Tuesday, October 13, 2009

SELAPIS NOVEL

KEMBARA MULUK
Dedikasi untuk Allahyarham Abdul Muluk Daud (Pak Dharma)
Malam Kenduri Maulud


Ketika emak mengandungkan aku memasuki sembilan bulan, belumlah cukup tempoh 10 harinya. Justeri belum terdapat tanda-tanda emak akan melahirkan, malah keadaannya masih segar hingga mampu mengangkut air di telaga, membelah kayu api dan menumbuk padi. Abah pula ke Seperi membantu Nenek Hajah Aminah mengadakan kenduri maulud bagi menyambut tarikh lahir Nabi Muhammad SAW pada 12 Rabiul Awal, di samping bersyukur selepas selesai musim menuai padi.

Disebabkan emak tidak menampakkan tanda-tanda mahu melahirkan, abah ke Seperi (lebih kurang enam kilometer jaraknya dari rumah emak) bagi persiapan mengadakan kenduri maulud itu. Tetapi apabila menjelang maghrib emak tiba-tiba merasa sakit untuk bersalin, abah segera diberitahu oleh sepupu emak yang duduk berjiran. Keluarga kami tinggal berdekatan di Kampung Bacang Manting iaitu kampung peninggalan Moyang Lengkong yang meneroka di situ sejak tahun 1820-an.

Sebaik sahaja diberitahu mengenai emak dalam keadaan akan bersalin, Nenek Hajah Aminah juga turut datang ke Kampung Bacang Manting meninggalkan majlis kenduri berkenaan. Bagaimanapun majlis kenduri maulud tersebut diteruskan juga kerana emak dan bapa saudaraku seperti Ulung Rebak (Rebakyah) Ngah Isam (Syamsiah) Pak Itam (Tahir) dan Utih (Harun) mampu melayani tetamu yang sudah dijemput.

Semua saudara mara yang tinggal berdekatan datang membantu memperlihatkan keharmonian hidup di kampung masih terpelihara ketika itu. Kebetulan pula negara baru sahaja terlepas dari bahana peperangan apabila Jepun menyerah diri pada 15 Ogos 1945, diikuti kekacauan rusuhan kaum berikutan ‘Bintang Tiga’ (atau komunis) merampas kuasa dalam tempoh 14 hari sebelum kedatangan British Millitery Admanistrition (BMA). Sebelum aku dilahirkan, aku sudah mempunyai kakak bernama Rubiah yang lahir pada Februari 1945.

Selepas perang pula kemelut negara meruncing dengan tindakan Inggeris mahu melaksanakan pentadbiran Malayan Union apabila mendapat tentangan orang-orang Melayu yang mengadakan kongres besar-besaran pada 1 – 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Sekalipun penduduk-penduduk di kampungku tidak mengambil bahagian dalam perjuangan ini, tetapi mereka mengikuti perkembangan yang berlaku di persekitaran daerah Jelebu.

Apalagi Kampung Bacang Manting peninggalan Moyang Lengkong tidak mempunyai orang lelaki dewasa selain daripada abah, setelah Golek suami Moyang Bakup ditangkap oleh Bintang Tiga. Tok Cu Muda pula berpindah ke Kuala Lumpur juga bagi mengelak daripada menjadi mangsa, begitu juga Pak Long Abu ketika itu berusia dalam lingkungan 27 tahun turut mengikut Tok Cu Muda ke Kuala Lumpur. Lelaki dewasa yang tinggal hanya Tok Wak Koren (Baharin bin Dagoi) suami Ulung Rahmah dan Tok Dolah (Haji Abdullah bin Abdul Manap) suami Wan Mai (Maimunah binti Ismail).

-bersambung -
Waris Pak Dharma
p/s: Walaupun tidak sehebat Pak Dharma dalam penulisan, WARIS cuba mengupas perjalanan hidup beliau melalui apa yang pernah diceritakan ketika hayatnya kepada WARIS untuk dikongsi kepada pembaca blog ini.