
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
MENUNGGU ACARA DEKMALASI PUISI
PERJUMPAAN PENYAIR AKAN DIGERAKKAN
Assalamualaikum,

Justeru pertemuan singkat di rumah terbuka Dato’ Kamal mencetuskan idea pula mahu menggerakkan acara baca puisi, apabila S.H. Alattas dan Zakaria Bidin merasakan ruang pekarangan kediaman berkenaan sesuai dijadikan pertemuan penyair-penyair. Ron juga bersetuju acara deklamasi sajak dibuat secara spontan di kediaman rakan-rakan sahaja, kerana digerakkan di dewan-dewan besar tak mungkin mampu memasyarakatkan puisi. Zakaria Bidin (Zek) pula menunjukkan sebuah sajak yang baru ditulisnya, tetapi tergamam apabila saya beritahu terlalu sensitif, agresif dan provokatif, malah menyeram bulu roma kalau dideklamasikan, apatah lagi disiarkan di mana-mana medium.

Dato’ Kamal pula memberi jaminan PRIMA akan menggerakkan perjumpaan penyair di kediamannya tak lama lagi, di samping Ron akan membawa kumpulan penyair-penyair ‘Kuda Kepang’nya ikut serta. Bagaimanapun di rumah terbuka Dato’ Kamal beberapa aktivis PRIMA tak sempat hadir termasuk Yahaya Ismail (Pak Ya), Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah (Pak Chot) dan Mohd Radzi Mustapha, sebaliknya Mohd Sayuti Omar sebentar sahaja nampakkan kelibat, di samping Abdul Rahman Osman dan Zaid Mat Arif juga hingga jam 10.30 malam sudah mohon diri balik ke rumah. Haji Abu Bakar Ninggal pula balik jam 11.00 malam, disebabkan beliau lebih awal datang kira-kira jam 8.00 malam.

-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA:
RON IKRAR TAK BERKOMPROMI
KUASA ASING RAMPAS HAK RAKYAT

Bekas Ahli Parlimen Parit Sulong yang juga bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) di Parlimen, Dato’ Ruhanie Ahmad berikrar tak akan berkompromi dengan kuasa asing yang mahu merampas hak rakyat negara ini secara terancang. Katanya, beliau terbabit menyertai pengendali laman blog semata-mata untuk memberi mesej kepada kerajaan iaitu ‘kuasa politik’ bukan untuk melaksanakan perintah, tetapi mestilah menjadi ‘pentadbir’ yang telus bagi kesejahteraan rakyat sendiri. Dato’ Ruhanie yang juga dikenali ‘Ron’ di kalangan rakan-rakan mengingatkan pimpinan kerajaan agar tak dipengaruhi ‘golongan berkepentingan’ dengan membuat laporan memuji-muji pimpinan, sebaliknya tak menghiraukan agenda terancang kuasa asing.
Dengan tak menyebut isu yang dibangkitkannya, Ron secara jelas merujuk kepada projek Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor ianya dikatakan membabitkan golongan prolitar Melayu di selatan yang berhadapan dengan dilema. Beliau mengakui mungkin ramai pemimpin-pemimpin Melayu diberi gambaran kurang tepat mengenai projek terbabit, menyebabkan laporan memuji-memuji pimpinan diberi prioriti sebagai menutup ‘misteri’ yang terus menjadi tanda tanya. “Kalau dulu kita bimbang dengan isu pasir yang dikorek kuasa asing, sekarang tanah petani-petani pula disediakan seluas-luas mungkin untuk mereka,” beritahu Ron menambah.

LARANG JUAL BUKU DI PWTC
PAK LAH TAK PERNAH ARAHKAN

Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi tak pernah mengarahkan melarang penjualan buku-buku ketika Perhimpunan Agung UMNO, menurut buku terbaru ‘Khairy Jamaluddin Perdana Menteri?’ yang dihasilkan penulis prolifik S.H. Alattas. Perhimpunan Agung pada 2006, dikatakan pihak pengurusan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) melarang sebarang penjualan buku-buku politik. Berikutan langkah drastik yang diambil pihak pengurusan PWTC, kemeriahan di gerai-gerai disediakan kurang menarik perhatian umum. Apalagi penulis-penulis buku politik tak berminat mendengar perbahasan-perbahasan di skrin besar yang disediakan di luar dewan. Gamaknya!


Antara kritikan S.H. Alattas sebagai mesej pentingnya, beliau menulis: “Dua puluh dua tahun Dr Mahathir jadi Perdana Menteri macam-macam telah dilakukan, dia gagal mengubah Melayu yang pernah ditegur oleh Abdullah Munshi, Syed Sheikh al-Hadi, Zaaba kerana Melayu tak suka membaca, tak suka ditegur, suka dipuji. Melayu bangsa yang terlalu ‘sensitif’ dengan kritik dan benci kepada cerdik pandai akibat ada P.H.D. perangai hasad dengki semula jadi. Idris berani tegur dan cuba ubah bangsanya menerusi sistem pendidikan sama seperti Syed Ali namun mereka tak punya lampu Aladdin.” (halaman 233 bab 14).
KAJI SEMULA ANUGERAH PINGAT KEBESARAN
NILAI GELARAN SELARAS DENGAN SUMBANGAN

Menurut Omar Sudi, sekiranya seseorang penerima anugerah sudah diberi pingat kebesaran yang membawa gelaran Dato’, adalah tak rasional menerima anugerah yang sama di negeri lain. Malah menurutnya, terdapat penerima pingat kebesaran membawa gelaran Dato’ hingga dua tiga kali sempena keputeraan raja-raja Melayu di negeri lain, atau hari jadi Yang Dipertua Negeri. Seterusnya kata Omar Sudi, dengan mengambil langkah dikaji semula, ianya boleh menghadkan penerima yang pernah diberi anugerah pingat kebesaran yang membawa gelaran Dato’, tak dicalonkan untuk menerima anugera yang sama di negeri lain. “Cukuplah dengan satu gelaran Dato’, kenapa perlu diberi gelaran Dato’ hingga dua tiga pingat kebesaran,” jelas Omar Sudi.
INFO SASTERA & BUDAYA:
FILEM MELAYU DEKAD 1950-AN
MESEJ DAN KRITIKAN MASIH BERKESAN

Filem-filem Melayu terbitan dekad 1950-an dan 1960-an yang ditayangkan di slot TV sepanjang Hari Raya Aidilfitri mulai 13 Oktober 2007 memang menarik perhatian orang ramai, beritahu seorang peminat filem era 1950-an dikenali Dr Mohd Hassan Ali. Ketika menyentuh kegemilangan filem-filem Melayu era Allahyarham Tan Sri P. Ramlee di Singapura, beliau memberitahu mengenai filem-filem ‘Pendekar Bujang Lapok’, ‘Ali Baba Bujang Lapok’, ‘Musang Berjanggut’ dan beberapa lagi. “Mesej dan kritikan yang disampaikan oleh P. Ramlee masih berkesan, malah kita ketawa kerana mentertawakan diri sendiri,” ujar Dr Mohd Hassan.
Beliau mengambil contoh filem ‘Pendekar Bujang Lapok’ ketika Sudin disuruh dua orang kawannya membaca papan tanda di hadapan sekolah buta huruf. Sudin berpura-pura tahu membaca menyebut: Alif Mim tendang Nun Wau – sarkas! Maknanya, kata Dr Mohd Hassan lagi, P. Ramlee sudah menafsirkan ‘Alif Mim Nun Wau’ (UMNO) itu ‘sarkas’ sejak dekad 1950-an, dengan tak disedari oleh pimpinan UMNO sejak dahulu hingga sekarang. UMNO yang ditakrif ‘sarkas’ oleh P. Ramlee menerusi ‘Pendekar Bujang Lapok’ sekitar dekad 1950-an, rupa-rupanya menterjemahkan UMNO sebenar lebih awal sebelum ianya dikuasai warga sarkas dan badot-badotnya, kata Dr Mohd Hassan selanjutnya.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo
PATAH SEMAKIN TAK TUMBUH
HILANG KIAN SUKAR PULA DIGANTI

Belasungkawa! Sebermula terdengarlah kepada fakir akan khabar bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Othman Saat sudah kembali ke rahmatullah semalam (27 Oktober 2007) ketika berusia 83 tahun. Mungkin sahaja anak-anak muda sekarang kurang mengenali perihal Tan Sri Othman setelah memegang jawatan Menteri Besar Johor dari 1967 hingga 1982, maklumlah sudah 25 tahun bersara. Bukanlah salah anak-anak muda kalau mereka tak mengenali Tan Sri Othman, kerana yang patah semakin tak tumbuh; apalagi yang hilang kian sukar pula diganti. Syahdan akan jawatan Menteri Besar Johor bolehlah diganti oleh cendekia yang lebih muda, tetapi akan keterampilannya Tan Sri Othman itu sukarlah dicari ganti yang setara. Alahai!
Maka diberitahulah kepada fakir oleh sahabat Tan Sri Othman iaitu bekas Timbalan Menteri Besar Negeri Sembilan (1964-1969) Tan Sri Abdul Samad Idris, ketika Pemuda UMNO mahu melancarkan gerakan militan pada dekad 1950-an yang dikenali ‘Barisan 33’, Tan Sri Othman antara tiga tokoh Pemuda dipilih mengetuai operasi. Dato’ Hamzah Alang (Selangor) mengendalikan latihan menggunakan senjata api, Tan Sri Abdul Samad dikehendaki melakukan serang hendap ke atas balai-balai polis dan depoh Askar Melayu di Port Dickson untuk mengumpulkan senjata, sementara Tan Sri Othman meletupkan takungan air di Gunung Pulai. Berikutan agenda Pemuda UMNO yang dirancang oleh Naib Ketuanya, Dato’ Ahmad Badawi, Inggeris terpaksa mengalah dengan menerima memorandum UMNO mengadakan pilihanraya.
Selepas Inggeris bersetuju mengadakan pilihanraya dengan pindaan iaitu daripada 100% kepada 50% sahaja dipilih (tetapi membenarkan parti yang menang menamakan tujuh lagi ahli yang dilantik), di samping tarikhnya ditunda dari November 1954 kepada Julai 1955, tiga tokoh Pemuda UMNO itu membatalkan operasi mereka. Arakian tahulah fakir, Tan Sri Othman itu bukanlah calang-calang orang ketika memimpin Pemuda iaitu seperti kata nenek moyang fakir dahulukala: Kok berdepan sanggup koyak di dada, kok membelakang biarlah diradak tengkuk! Memang kehilangan Tan Sri Othman bukanlah sekadar dirasakan oleh UMNO, tetapi semua orang Melayu di luar UMNO seperti juga pemimpin-pemimpin Melayu lain tetap dikenang oleh:
HIDUP BAHASA MELAYU!