Friday, June 26, 2009

DR M PERJELAS ISU TAMBAK JOHOR


Bukan milik bersama:
2/3 adalah hak Johor

Oleh: Tun Dr Mahathir Mohamad

1. Saya siarkan dokumen berkenaan pembiayaan pembinaan Tambak Johor kerana ada Menteri di dalam pentadbiran Tun Abdullah yang mendakwa Tambak Johor milik bersama antara kita dan Singapura. Sebab itu Singapura harus bersetuju sebelum apa-apa tindakan (meroboh) dapat dilakukan terhadap tambak tersebut.

2. Tidak terdapat apa-apa persetujuan mahupun perjanjian yang mengatakan Tambak Johor milik bersama. Jika ada pun 2/3 daripada tambak tersebut adalah milik Johor. Dan bahagian 2/3 tersebut sudah semestinya yang berakhir di Johor Bahru kerana sempadan di Selat Tebrau merupakan laluan air yang paling dalam, kira-kira separuh dari selat tersebut antara Singapura dan Johor. Ini mestilah juga sempadan tambak. Dengan itu separuh tambak di bahagian utara adalah hak Malaysia, satu negara yang berdaulat dan merdeka.

3. Cadangan yang mengatakan kita tidak boleh sentuh tambak tanpa kebenaran Singapura bukan merupakan sebahagian daripada apa-apa perjanjian dengan Singapura. Apa yang kita buat pada bahagian tambak di sebelah kita adalah hak kita sebagai satu negara yang berdaulat. Tidak melaksanakan hak kedaulatan kita samalah dengan menganggap diri kita dijajah.

4. Kenapa kita perlu bina jambatan untuk gantikan tambak? Jalanraya di Johor Baru di mana lalu lintas dari dan ke arah tambak bertemu dengan lalu lintas menghala ke arah timur dan barat seringkali sesak. Di masa hadapan apabila lebih banyak kenderaan menggunakan jalan tersebut, kesesakan tentu akan bertambah buruk.

5. Jambatan akan disambung ke jalan jejambat dari dan ke kompleks kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ), dan ini akan benarkan lalulintas dari timur ke barat untuk bergerak lancar.

6. Selain masalah trafik, laluan air di selat juga tidak mengalir. Jika tambak dibuka, air akan bebas mengalir di kedua-dua arah, dan akan membersihkan perairan di selat.

7. Ketiadaan tambak juga akan benarkan bot dan kapal layar belayar pergi balik di kedua-dua arah. Pengangkutan barangan dan penumpang di antara pelabuhan Pasir Gudang dan pelabuhan Tanjung Pelepas juga akan dipermudahkan. Ini akan bantu pertumbuhan kedua-dua pelabuhan - sesuatu yang mungkin Singapura tidak suka lihat.

8. Laluan tanpa halangan bot-bot sepanjang selat juga akan mewujudkan peluang perniagaan. Jambatan akan lebih lebar daripada tambak dan akan mempercepatkan aliran lalulintas. Bangunan CIQ juga direkabentuk untuk menampung jumlah trafik yang lebih tinggi.

9. Saya ditanya kenapa ianya tidak dibina semasa 22 tahun pentadbiran saya, jawapannya ialah keperluan untuk jambatan hanya jadi lebih jelas di akhir jangka waktu pentadbiran saya. Walaubagaimanapun saya telah luluskan projek tersebut sebelum saya berundur. Kerja-kerja pembinaan juga bermula semasa saya masih lagi mentadbir. Jika Abdullah tidak berhentikan, jambatan sudah tentu akan hampir siap sekarang.

10. Oleh kerana Singapura hanya akan setuju untuk membina jambatan lurus jika satu bilion metre padu pasir dijual kepadanya; oleh kerana rakyat Johor membantah penjualan pasir dan kebenaran bagi pesawat pejuang Singapura berlatih di ruang udara Johor, pilihan yang ada bagi Kerajaan Malaysia hanyalah untuk kembali pada pembinaan jambatan bengkok (indah) di perairan wilayah kita. Ini adalah hak sebuah negara berdaulat yang merdeka.

11. Sebaliknya Abdullah putuskan untuk bukan sahaja tidak bina jambatan di perairan kita tetapi juga untuk berhenti berunding berkenaan semua perkara lain termasuk keengganan Singapura meluluskan dana CPF (Central Provident Fund) yang dicarum pekerja dari semenanjung Malaysia, tanah keretapi, harga air mentah 3 sen untuk 1,000 gelen yang dibayar Singapura (Melaka bayar 30 sen untuk 1,000 gelen).

12. Kesemua isu ini memberi keuntungan pada Singapura dan dengan menghentikan rundingan untuk mendapatkan hak yang lebih baik dalam masalah tersebut kononnya kerana orang Johor menolak penjualan pasir yang rugi ialah kita. Yang kalah adalah kita. Saya rasa ini satu cara bodoh untuk hukum Singapura. Ataupun adakah ianya satu hukuman bagi orang Johor kerana tidak setuju jual pasir (ada orang yang akan buat banyak duit) dan menolak cadangan supaya ruang udara Johor Baru dijadikan tempat pesawat pejuang Singapura berlatih berperang dan mengebom.

INFO SASTERA & BUDAYA

PUISI

Pejuang Tua

Pejuang tua
yang piatu mimpinya
bagaikan jua kakinya
yang kehilangan sepatu
mendap satu, satu
menambak dasar imbasan
semalam tanpa lagu
tanpa siku
menupang meja
berkaki tiga.

Lalu rambutnya pun
terbakar menyuluh
gerhana matahari
yang hanyut ke hulu
mudik ke hilir
dipaut arus
ceritera suatu bangsa
yang kematian citra.

-Yassinsalleh
jam 1122
Jun 26, 09
akan menguraikah mayang
di Manek Urai?

SURAT PEMBACA DARI SINGAPURA...

Perkuburan Islam Singapura:
Berlumba untuk bertaraf 5 bintang

Dari: Wan Haniff [mailto:haniff3682@yahoo.com] Khamis, 25 Jun 2009 1:01 t/hari:


Fenomena orang Melayu dan umat Islam di Singapura sekarang dilaporkan, mereka berlumba-lumba membina kubur bertaraf 5 Star. Bagaimanapun fenomena berkenaan bukan sahaja di Singapura, malah kalangan umat Islam berbangga menghabiskan ribuan ringgit untuk mengenang keluarga tersayang yang sudah meninggal dunia. Sebaliknya peniaga batu tanah perkuburan akan mempromosi produk mereka dalam persaingan mendapat pelanggan. Tak hairanlah di Singapura kawasan tanah perkuburan Islam dibina cantik di samping dikategorikan bertaraf 5 bintang. Di bawah ini dikirimkan gambar-gambar tanah perkuburan di Singapura yang bertaraf 5 bintang, untuk renungan umat Islam di mana-mana, termasuk juga Malaysia.







SEKALI PERSETUA...

bersama Pak Parjo...
Akan Orangkaya mufti Perak:
Bercakap macam tara menteri

Sebermula tersebutlah kata yang empunya ceritera Orangkaya Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkatalah ia kegagalan mahu mengadakan kerajaan perpaduan itu kerana harakah Islam (PAS). Maka terkejutlah sekalian orang banyak, kerana Orangkaya Mufti itu bercakap seperti berkedudukan menteri, adanya. Adapun akan harakah Melayu (UMNO) di Perak selepas bepenghulukan Orangkaya Pangkor Dato' Dr Zambry Abdul Kadir, dibiarkan Tan Sri Harussani bercakap melawan harakah Islam. Maka tak diketahui Orangkaya Mufti sama ada ianya tara menteri, atau diperintah oleh Duli Yang Dipertuan menjaga hal ehwal agama sahaja.

Syahdan, maka sekali persetua Kadi Yusof hendak pergi sembahyang Jumaat lalu betul pintu Maulana Abu Bakar. Tatkala itu Maulana Abu Bakar ada berdiri di pintunya. Maka dilihat oleh Kadi Yusof akan Maulana Abu Bakar dikeliling oleh cahaya seperti sumbu dian yang dikeliling api, demikianlah rupanya. Sebelum itu pada hati Kadi Yusof di Melaka dialah yang alim agama, tak seorang pun yang melebihi ia mengenai ilmu agama sama ada syariah, usulluddin, fiqah mahupun tasauf. Setelah dilihatnya Maulana Abu Bakar, maka segera Kadi Yusof berlari-lari mendapatkannya, kerana tahulah ia Allah SWT mengetahui yang nyata dan yang ghaib. Maka dibuat nyanyi oleh anak-anak buahnya:

Padi susuh padi suasa
Letak lekar buat berjamu
Kadi Yusof orang berkuasa
Maulana Abu Bakar bijak berilmu

Arakian maka dibaca oleh sekalian orang banyak dalam 'Kitab Melayu' daripada:





HIDUP BAHASA MELAYU!

SEKILAS PANDANG...

PRIMA tak sekadar hurah hurah:
Sedia bantu 'kelab bahasa' di sekolah

Assalamualikum,

Lama tak berhubung dengan kawan-kawan aktivis PRIMA, barangkali kerana kesibukan masing-masing dengan tugas seharian. Sekalipun sudah berstatus warga emas, bukan bermakna boleh rileks atau habiskan masa menjadi penunggu masjid (seperti pernah disebut oleh Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris). Haji Yahaya Ismail (Pak Ya) mungkin sibuk dengan kerjaya sebagai 'petani moden' yang uruskan tanaman sayur untuk dipasarkan secara komersial, atau Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz seronok di padang golf. Lainlah Profesor Dato' Dr Mohd Mansor Abdullah tak tahu menggunakan kayu golf, barangkali sibuk dengan urusan mengajar khabarnya di Unisel (Universiti Industri Selangor).

Haji Mohd Sayuti Omar sudah lama tak berhubung, disebabkan beliau sibuk dengan beban kerja selaku editor 'Siasah'; apalagi setiap kali menjelang pilihanraya kecil termasuk juga di Manek Urai (DUN Kelantan) sekarang. Sekali sekala L Mankadir Shamsi (Pak Kadir) atau Ahmad Nizam Hamid hubungi menerusi SMS dari Semantan, Pahang, di samping Rozmal Malakan dari Seremban juga sering berhubung menerusi SMS. Haji Bakar Ninggal sekadar bertemu d masjid setiap Jumaat, Zakaria Bidin tak mahu pula gunakan SMS sejak mengendalikan laman web 'lesung batu'nya, kerana beliau agaknya selesa menghantar emel sahaja; seolah-olah sama dengan Mohd Affandi Hassan, bekas pegawai tinggi kementerian yang tak pernah diberi apa-apa anugerah termasuk pingat kebesaran berstatus Dato' (kebanyakan kawan-kawannya sudah diberi anugerah termasuk juga 'Tan Sri'). Alahai!

Tetapi Yassinsalleh dan Dr Seri Intan Mokhtar memang rajin SMS dengan sajak-sajak melankolik mereka, ketika Radzi Mustapha, Rahman Othman, Zainal Rasidin, Pet, Dato' Ruhanie Ahmad (Ron) dan beberapa lagi yang terbabit di peringkat awal sudah membawa haluan masing-masing. Bagaimanapun tak bermakna, perjuangan menentang PPSMI sudah berakhir apabila GMP pimpinan Dato' Hassan Ahmad dan Dato' A Samad Said sudah mara ke hadapan. Apalagi pimpinan PRIMA tak bersedia untuk menerima anugerah dari mana-mana organisasi poltik yang mempunyai agenda 'ada udang di sebalik batu'. PRIMA berjuang untuk kepentingan Bahasa Melayu, Budaya Melayu, Sastera Melayu dan huh huh huh Melayu!

Kelab bahasa di sebuah sekolah menengah di Selangor mahu menganjurkan jamuan pada 27 Julai 2009 ini, meminta kerjasama PRIMA untuk mendapatkan penaja. Beberapa tokoh aktivis masyarakat dan politik diharapkan bersedia memberi sokongan kepada pelajar-pelajar dan guru-guru sejumlah 100 orang bagi menjayakan majlis jamuan untuk kelab mereka. Memang saya sudah hubungi beberapa rakan, tetapi masih belum menerima jawapan konkrit sekalipun tempoh 27 Julai 2009 masih berbaki sebulan. Malah kalangan aktivis masyarakat itu meminta guru terbabit menghantar surat sokongan kepada 'kelab bahasa' berkenaan, insya Allah akan dipenuhi juga kehendaknya!

-Pak Dharma

INFO PENDIDIKAN

Tugas guru 29-32 jam seminggu:
Waktu mengajar yang membebankan
oleh: Fadzli, 25 Jun 2009

Selagi mana bergelar cikgu, masa mengajar memang menjadi isu utama di sekolah. Mengajar bukan seperti kerja pejabat. Stres mengajar menyebabkan cikgu sering hilang tenaga apabila pulang ke rumah. Ke mana tenaga cikgu habis ketika mengajar? Kebanyakan guru terpaksa melalui masa mengajar selama 29-32 jam seminggu. Persediaan cikgu bermula sebelum,semasa dan selepas mengajar.

Selain daripada itu, cikgu juga tidak semestinya mengajar subjek yang sama, kadang-kadang terpaksa bawa 2-3 subjek. Ini realiti, ini tidak termsuk lagi kerja-kerja pengurusan dan kokurikulum. Jika cikgu itu juga terpaksa pegang kelab, sukan dan persatuan, perit juga cikgu mahu berjuang. Tenaga habis dalam kelas dengan melontarkan suara yang nyaring sehingga dapat didengari blok sebelah. Begitu juga naik turun blok demi menyempurnakan penyampaian ilmu. Petang pula, melatih bola serta menjadi penasihat kelab.

Kata orang, kerja guru senang pergi pagi balik tengahari. Itu hanya kerja hakiki, kerja sampingan seperti pengurusan dan kokurikulum dan pelbagai laporan yang perlu dibuat. Jika tanya guru data, banyak benda perlu didokumentasi. Singgah pula ketua panitia, tabur pula surat mesyuarat perlu ke sana dan ke mari. Datang pula pentadbir, beri surat kursus di hujung minggu. Kauselor pula minta tolong sediakan nama-nama pelajar perlu sertai pesta pantun dan juga yang perlu di kaunseling. Sekejap lagi semua pemain sekolah akan bertanya, pergi dengan kereta cikgu ke petang ini ke perlawanan persahabatan di sekolah si nun. Buka dompet tinggal sepuluh ringgit, itulah belanja minum dan petrol supaya kerja semuanya jalan.
Cikgu memang hero membina negara bangsa.....

LESUNG BATU ABANG ZEK...

Melayu ramai kena tipu:
Fasal tunai umrah dan haji

Saudara saudari sekelian, Kadang-kadang terasa malu juga nak beritahu pasal lesungbatu ni setiap kali selepas update. Tapi dah jadi kebiasaan. Sepatah kata seorang kawan, "tak payah la Zek hari-hari beritahu pasal apa yang ada dalam lesungbatu tu. Bila aku bukak komputer aku bukak la lesungbatu engkau." Bagi saya pula, memaklumkan mengenai lesungbatu ni satu kerja yang saya tetap merasakan perlu kerana maklumlah, ia belum begitu popular lagi walaupun sambutan yang diberi oleh kawan-kawan yang menyampaikan kepada kawan-kawan lain dan kawan-kawan lain pula beritahu pula kawan-kawan mereka telah memeriahkan lesungbatu dan menaikkan geraf hit lesungbatu yang boleh dikatakan terus meningkat.

Lagipun bukannya susah sangat. Taip sekali aje dan cukup ramai yang terima. Dunia IT kita cukup canggih dan mudah. Bagaimanapun terlanjur sudah kita berbual di sini, saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang telah sudi melayari dan mengambil bahagian memberi komen masing-masing walaupun tidak semua dapat disiarkan. Kali ini, rencana utama dalam lesungbatu mengenai orang Melayu ramai yang kena tipu dengan sendiket melakukan umrah dan haji yang menyiksa perasaan dan tabungan orang kampung. Semoga dapat kita sama-sama berperanan menyampaikan orang-orang di kampung kita tentang jenayah yang sedang menghakis ekonomi orang ramai. Selamat melayari www.lesungbatu.webs.com satu-satunya laman web yang cuba sedaya upaya mempelbagaikan kandungannya selain dari memaparkan kisah politik dan kemasyarakatan. Salam hormat dari - Abang Zek.

INFO LUAR NEGARA

Obama diberi amaran:
'Jangan berlagak macam Bush'


TEHERAN: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad menuduh Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama bersikap seperti bekas pemimpin George W Bush dalam urusannya dengan Iran serta mahu beliau meminta maaf kerana mencampuri hal-ehwal dalaman negaranya berikutan pilihan raya terbaru di Teheran. "Obama silap menyebut semua perkara itu. Persoalannya, mengapa beliau boleh terjebak dalam perangkap dengan membuat ulasan seperti apa yang pernah dilakukan oleh Bush," lapor agensi berita Fars yang memetik Ahmadinejad sebagai berkata. Obama dilaporkan berkata beliau 'ngeri dan marah' dengan kekerasan ke atas penunjuk perasaan yang membantah kemenangan Ahmadinejad.

Kira-kira 20 orang terbunuh dalam demonstrasi sejak polis dan militia memenuhi jalan raya di Teheran sejak Sabtu lalu bagi menghalang bantahan paling meluas sejak revolusi Islam pada 1979. Keadaan ini menyukarkan Obama mendekati Iran berhubung program nuklear-nya, dengan Teheran menyalahkan Britain dan Amerika kerana menghasut keganasan. "Saya harap anda mengelak dari campur tangan dalam hal-ehwal Iran dan meluahkan kekesalan dengan cara diketahui negara ini," kata Ahmadinejad.

Tokoh pembangkang Iran, Mir Hossein Mousavi, berikrar meneruskan cabaran kepada pilihan raya itu yang disifatkan mereka dicemari penipuan. Laman web Mousavi mendakwa 70 profesor universiti ditahan selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin pembangkang itu. Ada laporan mengatakan lebih 100 ahli Parlimen menolak jemputan meraikan kemenangan Ahmadinejad. Seramai 105 daripada 290 anggota dewan tidak hadir. Dalam perkembangan lain, Presiden Venezuela, Hugo Chavez menuduh Agensi Perisikan Pusat (CIA) menjadi dalang di sebalik protes anti kerajaan di Iran. – Agensi/http://www.bharian.com.my.