
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
PERIHAL 3 JUTA UMAT ISLAM
PERHIMPUNAN DI MASJID AL-HARAM
PERHIMPUNAN DI MASJID AL-HARAM
Assalamualaikum,

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA. Prima mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidiladha’ kepada semua umat Islam, esok 20 Disember 2007, di samping mendoakan kejayaan perihal tiga juta muslimin muslimat dalam perhimpunan di Masjidil Haram, Mekah al-Mukarramah seterusnya di padang Arfah dengan perpaduan yang tiada tolok banding akrabnya. Mudah-mudahan! Antara tiga juta umat Islam di seluruh dunia yang akan wukuf bersama di padang Arfah, termasuklah dua pimpinan Prima, Sdr Mohd Radzi Mustapha dan Sdr Mohd Sayuti Omar. Mereka berdua dijangka balik ke tanah air pada pertengahan Januari 2008 ini, insya Allah menemui haji yang mabrur dalam perjalanan jauh ke tanah suci bagi tahun ini.


Pengorbanan mereka berkesinambungan menerusi Kris Mas, Usman Awang, Harun Aminulrasyid, Pak Sako, Pak Ahmad Boestamam dan ramai lagi yang tak jemu-jemu menolak sebarang perhambaan minda, bagi melonjakkan kewibawaan Bahasa Melayu. Bagi saya antara rakan-rakan yang tetap dikenang pengorbanan mereka mempertahankan Bahasa Melayu termasuklah Tan Sri Abdul Samad Idris, Pak Sako dan Zakry Abadi yang sudah mendahului kita menemui Khaliqnya. Apalagi Tan Sri Abdul Samad Idris akan mengajak mencari ‘lemang Pak Ali’ di Hulu Kelang, asal sahaja menjelang Hari Raya Aidiladha atau mencari daging ‘bantai’ di pasar Keramat. Begitulah!

-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA:
KEGAGALAN KERANA KEDEGILAN KERAJAAN
SURUHANJAYA DIRAJA MEMANG DIALU-ALUKAN

Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mengalu-alukan kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Diraja bagi siasatan klip video mengandungi perbualan telefon antara seorang peguam dengan hakim kanan yang dikatakan mengatur pelantikan hakim, Tan Sri Haidar Mohamed Noor hari ini (19 Disember 2007), bagi membolehkan orang awam mengikuti prosiding secara terbuka mulai 14 Januari hingga 25 Januari 2008. Menurut Dato’ Kamal Amir, sekiranya kerajaan tak berdegil dalam usaha menubuhkan Suruhanjaya Diraja apabila ianya dibangkitkan dulu, isu yang membabitkan kewibawaan institusi kehakiman ini sudah boleh diselesaikan.
“Disebabkan kedegilan kerajaan, panel penyiasat bebas yang ditubuhkan di peringkat awal secara tergesa-gesa bagi menyiasat rakaman klip video itu mengalami kegagalan,” ujar Dato’ Kamal Amir selanjutnya. Sekalipun penubuhan Suruhanjaya Diraja belumlah terlambat, tetapi kerajaan harus belajar daripada kesilapan begini akibat kedegilan atau kepongahan pentadbiran sekarang. Tak perlu menunggu sehingga laporan polis dibuat oleh adik peguam terbabit baru usaha penubuhan Suruhanjaya Diraja dilakukan, tetapi kerajaan perlu bersikap rasional bukan meneruskan kepongahan yang akhirnya boleh memalukan sistem kehakiman di negara ini, kata Dato’ Kamal Amir.

PELANTIKAN OKU KE DEWAN NEGARA
ISMAIL MEMANG PAKAR BIDANG EKONOMI

Pelantikan Profesor Dato’ Dr Ismail Mohd Salleh menduduki kerusi Ahli Dewan Negara apabila mengangkat sumpah semalam (18 Disember 2007) disambut baik oleh semua pihak termasuk PRIMA. Aktivis PRIMA yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah menyifatkan pelantikan Dato’ Dr Ismail sebagai senator adalah berdasarkan keintelektualisme yang dimiliknya bukan disebabkan beliau dikategorikan orang kurang upaya (OKU). Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor, Presiden Kaunseling Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, negara membangun seperti Malaysia memerlukan pemikir-pemikir berwibawa dalam semua institusi.

Seterusnya Dato’ Dr Mohd Mansor menarik perhatian kepada label OKU yang diberikan kepada Dato’ Dr Ismail oleh pihak media berikutan pelantikan pakar ekonomi itu menduduki kerusi Ahli Dewan Negara. Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor, sebelum Dato’ Dr Ismail, negara Malaysia sudah mempunyai Ahli Dewan Rakyat yang boleh dikategorikan sebagai OKU iaitu Profesor Zulkifly Muhammad apabila memenangi kerusi Parlimen Bachok pada pilihanraya 1959 dan 1964 atas tiket PAS. “Malaysia berbangga dengan penampilan Profesor Zulkifly sebagai Ahli Parlimen yang berwibawa, sekalipun secara fizikal beliau dikategorikan sebagai OKU,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor seterusnya.
LESTARI DEKLARASI PERDANA
MESEJ KEPADA PEMIMPIN MELAYU

Bagaimanapun Pak Ya menjelaskan, setakat ini belum terdapat pemimpin-pemimpin Melayu memberi respons kepada ‘Deklarasi Perdana 10 Keprihatinan’, tetapi ianya akan diteruskan dengan penerbitan buku yang turut memuatkan deklarasi berkenaan. Katanya, pihak PRIMA sudah menyediakan buku ‘Selepas 50 Tahun Merdeka: Dilema Melayu Ke 2’ yang akan diterbitkan tak lama lagi. Beberapa orang penganalisis politik, pengkritik sosial, ahli akademik dan pemikir budaya yang menyatakan kesediaan untuk menulis artikel bagi menghasilkan buku berkenaan, menurut Pak Ya lagi. “Kita mahu pemimpin-pemimpin Melayu jangan menunggu dah terantuk baru nak tengadah, dah terbolos baru nak melantai,” ujar Pak Ya menambah.
MEMUPUK PERPADUAN NASIONAL
ETIKA KEJIRANAN KEPADA MELAYU

Penduduk di kawasan perumahan Taman Seri Gombak merungut apabila menyentuh etika kejiranan hanya diminta orang Melayu sahaja berkompromi, sebaliknya pihak lain tak prihatin dengan masalah jiran-jiran. Seorang penduduk yang mahu dikenali Nan memberitahu malam ini (19 Disember 2007), menjelang menyambut Hari Raya Aidladha besok (20 Disember 2007) satu keluarga bukan Melayu mendirikan khemah menutupi jalan bagi mengadakan majlis perjumpaan keluarganya. Mereka bukan sahaja menutup jalan, malah menghalang pintu pagar rumah-rumah jiran apabila meletakkan kereta di sepanjang jalan seolah-olah rumah-rumah jiran tak berpenghuni.
“Tak mungkin keluarga itu menerima kebenaran daripada Majlis Perbandaran Selayang, kerana biasanya permit sementara perlu diletakkan pada khemah yang didirikan menutup jalan,” beritahu Nan. Menurutnya lagi, kadangkala keluarga bukan Melayu terbabit membasuh kereta, kotak air-con (kerana menjalankan perniagaan service air-con) hingga air melimpah ke permukaan jalan, tetapi apabila laporan dibuat kepada Majlis Perbandaran mereka tak melakukan kerja-kerja tersebut ketika pemerikaan dibuat oleh penguatkuasa. Justeru tak hairanlah, keluarga terbabit memasang khemah dengan menutup jalan dengan tak memerlukan permit, di samping membelakangkan etika kejiranan, kata Nan selanjutnya.
INFO SASTERA & BUDAYA:
PROKLAMIR SASTERAWAN NEGARA
MENUNGGU PENAMPILAN PENGARANG WANITA


Memang penilaian sastera dikatakan subjektif, samalah seperti sukan SEA di Korat yang banyak acara sukan dinilai markah secara subjektif. Heh heh heh! Akibat perkiraan markah mengikut subjektif, dikatakan banyak acara sukan Malaysia gagal memenangi pingat emas, menyebabkan Menteri Belia dan Sukan Dato’ Azalina Othman Said naik berang. Beliau dikatakan menyalahkan pegawai-pegawai persatuan sukan tak prihatin dengan pembabitan atlit-atlit negara, menyebabkan kemerosotan dalam bidang sukan yang pernah didominasi oleh Malaysia. Tetapi sastera yang dinilai secara subjektif ini tak pernah menimbulkan keberangan kepada menteri yang berkaitan dengan pembangunan sastera, gamaknya Menteri Pelajaran kot!
KOMENTAR:
bersama Pak Parjo
‘BERSIH’ YANG MAHU BERSIHKAN
PENGERUSI SPR PERLU DIBERHENTI

Sebermula jawatan SPR yang dipegang oleh Tan Sri Abdul Rashid itu sekadar sementara sahaja atau ‘pinjam-pinjaman’ gerangannya, kerana diriwayatkan oleh sahabat-sahabat fakir terdahulu, Tan Sri Ahmad Perang ketika menjadi Pengerusi SPR juga dikritik keras sebelum pilihanraya 1969. Adanya! Malah beliau diperli kerana tak mampu untungkan KTM ketika menjadi Pengerusi KTM, tiba-tiba diberi tanggungjawab mengendali SPR. Maka fakir pun berfikirlah, tak salah bagi BERSIH meneruskan usaha sebagai aktiviti, setidak-tidaknya kerajaan tak berdegil sangat membiarkan kepongahan dalam pentadbiran seperti tersebutlah akan raja Melaka itu mahu ia meminang Puteri Gunung Ledang menyebabkan terpinga-pinga mahu menyuratkan Kitab Melayu oleh:

HIDUP BAHASA MELAYU!