Sunday, April 27, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)




DARI LAMAN BLOG:

PRIMA SEKADAR RASA TERPANGGIL
DALAM ISU BABITKAN MASALAH MELAYU

Assalamualaikum,

Memang tak sempat ke Holliday Villa di Subang Jaya bagi menghadiri majlis Tengku Razaleigh Hamzah bersama gabungan cawangan-cawangan UMNO Subang Jaya jam 2.00 petang semalam (26 April 2008), disebabkan terpaksa ke Jerantut bagi persiapan ‘Baca Puisi’ di perkampungan Orang Asli, Kampung Pian di Penderas. Saya bertolak ke Lancang terlebih dahulu jam 3.00 petang, disebabkan majlis bersama Tengku Razaleigh pihak PRIMA sudah menghantar wakil iaitu Jurucakap PRIMA sendiri Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Apalagi Dato’ Kamal Amir juga turut bersama Tengku Razaleigh ke Kota Bharu di sebelah paginya, kemudian menaiki pesawat balik ke Kuala Lumpur terserempak pula bekas Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.



PRIMA tak terbabit dalam gerakan politik, tetapi merasa terpanggil untuk ikut serta apabila melibatkan isu kebobrokan masyarakat Melayu. Justeru pembabitan Dato’ Kamal Amir mahupun penyair Yassinsalleh menyertai majlis Tengku Razaleigh tak bermakna mereka terlibat dalam gerakan politik UMNO; begitu juga Sdr L Mankadir Shamsi atau Sdr Zainal Abidin Rasidin menghadiri majlis-majlis PKR, tak bermakna mereka aktivis parti politik berkenaan. Apalagi majlis malam baca puisi yang diatur perkampungan Orang Asli oleh Sdr L Mankadir Shamsi di Jerantut, memang diberi kerjasama oleh PKR Kuala Krau yang dipimpin Haji Suhaimi Said. Ketika singgah di Lancang saya sempat minum di kedai ‘Singgah Sini’ milik adik ipar Sdr L Mankadir Shamsi, di samping membeli telur itik, petai dan madu lebah di gerai sebelahnya.

Ketika sampai di pejabat Haji Suhaimi di Kuala Krau jam 7.00 pm, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah juga sampai bersama isterinya, diikuti penyair Yassinsalleh disertai oleh anak sulungnya Yusleh (sedangkan menyiapkan Phd-nya di UKM) dan Dr Intan. Sejurus kemudian Presiden Penaja Persatuan Pemandu-Pemantu Teksi Lembah Kelang, Sdr Zainal Abidin Rasidin pula sampai berseorangan, berikutan Sdr Zakaria Bidin yang dijangka turut serta pada peringkat awal, tiba-tiba pula tergeliat kaki menyebabkan tak dapat ke Jerantut. Perjalanan ke Kampung Pian pula kira-kira 45 minit dari Kuala Krau, justeru rombongan kami terpaksa bergerak terlebih dahulu, dengan Sdr Zainal Abidin menunggu Dato’ Kamal Amir yang dalam perjalanan apabila majlis bersama Tengku Razaleigh selesai kira-kira jam 7.00 malam.


Sambutan meriah diberikan oleh penduduk-penduduk Kampung Pian, sekalipun hujan turun mencurah-curah. Majlis sepatutunya di bawah khemah terbuka, terpaksa pula dipindahkan ke dewan orang ramai atas arahan Tok Batin yang tak dapat hadir bersama berikutan hujan semakin lebat mulai jam 9.00 malam. Hingga jam 12.00 malam majlis berakhir, dengan Dr Seri Intan Mokhtar bagi pihak British Council mendermakan pen dan buku nota kepada anak-anak penduduk termasuk juga belia-belia. Ketika balik ke Kuala Lumpur melalui lebuhraya, saya kehabisan petrol tetapi dari Temerloh hingga ke Genting Sempah barulah ditemui stesen minyak Petronas. Alangkah baik sekiranya stesen minyak tersergam berhampiran plaza tol bagi kemudahan pengguna jalanraya selepas jam 12.00 malam. Astaga!

-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:


PEMUDA UMNO DAN HUNUS KERIS
FAKTOR YANG SENGAJA DIMANIPULASI.

Langkah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dato’ Seri Hishamuddin Hussein meminta maaf berikutan insiden menghunus keris tiga tahun lalu, dianggap bagaikan episod kambing dituduh mengeruhkan air sekalipun minum di sebelah hilir ketika sang harimau minum di sebelah hulu. Mengulas laporan media semalam (26 April 2008), pakar kaunseling yang juga bekas profesor, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah berkata, sikap Dato’ Seri Hishamuddin itu mendedahkan Pemuda UMNO kepada kebangangan, kebengangan dan kebingungan.Anjakan undi bukan Melayu pada pilihanraya umum ke 12, 8 Mac 2008 tak kena mengena dengan isu menghunus keris, tapi faktor parti-parti komponen bukan Melayu sendiri. “Apabila mereka gagal menangani isu dalam komuniti mereka, kerajaan dipersalahkan,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.



Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor, keris sekadar lambang jatidiri Melayu malah bukan ancaman kepada mana-mana komuniti kecuali dimanipulasi untuk gimmik politik oleh pihak yang korup idea. Seterusnya jelas Dato’ Dr Mohd Mansor pada period penjajah sama ada Portugis, Belanda, Inggeris mahupun Jepun, mereka tak menganggap keris sebagai ancaman kepada kepenjajahan. Misalnya pada dekad 1940-an beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor lagi, ketika pembentukan Persekutuan Tanah Melayu, Mohd Yusuff Ahmad seorang Ahli Majlis Permesyuaratan Persekutuan menyebut di dalam persidangan mengenai kedudukan raja-raja Melayu sama seperti ‘keris’ yang diletakkan di dinding sebagai perhiasan. “Memang sikap ahli berkenaan pro British, tetapi secara logiknya keris bukanlah ancaman kepada mana-mana komuniti,” kata Dato’ Dr Mohd Mansor.


PIMPINAN KU LI SEDANG DITAGIH
MENCAPAI SASARAN ‘MELAYU BERDAULAT’


Orang Melayu di peringkat akar umbi menagih pimpinan bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah bagi mencapai sasaran ‘Melayu Berdaulat’, bukanlah gerakan mendesak Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur daripada pimpinan UMNO, beritahu Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Beliau memberitahu dalam pertemuan pada majlis ‘Malam Baca Puisi’ di Kampung Pian, Kuala Krau semalam (26 April 2008). Majlis yang dianjurkan oleh kumpulan kesenian Orang Asli di perkampungan berkenaan turut dihadiri oleh aktivis masyarakat, peguam Haji Suhaimi Said. “Bagi Tengku Razaleigh kejayaan beliau sudah mencukupi, tetapi orang Melayu di peringkat akar umbi menagih pimpinan beliau,” kata Dato’ Kamal Amir.

Beliau seterusnya menolak konsep ‘ketuanan Melayu’ yang diwar-warkan oleh UMNO, sebaliknya mahukan ‘kedaulatan Melayu’ menjadi sasaran dalam usaha orang Melayu mendesak Tengku Razaleigh tampil memimpin UMNO. Menurut Dato’ Kamal Amir, ketuanan Melayu tak akan membawa sebarang makna sekiranya ‘tak berdaulat’. Katanya lagi, ketika UMNO mengalami krisis antara hidup dan mati pada 1950 berikutan Dato’ Onn Jaafar berundur, orang Melayu menagih pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra kerabat diraja Kedah memimpin UMNO, sekalipun beliau bukan barisan pemimpin pada period tersebut. “Kalau mahu menjadikan ‘Melayu berdaulat’ ianya adalah perlu dipimpin kerabat diraja, justeru kita mendesak Tengku Razaleigh tampil ke hadapan,” ujar beliau menambah.



INFO SASTERA & BUDAYA:

BACA PUISI DI KAMPUNG PEDALAMAN
PENYAIR ORANG ASLI HASILKAN SAJAK

Aktivis masyarakat Haji Suhaimi Said membacakan puisi yang ditulis penyair di perkampungan Orang Asli di Kampung Pian, Kuala Krau, Jerantut dikenali dengan nama penanya ‘Hak’. Puisi yang ditulis dalam dialek Orang Asli itu, di sampaikan di hadapan penduduk-penduduk pada majlis ‘Malam Baca Puisi PRIMA’ (26 April 2008) bermula jam 9.00 malam. Puisi yang mengungkapkan masyarakat Orang Asli sebagai peribumi, di samping mempunyai ‘hak istimewa’, sewajarnya tak dipinggirkan daripada pembangunan ekonomi, pendidikan, budaya dan politik. Hak antara penulis Orang Asli yang berminat dalam genre sajak, tetapi kurang mendapat pendedahan. Beliau berpendidikan menengah di samping bergaul rapat dengan kalangan masyarakat di Kuala Krau.

Di samping membacakan puisi karya Hak, Haji Suhaimi yang turut bertanding atas tiket PKR bagi kawasan DUN Jenderak pada pilihanraya ke 12, 8 Mac 2008 lalu turut menerima laungan ‘Reformasi’ daripada penduduk-penduduk di Kampung Pian. Sebelum majlis baca puisi, Haji Suhaimi mengakui kesukaran menembusi dominasi UMNO di kawasan DUN Jenderak disebabkan sumber maklumat tak sampai kepada pengundi di perkampungan pendalaman. Bukan sahaja ketiadaan IT dan komputer, malah pengundi bergantung kepada sumber maklumat ‘satu hala’. Justeru katanya, tak hairanlah penyair Hak yang berpotensi dalam bidang penulisan tak mampu melonjakkan bakatnya hingga ke peringkat nasional.

DEKLAMASI PUISI BAWA MESEJ
PENYAIR TAMPIL BERSAMA RAKYAT

Pembabitan dalam deklamasi puisi memang membawa kepada pimpinan negara supaya peka dengan permasalahan rakyat prolitar yang tertindas, menurut Yassinsalleh penyair yang dikenali dengan sajaknya ‘Ikan-Ikan Di Kaca’ sekitar dekad 1970-an. Dalam majlis ‘Malam Baca Puisi PRIMA’ di perkampungan Orang Asli, Kampung Pian, Kuala Krau semalam (26 April 2008), Yassinsalleh mendeklamasikan sajak ‘Gurindam 10 Budak Hitam Di Putrajaya’ versi baru. Pada versi sebelumnya, Yassinsalleh sekadar mengungkap sehingga ‘budak hitam ke 6’, tetapi pada versi baru beliau menyelesaikan merangkumi hingga semua 10 budak hitam terbabit. “Deklamasi puisi saya adalah membawa mesej bagi menampilkan suara rakyat prolitar,” menurut Yassinsalleh.

Seterusnya beliau mengakui, sajaknya ‘Gurindam 10 Budak Hitam Di Putrajaya’ memang mendesak Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur bagi memulihkan krisis keyakinan teruk dialami oleh orang Melayu sekarang. Menurut, Yassinsalleh sajak berkenaan sudah dideklamasikan pada majlis bersama Persatuan Penulis Nasional (PENA) sebelum pilihanraya 8 Mac 2008. Justeru beliau menambah, puisi beliau mendesak Dato’ Seri Abdullah berundur bukan berikutan prestasi buruk UMNO pada pilihanraya ke 12 lalu, sebaliknya sudah dimulakan sebelum pilihanraya lagi. “Maknanya saya sudah menyedari pimpinan Dato’ Seri Abdullah perlu ditolak sejak sebelum pilihanraya lagi,” beritahu Yassinsalleh.

AKTIVIS PRIMA IKUT BERSEWANG
KESENIAN TRADISIONAL ORANG ASLI


Aktivis PRIMA diberi sambutan meriah oleh penduduk-penduduk perkampungan Orang Asli, di Kampung Pian, Kuala Krau malam 26 April 2008 dengan lagu rakyat dan kesenian tradisional ‘bersewang’. Pimpinan kesenian di Kampung Pian, turut disertai tiga pemuda pemetik gitar kapuk bagi mengiringi nyanyian lagu rakyat. Aktivis PRIMA juga turut diberi penghormatan dengan dikalungkan anyaman daun kelapa bagi menyambut tetamu yang berkunjung. Ketika tarian rakyat ‘bersewang’ dipersembahkan dengan unsur-unsur mistik, aktivis PRIMA turut sama menari diketuai oleh Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, penyair Yassinsalleh, Zainal Abidin Rasidin, Dr Seri Intan Mokhtar, Yusleh, Datin Amelia dan Nurul Salwa.

Kumpulan kesenian Kampung Pian juga memainkan alat muzik tradisional dari buluh yang disertai warga emas sebagai pemangkin memberi galakan kepada belia-belia mereka memelihara budaya komuniti di pendalaman. Lagu-lagu tradisional dalam dialek Orang Asli juga diperdengarkan sepanjang majlis ‘Malam Baca Puisi’ bermula jam 9.00 malam hingga 12.00 malam. Tok Batin yang mengetuai komuniti Orang Asli di Kampung Pian, pada peringkat awalnya dijangka hadir, tetapi tak menyertainya berikutan hujan lebat yang turun mencurah-curah mulai jam 9.00 malam. “Harap majlis seperti ini akan terus diadakan lagi, sebaik-baiknya pada musim durian,” beritahu wakil kumpulan kesenian Orang Asli ketika menemui pimpinan utama PRIMA, sasterawan Dharmala N.S.


PUISI

Kita Anak Bumi Ini


Telah ribuan tahun
perjalanan nenek moyang kita
dari muara ke hulu belantara
menyeberangi sungai merentasi gunung
di lembah di lereng berkampung
kemudian berpindah
meniti kehidupan susah payah
kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.


Dari zaman nenek moyang itu
tanah didiami kebun diterokai
lalu singgah si pedagang
menek moyang menyambut restu
dan esoknya berpindahlah
ke tapak lain meneroka lagi.


Hingga kini kita di sini
mempesakai kehidupan nenek moyang
menunggu tibanya lagi si pedagang
apakah kita akan terbuang?

Kita anak bumi ini
tidak akan ke mana-mana
hanya di sini
merasa pedih derita
miskin lara.


Hari ini kita bersama
serentak subur rumpun padi huma
akan menuntut mertabat kita
selaku manusia anak negara!



Rumah ini
kampung ini
tanah ini
inilah bumi kita!

Kita akan ke mana lagi
kerana kita anak bumi ini
yang telah berani
menuntut hak
untuk bumi ini menjadi bumi kita
tanah ini menjadi milik kita
kerana esok lusanya.



Akan ada lagi pedagang datang
mengulangi sejarah nenek moyang
di sisih dari muara
hingga ke hulu belantara.


Kita nyatakan di malam keramat ini
tanah ini mesti kita miliki
bukan dengan kata-kata
bukan dengan janji demi janji
bukan tersirat tapi tersurat.


Di tanah milik kita sendiri
akan kita bangunkan kehidupan baru
tanpa ragu-ragu
kerana derita nenek moyang
akan kita lipat dalam kenangan
dan kita menjadi berani!


Terima kasih malam keramat ini
yang menyuarakan mertabat kita
satu bangsa yang akan berani
memiliki hak pesaka
kerana selama ini
derita hampa kian lama
tak siapa ambil tahu!


Lalu kita ucapkan terima kasih
pada si pembela yang pengasih
si pembohong, kita ucapkan selamat tinggal
kerana kita telah menjadi bangsa yang berani
di bumi ini!


L MANKADIR SHAMSI
Kg Pian, Kuala Krau
26-04-08.




INFO SUARA PROLITAR:

KU LI MEMANG PRIHATIN
TAPI AWAS MUSLIHAT KRONI!


Saya difahamkan Tengku Razaleigh Hamzah akan mengadakan perjumpaan di Lundang, Kelantan pada 29 April 2008 ini. Nampakanya Tengku Razaleigh prihatin dengan perjuangan untuk kepentingan orang Melayu. Tetapi beliau juga mungkin tak dapat melarikan diri daripada trend pemikiran UMNO. Syabas Ku Li! UMNO memang dah teruk, kroni-kroni juga mencari peluang. Takkan Ku Li tak boleh ingat kroni-kroni yang hancurkan perjuangan 1988 dulu. Harap Ku Li berhati-hati, supaya pisang tak berbuah dua kali. (SMS; 27 April 2008 – Adi, Lancang, Pahang).



PEMIMPIN TAK BOLEH DITEGUR
YANG MUDA NAK TUNJUK PANDAI


Apa dah jadi dengan UMNO sekarang? Tak fikirkah dah kalah lima negeri, tapi masih nak berebut-rebut jawatan? Saya pun dah fed-up dengan UMNO. Orang muda nak tunjuk pandai, pemimpin pula tak boleh ditegur. Kita yang di bawah ni jadi macam bangsat, buat kerja untuk mereka. La ni buat hal salahkan orang lain pula, bila dah kalah sampai hilang lima negeri. Salah sendiri nak disembunyikan. Depa ingat kita semua boleh terima apa saja mereka nak buat untuk UMNO. (SMS; 27 April 2008 – Hafar, Gombak, Selangor).


HISHAMUDDIN BACUL
Oleh: Mansor Abdullah

Isu Ketua Pemuda UMNO Datuk Seri Hishamuddin Hussein memohon maaf baik kepada ahli-ahli parti lawan mahupun party UMNO yang dianggapnya dia bukanlah seorang yang sombong, angkuh dan takbur sebenarnya silap. Sebaliknya tindakan beliau itu adalah bodoh dan bacul sebenarnya. Bagi beliau berbuat demikian tidak merupakan satu kerugian apa-apa, malah dianggap megah dan berhemah seb agai menunjukkan keberanian beliau memohon maaf. Tetapi bagi pihak yang lain pula, tindakannya itu telah menunjukkan suatu kejayaan besar kepada mereka kerana berani mendesak dan 'merngugut' hingga akhirnya mantan KP UMNO itu tunduk akur.

Sedarkah mantan KP UMNO ini bahawa jati dirinya begitu lemah dan rapuh? Ia langsung tidak mermperlihat jati diri seorang anak Melayu Asli yang hakikatnya tidak akan berganjak walau seinci daripada apa pun pendirian yang telah diambilnya kerana setiap yang dilakukannya itu dia mesti berani dan tahu untuk bertanggungjawab terhadapnya. Namun begitu kita tidak hairanlah kenapa terjadi begitu, kerana beliau sendiri bukanlah orang Melayu Asli atau pun sejati barangkali. Jikalau beliau seorang anak Melayu tulen, beliau tidak seharusnya bersifat apologetik kerana setiap perbuatannya sanggup dia bertanggungjawab. Ibarat kata pepatah, jika tangannya yang mencincang, bahunya sedia memikul.

Tetapi soalnya bagaimana beliau mahu mempertahankannya jikalau beliau sendiri buta sejarah dan jahil budaya sendiri? Andainya beliau tahu dan arif tentang kedua-duanya itu, sudah tentulah sejak awal-awal lagi beliau tidak tergamak untuk melakukannya sedemikian. Pertama, sedarkah KP UMNO ini bahawa adat resam Melayu, jika keris dicabut, pantang disarungkan semua sebelum ia dunakan bagi sesuatu. Adat Istiadat Raja-raja Inggeris dahulu kala juga mencabut pedangnya, kemudian meletakkan ke hujung mata pedang ke bahu kiri dan kanan kemudian ke atas kepala sebagai menghormati atau mengistiharkan sesutu kurniaan gelaran dan pangkat.

Dalam budaya Melayu, keris adalah lambang ketuanan dan keagungan Raja-raja Melayu yang berdaulat. Menjunjung keris yang dicabut dari sarungnya atau mencium keris telanjang itu adalah satu penmghormatan tertinggi sebagai ikrar dan sumpah taat setia. Jika keris itu tidak tercabut (bukan terhunus) bermakna tak ada apa ertinya. Ini pun satu hal, para wartawan Melayu kena faham dan erti perkataan Melayu itu senmdiri. Antara tercabut dengan terhunus itu membawa makna berbeza. Menghunus bermakna adalah mengacu-acuukan kepada seseorang sebelum dia menikam. Sekiranya keris itu masih bersarung, ia tidak memperlihatkan kuasa atau keagungannya. Sebab itulah bendera UMNO diletakkan keris telanjang dan tidak bersarung.

Gambarkan kebodohan orang Melayu dengan budayanya sendiri seginggakan kedddaulatan raja dicemar begitu sahaja. Tak ada ertinya raja berperlembagaan dan berdaulat jikalau ketika baginda dinobatkan sebagai Yang Dipertuan Agonmg pun mengangkat keris bersarung. Ini sungguh mengaibkan. Ada lebih baik jika digantikan sahaja dengan menjunjung kita suci Al Quran semasa melafazkan Wabillahi, Watullahi dan sebagai dan sebagainya itu. Siapalah agaknya yang menasihati raja-raja sehingga sanggu[p mencemar kedaulatan raja dan menjatuh martabat dan maruah rajanya? Tahuklan anda, jika seorang Melayu tidak beran i mempertahankan adat resam, budayanya sendiri lebih baik jangan pakai nama Melayu, baik pakai nama yahudi atau orang putih sahaja.

Orang-orang Melayu yang taat setia kepada raja berperlembagaan berasa amat tersinggung dengan perbuatan KP UMNO ini. Sepatutnya beliau mempertahankannya dengan memanggil btokoh budayawan Melayu yang tulen memberikan ppendapat supaya dapat dipertahankan apa juga tindakan yang telah dibuat dahulu demi maruah bangsa Melayu. Datuk Seri Hishamuddin tidak seharusnya berbuat begitu sebagai mwakili Melayu. Anggaplah apa yang dibuat itu hanya secara peribadi atau atau tindakannya yang bahlol dan bukannya Melayu amnya yang bacul!

Dipetik daripada BH semalam, Datuk Seri berkata, bahawa sebagai pemimpin mesti besar hati dan besar jiwa untuk sanggup meletakkan kedudukan BN lebih penting daripada segala-galanya. Alangkah malunya kita mempunyai pemimpin Melayu yang konon memperjuangkan bangsa dan agamanya, tiba-tiba sanggup tiunduk hanya kerana demi party semata-mata. Cis! Melayu apakah itu? Tun Abd. Razak pernah mengucapkan tentang pembanguna, katanya demi pembangunan yang bakal dibuat dan dilaksanakan, sekiranya ia tidak memberi apa-apa keuntungan kepada Melayu, saya rela tidak melaksanakan pembangunan itu! Itu bunyi anak Melayu sejati, Orang Besar Berempat Negeri Pahang, anak beradat dan beristiadat Melayu tulen bukannya kacukan!

Menelusuri kekalahan BN yang lepas, bukan sepatutnya diletakkan ke bahu UMNO semata-mata. Jika dibuat analisa secara terbuka, calon-calon BN yang kalah kebanyakannya bertanding di kawasan bukan Melayu majoritinya. Jadi siapakah yang mengalahkan mewreka, adakah orang-orang UMNO agaknya? Yang peliknya, pemimpin-pemimpin parti komponen BN tak seorang pun tampil sebagaimana orang UMNO yang sanggup hendak menangkap mereka yang membuat sabortaj. Mengapa mesti orang Melayu dan UMNO sahaja? Apakah orang-orang bukan Melayu yan g membuat sabotaj begitu takkan diambil tindakan? Pelik, memang pelik kalau orang Melayu yang memerintah, hendak hukum orang Melayu yang tak puas hati sedang orang lain bukan setakat tidak puas hati tetapi mahu meruntuhkan kedaulatan Melayu itu semahu-mahunya didiam dan diampunkan sahaja.

Perhimpunan Melayu yang akan di adakan di Johor bahru nanti, datanglah para pemimpin UMNO yang selama ini hanya kokok saja berderai-derai itu tapi ekor bergelumang najis, mari kita sama-sama berbincang, kalau mahu kucup keris pun ayuhlah! Kita lihat siapakah Melayu yang sebenar dan siapakah musuh Me;ayu dari kalangan orang-orang Melayu itu sendiri? Jika orang-orang UMNO masih tidak mahu sedar juga, nantilah padahnya, maka Tsunami kali kedua dalam politik negara akan melanda orang-orang Melayu dan UMNO khasnya sekali lagi. Ketika itulah baru orang Melayu sedar, tetapi kertika itu nasi sudah menjadi kerak hangus semata-mata. Percayalah dan sedarlah bahawa anak-anak Melayu sudah tidak tahan dan tidak mahu aplogetik lagi, kerana mereka sudah banyak sangat mengalah dan dialahkan selama ini, cukuplah sudah!



KOMENTAR
bersama Pak Parjo

MARUAH MELAYU BUKAN KERIS
TOMBAK DAN LEMBING JADI SENJATA


Sekali persetua kecohlah di dalam negeri Melayu apabila ketua anak-anak muda Dato’ Seri Hishamuddin Hussein menghunus keris, walaupun tak turun mengamuk ke tengah peseban. Adapun kejadian yang berlaku tiga tahun lalu, disebut orang hingga ke hari ini menyebabkan Dato’ Seri Hishamuddin dilaporkan meminta maaf semalam, 19 Rabiulakhir 1429 (atau bagi anak cucu fakir 26 April 2006). Syahdan akan keris itu juga digunakan apabila menyampaikan titah raja, kerana hulubalang-hulubalang Melayu akan menggunakan tombak dan lembing sekiranya mahu mengancam musuh. Maka apabila menghunus keris, bukan bermakna mahu membunuh sebaliknya menyampaikan titah raja seperti Tun Isap membawakan keris kepada Bendahara Seri Maharaja.

Syahdan akan Hang Tuah berlima sahabat itu sedang membelah kayu di hadapan rumahnya, ketika seorang Jawa mengamuk di pasar. Adapun orang Jawa itu demam kura terkukul-kukul lalu diejek oleh anak-anak muda menyebabkan dia berasa malu. Maka mengamuklah orang Jawa itu, habis dibunuh siapa sahaja di hadapannya. Hang Tuah pun mengusir orang Jawa itu dengan kapak di tangannya. Arakian orang Jawa itu mendekati Hang Tuah, lalu dikapaknya kepala terbelah dua. Maka orang Jawa itu pun matilah. Syahdan kawan-kawan sama sebayanya bertanya kepada Hang Tuah kenapa tak gunakan keris semasa melawan orang mengamuk, lalu dijawab oleh Hang Tuah, ketika itu kapak sahaja yang ada di tangannya seperti diterangkan dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:







HIDUP BAHASA MELAYU!