Sunday, July 26, 2009

Dari Kaca Mata Intelek...

Jangan jadi UMNO Singapura:
Sekadar jadi bahan kajian sejarah

Kroni-kroni dan penyokong UMNO adalah sumber yang mendorong kepada 'sokong membawa rebah' apabila membuat laporan kepada pimpinan semuanya molok-molok, beritahu bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Profesor Dato' Dr Mohamad Mansor Abdullah. Dalam tinjauan yang dibuatnya ke beberapa negeri yang didominasi PR, Prof Dato' Dr Mansor turut mengakui kekalahan UMNO pada PRU12 adalah berpunca dari kroni-kroni dan penyokong yang menyampaikan kepada pimpinan semuanya dalam keadaan molok-molok di peringkat akar umbi. "Akibatnya pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi merasa terhibur dengan laporan kroni-kroni dan penyokong berkenaan," katanya dalam teks untuk dijadikan buku.

Seterusnya Prof Dato' Dr Mansor percaya sekiranya pimpinan sekarang melestarikan sikap yang sama, UMNO akan menerima nasib sama seperti UMNO Singapura sekadar menjadi bahan kajian sejarah sahaja. Justeru, kata Prof Dato' Dr Mansor pimpinan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak sekarang perlu membuat keputusan bijak menjadikan kroni dan penyokong terbabit sebagai musuh utama. Golongan muda jangan memandang sepi kepada pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah dengan meminggirkannya dengan melupakan 'benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, tercampak ke darat menjadi gunung'. "Kalau mahu berubah perlulah daripada baik kepada yang lebih baik," jelas Prof Dato' Dr Mohd Mansor.

Belasungkawa Kepada Aktivis Seni...

Ucapan takziah dari PRIMA

Jurucakap Warga Prihatin Malaysia (PRIMA) Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Pengarah filem dan iklan terkenal, Yasmin Ahmad (gambar) yang mengalami strok dan pendarahan di bahagian otak sejak Khamis lepas meninggal dunia malam tadi.Yasmin, 51, kembali ke rahmatullah kira-kira pukul 11.30 malam di Hospital Pakar Damansara, Petaling Jaya selepas tiga hari berada dalam koma setelah menjalani pembedahan membuang darah beku di kepalanya.
Yasmin yang terkenal sebagai pengarah filem Sepet, Gubra dan Talentime rebah secara tiba-tiba semasa bermesyuarat bersama penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa serta beberapa kakitangan Media Prima di Sri Pentas, TV3, sekitar pukul 3 petang Khamis lalu.Beberapa jam sebelum itu, adik iparnya, Datuk Dr. Zakaria Zahari memberitahu media, Yasmin masih menerima bantuan alat sokongan hayat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Pakar Damansara.

Info Negara Islam...

Iran mampu musnahkan
kemudahan nuklear Israel.

26/07/2009 3:13am

TEHRAN, Iran 26 Julai – Ketua Pengawal Revolusi Iran berkata, negaranya mempunyai kemampuan untuk menyerang akses kemudahan nuklear Israel dan tidak takut jika diserang kerana meneruskan program nuklearnya.

“Jika Israel melibatkan diri dalam mana-mana serangan ke atas Iran, kami mempunyai kemampuan untuk melancarkan serangan di semua sasaran wilayah-wilayah yang diduduki oleh Israel di Palestin, kata Jeneral Mohammad Ali Jafari kepada televisyen, Al-alam.
- AP

Pengebom berani mati
Serang timur Afghanistan

KHOST: Lebih tujuh pengebom berani mati menyerang bangunan milik kerajaan di Bandar Khost, di timur Afghanistan semalam tetapi hanya membabitkan beberapa orang cedera. Pihak tentera Amerika berkata, mereka menerima laporan serangan pengebom berani mati di Khost tetapi pihak keselamatan Afghanistan memberitahu keadaan terkawal. Pihak keselamatan Afghanistan dan tentera Amerika kini menumpukan misi ketenteraan mereka menangani keganasan yang ditimbulkan puak Taliban di timur.

Jurucakap Menteri Pertahanan Afghanistan, Zahir Azimi, berkata sebuah kereta yang sarat muatan bom diletupkan di Khost, berhampiran sempadan Pakistan. Ia disusuli tiga lagi serangan pengebom berani mati serta serangan berbalas tembakan. Ketua Polis Wilayah Khost, Abdul Qayum Baqizoy, berkata pengebom menyerang dua bangunan kerajaan serta mencederakan tiga orang awam dan seorang pegawai polis.

Jurucakap Taliban dari rangkaian Haqani, Salahuddin Ayubi, mengakui serangan itu dan menyebut ia membabitkan ramai yang cedera. - Reuters

INFO SASTERA & BUDAYA

Fakta yang diguna pakai:
Berdasarkan 'ibu adat muafakat'

Memang saya tak berkesempatan hadir di Pesta Adat di Seri Menanti baru-baru ini, tetapi wajar menyentuh sedikit percanggahan pandangan YM Dato' Seri Maharaja Haji Khalid Bonget, tiang balai Penghulu Luak Hulu Muar dengan Prof Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rusli Saludin, Pensyarah UPSI seperti dilapor laman blog http://www.budayasenipasn9.blogspot.com/. Barangkali secara akademik Dr Mohd Rusli melihat dari aspek pengkajian secara khusus, sebaliknya YM Dato' Seri Maharaja Khalid berdasarkan fakta yang diguna pakai. Apalagi Adat Minangkabau (dikenali di Negeri Sembilan Adat Perpatih) sudah melalui beberapa proses perubahan yang berdasarkan 'ibu adat muafakat'. (Gambar hiasan - Undang Luak Rembau YTM Dato' Lela Maharaja Haji Muhamad Sharip Othman, membelakang bersama DYMM Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz dalam pesta adat di Seri Menanti)

Kebetulan pula saya tak pernah ditemukan dengan kedua-dua tokoh adat berkenaan dalam majlis ilmu. Ketika kerjan (pertabalan) YTM Undang Luak Johol Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato' Haji Mohd Jan Abdul Ghani, saya ditemukan dengan Dr Rosli dalam majlis ceramah. Selepas pemasyhuran DYMM Tuanku Muhriz menaiki takhta Yang Dipertuan Besar saya ditemukan dengan YM Dato' Seri Maharaja Khalid dalam slot 'Helo Malaysia' di TV Bernama (502). Tak berlaku pun sebarang percanggahan pendapat dalam kedua-dua perbincangan saya bersama dua tokoh berkenaan.

Adat Minangkabau diperingkat awal dikenali 'Adat Si Mumbang Jatuh' diasaskan oleh Dato' Maharajo Dirajo dengan penasihatnya Cati Bilang Pandai. Apabila masyarakat berkembang, adat berkenaan (peraturan hidup atau undang-undang) dipinda kepada 'Undang-Undang Tarik Balik' proses dilaksanakan oleh Sutan Basa (dikenali juga Koto Piliang atau Adat Ketumanggungan), tetapi asasnya tetap berpegang kepada 'Adat Si Mumbang Jatuh'. Proses berikutnya ialah berubah kepada 'Undang-Undang Si Gamak-Gamak' (disebut Bodi Caniago atau Adat Perpatih) di bawah Sutan Balun, asasnya tetap sama iaitu 'Adat Si Mumbang Jatuh'. Ketiga-tiga proses perubahan dipinda lagi kepada 'Undang-Undang 20', dengan beberapa perubahan sesuai dengan masyarakatnya. - (Gambar - YM Dato' Seri Maharaja Khalid Bonget, tiang balai Penghulu Luak Ulu Muar).

Kesemua Adat Minankabau berkenaan berubah lagi pada period Perang Paderi sekitar dekad 1830-an dengan menerima 'Piagam Malipialam' denan memasukkan perbilangan 'adat bersendi hukum, hukum bersendi kitabullah'. Justeru sama ada Adat Ketumanggungan (Koto Piliang) mahupun Bodi Caniago (Adat Perpatih) adalah Adat Minangkabau. Kekeliruan yang dibangkitkan oleh Dr Rosli ialah pembahagian tanah pusaka, tanah harta pusaka, tanah ulayat yang dimiliki melalui sistem pewarisan Adat Perpatih seperti disebut oleh YM Dato' Seri Maharaja sebagai boleh dijual atau digadai jika memenuhi syarat. YM Dato' Seri Maharaja Khalid memberikan pandangan berdasarkan proses perubahan 'Hukum Tanah Minankabau'. Saya perturunkan kertas kerja Abuya HAMKA:

"Sebab ada suku, mesti ada sako. Di zaman jayanya, adanya harta pusaka menjamin hidup anak kemanakan. Harta pusaka 'dijual tak dimakan beli, digadai tak dimakan sando (cagaran)'. Sgala anak buah menokok dan menambah, tak boleh ada yang menguranginya. Mamak-mamak menjaga wilayah ibu atau andung memegang kunci ampang-puruk dan lumbung (kepuk). Isi lumbung atau isi ampang-puruk hanya boleh dikeluarkan kalau terjadi sebab-sebab yang empat perkara: (i) Rumah gadang ketirisan, (ii) Adat pusaka tak berdiri, (iii) Gadis gadang tak berlaki, dan (iv) Mayat terbujur di tengah rumah." Dalam proses perubahan sekarang ditambah lagi dua iaitu menjadi enam, termasuk hutang pendidikan anak-anak dan menjelaskan aib (yakni hutang orang gadang kepada orang gadang yang lain).

Kalau dibincangkan 'dilipat sebesar kuku, dibuka sebesar alam; dihela berjela-jela, dipuntal tak mahu singkat'. YM Dato' Seri Maharaja memberikan pandangan daripada aspek pelaksanaan, sementara Dr Rosli membincangkan berdasarkan kajian. Maknanya, kalau feqah dibincang berdasarkan usul, tentulah celaru, keliru dan selaru! Kedua-duanya betul, dan tak bercanggah iaitu kalau 'Si Mumbang Jatuh' bincangkan menerusi 'Si Mumbang Jatuh'; jangan beralih kepada 'Si Gamak-Gamak'. Begitu juga 'Undang-Undang Tarik Balik' dibincang mengikut 'alur dan patut' jangan dibawakan kepada 'Undang-Undang XX' atau 'Piagam Malipialam'.

PUISI BERSAMA YASSINSALLEH

Entahkan Bila Sempurna

Berputik rindu di Jeram Besu
angin malam yang biru merentas
malam tak berbulan mengiringi
bisikan hati yang entahkan
bila kesampaian kerana jembatan
yang tak bepangkal
entahkan bila sempurna
ke hujung.

Lalu rindu yang ditempuh itu
akan pasti menanti langit malam
menarikan seloka bintang-bintang
meneruskan getaran rindu
yang syahdu.

-Yassinsalleh
jam 2225
Julai 25, 09
Kem Kolonel Nik
Jeram Besu, Raub.

SEKALI PERSETUA...

Hendaknya Gani Petail:
Janganlah dilepas kepala diuja ekor

Syahdan maka bertanya Orangkaya Pokok Sena Dato' Mahfuz Omar kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail meminta penjelasan sama ada suruhanjaya penyiasatan bagi menyiasat kecederaan yang dialami oleh Orangkaya Permatang Pauh Dato' Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1999 lalu mematuhi undang-undang negara. Adapun Orangkaya Pokok Sena itu bertanya disebabkan Tan Sri Abdul Gani beritahu sebelumnya, " Bahawa "kita mesti mematuhi undang-undang negara" ketika memberikan kenyataan berkenaan inkuiri berhubung kematian Teoh Beng Hock mengikut Kanun Acara Jenayah. Beliau juga menyatakan bahawa Perkara 2 Kanun Suruhanjaya Siasatan 1950 itu jelas merujuk kepada siasatan terhadap tatalaku dan pengurusan pegawai-pegawai dan jabatan-jabatan kerajaan atau bagi kebajikan awam.

Sebermula akan Tan Sri Gani diingatkan juga, "Janganlah dilepas kepala diuja ekor." Eloklah belajar dengan kejadian 'mata lebam' itu, isy isy isy!. Maka kata Orangkaya Pokok Sena kepada penitir canang Harakah,"Bagaimanapun, bidang tugas suruhanjaya penyiasatan bagi menyiasat kecederaan yang dialami oleh Anwar dahulu dengan jelas menyatakan tujuannya adalah untuk menyiasat dan mengkaji kecederaan ke atas Anwar yang dialaminya semasa dalam tahanan polis dengan tujuan menentukan sebab kecederaan itu berlaku dan mengenal pasti siapa yang bertanggungjawab serta bersubahat menyebabkan kecederaan tersebut."

Arakian, maka tombak kerajaan dua batang pun berdirilah di selasar balai itu, disampaikan tetampan. Maka dikatakan orang banyak dua batang tombak itu satu dipegang oleh bentara kanan dan bentara kiri iaitu Orangkaya Temenggung Seri Maharajalela (Ketua Polis Negara) dan Orangkaya Seri Bija Diraja (Peguam Negara), adanya. Maka Sultan Mansor Shah pun memberi titah kepada Bendahara Paduka Raja dan pada segala menteri ceteria dan sida-sida, bentara, hulubalang sekalian, "Apa bicara tuan hamba sekalian beta hendak membuang akan si
penderhaka itu, maka beta tahu semua akan sudahnya saja!". Syahdan sembah Temenggung Seri Maharajalela dan Seri Bija Diraja, "Ampun tuanku, titah terjunjung di atas batu jemala patik." Maka oleh sekalian orang banyak diperbuat pantun:

Apa dipatah ranting lada
Daun semalu di perdu duku
Apa titah duli baginda
Titah lalu sembah berlaku

Kedengaranlah kepada sekali orang banyak masing-masing menyurat dalam 'Kitab Melayu' daripada:









HIDUP BAHASA MELAYU!