Monday, June 15, 2009

LAMAN WEB ZAKARIA BIDIN


APA PULAK DALAM
LESUNG BATU HARI NI?

Saudara dan saudari budiman. Jawapannya pada soalan di atas tu, hari-hari ada yang menarik. Terutama dari komen pembaca dan penulis. Dalam 3 tajuk utamanya hari ni ialah Wan Hisham Minta Jangan Kaitkan Runtuhan Bumbung Stadium Dengan Idris, Orang Pas Pun Ingin Juga Tukar Angin Kali Ini, Ketuanan Melayu Tiada Tempat Dalam Pakatan Rakyat. Itu cerita politik. Yang tidak politik pula tentunya ada jenaka dalam runagan tepi untuk kita tersenyum atau mungkin terus ketawa. Mesin timbang pun pandai ambil hati pelanggannya. Dalam ruangan Gambar Menarik pula tentunya menarik terutama untuk kaum wanita dalam dunia fesyen hari ini - skaf ciptaan terbaharu yang sesuai untuk semua peringkat umur. Selamat melawat laman web: www.lesungbatu.webs.com.

TANAH ADAT REMBAU DIRAMPAS...


Pengambilan tanah adat di Rembau:
Biadab kpd institusi Undang Yang Empat

Tiga kampung yang terbabit dalam isu pengambilan tanah oleh pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) membabitkan tanah adat Waris Tebat di bawah pesaka Undang Luak Rembau sekarang, YTM Dato' Lela Maharaja Dato' Haji Muhamad Sharip Othman, kata pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard menerusi laman blognya http://chegubard.blogspot.com/. YTM Dato' Lela Maharaja Dato' Haji Muhamad Sharip adalah pemegang pesaka Undang Luak Rembau dari Waris Tebat, justeru pengambilan tanah yang dilakukan itu secara tak langsung adalah biadap kepada institusi Undang Yang Empat di Negeri Sembilan, beliau menjelaskan.

Seramai 47 pemilik tanah adat yang terbabit dengan pembinaan landasan kereta api berkembar menyatakan pendirian tidak akan berpindah sekiranya tuntutan mereka mendapat ganti rugi setimpal serta tanah gantian, tidak dipenuhi.Kesemua mereka membabitkan tiga kampung di sini sepakat supaya kerajaan mengambil kira tuntutan mereka terlebih dahulu sebelum pengambilan tanah itu boleh dilakukan oleh pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).Tiga kampung terbabit , Kampung Chembong Halt, Waris Tebat dan dan Chuai Hilir, di sini menurut laman blog berkenaan seterusnya.

Mereka menuntut nilai ganti rugi haruslah setimpal dengan harga semasa tanah dan rumah ataupun setidak-tidaknya memindahkan mereka ke satu kawasan tanah yang lebih baik sebagai perpindahan baru.Wakil penduduk, Che Tak Amat berkata, pendirian yang diambil adalah untuk menuntut hak mereka sebagai tuan tanah yang selama ini merasakan diri diperkotak-katikkan pihak tertentu.Menurutnya, nilai ganti rugi yang akan dibayar ternyata tidak setimpal sehingga menyebabkan mereka tidak berpuas hati dan menganggap pihak terbabit mempergunakan mereka untuk mendapatkan keuntungan.

“Nilai yang ditafsirkan terlalu rendah berbanding nilai pihak swasta yang dilantik. Kami penduduk kampung tidak akan berganjak sekiranya ganti rugi yang dibayar ini tidak setimpal,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semasa pertemuan dengan penduduk kampung Waris Tebat, di sini semalam.Pada pertemuan itu, lebih 12 wakil penduduk kampung hadir bersama Ketua PKR Bahagian Rembau, Badrul Hisham Shaharin.

MOHD AFFANDI HASSAN MENULIS...


Kerajaan Perpaduan dan
hakikat politik Melayu

Tiga perkara terserlah dalam huru-hara penubuhan “kerajaan perpaduan”. Pertama, huru-hara itu menyerlahkan kemiskinan berfikir ahli politik Melayu. Kedua, huru-hara itu menyerlahkan betapa tidak jujurnya ahli politik Melayu. Ketiga, ahli politik Melayu sanggup berbuat apa saja untuk mencari pengaruh dan publisiti. Sekarang sedikit penjelasan tentang istilah huru-hara. Di kalangan polis dan tentera, huru-hara berlaku jika polis memukul orang ramai yang berhimpun dan orang ramai membalas balik dengan cara mereka.

Sekiranya polis sebelah pihak saja memukul orang ramai, maka bagi polis perbuatan itu pun dikira huru-hara kerana orang ramai menentang polis yang menyuruh mereka bersurai walaupun mereka diam dan tidak berbuat apa-apa. Walau apa pun yang terjadi, misalnya jika yang dipukul polis itu mati, maka polis tetap berada di pihak yang benar dan mereka berbuat demikian (memukul hingga mati) menurut undang-undang. Jadi huru-hara adalah satu istilah yang baik untuk menggambarkan kejahatan orang ramai atau rakyat dan kebaikan polis dalam melaksanakan undang-undang.

Dalam keadaan huru-hara itu polis boleh berbuat apa saja kerana semuanya mengikut undang-undang. Bagaimana pula istilah huru-hara apabila dihalakan ke arah perdebatan politik? Dalam apa juga perbincangan yang tidak jelas buah butirnya, yakni kedua-dua belah pihak tidak jelas tentang maksud mereka yang sebenar; tetapi mereka jelas dari segi mengaut faedah daripadanya, yakni mereka tahu mereka akan mendapat keuntungan dari segi pengaruh atau publisiti, maka dalam konteks ini ahli-ahli politik yang terlibat dengan sengaja mewujudkan keadaan huru-hara untuk mendapat faedah peribadi.

Jika dalam situasi pertama kita lihat polis berbuat apa saja dalam keadaan huru-hara yang mereka cipta yang semuanya dilakukan mengikut undang-undang, maka dalam situasi kedua di kalangan ahli politik pula mereka menggunakan huru-hara kekeliruan yang mereka timbulkan itu sebagai strategi untuk mencari pengaruh, dengan itu keadaan huru-hara itu adalah baik bagi mereka. Dengan menggunakan istilah huru-hara ini kita boleh melihat pembohongan yang menjadi dasar tindakan manusia dalam mencapai maksud jahat mereka. Oleh itu istilah huru-hara adalah penting kerana telah diberi konteks yang khusus untuk menjadikan pembohongan sebagai dasar tindakan yang seolah-olah mencerminkan kebaikan.

Kata orang UMNO, kerajaan perpaduan adalah gagasan besar yang memerlukan perbincangan teliti antara UMNO dan PAS, demi kepentingan rakyat, negara dan agama. Kata ahli politik PAS pula, kerajaan perpaduan akan menyelesaikan semua masalah negara, terutama sekali tentang perpaduan Melayu. Kedua-dua belah pihak sebenarnya berbohong dan mereka tahu mereka berbohong. Sekarang inilah huraiannya. Kerajaan perpaduan adalah satu “konsep” palsu jika dikaitkan dengan rakyat, negara dan agama; tetapi “konsep” itu boleh dipakai untuk menyerlahkan laku perangai buruk ahli-ahli politik.

Kerajaan perpaduan telah dilaksanakan zaman Tun Razak dan Mohd. Asri Muda antara UMNO dan PAS, tetapi gagal. Tidak ada sebarang kemajuan, malah UMNO melihat PAS berjaya menembusi kawasan mereka. Ini membuat UMNO marah, yang akhirnya PAS menerima padah untuk disingkirkan dari kerajaan campuran alias perpaduan itu zaman Hussein Onn. Jadi dari segi sejarah, kedua-dua belah pihak sudah pernah membentuk kerajaan perpaduan selepas UMNO kalah teruk dalam pilihan raya 1969. Oleh itu untuk ketua UMNO berkata kerajaan perpaduan adalah cadangan baru adalah satu pembohongan dan penyelewengan sejarah.

Adakah orang UMNO buta sejarah atau sengaja tidak mahu mengaku kebenaran sejarah? Dua perkara yang jadi pegangan UMNO ini menimbulkan huru-hara besar dalam politik, kerana kejahatan UMNO merampas kuasa di Perak seolah-olah tidak bererti lagi, kerana tindakan mereka dihalalkan melalui undang-undang yang mereka sendiri buat. Dalam konteks inilah kita harus melihat bagaimana PAS ditendang keluar dari pakatan dengan UMNO/BN kerana pada waktu itu UMNO merasakan mereka tidak perlukan PAS lagi.

Adakah sekarang mereka sekali lagi perlukan PAS hingga melayan permintaan PAS untuk membentuk kerajaan perpaduan? Dalam konteks inilah UMNO dan PAS menyerlahkan kelemahan berfikir ahli politik Melayu. Mereka tidak peduli untuk menangani masalah negara mereka sendiri yang lebih penting. Adakah mereka tidak tahu? Malaysia sekarang memerlukan tiga jenis tindakan berani dan bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah kezaliman yang sedang berleluasa sekarang.

Pertama, masalah keadilan agihan kekayaan negara. UMNO telah gagal selama 52 tahun untuk mewujudkan keadilan dari segi agihan kekayaan negara ini, dengan menindas orang Melayu sendiri. Yang paling teruk ditindas dan dipinggirkan ialah rakyat Kelantan, yang dibalun dengan kejam kerana tidak memilih UMNO/BN. Mereka dikutuk tidak maju-maju selama 50 tahun selepas merdeka kerana menentang UMNO. Tidak ada pembangunan, kata UMNO. Jika UMNO menjadikan agihan kekayaan negara sebagai prinsip pembangunan negara, tidak timbul penindasan dan peminggiran ini. Semua rakyat berhak mendapat hak mereka untuk dibangunkan.

Mereka juga berhak memilih kumpulan mana yang mereka suka. Tetapi kebebasan ini tidak diberikan kepada rakyat, oleh itu ketika PAS memerintah Terengganu, hasil minyaknya ditahan. Tidakkah ini satu perbuatan yang sangat jahat? Sekarang mereka, yakni UMNO, mengutuk kerajaan Perak di bawah Pakatan Rakyat tidak membawa apa-apa kemajuan walaupun sudah diberi peluang memerintah Kurang Dari Satu Tahun, berbanding dengan mereka yang telah memerintah 50 tahun. Cara berfikir, cara bertindak, dan cara berhujah UMNO dan ketua-ketua UMNO semuanya mendorong perpecahan masyarakat, terutama orang Melayu.

Walaupun slogan baru mereka “rakyat diutamakan”, tetapi rakyat tidak bebas menyuarakan hak mereka. Rakyat yang menentang UMNO/BN masih selamat kerana belum ada lagi kem tahanan yang boleh memuat berjuta manusia seperti yang dibangunkan oleh Hitler dalam Perang Dunia II. Tetapi para pemimpin pembangkang tidak selamat kerana mereka boleh ditahan tanpa sebab bila-bila masa saja. Ada undang-undang dan ada aparatus kerajaan untuk melaksanakan semua ini. Motif utamanya bukan keadilan dan keselamatan negara, tetapi keselamatan para pemimpin UMNO/BN yang akan terlucut kuasa jika kebebasan rakyat tidak disekat.

Perkara kedua ialah peranan zakat dalam sistem ekonomi Malaysia. Pada waktu ini tidak ada sistem zakat yang cekap tersusun, oleh itu PAS sebagai sebuah parti politik dibolehkan mengutip zakat di kalangan ahlinya dan juga di kalangan orang ramai yang menyokong PAS. Dalam kerajaan UMNO/BN, yang digalakkan dan dibesar-besarkan ialah kutipan zakat, bukan pembahagiannya. Kutipan sangat banyak dengan adanya kesedaran orang Islam terhadap kewajipan membayar zakat, apatah lagi apabila zakat gaji diperkenalkan. Tetapi apa jadi kepada wang zakat? Tak seorang pun tahu, termasuk yang mengendalikannya.

Yang mengendalikan tidak tahu oleh sebab setiap kali diminta penjelasan dan angka-angka tentang pembayaran kepada yang berhak menerimanya, maka penjelasan itu sentiasa berubah-ubah. Penerima zakat juga tidak pasti mengapa dia menerima zakat dalam bentuk bayaran kecil-kecilan melalui kerenah pentadbiran yang rumit. Pendeknya, zakat adalah masalah besar dalam pentadbiran Malaysia kerana tidak ada akauntabiliti. Masalah zakat ini lebih besar dan lebih rumit daripada perpaduan Melayu, lebih penting diselesaikan dengan tuntas.

Tetapi kerajaan tidak berminat, malah selagi bertambah misteri tentang zakat, selama itulah zakat boleh dipergunakan dalam bentuk dan maksud yang dikehendaki oleh pemerintah. Menyelesaikan masalah zakat ini jauh lebih penting daripada membentuk kerajaan perpaduan yang ternyata karut dari segi politik dan matlamatnya. Masalah besar ini jauh lebih penting daripada slogan satu Malaysia yang kini sudah menjadi nyanyian UMNO di mana-mana. Jika sistem zakat diwujudkan dan pelaksanaannya diuruskan dengan amanah, kemiskinan di kalangan orang Islam dapat dihapuskan dengan segera dan berkesan. Murid-murid Islam yang miskin juga tidak lagi terhalang untuk mendapat pendidikan.

Malah, zakat akan melahirkan ramai pelajar pintar, mungkin yang mencapai peringkat genius, jika dibantu dengan wang zakat dan dipantau dengan cekap kemajuannya. Kerajaan sudah sepatutnya mewujudkan Baitulmal Zakat yang diurus dengan cekap dan amanah oleh pakar kewangan dan akaun. Mengapa persoalan ini tidak pernah ditimbulkan? Sebabnya mudah: jika Baitulmal Zakat diwujudkan, sukarlah penyelewengan wang zakat dilakukan oleh ahli politik. Ketiga, tentang pembangunan.

Pembangunan di Malaysia dikhususkan kepada bangunan, misalnya dengan membangun stadium yang runtuh, atau rumah-rumah di lereng bukit yang runtuh dengan korban kematian, atau bangunan megah Kehakiman yang silingnya pecah dan air melimpah yang juga tidak ada kemudahan untuk OKU (yang memakai kerusi roda terpaksa diusung: tidakkah ini gila namanya bagi negara yang megah membangun!), atau pembangunan yang tidak kena mengena dengan rakyat, misalnya lapangan lumba kereta.

Apa yang terjadi ialah pembangunan dalam konteks fasad, penyelewengan dan korupsi seperti yang dikutuk dalam al-Quran. Pembangunan jenis ini banyak pembaziran dan kerugian wang; kos yang seratus juta menjadi tiga ratus juta (misal: pembinaan stadium runtuh di Terengganu pada mulanya dianggar RM190 juta, tiba-tiba jadi RM292 juta dan runtuh pula, kena belanja berpuluh juta lagi, kemungkinannya ratus juta.) Jika konsep pembangunan seperti yang dikonsepsikan oleh EPU (Economic Planning Unit) masih diteruskan, maka kita akan terus menghadapi pembaziran dan pembangunan bercorak fasad itu.

Jadi apa yang kita perlu buat? Kita perlu merombak semua idea tentang pembangunan negara. Pembangunan negara harus berasaskan konsep ilmu yang benar, bukan model-model Barat yang menggalakkan fasad. Konsep pembangunan itu telah dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Syed Naquib al-Attas. Mengapa kita tidak menggunakan pemikiran seorang genius Melayu yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala kepada Malaysia ini?

Jadi baik UMNO mahu pun PAS, apatah lagi PKR yang ketuanya dididik oleh Prof. Syed Naquib al-Attas sejak menjadi pemimpin pelajar lagi, harus menerima hakikat bahawa di Malaysia sudah ada seorang pemikir genius yang ideanya boleh digunakan untuk membangun negara ini. Kita tidak perlukan slogan satu Malaysia. Yang kita perlukan ialah pembangunan secara beradab. Nampaknya tidak ada ahli politik yang berminat tentang pembangunan beradab ini. Adakah kerana mereka begitu biadab hingga tidak tahu lagi makna adab yang sebenarnya? - [15/6/2009] Mohd. Affandi Hassan

KOMENTAR:


bersama Pak Parjo...

Kerana memekik 'Hidup Rakyat'
Nizar diusir Pandikar Amin Mulia


Kata sahibul hikayat tersebutlah ceritera di balairong besar perihal Orangkaya Bukit Gantang Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin diusir keluar oleh Penghulu Balai Besar, Orangkaya Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana memekik menyebut 'Hidup Rakyat'. Sebermula sekiranya Orangkaya Dato' Seri Mohamad Nizar memekik menyebut 'Hidup UMNO', maka tiadalah ia diusir, gerangannya. Maka diketahui oleh orang banyak, terlalu bimbangnya sekalian anak-anak buah harakah Melayu (UMNO) itu apabila disebut 'Hidup Rakyat'. Arakian terfikirlah di dalam hati fakir, pada suatu masa dahulu anak-anak buah UMNO juga yang tak mahu memekik 'Hidup Melayu', lalu diganti ia dengan 'Merdeka'.

Arakian duduklah sekaliannya di balairong Raja Siak berhadap-hadapan. Maka laksamana duduk menghadap ke arah Tun Jana Pakibul, sambil mengereng pada Sultan Ibrahim. Syahdan maka oleh laksamana ditunjuknya Tun Jana Pakibul dengan tangan kirinya, katanya, "Tiada berbudi tuan hamba orang hutan, maka tiada tahu cara adat bahasa. Benarkah menbunuh orang tiada memberi tahu ke Melaka? Hendak merajalela tuan hamba di Siak ini?" Maka Sultan Ibrahim dengan semua orang di balairong semuanya diam. Adapun semasa Orangkaya Mohamad Nizar itu diusir, memang tak kelihatan sultan bersemayam. Maka ketika di Siak dahulu diperbuat orang pantun:

Dari mana si burung tiak
Dari sawah tanah ulayat
Laksamana datang ke Siak
Membawa sembah 'Hidup Rakyat'

Sebermula disurat orang dalam 'Kitab Melayu' bersama:






HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG:

Usaha perhambakan minda:
Bekas mejor kutip kotak sampah!

Tak ada yang luar biasanya, apabila Dato' Seri Anwar Ibrahim menyebut jangan politikkan isu Chin Peng untuk balik ke tanah air. Mahkamah sudah membuat keputusan dengan alasannya tak ada dokumen menyokong Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hwa lahir di negara ini. Memang UMNO cuba mempolitikkan isu Chin Peng dengan menggunakan media arus perdana mengksploit isu berkenaan, di samping persatuan bekas perajurit juga turut diheret sama. Pengalaman saya menghasilkan buku 'Askar Melayu 50 Tahun' pada 1983 (bersama Tan Sri Abdul Samad Idris), saya tahu apa sebenarnya yang terbendung dalam jiwa mereka.

Misalnya, pada 1990 selaku penyunting di akhbar 'Watan', saya menyiarkan isu seorang bekas tentera berpangkat mejor mengutip kotak-kotak di tong sampah. (Penulis artikel berkenaan kalau tak salah saya Rahmat Othman, kemudiannya berkhidmat dengan Berita Harian) diberi taklimat oleh KDN, kalau isu berkenaan dipaparkan boleh mendorong tentera yang terlatih menggunakan senjata menyertai gerombolan komunis di hutan. (Iktibar daripada isu ini, kita sedar apa sebenarnya yang dimahukan oleh persatuan bekas perajurit). Apalagi dokumen kelahiran dan kad pengenal hanya diperkenalkan pada 1948 selepas kolonial British memproklamir darurat.

Justeru memang Chin Peng tak mempunyai dokumen kelahiran, sekalipun beliau mendakwa dilahirkan Kampung Koh, Sitiawan pada 1924. Ibu bapa kita yang dilahirkan sebelum 1948 juga tak mempunyai sijil kelahiran dan kad pengenalan; tetapi sekadar berdasarkan catatan kaum keluarga sendiri mengikut taqwim Hijrah. Atau sesetengahnya dicatatkan pada papan dinding dengan tulisan jawi daripada puntung arang. Cukuplah UMNO membelenggu minda masyarakat Melayu sejak dekad 1950-an dan 1960-an, kerana selepas 2000 mereka perlu bebas daripada perhambaan minda bagi bergerak menjadi bangsa yang maju.

Isu Chin Peng terlalu kecil, malah tak menjejaskan kepentingan negara dengan usia beliau sudah mencecah 85 tahun. Lee Kuan Yew yang menggugat kestabilan politik UMNO pada 1964 pun sudah diterima baik; apalagi setiap pimpinan UMNO ketika itu tak akan melupakan insiden mengutip derma bagi menghadapi tindakan undang-undang Lee Kuan Yew terhadap Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Syed Jaafar Albar. Malah Chin Peng juga tak pernah terbabit dengan skandal BMF, Perwaja, kapal selam atau jenayah Mustakhizah (yang selalu dibangkitkan oleh Rais Yatim ketika beliau bersama S46), Norita Shamsuddin di Perlis, Nurhayati di Melaka mahupun Altantuya. Begitulah!

-Pak Dharma

CORAT CORET DEWAN RAKYAT


Pandikar Amin gagal:
Pulihkan kemuliaan Dewan

Kewibawaan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pendekar Amin Mulia terus dipersoal, apabila memerintah keluar Ahli Parlimen Bukit Gantang Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin selepas 10 minit mengangkat sumpah jawatan. Tindakan Tan Sri Pendekar Amin hari ini (15 Jun 2009) bukan sahaja gagal melaksanakan tugas sebagai pemelihara demokrasi,malah dianggap tak mempunyai kewibawaan sebagai seoang Speaker. Sebelum ini beliau menggantung Ahli Parlimen Puchong bagi tempoh setahun, yang memperlihat ciri-ciri terlalu condong kepada kemahuan UMNO/BN. Malah beliau juga dilihat tak mampu memulihkan kemuliaan Dewan Rakyat seperti pada period Tan Sri Mohd Noah Omar, Tan Sri C.M.Yusuff, Tan Sri Nik Ahmad Kamil dan Tun Syed Nasir Ismail.

Tan Sri Pandikar Amin Mulia membuat arahan berkenaan kerana tidak berpuas hati terhadap provokasi Menteri Besar Perak dari Pakatan Rakyat itu kerana dikatakan menjadi punca beberapa ahli Parlimen pembangkang memakai lilit kepala dengan perkataan 'Bubar DUN.'
Turut diarah keluar ialah empat wakil rakyat pembangkang lain yang memakai lilit kepala itu. Laporan terkini media arus perdana juga turut menunjukkan Tan Sri Pandikar Amin sekadar tak berpuas hati, bukan disbabkan Dato' Ir Mohammad Nizar melanggar peraturan Dewan yang perlu dirujuk kepada jawatankuasa.

SUARA DARI KOTA BHARU


Tiga negara 'ucap tahniah':
Ada yang tak kena dgn Najib

Dalam tempoh tiga bulan pelantikan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia, hanya tiga negara sahaja menyampaikan 'ucap tahniah', beritahu Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Berdasarkan fakta tersebut memang secara tak langsung mencerminkan 'ada perkara tak kena', katanya seperti dilaporkan blog harakahdaily. "Dalam ukuran kepada populariti Perdana Menteri yang baru, kalau kita ambil daripada kaca mata "ucap tahniah" yang diterima oleh Malaysia, setakat ini yang saya diberi faham hanya Singapura, Brunei, dan baru-baru ini Amerika yang ucapkan tahniah. Hanya tiga pemimpin negara dari seluruh dunia yang menyampaikan ucapan tersebut.

"Kita telah masuk ke bulan ketiga sejak pelantikan Perdana Menteri yang baru. Kalau itulah ukuran sambutan orang terhadap perdana menteri yang baru maka sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena,"jelasnya. Tambah Nik Aziz, jika diselidik,sudah pasti pergolakan bukan sahaja dalam komponen Barisan Nasional (BN) malah isu dalaman Umno sendiri boleh dianggap sebagai punca pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri tidak diterima dengan baik. "Apa agaknya yang tidak kena, jelaslah pergolakan dalaman seperti isu PPP dengan elemen dua presiden antara Murugiah dengan Kayveas belum lagi selesai. "Begitu juga dengan perpecahan di Terengganu antara blok Ahmad Said dengan Idris Jusoh, laporan ancaman bunuh ketika hendak hadir mesyuarat sidang dun masih belum selesai,"jelasnya lagi.

SASTERA & BUDAYA

PUISI

Papa, Anak Kesayangan

Papa, Joy, anak kesayangan Papa
selamat sudah berijab kabul
dengan kekasih hatinya
Naimmah nan ayu jelita
elok tertib tinggi hemahnya
menantu Papa ini.

Sepenuh syahdu sekudus kasih
kami sandingkan, Joy
adik bongsu kesayangan kami
dan isterinya Naimmah nan manja
di atas pelamin berwarna ungu
Yong yang buat pelamin itu, Papa.

Oh, ya Papa
Cempaka dan Rahmat
ada bersama
aduhai Papa,
betapalah bahagianya kami
sekiranya Papa jua ada bersama
Papa, Intan rindu Papa
Al-fatehah.

-Dr Seri Intan Mokhtar
jam 0316
Jun 15, 2009
Lata Kinjang
Chenderiang, Tapah