Sunday, May 3, 2009

DARI LAMAN BLOG...


Kritik k'jaan tak kebebasan:
Hapuskan perhambaan minda

Sempena 'hari kebebasan akhbar' tak bermakna fokusnya mesti mengkritik kerajaan atau bersikap anti establishment ditakrif sebagai hak asasi manusia. Kebebasan akhbar termasuk juga mengkritik pimpinan pembangkang sekiranya tak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat. Kebobrokan pembangkang juga kadangkala melakukan cantas mencantas di kalangan pimpinan yang mahu mempertahankan keadilan. Pembangkang juga terbabit dengan nepotisme dan kronisme, dengan memberi ruang kepada mereka yang rapat dengan pimpinan.

Malah pembangkang juga mendorong mereka yang sedia menderma dana kewangan parti ke dalam pimpinan yang boleh ditakrif 'politik wang'. Maknanya, pemimpin yang berpotensi akan hilang peluang sekiranya tak mampu menderma mengisi dana parti. Begitulah! Justeru memang kerajaan perlu dikritik bagi memberi kesedaran kepada pimpinan, di samping kesediaan memperbetulkan semula dengan kuasa yang ada di tangan. Kebebasan akhbar ialah hapusnya perhambaan minda manusia kepada manusia, malah ianya membabitkan kerajaan mahupun pembangkang.

Peranan wartawan amat jelas sejak pra merdeka dengan penampilan Dato' Onn Jaafar menerbitkan 'Lembaga Malaya' (1930), dengan memberi kebebasan menulis kepada Ibrahim Haji Yaakob, Rahim Kajai, Pak Sako, Zubir Salam dan ramai lagi menyampaikan mesej rakyat.Wartawan juga terbabit dalam gerakan nasionalisme termasuk Yusuff Ishak, Aziz Ishak, Tan Sri A Samad Ismail bagi kesinambungan wartawan-wartawan 1930-an. Penampilan Aziz Ishak dalam pimpinan kerajaan selepas pilihanraya 1955, atau Dahari Ali dalam pilihanraya 1959, tak menjejas peranan mereka dalam menyampaikan mesej rakyat, sekalipun mereka berada di dalam UMNO.

Tan Sri Abdul Samad Idris juga antara pimpinan UMNO yang sering mengkritik pimpinan kerajaan, tetapi mengikut tatacara: Menarik rambut dalam tepung! Misalnya, Tan Sri Abdul Samad sering menulis surat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, apabila pendekatan yang diambil Perdana Menteri merugikan. Tan Sri Bahaman Shamsuddin dan Tan Sri Sheikh Ahmad Mohd Hashim, adalah pengkritik Tunku Abdul Rahman tetapi tak disalurkan kepada media. Kritikan tak semestinya secara terbuka, berani tak semestinya memencak dengan keris terhunus. Barangkali!

-Pak Dharma