Tuesday, May 19, 2009

NOSTALGIA P/RAYA KECIL


Tun Razak tak letak calon:
Najib macam ikut cara ayahnya

Dalam tempoh lebih 30 tahun, buat kali kedua UMNO/BN tak meletakkan calon dalam pilihanraya kecil. Kali pertama pada period pentadbiran Tun Abdul Razak Hussain tahun 1975, apabila pilihanraya kecil Parlimen Mengelembu berikutan ahli Parlimen di situ Fan Yew Teng hilang kelayakan setelah didapati bersalah di bawah Akta Hasutan. Sekalipun Fan Yew Teng dalam proses mengemukakan rayuan, tetapi Tun Razak tak bertangguh mahukan pilihanraya kecil. Disebabkan masalah teknikal, BN tak meletakkan calon, di samping pilihanraya kecil itu dibatalkan setelah dijalakan penamaan calon. Huh, malunya!

Kali kedua sekarang di bawah pentadbiran Dato' Seri Mohd Najib, UMNO/BN tak meletakkan calon kerana heh heh heh! Apalagi bekas Presiden UMNO Tun Dr Mahathir Mohamad pun turut menyuarakan (sekalipun pandangan peribadi) keputusannya sudah diketahui iaitu BN akan kalah. Kalau bimbang kalah hingga tak meletakkan calon dalam pilihanraya; lebih baik tak jadi parti politik. Malah AKIM yang seringkali hilang deposit pun tak pernah takut menghadapi pilihanraya, atau seorang rakan Khairuddin Jantan dari Kuala Langat yang beberapa kali tewas dalam pilihanraya memberitahu: "Saya bimbang kalau menang. perkara kalah dah jadi perkara biasa!" - Pak Dharma.

KHIR TOYO & ISU AIR...


PUAS berhutang kpd k'jaan Pusat:
Tujuan pennswastaan libatkan kos RM12b.
(Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo ialah bekas Mentri Besar Selangor. Beliau menulis menerusi blognya http://www.drkhir.com/ mengenai isu air Selangor. Dr Khir bertanggungjawab dalam peralihan kuasa mengendalikan air Selangor dari PUAS kepada SYABAS. Atas kapisitinya Ketua Pembangkang DUN Selangor, beliau membuat kritikan terhadap isu air Selangor yang menimbulkan kekeliruan rakyat sekarang)

1. Saya tertarik dengan beberapa papan tanda mengenai air yang dibuat oleh kerajaan negeri Selangor. Antaranya berbunyi "Kembalikan Hak Air Untuk Rakyat Negeri Selangor" dan "Hentikan, Jangan Biar Syarikat Kroni Merampas Hak Rakyat."

2. Ketika kita tertanya-tanya wang dari mana digunakan untuk membiayai billboards di seluruh Selangor ini, saya ingin mengulas sedikit isu ini untuk kita sama-sama mencari jalan yang realistik.
3.Isu pengambil alihan kembali pengurusan air Selangor (termasuk Kuala Lumpur) bukanlah isu baru. Ini kerana kerajaan negeri sejak 2007 lagi telah melakukan kajian dan bercadang mengambil alih Syabas serta semua syarikat berkaitan dengan pengurusan air di Selangor dan Kuala Lumpur. [Saudara/i boleh rujuk kenyataan saya di Bernama pada 1 Jun 2007 yang lalu]

4.Apa yang dibentangkan oleh kerajaan negeri baru-baru ini merupakan hasil kajian anak syarikat kerajaan negeri sejak 2007 lagi.Bagaimanapun faktor kos yang terlalu tinggi menyukar pengambilalihan ini. Ketika itu, saya fikir tidak wajar untuk kerajaan negeri menanggung hutang berbilion ringgit hanya untuk satu sektor sahaja. Justeru kita bersetuju penyatuan pengurusan air ini dilakukan di peringkat persekutuan melalui Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN).

5. Untuk rekod juga, Projek Penswastaan Air Selangor ini diuruskan melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri. Kerajaan Negeri ketika itu meminta bantuan Kerajaan Persekutuan atas alasan kemudahan asas awam memandangkan kos pengurusan air semakin tinggi.

6.Ketika itu, hutang Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS) kepada Kerajaan Persekutuan sahaja berjumlah RM 1.6 bilion. Pihak yang mengambil alih Puas melalui penswastaan ini menanggung semua hutangnya dalam konsep "lock, stock and barrel". Jika tidak silap saya ini kali pertama dilakukan penswastaan kaedah ini.

7. Tujuan penswastaan ini juga bagi membolehkan EPU menjalankan kajian dan memberi cadangan mengenai pengurusan air antara negeri (inter states). Ini amat penting kerana Selangor dijangka mengalami krisis bekalan air menjelang memandangkan bekalan air di Selangor sahaja tidak akan mencukupi pada masa akan datang. Kajian tersebut mencadangkan penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor yang memakan kos RM 12 Bilion.

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...

Biarlah orang menuduh pengecut:
Asal sahaja dapat duduk di petrana

Sebermula tersebutlah ceritera Orangkaya Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak pada suatu hari diberitahunya orang banyak engganlah ia ke Penanti. Adapun di Penanti itu anak-anak buah Orangkaya Dato' Seri Anwar Ibrahim terpinga-pingalah ia kerana tak pernah harakah Melayu (UMNO) itu takut memencak ke tengah gelanggang. Arakian sekali persetua berlaku juga ketua segala anak muda harakah Melayu itu meminta maaf kerana menghunus keris, adanya. Maka oleh Orangkaya Dato' Najib biarlah orang banyak menuduhnya pengecut, asal sahaja dapatlah ia duduk di petrana balairongseri itu.

Syahdan pada sekali persetua Sultan Mahmud Shah bermain dengan isteri Tun Biajid, anak Laksamana Hang Tuah. Tatkala itu Tun Biajid tiada di rumah, pergi ke Morib kerana Morib pegangannya. Maka Tun Biajid pun tahu akan Sultan Mahmud bermain dengan isterinya. ikalau hendak dibunuhnya pada masa itu dapt, kerana tiada berapa orang mengiringkan raja; daripada ia hamba Melayu tiada mau mengubah setianya, sekadar ditimang-timang lembingnya. Maka oleh kerana dosa-dosanya tiadalah Sultan Mahmud mahu melawan, sekalipun pengiring-pengiringnya mahu melawan jua. Sebab itu dibuat orang pantun:

Berakit-rakit remang ke tebing
Macam semut meniti awan
Tun Biajid menimang lembing
Sultan Mahmud tak melawan
Arakian segala kejadian yang menimpa raja itu disuratlah dalam 'Kitab Melayu' seperti dirawikan oleh:







HIDUP BAHASA MELAYU

DARI LAMAN BLOG...

Tak takut lakukan kemungkaran
Maknanya tak takut kepada Tuhan
Assalamualaikum,

Komunisme memang menolak kewujudan Tuhan, tetapi pimpinan gerakan radikal dalam perjuangan nasionalisme tak menerima idealisme berkenaan, menurut bekas aktivis tentera rakyat yang bergerak di hutan Perak sekitar dekad 1950-an dikenali Pak Chad. Kesempatan pertemuan saya dengan beliau semalam (18 Mei 2008) di sebuah perkampungan pedalaman di Jelebu banyak menelusuri nostalgia perjuangan bangsa. Pak Chad tak terkejut apabila diberitahu mengenai rakan-rakannya yang menetap di perkampunagn perdamaian Sukhirin di selatan Thailand.


Beliau tak terkejut apabila diberitahu mengenai warga penduduk perkampungan perdamaian Sukhirin mengadakan kenduri tahlil 40 hari selepas kematian Abu Samah Kassim dari Regimen Ke 10 di bawah pimpinan Rashid Maidin. Abu Samah (gambar ketika dirawat di hopital di selatan Thailand) berasal dari Lancang, Pahang merupakan cicit Dato' Setia Pahlawan Orangkaya Semantan, Dato' Bahaman menyertai gerakan militan apabila rumahnya diserbu oleh kolonial British. Beliau meninggalkan seorang balu Siti Nurkiah Mahmud Baginda dikenali Tun Aminah iaitu adik Zainab Mahmud Baginda (isteri Musa Ahmad) yang dibenarkan pulang ke tanah air sekitar dekad 1980-an.

Mereka berdua adalah kakak kepada bekas Timbalan Ketua Pengarang Utusan Melayu, Osman Abadi (gambar,Tun Aminah). Kronologi ini bagi menilai sumbangan mereka dalam gerakan nasionalisme apabila dilabel sebagai komunisme. Malah Pak Chad mengakui, kalangan pejuang radikal Melayu mengakui apabila komunisme menolak kewujudan Tuhan, maknanya manusia sanggup melakukan rasuah, kepongahan, keerongosan dan kejahatan seolah-olah membelakangkan kewujudan Tuhan. Katanya 'Tuan Rashid' (panggilan kepada pimpinan Rashid Maidin) pernah menemuinya di Jelebu, sebelum bertolak menunaikan fardu haji adalah hafiz al-Quran.

"Tuan Rashid ke Mekah adalah atas sumbangan Tun Dr Mahathir di bawah urusan Tabung Haji," kata Pak Chad. Panggilan 'komrad' tak wujud dalam pejuang radikal Melayu, tetapi penghormatan kepada pimpinan dengan memanggil mereka tuan. Pak Chad juga mengenali 'Tuan Abdullah' (Abdullah CD), 'Tuan Musa' (Musa Ahmad) dan Kaklong Shamsiah (Shamsiah Fakeh) antara pimpinan radikal Melayu. Memang beliau menghormati keberanian mereka meneruskan perjuangan, sekalipun beliau menyerah diri selepas kemerdekaan Tanah Melayu. (gambar-gambar dengan ihsan laman blog http://www.matamin.blogspot.com/)
Pak Chad berasal dari Seri Menanti, Kuala Pilah menyertai gerakan militan ketika berusia 16 tahun sekitar awal dekad 1950-an. Beliau terbabit dalam gerakan Pemuda API, di samping pimpinan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) ialah Shamsiah Fakeh dari Ampang Tinggi berdekatan dengan kampungnya. Begitulah!

-Pak Dharma.

MOHD AFFANDI HASSAN MENULIS...

Angkuh dan kepongahan UMNO:
Kerana dapat kerbau ditanjul hidung

(Pandangan Mohd Affandi Hassan, sasterawan dan pengkritik sastera Melayu tersohor. Pesara PTD dan bekas peawai tinggi kementerian, beliau berpengalaman luas dalam pentadbiran dan pengurusan kerajaan. Pernah beberapa kali memenangi hadiah karya sastera, tetapi beliau menolaknya sebagai protes kepada kebobrokan dalam pimpinan budaya dan persuratan yang dianggap dipengaruhi kuasa pemerintah)

Majlis Tertinggi BN pada 18/5/2009 mengambil masa lima jam untuk membuat keputusan “penting” tidak bertanding di DUN Penanti dan tidak mahu campur tangan dalam politik Perak. Kedua-dua keputusan ini membuktikan keangkuhan UMNO/BN (gambar hiasan) dalam menghadapi masalah rakyat. Alasan untuk tidak bertanding ialah kerana tidak mahu membazir wang rakyat (sungguh lemak manis ucapan palsu ini!) kerana kos pilihan raya sangat mahal; tetapi yang lebih penting tidak mahu ikut gendang PKR dan Pakatan Rakyat yang mempermainkan demokrasi sesuka hati mereka walaupun perbuatan itu bertentangan dengan Perlembagaan.

UMNO/BN ada maruah, tidak bertindak macam budak-budak seperti yang dilakukan oleh PKR. Jika itulah alasannya, maka benarlah sangkaan orang/rakyat selama ini UMNO/BN itu sangat angkuh, kasar dan biadab, menghina rakyat, berbohong kepada rakyat tanpa segan silu, dan segala macam kata-kata kesat lain-lain yang dilemparkan oleh rakyat pada waktu ini. Rakyat ingin tahu apakah agenda pemimpin baru, Majlis Tertinggi UMNO yang baru dipilih, Kabinet Baru (yang dicanang berjiwa rakyat) dan yang paling utama apakah sikap UMNO/BN terhadap desakan rakyat supaya rakyat Perak diberi hak mereka untuk menentukan kerajaan mereka dalam pilihan raya baru.

Dengan keputusan yang dicapai oleh MT BN itu jelaslah bahawa desakan rakyat itu diketepikan dan tidak mahu didengar pun. Rakyat kini diberitahu, UMNO tidak mahu melepaskan Perak dalam keadaan apa sekali pun, hatta jika perlu dengan mendaruratkan politik Perak; ambillah Penanti yang tidak bermakna sedikit pun bagi UMNO/BN. Kata para pemimpin UMNO, kami dapat kerbau besar yang boleh disuruh-suruh dan dilapah-lapah; kamu (PKR) hanya dapat puyuh tua yang tak ada bulu lagi, sudah berhenti bertelur pun.

Kami kenduri kerbau; kamu sapu tahi puyuh! Itulah makna keputusan MT BN tidak bertanding di DUN Penanti. Jelas sekali keangkuhan UMNO/BN menghina rakyat. Rakyat dijeritkan bahawa pemimpin “baru” adalah tawaduk, rendah diri, mengutamakan rakyat, menghormati rakyat dan segala ucapan kosong tidak bermakna yang dilandaskan atas nama rakyat. Jika benarlah mereka tawaduk, rendah diri dan lain-lainnya itu, mengapa mereka tidak mahu menghadapi rakyat? Menjelaskan kepada mereka (rakyat) program istimewa yang dirancang untuk rakyat; menerangkan masalah negara sekarang dari segi politik dan ekonomi.

Kerana keangkuhan UMNO/BN (gambar hiasan), rakyat tidak langsung diberi peluang untuk mendengar penjelasan dan penghujahan para pemimpin UMNO/BN. Sudah jelas pula betapa UMNO/BN tidak dapat menerima kekalahan; padahal ada perkara lebih penting daripada kemenangan, iaitu penjelasan setulus-tulusnya kepada rakyat tentang masalah negara dan bagaimana rakyat akan dilindungi dalam program khusus untuk mereka. Inilah peluang untuk UMNO/BN menjadi wira rakyat yang sebenarnya.

Tetapi dengan melarikan diri, maka rakyat sudah dapat lihat dengan jelas bahawa mereka hanya didekati jika sokongan mereka diyakini akan membawa kemenangan kepada UMNO/BN. Tidakkah itu muslihat politik yang sangat jahat dan tidak jujur? Dengan memperlekeh rakyat, mempersendakan demokrasi (demokrasi digunakan jika kemenangan dikira pasti), dan mengelirukan rakyat tentang hak-hak rakyat dalam Perlembagaan (sekiranya UMNO kalah maka pembangkang melanggar Perlembagaan), maka semua retorik UMNO yang dijeritkan selama ini tidak bermakna, palsu, dan tidak boleh dipercayai sama sekali.

Sungguh sayang, peluang untuk mendekati rakyat sebagai wira mereka yang jujur dan benar-benar prihatin dilepaskan begitu saja semata-mata kerana perasaan sombong dan angkuh, dan tabiat buruk tidak boleh menerima kekalahan. Memang betul UMNO sudah tua, tidak berdaya lagi memanjat bukit kecil sekali pun, tetapi kelemahan itu boleh dijadikan kekuatan sekiranya para pemimpin UMNO/BN tidak berbohong dengan mengaku berterus-terang akan kelemahan mereka, tidak cuba menipu dengan berkata benar bahawa selagi mereka berkuasa mereka akan memberi layanan sama rata kepada semua rakyat dengan berani pula menghadapi rakyat dalam pertandingan merebut kepercayaan rakyat itu.
Dalam konteks inilah slogan Satu Malaysia ternyata palsunya, dihancurkan oleh UMNO/BN sendiri yang tidak berani menghadapi cabaran (mereka sudah lupa pemimpin mereka dulu pernah menulis buku berjudul “Menghadapi Cabaran”!) untuk bertemu rakyat secara kontan dengan memberitahu mereka bahawa pelindung mereka yang sangat lemah ini masih kuat mempertahankan hak mereka untuk membuat pilihan.

Itulah baru pemimpin namanya, bukan hanya penjual ubat politik yang cakapnya berdegar-degar, tetapi penuh tahi di gelegar! Penanti akan tercatat dalam sejarah politik Malaysia sebagai bukti keangkuhan UMNO/BN dan sikap mereka yang anti-rakyat. Imej buruk ini hanya dapat dihapuskan sedikit sebanyak dengan melepaskan Perak untuk diadili rakyat dalam pilihan raya baru. Hanya itulah satu-satunya pilihan UMNO/BN untuk membuktikan kejujuran mereka. [18/5/2009]

SUARA DARI LANCANG...

UMNO umum tak letak calon:
Hilang 'kejantanan' di Penanti

Keputusan UMNO/BN tak meletakkan calon pada pilihanraya kecil DUN Penanti, dianggap tak memiliki 'kejantanan', menurut aktivis teater di Pahang L.Mankadir Shamsi. Katanya menerusi laman blog http://www.tokperan.blogspot.com/, kejantanan UMNO layu di Penanti kerana lawan kalah, tak lawan salah. Presiden UMNO Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan malam ini (18 Mei 2009) selepas mempengerusikan mesyuarat MT di PWTC, UMNO tak meletakkan calon disebabkan ianya tak berkaitan dengan perlembagaan. "Kalau tak berkaitan dengan perlembagaan, SPR umumkan kekosongan kerusi DUN Penanti berkaitan dengan apa?" jelas L.Mankadir seterusnya.

Kata L. Makadir lagi, mungkin itu salah satu konsep slogan 1 Malaysia dalam menghadapi pilihanraya kecil era kepimpinan Najib sebagai Presiden Umno/Bn.Pasti memeningkan kepala Najib. Entah berapa ramaikan para pemimpin Umno/Bn yang akan mempersoalkan tindakannya itu. Mereka mungkin menyalahkan beliau jika kejantanan Umno selama ini tiba-tiba terkulai layu begitu saja tidak sempat masuk gelanggang, beritahu L. Mankadir. "Najib tak mahu imejnya selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri tercemar apabila kalah dalam PRK, tetapi perkiraan beliau silap kerana rakyat dapat menilai kewibawaan seorang pemimpin yang satu ketika beriya-iya menggunakan tekanan beberapa sudut untuk segera mendapatkan kerusi Presiden Umno seterus PM dari Pak Lah," katanya menambah.

PUISI

Sezaman Segemilang Ayutthaya

Dari jendela kamar hotel
aku berdiri sepi memerhati
degup jantung kota Bangkok
menginsutkan selirat kesesakan
kenderaan tunda menunda
merentas sempadan hari
dan senja inipun
melabuhkan gerimis
dan asap setanggi biara
keramat Erawan
bagaikan memberi tahu
sebentar lagi
kenderaan diraja akan lalu.

Tiba-tiba sahut bersahutan
bunyi wasit polis
memberhentikan pejalan kaki
yang bergerak di atas
jambatan langit
dan di bawahnya berlalulah
kenderaan diraja
membawa baginda beriring
lembayung langit kota Bangkok
dan rakyat di atas jambatan langit
tidak ketulahan!

Aduhai Tanah Semenanjungku
terasa amat rindunya aku
pada kedaulatan semalammu
sezaman gemilangnya Ayutthaya
pulang nanti terasa ingin aku
mengunjungi Tuan Gabenor
di Melaka.

-Yassinsalleh
jam 2213
Mei 18, 09
Grand Hyatt Hotel
Erawan, Bangkok.