Assalamualaikum,

Pencabulan gencatan senjata yang longgar oleh regim Zionis di Israel ke atas Gaza sejak semalam (27 Januari 2009), memang sudah diduga sekalipun penghuni Rumah Putih di Washington DC bertukar dari George W Bush kepada Barrack Hussein Obama. Janji Obama mahu meyakinkan dunia dengan perubahan dasar luar Amerika Syarikat (AS) sekadar kesinambungan kebangsatan yang sukar dipercayai. Apalagi Obama sekadar boneka Yahudi yang tak mampu lakukan apa-apa, dalam kesongsangan politik Zionis yang sekarang di bawah pimpinan Ehud Olmert. Sejak perang enam hari 1967, AS tak pernah merasa bersalah menyumbangkan senjata kepada Israel bagi memerangi negara-negara Islam, hinggalah penampilan Saddam Hussein di Iraq sekitar 1980-an.

Israel pernah dikejutkan oleh Saddam Hussein pada 1990-an, apabila skud yang dihantar dari Baghdad mampu membolos ke bumi Israel, di samping George Bush Sr mengingatkan regim Zionis itu tak membalas serangan Iraq. Kalau Obama mengambil sikap seperti Bush Sr, regim Zionis tak mungkin mencabul gencatan senjata. Palestin akan berterusan menjadi mangsa, selagi pemimpin yang ditampilkan oleh AS memegang kuasa sama ada di Baitulmaqdis, di Baghdad mahupun di Kabul. Mahmood Abbas, Nori al-Maliki dan Hamid Karzai bukan pemimpin pilihan rakyat di negara terbabit, tetapi menaiki takhta kekuasaan menerusi sokongan AS. Mereka tak mampu melakukan apa-apa selain daripada memelihara kedudukan yang diidam-idam selama ini. Barangkali!

I.S.A. DARI PANDANGAN MUFTI:
SESUAI DENGAN SYARIAT ISLAM
Barangkali juga Mahmood Abbas, Nori al-Maliki dan Hamid Karzai melaksanakan peraturan-peraturan mengikut pandangan demi menjaga keselamatan daripada gangguan militan. Tak tahulah dengan pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibul Samahah Dato’ Wan Zahidi Wan Teh yang saya dengar (kalau tak silap) di radio klasik nasional jam 6.45 petang ini (28 Januari 2009) yang mengakui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) wajar dilaksanakan oleh kerajaan demi menjaga keselamatan negara. Entahlah! Sahibul Samahah pula memperkuatkan hujahnya mengikut syiar Islam, tetapi tak pula dikesampingkan hujah sama ada berlaku atau tidak ‘salah guna kuasa’ seperti perihal kempitei dalam period pemerintahan Jepun (1942-1945). Wajarkah Allahyarham Dr Burhanuddin al-Helmy mengalami sakit batu karang akibat menahan kencing semasa didakwa di bawah ISA. Astaga!

Justeru teringatlah ana semasa beberapa kali menghadiri mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAIS) di Seremban sekitar 2003, apabila ana sebut mengenai mufti selayaknya menjadi ‘raja ibadat’ dalam heiraki pemerintahan beradat di Negeri Sembilan. Sebaliknya ana sekadar dimaklumkan tugas mufti apabila menghadiri mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang sekadar membaca doa (mudah-mudahan ana tak didakwa di bawah OSA, insya Allah). Begitu juga ana beberapa kali menonton filem ‘Madu Tiga’ arahan Tan Sri Dr P Ramlee, adegan Rafi menemui Pak Ali dalam episod mendirikan masjid. Dialog Pak Ali kepada Rafi bersahaja iaitu: “Nampaknya bulan ini gaji awak naiklah.” Jawab Rafi, “Kita ni sama-sama Pak Ali, menyenangkan kerja saya, Pak Ali pun tak perlu susah-susah.” Isy isy isy!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

JATUHKAN AIR MUKA LAWAN:
SUKAN TINJU PERLU DIHARAMKAN

Tazkirah sebelum solat Jumaat di Masjid al-Khairiyyah, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor 23 Januari 2009 lalu memberitahu, sukan tinjau wajar diharamkan kepada atlit-atlit beragama Islam kerana ianya boleh ditafsirkan menjatuhkan air muka pihak lawan. Penyampai tazkirah Tuan Guru Ustaz Maulana Noor memberitahu jemaah, apabila sukan tinju terpaksa memukul muka lawan ianya ditafsirkan sebagai menjatuhkan air muka. Justeru sukan tinju menyebabkan atlit-atlit terbabit melakukan perbuatan yang haram di sisi Islam iaitu menjatuhkan air muka, apabila perlu memukul pada bahagian muka. Serentak dengan Tuan Guru Ustaz Maulana Noor menyeru pihak berkuasa secara bertanggungjawab menharamkan sukan berkenaan kepada atlit-atlit beragama Islam.

Sekalipun pandangan Tuan Guru Ustaz Maulana Noor dikira penemuan baru, tetapi ianya menyentuh kepentingan Islam. Sebelum ini atlit-atlit beragama Islam seperti legenda tinju Muhammad Ali (Cassius Clay) dan bekas juara tinju heavyweight Hashim Rahman adalah atlit beragama Islam. Pemuka-pemuka agama Islam di Malaysia juga harus memberikan pandangan yang jujur mengenai sukan tinju, kerana ianya membabit kesucian Islam sendiri. Atlit-atlit beragama Islam tak rugi apa-apa sekiranya mengalih perhatian kepada sukan yang lebih sesuai dengan ajaran Islam, bukannya melakukan aksi berlaga seolah-olah haiwan yang diperjudikan. Tuan Guru Ustaz Maulana Noor adalah pendakwah yang berilmu, justeru pandangan beliau adalah berdasarkan keilmuan.

CALON BAGI MEREBUT PIMPINAN:
DIMINTA MENOLAK SEBARANG KOMPROMI

Pimpinan dalam Majlis Tertinggi UMNO diminta tak mengganggu proses pemilihan dalam Perhimpunan Agung dijangkan pertengahan Mac 2009 ini, beritahu bekas Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gombak, Omar Sudi Abdul Manan. Justeru katanya, beliau menolak sebarang usaha berkompromi di kalangan calon-calon bagi merebut jawatan tertinggi setelah menerima kouta pencalonan yang mencukupi. Seterusnya menurut Omar Sudi, serahkan kepada perwakilan yang diberi mandat untuk membuat keputusan dalam menentukan hala tuju UMNO selepas Mac 2009. Beliau melahirkan rasa kecewa apabila di kalangan MT sendiri meminta calon-calon terbabit berkompromi demi memelihara perpaduan parti. “Perpaduan UMNO tak bergantung kepada kompromi, sebaliknya hala tuju pemimpin perlu jelas bagi mengatasi krisis keyakinan,” katanya.

Omar Sudi menyentuh usaha beberapa pimpinan MT yang mahukan calon-calon terbabit berkompromi bagi mengelakkan perpecahan. Isu yang berbangkit sekarang ialah krisis keyakinan yang perlu dipulihkan semula, dengan memperkasakan semula UMNO bagi membawa semula orang Melayu memperkukuhkan parti, menurut Omar Sudi lagi. Beliau juga menolak sebarang dakwaan ‘politik wang’ dilakukan oleh pemimpin muda hingga mereka digantung keahlian, sebaliknya sumber ‘politik wang’ adalah di kalangan mereka yang ‘mampu memberi’ dan mereka ‘yang tak berasa berdosa menerima’. Calon-calon yang menawarkan diri sudah menerima cukup kuota pencalonan, adalah menimbul kemarahan kepada penyokong-penyokong sekiranya berkompromi. “Kemarahan para penyokong inilah boleh mendorong kepada perpecahan UMNO,” ujar Omar Sudi yang juga ketua cawangan UMNO Selayang Baru.

INFO SASTERA & BUDAYA

BACA PUISI KENA PERMIT POLIS
UMNO GELABAH MENJELANG MAC 2009

Pendeklmator puisi di negeri Pahang diminta memohon permit polis bagi majlis baca puisi di Felda Jenderak Utara, 7 Februari 2009 ini, menurut aktivis budaya L. Mankadir Shamsi. Pihak polis mengklasifikasikan majlis baca puisi berkenaan bermotif politik apabila pendeklamator yang dijangka turut hadir ialah Haji Suhaimi Said dan Badrul Hisham Shahrin merupakan aktivis parti pembangkang. Bagaimanapun kata Mankadir, pihak penganjur memenuhi permintaan polis bagi memohon permit tersebut. Sebaliknya, kerajaan negeri Pahang seharusnya berasa malu apabila majlis baca puisi dikehendaki memohon permit polis ketika UMNO gelabah menjelang Perhimpunan Agung Mac 2009. “Masa sudah membuktikan yang melaksankan kerja-kerja kotor termasuk politik wang adalah pihak di sebelah sana,” beritahu Mankadir.

Mankadir memberitahu insiden di Raub sekitar 1999, apabila ceramah politik tak menyenaraikan nama pemimpin berkenaan dalam permit polis. Sebaliknya apabila pemimpin berkenaan naik ke pentas dengan berpantun, pihak polis menggunakan budi bicara membenarkan ianya diteruskan. Begitu juga dalam insiden di Tangga Batu, Melaka apabila polis menghalang ceramah politik tak diberi permit. Pemimpin-pemimpin terbabit sekadar membaca doa hingga 30 minit, menyebabkan polis tak menghalangnya, beliau menambah. Sebaliknya dalam majlis baca puisi di Felda Jenderak Utara, beliau melahirkan rasa kesal apabila diperlukan permit polis. “Baca puisi sekadar kegiatan bahasa dan budaya, bukannya ceramah politik,” menurut Mankadir lagi.

INFO SUARA PROLITAR

AHLI UMNO DIMINTA BANGKIT:
GANTUNG, BUKAN HILANG KERAKYATAN

Langkah menggantung keahlian pemimpin Puteri UMNO di Wilayah Persekutuan enam tahun oleh jawatan kuasa disiplin, diikuti seorang pemimpin Pemuda di Perak setahun, seolah-olah UMNO masih gagah. Mereka dituduh membuat laporan palsu, dan seorang lagi terbabit politik wang. Dengan fenomena sekarang, eloklah semua ahli UMNO jangan takut bangkit menegakkan kebenaran. Pemimpin Pusat merasakan UMNO masih gagah macam 10 tahun dulu. Pengerusi Jawatankuasa Disiplin dan Pemantau Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddin Ismail, hanya berani minta bubarkan Puteri dan Putra, seolah-olah sayap muda ini sahaja yang terbabit dengan politik wang. Oleh itu ahli UMNO jangan takut digantung ahli, kerana ianya bukan hilang kerakyatan.

Ahli UMNO perlu mengajar pemimpin Pusat, kerana mahu menegakkan benang basah. Selama ini politik wang dimulakan oleh siapa? Masih ingatkah 2003, bekas Presiden UMNO Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui di Kubang Pasu pun berlaku politik wang? Kenapa Tun Dr Mahathir tak dipecat kerana membuat tuduhan dengan tak ada bukti seperti pemimpin Puteri yang digantung enam tahun tu? Kalau semua digantung berapa kerat lagi tinggal ahli UMNO yang memang sudah parah ini? Jangan UMNO terikut-ikut dengan budaya MIC, siapa sahaja ahli yang mahu menentang jawatan presiden parti akan dipecat. Mulai sekarang ahli-ahli UMNO marilah bangkit bersama-sama untuk satu matlamat memberi pengajaran kepada pemimpin-pemimpin Pusat yang tak sedar diri!

Tak guna mengajak orang Melayu bersatu menyokong UMNO, kalau mengangkat pemimpin yang tak ada kualiti. Siapa pemimpin UMNO yang berkualiti sekarang, kalau mahu berdepan dengan pemimpin luar negara? Dengan memecat pemimpin muda untuk menonjolkan pemimpin haprak sambil menuduh berlakunya politik wang, jadilah UMNO macam kisah tiga orang pemuda kampung nak jadi menteri. Dalam cerita rakyat itu tiga orang pemuda kampung nak jadi menteri, diperkenankan hajat oleh raja untuk memegang jawatan tersebut. Pemuda yang hanya tahu memegang tajak itulah disebut macam kaduk naik junjung; macam si kudung dapat cincin dan macam beruk kena belacan. Dedahkan keburukan pemimpin, jangan takut digantung keahlian kerana masih lagi tak hilang kerakyatan. – (Ahli UMNO 1950-an, Selangor).

KOMENTAR
Bersama Pak Parjo

SEMAKIN HAMPIR NAJIB JADI PM:
ORANG MELAYU MENGUBAH SOKONGAN

Kata sahibul hikayat tersebutlah ceritera Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan dinaikkan pangkatlah ia tak lama lagi. Arakian orang banyak pun tertunggu-tunggu akan waktu Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib itu dinaikkan pangkat. Syahdan gemparlah sekalian orang banyak apabila Orangkaya Dato’ Seri Tajul Rosli Mohd Ghazali tak mahu lagi menjadi ketua harakah Melayu (UMNO) di Perak. Sebelumnya kedengaran kepada sekalian anak buah perihal Orangkaya Bota Dato’ Nasaruddin Hashim pergilah ia menyokong Orangkaya Permatang Pauh Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Semakin hari sekalian orang banyak menunggu-nunggu akan Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib dinaikkan pangkat, bertambah banyaklah pula anak-anak buah harakah Melayu pergi mereka menyokong Orangkaya Dato’ Seri Anwar itu, adanya.

Hatta, maka orang berseru-seru melarangkan jangan menikam Raja Rekan dahulu. Maka tiada didengarkan oleh orang sekalian kerana sangat sabor, lagi orang banyak sakit hati akan Raja Rekan. Maka ditikam oranglah Raja Rekan, kena dadanya terus menerus. Setelah Raja Rekan merasai luka itu, maka ditikamnya Sultan Abu Shahid, maka baginda pun matilah. Adapun umur baginda di atas kerajaan setahun lima bulan; baginda pun mangkat. Hatta, maka Raja Kassimlah menggantikan kerajaan baginda. Maka ditabalkan orang, gelar baginda di atas kerajaan Sultan Muzaffir Shah. Arakian maka Maulana Jalaluddin pun meminta janjinya kepada raja (rupa-rupanya rasuah juga ulama itu). Maka dihiasai seorang wanita diberikan kepadanya, tetapi bukanlah puteri Raja Rekan seperti yang dihajatinya, kerana mahu menaiki takhta perlu jugalah rasuah seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:












HIDUP BAHASA MELAYU!