INFO HAK ASASI MANUSIA
BPR PERNAH GERTAK ANWAR
SURUHANJAYA PENYIASAT KECUALIKAN

Sebelum ini siasatan awal mengenai klip video membabitkan peguam Dato’ V.K. Linggam memperlihatkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menggertak Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan dipanggil untuk disiasat. Bagaimanapun masih berlaku tarik tali, kononnya BPR mahu menemui Dato’ Anwar di pejabatnya, tetapi disebut pula Dato’ Seri Anwar dipanggil ke pejabat BPR, menurut Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Ironinya, menerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja kata Dato’ Kamal Amir, tiba-tiba sahaja keputusan dibuat beliau tak perlu dipanggil kerana dianggap tak relevan.

“Isu tersebut dibangkitkan oleh Dato’ Seri Anwar, kalau BPR sudah mengingatkan beliau akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya tak menyerahkan VCD asal kepada BPR, takkan semudah itu beliau dikatakan tak relevan,” beritahu Dato’ Kamal Amir melahirkan rasa hairan. Justeru pihak Suruhanjaya Siasatan Diraja wajar menimbangkan semula untuk memanggil Dato’ Seri Anwar bagi memberikan keterangan, kerana pihak BPR sebelum ini sudah menyebut Penasihat PKR itu boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya tak memberikan kerjasama kepada BPR, kerana ianya menunjukkan persaksian beliau adalah terlalu penting, jelas Dato’ Kamal Amir lagi.
WAKIL RAKYAT UMNO UNDUR:
SAMY UMUM BERTANDING DI SG SIPUT

Ketika ramai wakil rakyat UMNO memberitahu akan berundur menjelang pilihanraya ke 12 terutama di Kedah, Presiden MIC Dato’ Seri S Samy Velu sudah memproklamir dirinya calon BN di Parlimen Sungai Siput. Pimpinan kanan PRIMA, Haji Yahaya Ismail bukan sahaja berasa hairan apabila Pengerusi BN Dato’ Abdullah Ahmad Badawi belum membuat sebarang keputusan sama ada pembubaran Parlimen mahupun calon-calon BN, tetapi Samy Vellu sudah bercakap sebagai Pengerusi BN. “Sepatutnya Samy Vellu minta ihsan dari BN untuk bertanding di Parlimen Sungai Siput dengan pecahan pengundinya 31.46% Melayu, 41.35% Cina, 22.50% India dan 4.69% lain-lain berdasarkan daftar pengundi 2004,” kata Haji Yahaya (Pak Ya).

Pak Ya yang juga bekas pensyarah USM yang pernah membangkitkan ‘isu Melayu Pulau Pinang’ sekitar dekad 1970-an turut melahirkan rasa hairan, kenapa ramai wakil-wakil rakyat UMNO mahu berundur terutama bagi DUN Kedah, Terengganu dan Negeri Sembilan. Seterusnya kata Pak Ya, apakah Dato’ Samy Vellu prestasinya lebih baik daripada wakil-wakil rakyat UMNO yang berundur mahupun diundurkan itu. Ketika mengulas laporan akhbar hari ini (29 Januari 2008) Pak Ya memberitahu, “Sekiranya terlalu ramai wakil rakyat UMNO presatasinya lebih rendah daripada Dato’ Samy Vellu adalah lebih baik mereka semua dibedah siasat (post mortem).”
INFO SASTERA & BUDAYA
NASKHAH LAMA MELAYU
BELUM DIBUAT KAJIAN TELITI

Kebanyakan naskhah Melayu lama yang terlepas ke tangah orientalis barat pada period penjajahan, diberi pendekatan menerusi pemikiran orang luar ketika orang-orang Melayu mengharapkan kajian-kajian dibuat oleh pengkaji-pengkaji berkenaan, menurut pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Beliau yang pernah membuat kajian mengenai sastera lisan di Pahang memberitahu sekretariat, setakat ini kajian terhadap naskhah Melayu hanya ke atas epik ‘Sejarah Melayu’, ‘Hikayat Hang Tuah’ atau kisah ‘Pelayaran Abdullah’ yang sudah diberi pendekatan oleh orientalis barat. Naskhah-naskhah lama Melayu seperti ‘Kitab Mat Kilau’ atau beberapa lagi yang tersimpan dalam khazanah bangsa dianggap tak perlu dibuat kajian.

Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UKM, mengemukakan naskhah Melayu lama yang baru ditemuinya ‘Warisan Tok Awang Ngah: Diri Sebenar Diri’ yang dianggapnya belum diketengahkan sebagai kajian. Seterusnya kata Dato’ Dr Mohd Mansor, beliau juga belum membuat kajian sebaliknya sudah menatap naskhah berkenaan yang boleh dikategorikan sebagai naskhah Melayu lama, kerana ia sudah disalin sejak dekad 1880-an. Apalagi ianya dihasilkan oleh Tuan Guru Sheikh Haji Mat Kampar (Sheikh Haji Ahmad bin Sutan Muda Sheikh Haji Salim) berasal dari Kota Bangun, Kubu Sembilan, Kuok, kabupaten Kampar, Propinsi Riau Indonesia, apabila berhijrah ke Tanah Melayu sekitar dekad 1880-an.

Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor, berdasarkan penerangan mengenai naskhah lama berkenaan, Tuan Guru Haji Mat Kampar merupakan guru pasentaren (sekolah agama rakyat) sebelum berhijrah ke Tanah Melayu, apabila pendiriannya berbeza dengan abangnya Tuan Guru Sheikh Haji Dohak yang lebih kukuh dengan pegangan adat, di samping ayah mereka bergelar ‘Sutan Muda’ sebagai pembesar adat. Di samping ianya menjalankan khidmat syeikh haji, Tuan Guru Haji Mat Kampar juga pengembara dalam melestarikan dakwahnya. “Naskhah lama ini antara khazanah sastera Melayu yang juga satu pengembaraan,” kata Dato’ Dr Mohd Mansor.
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
HEBAT JUGA KECEKAPAN NEGARA
PENTADBIRAN KERAJAAN GAMAKNYA!

Syahdan tersebutlah akan kehebatan kita kerana berkatalah nenek moyang dulu: Hujan emas negeri orang, hujan keris lembing di negeri orang, baik lagi negeri sendiri! Hebat juga kecekapan kita berdasarkan laporan ‘World Competitiveness Year Book’ yang dikeluarkan oleh IMD, sebuah institusi pengajian perniagaan terkemuka yang ibu pejabanya di Switzerland. Perdana Menteri Dato’ Abdullah Ahmad Badawi juga turut memetik laporan tersebut. Gamaknya kecekapan kerajaan yang mampu bertahan sejak pilihanraya 1955! Kalau didasarkan sektor perniagaan, tentulah ‘institusi pengajian perniagaan’ itu sekadar menerima laporan agensi kerajaan sahaja, dengan tak pernah jejak kaki ke bumi Melayu.
Maka dicanangkan akan negeri Melayu itu dilaporkan yang ke 6 terbaik di dunia dengan ianya mengatasi negara-negara di atas angin dan di bawah angin iaitu United Kingdom, Jerman, Thailand, Sepanyol, Jepun, Rusia dan Perancis. Sebermula memang kerajaan alam Melayu cekap mempertahankan kedudukan dalam setiap kali pilihanraya sejak 1955, malah tak pernah jatuh sekalipun pada 1969 prestasinya terlalu bobrok. Kerajaan cekap memproklamir penggantungan Parlimen, cekap mengkaji semula persempadan pilihanraya; cekap menghapuskan rapat umum, cekap untuk memendekkan tempoh kempen, cekap menggunakan akta polis, dan dan dan. Begitulah!

Alkisah tersebut akan sahabat fakir pergilah ia ke negeri atas angin iaitu Seweden, Denmark dan Holland sekitar dekad 1990-an dulu (bukanlah dahulukala di zaman nenek moyang fakir). Maka tak diketahui oleh orang-orang negeri atas angin itu di mana letaknya negeri fakir. Begitu jugalah keluarga fakir ke negeri Arab sekitar dekad 1980-an, tahulah mereka akan Singapura, Sri Lanka dan Pattani; apalagi di setiap penjuru mudah sangatlah mahu mencari tempat menukar wang (tetapi bukan wang negeri Melayu). Akan sahabat fakir dikatakan negeri Melayu itu terletak di Asia, lalu ditanyanya negeri Melayu itu dekatkah dengan Kuwait yang juga di Asia. Astaga!

Sebermula akan ‘Kitab Melayu’ tersebutlah akan Laksamana Hang Tuah itu sampai ia ke benua Rom, ke benua India, ke benua China dan Jepun. Maka tak diketahui oleh orang atas angin akan peristiwa Laksamana Hang Tuah itu ke benua Rom. Tetapi diketahuilah oleh orang-orang atas angin itu akan Tunku Abdul Rahman Putra yang melawan aparteid dari Kuala Lumpur, tahulah mereka akan Misbun Sidek itu pandai bulu tangkis, tahulah mereka akan permainan hoki itu dari negeri Melayu. Tak tahulah mereka akan sepak takraw, kerana mereka di atas angin juga tak pernah menjadi pandai sepak takraw, kerana yang tahu sikit-sikit fasal sepak raga ialah:
HIDUP BAHASA MELAYU!!!