Saturday, May 2, 2009

Manifestasi seniman rakyat...

Lakonan solo Sabri Yunus:
Dari karya teater Dinsman

Teater Dinsman 'Menunggu Kata Dari Tuhan' (Teater dari Hadis) lakonan solo Sabri Yunus (45 minit) dibantu muzik oleh Sani Sudin Kopratsa (live atas pentas) di Auditorium Muzium Negeri Selangor, Shah Alam 29 April - 3 Mei 2009 (9.00 malam). Sudilah datang menonton. SMS dari Dinsman karyawan teater yang tak jemu-jemu berkarya sebagai manifestasi seniman dengan kebobrokan masyarakat. Bagi peminat-peminat teater, malah orang ramai dijemput turut sama menyaksikan karya terbaru Dinsman.

(*Dinsman adalah aktivis teater, di samping penyair dan pendeklamator puisi. Sajak-sajaknya banyak tesiar di pelbagai media, dan di antara karya teater yang popular ialah 'Jangan Bunuh Diri'. Bekas sidang editorial di DBP, Dinsman lebih selesa berkarya secara bebas bersama rakan-rakannya sperti Ito, Nasir Jani, Sabri Yunus dan Sani Sudin)

SEMPENA HARI PEKERJA...

Pejuang jauh di perantauan
Wajar mereka dibawa pulang

Sempena Hari Pekerja 1 Mei yang diiktiraf di seluruh dunia, kerajaan Malaysia di bawah pimpinan baru, sepatutnya prihatin dengan pejuang-pejuang bangsa yang terbabit dalam gerakan pekerja ini. Mereka sekarang menetap di Kampung Perdamaian Sukhirin (Kampung Chulabhorn Patana 12) di selatan Thailand, berikutan perjanjian damai pada period Tun Dr Mahathir Mohamad 1989. Majoriti mereka ingin balik semula ke tanah air, tetapi peraturan yang memerlukan mereka ditahan terlebih dahulu, barangkali tak relevan dilaksanakan.

Baru-baru ini Pakcu Duwi (atau nama sebenarnya Ibrahim Mat Sarip - 1935 – 2009) meninggal dunia pada pukul 10 pagi, 9 April 2009, dengan tak berpeluang balik ke tanah airnya. Berita awal yang diterima, beliau meninggal ketika berada di rumah isterinya di Daerah Raman, Wilayah Yala. Sebuah kereta telah dihantar untuk membawa jenazah pulang. Allahyarham dikebumikan pada malam itu juga di tanah perkuburan Kampung Perdamaian Sukhirin (Kampung Chulabhorn Patana 12).

Allahyarham berasal dari Kampung Paya Pasir, Temerloh, Pahang, Pernah menyertai Platun 5 Rejimen Ke-10 di bawah pimpinan Manap Jepun. Tahun 1953, mengikuti Pasukan Hang Jebat Rejimen Ke-10 berpindah ke kawasan sempadan. Berikutnya Abu Samah Kassim (1926-2009, jenazahnya ketika meninggal dunia 14 April 2009) juga meninggal dunia jauh dari kampung halaman. Beliau berasal dari Lanchang, Pahang adalah cucu kepada Dato' Bahaman (Dato' Setia Pahlawan Orangkaya Semantan).

Sempena 'Hari Pekerja', wajar bagi kerajaan membawa mereka balik semula ke tanah air, kerana mereka adalah pencetus kepada perjuangan pekerja dan prolitar. Kalau kerajaan sudah membenarkan Musa Ahmad, Zainab Mahmud (kakak wartawan Osman Abadi), Shamsiah Fakeh dan Ibrahim Ahmad, apa salahnya mereka dibenarkan balik ke tanah air. Negara sepatutnya berasa akan kehilangan Ibrahim Haji Yaakob (gambar), Rashid Maidin, Onan Haji Siraj dan ramai lagi yang meninggal dunia jauh di perantauan. Mereka juga pejuang nasionalisme yang menggunakan Bahasa Melayu dan persurat khabaran bagi menentang kolonial British.

PANDANGAN SELEPAS SARAPAN...

Perkasa Dewan Negara:
Tak dianggap 'rubber stamp'

Mempersenda DUN Perak dengan kerenah 'menghalal cara', lebih baik memperkasa Dewan Negara yang sekian lama dilabel sebagai 'rubber stamp' sejak merdeka lagi. Pelantikan ahli Dewan Negara mengikut nasihat Perdana Menteri di samping dua ahli dari setiap DUN, masih meletakkan Dewan Negara sebagai 'rubber stamp' hingga sekarang. Persepsi demikian boleh diubah sekiranya Ahli Dewan Negara lebih berwibawa daripada Ahli Dewan Rakyat selaras dengan statusnya sebagai 'House of Lords'.

Barangkali bagi mengelakkan pembaziran idea kalangan intelektual, di samping mengangkat status Dewan Negara supaya tak dilabel 'rubber stamp', pelantikan ahli-ahlinya juga perlu mampu menasihati bukan sahaja Ahli Dewan Rakyat, malah meliputi menteri dan Perdana Menteri juga. Justeru tokoh-tokoh seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Musa Hitam, Tan Sri Sanusi Junid (gambar), Dato' Ruhanie Ahmad, Tan Sri Lee Lam Thye, Tan Sri Rahim Noor (sekiranya masih sihat) dan ramai lagi wajar dibawa ke Dewan Negara. Pimpinan negara boleh manfaatkan idea mereka, di samping Dewan Negara tak dianggap 'rubber stamp' - Pak Dharma.