Sunday, March 15, 2009

DARI LAMAN BLOG...

"Baik, baik ada makna tu."
Kata Pak Ali Kepada Rohani




Menonton filem 'Madu Tiga' pada dekad 1960-an dulu saya tak mampu mencari keindahan estatik filem karya Allahyarham Tan Sri Dr P Ramlee, tetapi tetap ketawa terkekeh-kekeh ketika Pak Ali bertanya kepada anaknya Rohani, masih sakit kepala atau tidak. Maklumlah, sewa rumah RM30 sebulan pun dah tiga bulan tak dilunaskan. Sebaik sahaja Encik Rafi masuk meminang, Pak Ali pun bertanya kepada Rohani, "Sakit kepala lagi, nak?". Sahut Rohani, "Encil Jamil tu baik ya, pak?". Secara spontan Pak Ali pun menjawab, "Baik, baik ada makna tu!" Ketika menjelang 3PRK, nampaknya UMNO menjadi terlalu baik...



Ketika 50% aduan berkaitan 'rasuah politik' dalam pemilihan UMNO yang dilaporkan mempunyai asas untuk didakwa, berita TV malam ini (15 Mac 2009) secara bangga menyiarkan bantuan UMNO/BN kepada penduduk Bukit Gantang. Bakal calon UMNO Ismail Suffian yang kalah bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang tak lama dulu, sudah berkempen bersama Menteri Besar UMNO Dato' Zambry Abdul Kadir bagi menyampaikan bantuan atas kapisiti kerajaan negeri, kononnya. Dengan tak berasa malu kepada diri sendiri, pimpinan UMNO terus bersikap seolah-olah negara ini milik mereka, dengan tak menghiraukan setiap rakyat mempunyai hak sama - malah bakal calon pembangkang juga ialah pembayar cukai!


Bagi menarik perhatian umum Menteri Pembangunan Ushawan dan Koperasi Dato' Seri Noh Omar pula mengarahkan MARA memberi tempat belajar kepada Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal Hsuin dari Kuala Besar, Kota Bharu Kelantan yang memperoleh 20A dalam SPM baru-baru ini, dengan tak mengikut prosedur biasa. Hebatnya keprihatinan UMNO kepada rakyat apabila menjelang pilihanraya, ketika 50% calon UMNO menjelang pemilihan 24-28 Mac 2009 ini mempunyai asas terbabit dengan 'politik wang'. Tak hairanlah Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menyebut apabila Bahagian Kubang Pasu menolak beliau pada 2003, siapa sahaja boleh menafikan (rasuah politik), tapi tak bermakna ianya tak berlaku.



Heh heh heh, Mursidul Am PAS Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat tak sudi nak menubuhkan kerajaan campuran bersama UMNO, yang pernah mengguris perasaannya pada 1978. Lagipun tak ada lunas (kalau pinjam bahasa Dato' Seri Dr Rais Yatim) PAS nak tubuh kerajaan campuran dengan UMNO seperti 1970. Pada 1959 PAS sekadar menang di Kelantan, di samping beberapa orang Ahli Parlimen dan ADUN di Kedah, Terengganu dan Perak. Tetapi pada 2008 PAS sudah menawan Kedah, sekalipun Perak menjadi seperti Terengganu pda 1961. Bagaimanapun isu di Perak masih belum selesai, kerana mahkamah belum membuat sebarang keputusan, justeru 'krisis perlembagaan' hanya menunggu 'Musang Berjanggut' berkata: "Salah tu memang salah, tapi itu Undang-Undang Dato' yang bikin!"



Disebabkan Melayu Abdul Wahab dan Melayu Abdul Wahib masih belum pupus dalam masyarakat Melayu, tak hairanlah Undang-Undang Sidiq Sigaraga masih diguna pakai. Justeru Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai perlu menampilkan lebih ramai Melayu Abdul Wahib bagi menebus mereka yang sudah dijual berdasarkan Undang-Undang Sidiq Sigaraga. Ketika beberapa orang didakwa kerana menghina Sultan Perak, Ahli Parlimen yang lantang mahu mengheret Sultan Perak ke mahkamah, tak pula berani disentuh. Apalagi Pemuda UMNO Selangor yang nak tunjuk terror di lobi Parlimen, ketar lutut apabila Ahli Parlimen terbabit bertindak balas - "Saya saya jangan main-main!". Isy isy isy!


Tuan Guru Haji Abdullah Fahim pun pernah dimurkai oleh Sultan Perak bersama anaknya Dato' Haji Ahmad Badawi sekitar dekad 1940-an, ketika cucunya Dato' Abdullah Ahmad Badawi masih terlalu kecil (malah tak tahu pun apa yang berlaku). Ketika itu 'kekebalan raja-raja' masih didaulatkan, justeru Sultan Perak membuat keputusan tak perlu merujuk kepada kolonial Inggeris. Tuan Guru Haji Abdullah Fahim yang mengajar agama di Bukit Candan, sekarang dihukum tak boleh jejak kaki di negeri Perak - tak pula dipenjara atau didenda. Entahlah! Bagaimanapun rakyat di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai boleh menyampaikan mesej kepada BN, masanya telah tiba huh huh huh!




-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSI: Mohd Affandi Hassan Mengkritik

Isytihar Harta Boleh Bikin Poli-Tikus Jadi Gila?

Pertama kali ahli politik Malaysia isytihar harta kepada umum, dibuat oleh MB dan Exco Selangor dalam tahun 2009 setelah berkuasa selama setahun. Walaupun tidak menyeluruh, tapi ini suatu tamparan hebat kepada poli-tikus yang suka bersembunyi. Berapa sebenarnya jumlah harta anda? Bekas MB Selangor yang jadi Ketua Pembangkang, mengkritik perisytiharan itu, tidak lengkap dan songsang, katanya. Dia dan rakan-rakannya telah lama isytihar kepada KSN semua harta mereka. Boleh kita lihat? Itulah persoalannya. Kalau tak boleh, mengapa? Biasanya jawapannya akan berbunyi: Melanggar Perlembagaan dan hak asasi manusia.

Jadi MB Selangor dan Exconya telah melanggar Perlembagaan Malaysia dan hak asasi manusia, oleh itu mereka boleh dilaporkan kepada Badan Pencegah Rasuah (nama lama lebih menarik dan tepat) kerana telah melakukan rasuah isytihar harta. Rupanya masalah isytihar harta ini boleh bikin orang politik yang bergelar poli-tikus yang suka bersembunyi jadi gila, atau sekurang-kurangnya sasau dan meracau. Dia mahu tunjuk berani, tapi tidak cerdik seperti Sang Kancil yang menipu harimau dengan memakan mata harimau (buah terung pipit yang kecil dan rangup).

Sudah gilakah harimau yang lari lintang pukang ketakutan itu? Ada ahli politik di Malaysia pantang ditegur, yang serta-merta membuatnya jadi gila atau sasau. Tidakkah aneh, orang yang ingin dan berani isytihar harta ditempelak begitu keras oleh Sang Poli-Tikus, disindir bertindak rasuah kerana tidak menyembunyikan perisytiharan hartanya? Apa yang dibuat oleh Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor adalah satu ukuran (standard) baru yang mahu tidak mahu wajib diikuti oleh Kerajaan UMNO/BN yang telus itu. Tidak ada sebab untuk para pemimpin rakyat, yang cintakan rakyat, yang berbuat segala-galanya (termasuk merampas kuasa) kerana rakyat, tiba-tiba takut menghadapi rakyat untuk memberitahu mereka kami orang miskin, ini saja harta kami, tak cukup makan (kerana terlalu banyak disimpan).

Sekarang tidak saja pemimpin kerajaan yang perlu isytiharkan harta mereka, para pemimpin pembangkang pun wajib berbuat yang sama. Mengapa perlu pengecualian? Ada pun makna telus itu bererti tiada pengecualian, tidak ada percubaan sembunyi-sembunyi, beritahu sedikit simpan secara rahsia banyak. Apa jenis telus jika itulah yang hendak dibuat? Kepada rakyat Malaysia yang inginkan pemimpin mereka telus, jujur, tidak menipu, benar-benar bertanggungjawab, dan benar-benar bercakap benar bukan berbohong bercakap benar, maka mereka, rakyat tersebut, mulai sekarang mesti tegas memberitahu para pemimpin mereka bahawa mereka (para pemimpin itu) tidak boleh berdolak-dalik lagi.

Mereka mesti buktikan kejujuran mereka dengan mengisytiharkan harta benda mereka sebelum mereka memegang apa-apa jawatan politik di mana-mana pun juga dan dalam keadaan apa sekali pun, baik sebagai kerajaan mahu pun sebagai pembangkang. Kalau anda tidak berani berbuat demikian, sudah jelas anda seorang penipu. Anda tidak layak jadi pemimpin yang bercakap tentang kejujuran, ketelusan, tanggungjawab, amanah dan semua sekali kata-kata manis yang pernah anda sembur selama lebih 51 tahun ini. Anda faham? Jika rakyat perlu berarak di sana sini menentang Malayan Union, maka sekarang mereka juga perlu berarak di sana sini untuk memastikan mereka mendapat pemimpin yang benar-benar jujur, amanah dan bertanggungjawab. (15/3/2009)