Assalamualaikum,
Tiga pilihanraya kecil sekarang dengan pengundian pada 7 April 2009 ini, sama penting apabila pelan peralihan kuasa dilaksana 3 April 2009, atau selepas Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menghadap ke Istana Negara, 2 April 2009. Tumpuan rakyat Malaysia memang ke Istana Negara yang akan mendaulatkan kekebalan raja-raja Melayu yang digugat menerusi dua kali pindaan perlembagaan pada 1983 dan 1993. Alhamdullillah DUN Kelantan tak terikut-ikut dengan keputusan meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri pada 1993, tak tahulah kalau DUN Kelantan kembali ditawan UMNO. Pindaan perlembagaan yang sudah dilulus Parlimen, terpaksa dipertahan oleh PAS di Kelantan sekalipun menjadi 'Kerajaan Pasir Dua Butir' yang bersidang di bawah pokok dalam filem 'Laksamana Do Re Mi'. Heh heh he!
Bagaimanapun kerajaan negeri Selangor wajar juga bekerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak dalam isu memartabatkan 'pahlawan negara'. Isu 'pahlawan negara' sama penting dengan kedaulatan raja-raja, justeru kerajaan Indonesia sanggup berbelanja lebih RM250,000 untuk membina 'makam Tuanku Tambusai' di Rasah, Seremban yang diiktiraf sebagai 'Pahlawan Nasional' pada 1995. Tuanku Tambusai menentang Belanda di Rokan Hulu sekitar dekad 1830-an bersama Tuanku Imam Bonjol, tetapi atas kepentingan politik Tuanku Imam Bonjol tak tersenarai sebagai 'Pahlawan Nasional' pada period regim Presiden Suharto. Tak tahulah dengan Indonesia pasca Suharto, sama ada mengangkat Tuanku Imam Bonjol atau tidak sebagai 'Pahlawan Nasional'.



