Saturday, April 18, 2009

DARI LAMAN BLOG..


UMNO Pahang diberi prioriti:
Majlis sambutan untuk Najib
Assalamualaikum,
Laporan agensi berita BERNAMA hari ini (18 April 2009) lebih 40,000 orang menyambut Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang balik ke Pahang buat pertama kali selepas mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri pada 3 April 2009. Sejak Disember 2008 lagi ura-ura UMNO Pahang mahu menyambut secara besar-besaran kepulangan Najib sudah diatur. Kalau pihak lain yang berminat mahu membuat keraian juga perlu ditangguh, bagi memberi lalaun kepada UMNO Pahang. Sudah tentu UMNO Pahang diberi prioriti menggerakkan sbarang majlis keraian atau sambutan besar-besaran. Heh heh heh!

Minggu lalu kawan saya dari Seremban dikenali Sani mengajak kePahang pada 18 April 2009 (hari ini), tapi tak memberikan tujuannya. Beliau sekadar beritahu ada urusan sikit (tak tahulah sikit macam mana) dengan pimpinan UMNO di Pekan. Bagaimanapun saya tak memberi kata putus untuk ke Pekan, disebabkan pada Disember 2008 ketika diajak Allahyarham Syed Noor Adnan Dato' Syed Abdullah, saya tak berapa selesa sangat. Perjalanan ke Pekan hampir empat jam, justeru pergi dan balik kira-kira lapan jam. Perkara yang mahu dibincangkan sekadar 10 minit sahaja. Begitulah!
Bagaimanapun Sani yang dijangka menjemput ke rumah, tak kunjung tiba sehingga selesai solat subuh hari ini (18 April 2009). Barangkali Sani juga tak ke Pekan, kerana saya tak hubungi beliau seleaps itu, di samping beliau juga tak pula menghubungi saya. Memang saya sekadar menemani kawan itu sahaja ketika ke Pekan pada 20 Disember 2008 sebelumnya; apalagi Allahyarham Syed Noor Adnan aktivis PRIMA. Sani juga berharap saya mahu ikut sama, disebabkan urusan tersebut sudah dimulakan oleh Syed Noor Adnan. Tetapi saya tak selesa kalau lebih lapan jam di dalam kereta pergi dan balik KL-Pekan.

Rupa-rupanya hari ini Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dalam rangka ke Kuantan yang diraikan oleh pimpinan BN di Pahang, selepas dilantik memegang jawatan PM pada 3 April 2009 lalu. Kalau Sani ke Pahang pun, barangkali majoriti pimpinan UMNO Pekan berkumpul ke Kuantan bagi menyambut Najib. Tak hairanlah Sani tak menjemput saya di rumah pagi ini, berikutan senario berkenaan. Memang Sani mempunyai urusan sedikit dengan pimpinan UMNO di Pekan, tetapi beliau sekadar beritahu mahu berkunjung ke Pahang sahaja. Entahlah!


-Pak Dharma.

SUHAIMI DARI LUBUK KAWAH...


Peruntukan p/raya UMNO:
Banyak salur utk keselamatan

Hari ini (18 April 2009) semua surat khbar arus perdana memaparkan jumlah kos Pilihanraya Kecil sebanyak RM33.4 juta. Kos yang paling tinggi adalah digunakan oleh pihak Polis Malaysia iaitu RM11.5 juta di Kuala Terengganu, Permatang Pauh RM2.5 juta, Bukit Gantang RM7 juta, Bukit Selambau dan Batang Ai masing-masing Rm5 juta; manakala SPR menggunakan RM580,000 di Kuala Terengganu (gambar ialah suasana penamaan calon di Kuala Terengganu), RM600,000 di Bukit Gantang, RM409,000 di Permatang Pauh dan masing-masing RM400,000 di di Bukit Selambau dan Batang Ai.

Hanya tidak didedahkan jumlah salahguna kuasa oleh BN, berapa puluh juta dari setiap Kementerian dan Projek-Projek Mee Segera. Berapa ratus juta pula janji BN untuk projek akan datang disemua kawasan Pilihanraya itu. Janji ini sesetengahnya jangan harap mereka laksanakan terutamanya ditempat mereka kalah. Rasuah politik? Berapa ratus ringgit seorang? Ooop, ada rasuah ke? Kalau tak rasuah, tak namanya UMNO/BN.

Sama sendiri pun mereka rasuah, inikan pulak untuk dapat undi orang ramai, lagilah kuatnya mereka guna rasuah. Memang Pilihanraya jenis ini mahal kosnya! Sebab itu kita tak mahu Pilihanraya dibawah pentadbiran BN. Mahal dan tidak berpadan, sedangkan banyak penipuan berlaku seperti undi hantu dan sebagainya.
(*Haji Suhaimi Said ialah peguambela dan peguamcara dari Lubuk Kawah, Temerloh, Pahang. Beliau terbabit dalam gerakan persuratan dan pendeklamator sajak. Sajak-sajaknya banyak tersiar di Dewan Sastera dan Dewan Masyarakat sekitar dekad 1970-an dan 1980-an).

CATATAN ANWAR IBRAHIM...


Tahanan bebas dicanang:
Mangsa baru ISA disembunyi
(Kenyataan media Ketua Pembangkang Parlimen, Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 18 April 2008 di Kuala Lumpur, mendesak dilakukan perubahan secara menyeluruh, di samping mempertikai penahanan ISA individu yang didakwa terbabit dengan JI)
Di sebalik pembebasan 13 tahanan ISA tempoh hari, kita dikejutkan pula dengan pendedahan Gerakan Mansuhkan ISA yang membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia(SUHAKAM) bahawa tiga lagi ditahan sejak bulan lalu (gambar atas, pusat tahanan ISA di Kemunting, Taiping). Mangsa terbaru ialah Abdul Matin Anol Rahmat yang ditahan pada 1hb April 2009, dua hari sebelum Dato Najib menjawat jawatan perdana menteri. Menurut aduan GMI, ketiga-tiga mereka ditahan kerana disyaki terbabit dengan Jemaah Islamiah.

Saya tegaskan kini bukanlah masanya mendendangkan halwa telinga politik. Jika mahukan Perubahan, laksanakannya, jangan lagi berdolak dalik. Pastikan Akta Keselamatan Dalam Negeri dimansuhkan dan maklumat tidak disekat serta suara yang berbeda tidak dibungkam.
Kepada rakan-rakan sekalian, Keadilan merupakan tiang paut yang boleh dikongsi bersama, walau berbeda ras, budaya dan agama.

Keadilan adalah fitrah yang menyebati dalam diri setiap insan. Firman Allah S.W.T dalam Surah Al A’raf ayat 29 berbunyi, “Katakanlah Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara).” Kerana itu apabila kita bersatu kerana ingin menegakkan Keadilan dan menentang kezaliman, makanya kita memepersatu kekuatan yang ada dalam setiap dari kita. Kekuatan inilah yang akan kita gembleng untuk melakukan perubahan yang menyeluruh.

(*Dato' Seri Anwar Ibrahim ialah Ketua Pembangkang Parlimen dan Ahli Parlimen Permatang Pauh. Dikenali sebagai aktivis pelajar dan aktivis belia pada dekad 1960-an dan 1970-an. Bekas Timbalan Perdana Menteri, beliau disingkirkan pada September 1998 yang dikatakan ianya membabitkan konspirasi ala Pateh Karma Wijaya di Melaka sekitar 1460-an).

LAPORAN DARI HARAKAHDAILY


Nizar mohon menghadap:
Tunggu jawapan Sultan Perak

Sekali lagi Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mohon mengadap sembah DYMM Tuanku Sultan Perak Darul Ridzuan setelah permohonan mengadap sembah bertarikh 11 Mac lalu tidak mendapat sebarang jawapan dari pihak istana. Dato' Seri sekali lagi memohon mengadap bagi menyembah maklum keputusan Ahli-ahli Yang Berhormat Pakatan Rakyat dalam Sidang Dun Tergempar yang lalu. Demikian dinyatakan oleh Ketua Penerangan PAS Perak, Misbahul Munir Masduki sebagai reaksi terhadap permohonan yang lalu tidak mendapat reaksi daripada pihak istana.

Surat permohonan telahpun difaxkan oleh beliau selaku Setiausaha Politik melalui Kol. Dato' Abdul Rahim Mohamad Nor, Setiausaha Sulit kepada DYMM Tuanku Sultan Perak jam 3.40 petang semalam. Pada 16 April lalu Mahkamah Persekutuan telah membatalkan keputusan Speaker yang menggantung Dato' Zambry dan enam orang Exco daripada memasuki sidang dewan. Ekoran daripada itu, krisis Perak tetap tidak ada kesudahannya. Menurutnya beberapa pihak melihat kuasa Speaker telah dinafikan oleh mahkamah, Speaker yang mempunyai kuasa dalam memberi tafsiran terhadap Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Perak telah hilang kekuasaannya.

"Speaker kini tidak ada imuniti terhadap keputusan yang dibuatnya," jelas beliau. Penyelesaian yang paling adil dalam mengatasi kemelut politik di Perak katanya, ialah mengadap Tuanku bagi mohon perkenan supaya Dun Perak dibubarkan, biar rakyat yang menjadi hakim terhadap kemelut ini. Semua pihak sama ada Pakaran Rakyat mahupun BN perlu menyerahkan semula mandat ini kepada rakyat untuk memilih semula Kerajaan di Perak, katanya. "Apapun keputusan rakyat, semua pihak hendaklah akur dengan kehendak rakyat," jelasnya. "Ini yang kita mahu, jangan jadikan Perak negeri yang mencetus sejarah dengan membelakangi kepentingan rakyat dan undang-undang, rakyat hakim yang paling adil dalam menyelesaikan isu ini," tegasnya. - mns

APA KATA BLOG BIAQPILA...

UMNO turun ke devisyen dua:
Stadium pun tak sudi nak terima

Kalau diibaratkan pasukan bola, UMNO tak layak lagi bermain bagi devisyen satu. Apalagi stadium bola pun tak sudi lagi nak terima. Perkara kalah empat perlawanan berturut-turut, bukanlah menjadi perkiraan. Tetapi UMNO sendiri kucar kacir, malah saling tuding menuding jari menyalahkan sama sendiri. Mungkin sahaja enggan mengakui kekurangan sendiri, justeru dipersalahkan pula padang tak rata, becak atau kurang sesuai. Kenapa pula salahkan padang, kalau sudah 'kaki bangku'. Apalagi UMNO sendiri tak mempunyai pimpinan pemain yang berwibawa kecuali budak-budak kampung belaka.


Apabila UMNO gunakan khidmat refree yang berat sebelah, ianya juga tak membantu kerana UMNO memang tak memiliki pemain yang tahan diuji. Sebaliknya kalau diibaratkan pohon-pohonan di dusun, UMNO tak ubah macam rambutan jantan. Sekalipun lebat berbunga, tetapi tak akan berbuah. Justeru UMNO berharapkan keluang keluar pada malam hari, bagi memusnahkan rambutan lain yang berbuah lebat. Kalau UMNO berhimpun di mana-mana terpaksa sewa bas untuk memunggah orang ramai. Sebalknya lihatlah parti lawan (gambar), mereka hadir secara sukarela; tak perlu pun gula-gula. Layarilah laman blog: http://www.biaqpila.blogspot.com/

NIZAM ULAS DR M...


Polisi songsang PPSMI
Dr M berbahagia dengan BI

Saya memang selalu mual jika membaca tulisan TDM (rujuk pandangan Tun Dr M mengenai barisan kabinet), langsung tidak menggambarkan citra dirinya yang sebenar.Maksudnya, seolah-olah dia sahaja yang betul dan tidak pernah salah. Seminggu selepas bermaafan dengan Pak Lah sewaktu PAU di PWTC, beliau bantai Pak Lah dalam wawancara BBC.

Dia lebih berbahagia menulis dalam Bahasa Inggeris kerana mungkin dalam Bahasa Melayu tak ada standard dan bermula dengan polisi songsang PPSMI maka bahasa jadi barang dagangan. Kepada saya TDM tak perlu dilayan dan diberikan tempat jauh sekali diberikan ruang. Zaman atau era TDM dah berakhir walaupun kerosakkan akibat tangannya masih terasa. Justeru TDM sebenarnya pemimpin decadent! (http://lanailestari.blogspot.com/)

(*Ahmad Nizam Hamid ialah peguambela dan peguamcara dari Temerloh, Pahang. Aktivis masyarakat dan terbabit dalam persuratan dengan menyertai Dewan Persuratan Melayu Pahang -DPMP di Temerloh. Beliau juga penyajak dan pendeklamator, pernah ikut serta dalam acara baca puisi bersama WS Rendra di Jakarta)
Mahkamah tolak 8 permohonan:
Zamry tak dibenar hadir sidang Dewan

Oleh:Mohamed Hanipa Maidin
(Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat)

Saya sedar ramai yang ingin tahu kesan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 April lalu yang memutuskan bahawa keputusan V.Sivakumar (gambar kiri), Speaker Perak menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya hadir di Dun Perak selama 18 bulan dan 12 bulan adalah terbatal dan tak sah. Ramai yang bertanya saya adakah keputusan tersebut bermakna Zambry dan enam exconya kini boleh menghadiri sidang Dun Perak?

Jika kita melihat kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar pro-Umno seperti Utusan Malaysia (17.4.2009) mereka dengan tidak bertanggungjawab menyatakan bahawa Zambry dan enam exconya kini dibenarkan menghadiri sidang Dun Perak yang mungkin akan diadakan dalam masa terdekat. Sebagai salah seorang peguam yang terlibat dalam kes tersebut, saya menasihati rakyat agar tidak terkeliru dengan kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar Umno tersebut. Banyak yang mereka sembunyikan dan tidak jelaskan tentang apa yang sebenarnya berlaku di Mahkamah Persekutuan pada tarikh tersebut.

Marilah kita mulakan dengan melihat apakah perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry dan enam exconya di dalam saman yang mereka kemukakan ke atas Sivakumar di Mahkamah Tinggi dan kemudiannya didengar di Mahkamah Persekutuan. Sebenarnya Zambry telah memohon sepuluh (10) perintah Mahkamah dan dari sepuluh perintah tersebut Mahkamah hanya membenarkan dua (2) perintah sahaja. Dua perintah yang dibenarkan oleh Mahkamah adalah seperti berikut:Pertama, perintah membatalkan keputusan V. Sivakumar yang menggantung dan melarang Zambry hadir di Dun Perak selama 18 bulan.

Kedua, perintah membatalkan keputusan V. Sivakumar yang menggantung dan melarang enam exco Zambry untuk hadir di Dun Perak selama 12 bulan adalah terbatal dan tak sah.
lapan permohonan Zambry tidak dilulus Mahkamah Persekutuan.Itu sahaja dua perintah yang Mahkamah Persekutuan benarkan pada 16 April lalu. Tidak lebih dari itu. Apa sahaja kenyataan dari peguam Umno selain dari dua perintah tersebut bukanlah perintah Mahkamah sebaliknya adalah kenyataan mereka yang tidak berasas.

Memandangkan Mahkamah Persekutuan hanya membenarkan dua perintah di atas, adalah jelas Mahkamah tidak membenarkan lapan (8) perintah lain yang juga dipohon oleh Umno dan dihujahkan oleh para peguam Zambry dan pasukan peguam Sivakumar. Apakah perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry dan enam exconya tetapi tidak dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan? Mari sama-sama kita saksikan lapan perintah yang TIDAK DIBENARKAN tersebut. Meskipun peguam Umno berhempas pulas dan bermati-matian berhujah, Mahkamah Persekutuan TIDAK MEMBENARKAN perintah-perintah berikut:
1. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar (defendan pertama di dalam kes tersebut) menggantung dan melarang Plaintif Pertama (Zambry) menghadiri pada sidang Dun selama 18 bulan adalah ultra vires (bertentangan) dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undang Negeri Perak (standing orders) dan Enakmen Dewan Perhimpunan Undangan (Keistimewaan) 1959 dan/atau undang-undang yang berkaitan dan oleh itu adalah terbatal dan tak sah.

2. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa perbuatan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry menghadiri sidang DUN selama 18 bulan adalah menyalahi undang-undang.

3. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Plaintif ke-2 hingga Plaintif ke-7 (enam Exco) menghadiri sidang Dun selama 12 bulan adalah ultra vires (bertentangan) dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undang Negeri Perak (standing orders) dan Enakmen Dewan Perhimpunan Undangan (Keistimewaan) 1959 dan/atau undang-undang yang berkaitan dan oleh itu adalah terbatal dan tak sah.

4. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa perbuatan Sivakumar menggantung dan melarang enam Exco menghadiri sidang Dun selama 12 bulan adalah menyalahi undang-undang.

5. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa Zambry dan enam Exconya adalah berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang Dun dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan mereka di dalamnya.6. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa Dun Perak adalah tidak terikat dengan keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya menghadiri sidang Dun Perak.

7. Perintah untuk mengisytiharkan bahawa Dun Perak adalah tidak terikat dengan apa-apa arahan, perintah dan/atau petunjuk Sivakumar yang berbangkit daripada atau berhubung dengan keputusan Sivakumar yang bertarikh 18.2.2009.

8. Perintah-perintah, perisytiharan dan/atau relif lain yang difikir suaimanfaat oleh Mahkamah.

Sekali lagi saya ingin tegaskan di sini bahawa lapan perintah di atas yang Zambry dan enam exconya pohon TIDAK DIBENARKAN oleh Mahkamah Persekutuan. Atas dasar itu jika peguam Umno atau akhbar pro-Umno mengatakan bahawa Zambry dan enam exconya boleh menghadiri sidang Dun Perak, jelas kenyataan itu bukan datang dari mana-mana perintah Mahkamah sebaliknya ianya hanya kenyataan tidak berasas dari peguam Umno dan akhbar mereka. Kenyataan tersebut tidak mempunyai apa-apa nilai di sisi undang-undang. Rakyat tidak perlu melayan kata-kata mereka yang dibuai khayalan tersebut.

Bagaimanakah Umno boleh mengatakan keputusan tersebut bermakna Zambry dan enam Exconya boleh menghadiri sidang Dun Perak sedangkan Mahkamah dengan secara jelas tidak membenarkan perintah yang mereka pohon iaitu perintah bahawa Zambry dan enam exconya adalah berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang Dun dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan mereka dalamnya.

Kalau perintah tersebut dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan barulah mereka boleh mengatakan Zambry dan enam exconya boleh ke sidang Dun Perak. Saya harap penjelasan di atas sedikit sebanyak dapat menjelaskan bahawa apa yang Umno kata di media massa adalah tidak menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku. Sivakumar masih Speaker dan beliau masih berbisa. Jika Umno terus mengeluarkan kenyataan mengelirukan tidak mustahil mereka mungkin akan dipatuk oleh Sivakumar dan saya percaya patukan selepas ini akan membuat Umno menderita lebih panjang.

Saya juga ingin tegaskan di sini apabila Zambry dan enam exconya membawa kes mereka di Mahkamah dengan mencabar keputusan Sivakumar sebagai Speaker yang sah, mereka mungkin tidak sedar bahawa mereka sedang melakukan satu kesalahan kerana mendedahkan dokumen-dokumen rasmi Dun Perak tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu dari Sivakumar sebagai Speaker. Marilah kita sama-sama tunggu dan lihat apakah yang berlaku selepas ini.

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...

Dipanggil Orangkaya ke balairong:
Macam mahkota dibuang di Teluk Belanga

Alkisah maka dipanggillah sekalian Orangkaya di Perak ke balairong pada 7 Mei 2009 (seperti kata anak cucu fakir di kemudian hari) atas titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah (gambar kiri) . Terlalu gembiralah Orangkaya Pangkor Dato' Zambry Kadir kerana ianya dimenangkan oleh balai panjang nan tinggi, sekalipun tak dengan kemahuan sekalian rakyat jelata yang hina dina. Arakian tak berasa malu Orangkaya Pangkor itu setelah dimalukan oleh sekalian anak buah di Bukit Gantang, adanya. Adapun titah memanggil pada 7 Mei nanti seperti diberitahu anak cucu fakir di kemudian hari, ialah supaya balairong itu boleh digunakan lagi.

Syahdan tahulah akan segala anak Melayu itu perbuatan yang hina lagi menghinakan di Perak perlulah dibubarkan balairong berkenaan. Adapun nama baik raja Melayu itu janganlah dipermainkan kerana mahu berkuasa di balairong, seperti disebut oleh Indera Bupala ketika mengiringi Sang Nila Utama ke Temasik. Setelah datang ke tengah laut, ribut pun turun; maka kenaikan itu pun keairan. Maka disuruh penghulu kenaikan membuang; maka bebeapa harta yang dibuangkan, tiada berapa lagi yang tinggal. Arakian maka kenaikan itu hampir ke Teluk Belanga.

Maka sembah penghulu kenaikan pada Sang Nila Utama, "Tuanku, pada bicara patik, sebab mahkota ini juga gerangan maka kenaikan itu tiada timbul, keana segala harta di dalam perahu ini telah habislah sudah. Jikalau mahkota ini tiada dibuangkan, tiadalah kenaikan ini timbul, dan tiadalah terbela oleh patik sekalian." Syahdan diperingatkan orang banyak kepada Orangkaya Pangkor itu, janganlah diperturut akan kejadian ribut di laut Teluk Belanga apabila berlaku ribut di Perak, hingga menyebabkan mahu membuang mahkota seperti disurat dalam 'Kitab Melayu' oleh:







HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG...

Bekas Dua Menteri Besar:
Gandingan mantap atau berentap!

Assalamualaikum,
Secara rasional sukar mempercayai gandingan Dato' Seri Mohd Najib Razak-Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai mantap dalam pimpinan UMNO. Apalagi kelantangan Muhyiddin mendesak Tun Abdullah Ahmad Badawi mempercepatkan pelan peralihan kuasa dari Jun 2010 kepada Mac 2009, menampilkan keberaniannya melebihi Najib. Malah di peringkat awal Tun Dr Mahathir Mohamad selaku mentor mereka berdua mengakui, Najib lemah dalam menangani isu pelan peralihan kuasa. Apalagi Muhyiddin dilihat sentiasa bersama Tun Dr M dalam beberapa insiden.

Misalnya, ketika menteri-menteri kabinet tak berani menghadiri rumah terbuka Hari Raya Tun Dr M, Muhyiddin tak bimbang untuk jejakkan kaki. Di samping Muhyiddin (ketika itu Naib Presiden UMNO), Dato' Seri Dr Rais Yatim juga turut sama di rumah terbuka Tun Dr M ketika Najib tak nampak kelibat. Justeru Muhyiddin lebih dipercayai oleh Tun Dr M berbanding Najib yang tak berapa nak berani. Apalagi rintangan dari Johor seperti Dato' Seri Syed Hamid Albar juga sudah diketepikan bagi memudahkan perjalanan Muhyiddin.

Muhyiddin pernah menjadi Menteri Besar Johor; Najib juga pernah menduduki kerusi Menteri Besar Pahang. Dua bekas Menteri Besar dalam pimpinan tertinggi UMNO, memang mempunyai agenda masing-masing. Najib bimbang akan berlaku pelan peralihan kuasa kali kedua dalam masa yang singkat; Muhyiddin pula takkan membiarkan Najib mendominasi pimpinan setelah beliau merintis jalan dengan sokongan Tun Dr M. Ketika Najib membisu, Muhyiddin yang tak berdiam diri mendesak Tun Dr M dibawa menyertai UMNO semula selepas mengumumkan meninggalkan parti berkenaan.

Pimpinan Pak Lah tak tergugat dengan penampilan Najib, tetapi berhadapan kesukaran apabila Muhyiddin menjadi 'duri dalam daging'. Justeru pada sidang terakhir Perhimpunan Agung UMNO pada 28 Mac 2009, ketika menyampaikan ucapan bagi mengakhiri sidang, Pak Lah mengingatkan Muhyidin, beliau tak berkecil hati terhadapnya. Maknanya fokus Pak Lah ialah tindak tanduk licik Muhyiddin, bukan persaingan dengan Najib. Dua bekas Menteri Besar itu tak akan selesa, selagi salah seorang terus kekal dalam pimpinan. Kemantapan yang diharap sudah mula berentapan. Muhyiddin sudah mempertikai isu kementerian koperasi, sudah menyentuh isu jambatan bengkok dan, dan, dan...

-Pak Dharma