Thursday, September 6, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

KE MANA PRIMA MAHU BAWA
HALA TUJU DAN MATLAMATNYA

Assalamualikum,

Taklah tergamam apa-apa ketika diberitahu mengenai pengendali laman blog yang mempersoal hala tuju mahupun matlamat PRIMA. Apalagi PRIMA bukan pertubuhan yang mempunyai agenda yang berlingkar-lingkar, berbelit-belit dan berpilin-pilin kerana ianya sekadar ‘jawatankuasa ad-hoc’ yang bergerak ‘sementara’ untuk isu tertentu. Apabila kabinet luluskan bahasa rasmi ialah ‘Bahasa Malaysia’, PRIMA bangkit untuk mempersoal munasabahnya kerana sejak 1957 ‘Bahasa Melayu’ itu diterima menjadi ‘bahasa rasmi’. Ironinya, tersangkut pula pada 1967 atas sebab-sebab politik, tetapi ianya mampu memaksa digunakan 100% di Parlimen selepas 1969.

Dato’ Ahmad Boestamam (Pak Boes) ketika di dalam tahanan ISA sekitar dekad 1960-an juga sanggup berpisah dari Parti Buroh (sekutunya dalam Sosialis Front) kerana isu ‘Bahasa Melayu’ yang dipersoal oleh Pengerusi Parti Buroh ketika itu Lim Kean Siew. Kalau mahu dikira penggerak sosialisme di Tanah Melayu, Pak Boes dikira ‘raja sosialisme’ yang tiada tara, tetapi beliau tetap tak berkompromi dalam isu ‘Bahasa Melayu’. Justeru pada pilihanraya kecil DUN Rahang di Negeri Sembilan pada 1965, calon Parti Buroh (Yim Chee Chong, kemudiannya Ahli Parlimen MCA, Seremban pada 1990-1995) tak diberi sokongan Parti Rakyat, menyebabkan kalah teruk di samping memberi peluang kepada calon Bebas iaitu proksi DAP (yang belum didaftarkan) Dr Chen Man Hin menang bergaya. (Ironinya, akhbar berbahasa Melayu yang memperlekeh Pak Boes, berikutan keputusan HSC anaknya lebih baik daripada beliau yang diambil serentak pada tahun yang sama, ketika beliau masih di dalam tahanan)

PRIMA disertai oleh penulis-penulis Melayu, bukannya pelbagai latar belakang parti politik seperti disonglapkan! Memang secara kebetulan mereka pernah terbabit sebagai aktivis politik sebelum ini, tetapi bukanlah bersikap ‘semberono’ dengan berlagak seolah-olah lembu yang menyerbu kain merah di tangan matador (mungkin itulah yang mahu ditampilkan Mohd Mansor Abdullah menerusi novelnya ‘Amigo Possa’). Saya berkawan baik dengan Pak Boes, Pak Sako, Bung Ishak Surin (sosialis); begitu juga dengan Dato’ Shahnon Ahmad, Haji Subky Latiff, Haji A. Shukur Harun (Islamisme) atau Tan Sri Abdul Samad Idris, Tan Sri Senu Abdul Rahman, Haji Safirul Hashim dan aktivis UMNO, sebaliknya atas perkongsian kecintaan terhadap Bahasa Melayu bukannya ‘Bahasa Malaysia’. Begitulah!

Justeru PRIMA tak membawa aktivisnya ke mana-mana untuk mencari mahligai besar, kereta tersergam mewah atau kehebatan glamour duniawi. Kecintaan kita ialah kepada ‘Bahasa Melayu’, malah setiap umat Melayu yang mempunyai kecintaan yang sama, mereka boleh menyertai aktiviti bersama. Sekiranya mereka yang mahukan ‘Bahasa Malaysia’ sekalipun lidah menuturkan ‘Bahasa Melayu’ ingin menolak PRIMA, tak rugi apa-apa kepada kami, kerana yang membaca naskhah Melayu ialah mereka yang cintakan Bahasa Melayu. Jadinya, janganlah merungut buku-buku dan novel-novel Melayu lembab di pasaran kalau khalayak mulai membenci ‘Bahasa Melayu’. Takat menulis rencana pendek, beribu-ribu penulis Melayu boleh direkrut, justeru janganlah melatah hingga akhirnya dipatah, diratah dan dikunyah!

- Muluk

INFO HAK ASASI MANUSIA

SANUSI MAHU MELAYU BERANI
CABARAN TETAP SILIH BERGANTI


Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Sanusi Junid mahukan generasi Melayu sekarang berani dalam menangani sebarang isu, sekalipun ianya tak menjadi ‘wira’ apabila mampu menterjemahkan perjuangannya. Berucap dalam majlis ‘Siri Bicara Melayu’ di Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak malam kelmarin (5 September 2007), Sanusi berkata memang cabaran sentiasa dihadapi oleh bangsa Melayu, malah silih berganti mengikut keadaan semasa. Misalnya, beliau menjelaskan pada period pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga cabaran tak kurang hebat terutama berkaitan isu air dengan pemerintah Singapura.

“Ketika itu pimpinan Dr Mahathir bertindak secara berani, menyebabkan kerajaan Singapura tak bising lagi sekalipun Malaysia menggunakan laluan perairan mereka ke Indonesia,” beritahu Sanusi selanjutnya. Bagaimanapun wakil PRIMA Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah tak sempat menyampaikan antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ kepada Sanusi, sekalipun sudah meminta laluan kepada pihak penganjur sebelumnya. Beberapa aktivis PRIMA turut menghadiri majlis berkenaan selain Dr Mansor, termasuk sasterawan Dharmala N.S., Haji Abu Bakar Ninggal dan Mohd Sayuti Omar. PRIMA sentiasa memberi sokongan kepada majlis-majlis yang membincangkan isu Melayu dari semasa ke semasa.

‘MELAYU MUDAH LUPA’
BERGEMA DI BUMI INDONESIA.


Pimpinan kanan PRIMA, Yahaya Ismail (Pak Ya) mengirim SMS dari Jakarta, beritahu mengenai sambutan hebat khalayak sasterawan di Pekanbaru, propinsi Riau dengan kunjungan beliau ke bumi Indonesia. Pak Ya terbang semula ke Jakarta pada 5 September 2007, di samping dijangka balik ke tanah air pada 9 September 2007 bagi acara sastera di Jakarta pula. Menurut Pak Ya, antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ bukan sahaja begitu dikagumi di Pekanbaru, malah ianya dianggap ‘hebat’ oleh rakan-rakan penyair di Jakarta sendiri. “Tokok sastera moden Indonesia Taufiq Ismail, turut memberi kredit kepada para penyair Malaysia yang mampu menghasilkan antologi berkenaan,” kata Pak Ya.

Pak Ya yang diundang memberikan ceramah dalam seminar sastera dan agama di Pekanbaru pada 31 Ogos 2007 baru-baru ini bersama seorang lagi seorang penulis veteran Syed Akbar mengakui, penyair-penyair Indonesia sentiasa ‘rindukan’ puisi-puisi memantulkan ‘keberanian’ dari lubuk jiwa insan karyawan. Penyair-penyair perlu berani menghasilkan karya-karya yang mempersoal masalah rakyat, bukannya omong-omong sekadar untuk memuji-muji kepalsuan, memuja-muja kebobrokan dan menjulang-julang kepongahan. “Antologi ‘Melayu Mudah Lupa’ memenuhi citrasaa penyair-penyair di Indonesia yang peka dengan isu-isu kepalsuan, kebobrokan dan kepongahan,” beritahu Pak Ya selanjutnya.

LAPORAN POLIS TERHADAP KAMAL
TAHNIAH KEPADA SAYUTI DARI DI LONDON


Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz yang masih lagi di London, dikatakan berhadapan dengan laporan polis berikutan tulisan beliau di laman web ‘Malaysia Today’ berkaitan isu pelancaran buku ‘Lilin Membakar Diri’ yang dihasilkan ketua pimpinan PRIMA Dharmala N.S. Beliau mengirim SMS kepada Mohd Sayuti Omar yang menulis menerusi laman web yang sama, mengucapkan tahniah kerana mempertahan kewibawaan beliau sebagai penulis yang berpegang kepada etika kewartawanan. Mohd Sayuti turut juga mempersoal mereka yang sengaja membiarkan diri dibelenggu ‘perhambaan minda’ dengan ‘menegak benang basah’.

Kata Sayuti lagi, Kamal menerima sumber individu dikenali ‘Hussin Lampong’ yang hadir pada majlis berkenaan memberi sumber maklumat berkaitan tulisan Kamal sebelum ini. Pada majlis berkenaan memang ramai pengendali laman web dan laman blog yang dikatakan hadir bersama pihak media. Kamal yang bertolak ke London pada 28 Ogos lalu, dijangka balik ke tanah air pada 15 September 2007 ini, pernah juga menghubungi sekretariat PRIMA ketika orang ramai dan jemaah di kariah Masjid Kampung Baru mengadakan solat hajat bagi mendoakan kesihatan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjalani pembedahan pintasan koronori di IJN pada 4 September 2007. “Laporan polis ke atas saya tak penting, tetapi bagi saya yang penting sekarang ialah kesihatan Tun Dr M,” jelas Kamal.

INFO SASTERA & BUDAYA

TERTEGUN DI WISMA SEJARAH
DR MANSOR TEMUI HADI HASSAN


Lama bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah tertegun memerhati potret di dinding dewan menuju ke bilik makan di Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak (bersebelahan Perpustakaan Negara). Beliau berasa hairan dengan potret Allahyarham Cikgu Abdul Hadi Hassan, yang kurang diperkatakan oleh tenokrat sejarah mengenai pembabitan tokoh terbabit dalam gerakan nasioanalisme. Cikgu Hadi hampir tenggelam namanya apabila ditukarkan ke North Borneo (Sabah) sekitar tahun 1930 bersama Cikgu Harun Mohd Amin (Harun Aminulrashid) yang dihantar ke Brunei, kerana dianggap tenaga pengajar di Maktab Perguruan Sultan Idris (sekarang UPSI) di Tanjung Malim yang radikal. Malah di tangan Cikgu Hadi dan Cikgu Harun juga gerakan pelajar menggugat penjajah di bawah pimpinan Ibrahim Haji Yaakob.

Maknanya, Ibrahim Haji Yaakob tak muncul sebagai pemimpin pelajar di MPSI kalau tak didorong oleh Cikgu Hadi dan Cikgu Harun. Cikgu Hadi juga penulis yang menggunakan mata pena mengkritik penjajah Inggeris, tetapi tak terbabit dalam karya sastera seperti keperihalan Cikgu Harun yang menghasilkan banyak novel termasuk yang diadaptasi ke filem berjudul ‘Cinta Gadis Rimba’. “Pertama kali saya mengenali Cikgu Abdul Hadi Hassan, justeru tahniah kepada ‘Persatuan Sejarah Malaysia’ yang mengabadikan ketokohan beliau di premis sejarah ini,” beritahu Dr Mansor. Bagaimanapun Dr Mansor menyedari rupa-rupanya Cikgu Hadi ialah ayah kepada Allahyarham Hasnol Hadi, antara rakan seperjuangan Tun Ghafar Baba ketika aktif dalam PKMM di Melaka.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ISU KHINZIR DI MELAKA
KERAJAAN NEGERI MENGALAH


Pengerusi majlis ceramah ‘Siri Bicara Melayu’ di Wisma Sejarah, Roslan Latiff kabarnya memberitahu di dewan ceramah, kerajaan negeri Melaka terpaksa mengalah hingga tak membunuh khinzir di lokasi yang tak sepatutnya menempatkan hingga 120,000 ekor haiwan berkenaan, kerana perpaduan MCA-Gerakan-DAP mempertahankan penternak terbabit. Tak tahulah! Dulu isu khinzir memeningkan kerajaan negeri Negeri Sembilan apabila ladang penternakan khinzir di Sungai Nipah dimanipulasi sebagai isu kaum atau menafikan hak kaum tertentu. (Anehnya, tak pula difikirkan kaum yang lain sensitif juga dengan isu khinzir, terutama berkaitan dengan ibadat mereka di samping mencemar udara dengan baunya yang tengit, lengit dan bengit!). Tak terfikirkah pula hak asasi kaum yang diganggu bau dari lubuk najis khinzir dari ladang ternakan berkenaan?

Nampaknya ‘hak asasi’ hanya untuk kaum tertentu, sementara kaum yang lain ‘hak asasi’ mereka tak perlu dipertahankan. Gerangannya, begitulah tragedi di Melaka pada period pemerintahan Sultan Muzzaffar Syah, apabila pimpinan Melayu di bawah Tun Perak sentiasa sahaja diuji, dicabar dan disasar berikutan pengaruh Seri Nara Diraja Tun Ali bin Mani Purindam terlalu besar dalam dikri kesultanan Melaka. Ketika itu dilaporkan dalam ‘sejarah lisan’ di Negeri Sembilan perbalahan di Linggi antara pedagang Arab dengan pemimpin tempatan, menyebabkan ianya dibunuh bagi menamatkan pergaduhan yang dibangkitkan oleh penduduk tempatan. Tragedi tersebut selari dengan insiden di Melaka apabila Tun Tuakal penghulu Sening Ujong (gamaknya Sungai Ujong atau merangkumi juga Linggi) dibunuh oleh Sultan Muzaffar kerana menyokong Tun Perak.

Makanya, bagi menamatkan isu pergaduhan yang membabitkan kaum ketika itu ialah membunuh pemimpin penduduk tempatan. Tragedi sekitar dekad 1440-an di Melaka itu juga berkaitan dengan kuasa memonopoli perdagangan (atau ekonomi) di Linggi yang dikuasi oleh penduduk tempatan di bawah penghulunya Tun Tuakal, sebaliknya dianggap menolak ‘hak asasi’ pedagang luar. Isu ‘hak asasi’ bagaikan menjadi senjata kepada mereka yang mencari kesempatan menguasai sistem feudal di istana untuk menginjak-injak ‘keberanian’ penduduk tempatan, kerana yang tahu sangat dengan isu ‘hak asasi’ yang ‘dilipat sebesar kuku, direntang sebesar alam’ ini ialah:









(gambar-gambar dengan ihsan MSO)

HIDUP BAHASA MELAYU!