Sunday, October 4, 2009

SELAPIS NOVEL

KEMBARA MULUK
Dedikasi untuk Allahyarham Abdul Muluk Daud (Pak Dharma)
Kelahiran Si Kembara

KISAH mitos dalam buku-buku sastera lama seperti ‘Awang Sulung Merah Muda’, ‘Anggun Cik Tunggal’, ‘Malim Deman’ dan beberapa lagi peristiwa kelahiran bayi boleh memberi impak kepada masa depan mereka. Misalnya dalam buku ‘Awang Sulung Merah Muda’ digambarkan ketika ianya dilahirkan berlaku peristiwa ganjil menyebabkan tujuh keping lantai patah, tujuh batang gelegar patah, dan bayi berkenaan tercampak ke tanah hingga terbenam tujuh hasta ke dalam bumi, menjadikan Awang Sulung melalui pahit getir hidup sebelum mencapai kejayaan.

Ketika aku dilahirkan peristiwa seperti digambarkan dalam buku ‘Awang Sulung Merah Muda’, ‘Anggun Cik Tunggal’ atau ‘Malim Deman’ tidaklah berlaku, sebaliknya kisah mitos tersebut persis bagaikan sastera Melayu klasik itu seakan-akan menimpa dalam kejadian sewaktu aku dilahirkan. Nenek Kibah (iaitu ibu kepada emakku – Kibah binti Sudin; 1904 - 1976) merupakan bidan tradisional di kampungku secara kebetulan pula membidankan kelahiranku.

Sekitar dekad 1930-an, 1940-an dan 1950-an, masyarakat di kampung bergantung kepada kemahiran bidan-bidan tradisional bagi membidankan kelahiran bayi, disebabkan mereka tidak yakin kepada rawatan di hospital. Malah bagi pesakit-pesakit kronik sama ada barah, lemah jantung atau angin ahmar mereka masih bergantung kepada rawatan secara tradisional menerusi bomoh, dukun atau pawang. Bagi mereka di kampung-kampung pada masa tersebut menganggap barah (dikatakan ‘balan’); lemah jantung (dikatakan ‘kelintasan’ akibat hantu tinggi) dan angin ahmar atau stroke (dikatakan ‘badi’ akibat puaka dan penunggu).

Ketika itu Nenek Kibah merupakan bidan tradisional yang menjadi pilihan utama di kampungku kerana pengalaman dan kemahirannya yang dianggap penduduk-penduduk ‘serasi’ semasa merawat. Dia juga dikenali sebagai tukang urut bagi ibu-ibu yang baru bersalin disebabkan mereka berasa selesa selepas diurut oleh Nenek Kibah. Jutseru di kampungku ketika itu setiap keluarga yang memerlukan rawatan perbidanan, memang Nenek Kibah menjadi pilihan mereka.

Memberitahu pengalamannya ketika membidankan kelahiranku, Nenek Kibah mengakui berlaku insiden luar biasa yang belum pernah dilaminya sebelum itu. Dia tak menganggap peristiwa tersebut persis seperti kisah ‘Awang Sulung Merah Muda’ (dia juga merupakan penutur cerita rakyat), sebaliknya merumuskan sebagai ‘kenan’ akibat kesilapan ayahku semasa emakku sedang mengandung. Sudah menjadi pantang larang penduduk-penduduk kampung si suami dilarang membunuh binatang liar semasa isteri mengandung bagi mengelakkan berlaku ‘kenan’ terhadap bayi dalam kandungan.

Disebabkan ayahku tidak percaya kepada pantang larang masyarakat Melayu yang dianggapnya ‘tahyol’, dia membunuh seekor biawak semasa emak mengandungkan aku. Reptilia itu dibunuh setelah menceroboh masuk ke dalam reban ayam menyebabkan ayahku terpaksa merejam dengan besi perejang (atau disebut juga tiruk). Ayahku pula memang mempunyai kemahiran melontarkan lembing, parang atau besi perejang tepat menyinggahi sasaran.

Kalau ular masuk ke reban ayam pada waktu malam pun, ayahku mampu membunuh reptilia itu dengan hanya merejam dengan keris panjang menyinggahi ke kepala ular. Keris panjang dua hasta itu adalah pesaka peninggalan arwah datukku (ayah kepada ayahku –Haji Ahmad bin Haji Salim) seorang guru agama berasal dari Kapur Sembilan, Kota Bangun di Kuok (sekarang ini dalam kabupaten Kampar, propinsi Riau, Indonesia). Sebelumnya wilayah berkenaan dikira sebagai sebahagian dari Minangkabau atau sekarang propinsi Sumatera Barat.
-bersambung

-Waris Pak Dharma

p/s: Walaupun tidak sehebat Pak Dharma dalam penulisan, WARIS cuba mengupas perjalanan hidup beliau melalui apa yang pernah diceritakan ketika hayatnya kepada WARIS untuk dikongsi kepada pembaca blog ini.