Friday, March 27, 2009

MOHAMAD MANSOR BERSUARA...

Berundur Tak Terpilih:
Shahril Tunjuk 'Anak Jantan'
Langkah Dato' Seri Shahril Abdul Samad meletak jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berikutan tak terpilih dalam pemilihan MT UMNO semalam (26 Mac 2009) disifatkan sebagai 'anak jantan' yang berprinsip, menurut bekas Timbalan Naib Canselor HEP UTM, Profesor Dato' Dr Mohamad Mansor Abdullah. Sebaliknya keputusan Dato' Seri Shahril akan memberi kesan negatif kepada rakan-rakannya yang lain termasuk beberapa orang Menteri Besar yang tak terpilih sama, kata Profesor Dato' Dr Mohamad Mansor. Keputusan pemilihan MT semalam beberapa orang menteri tak terpilih dalam barisan pimpinan termasuk mereka yang bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden. "Apabila Dato' Seri Shahril menunjukkan sikap 'anak jantan', menteri yang lain akan tercabar kalau tak letak jawatan," ujar Profesor Dato' Dr Mohamad Mansor.

Menteri yang tak terpilih termasuklah Senator Tan Sri Muhammad Mohd Taib, Dato' Seri Syed Hamid Albar, Dato' Seri Dr Rais Yatim, Dato' Seri Azalina Othman, Dato' Ghani Othman, Dato' Seri Muhamad Hassan, Dato' Seri Adnan Yaakob dan beberapa lagi. Bagaimanapun Dato' Seri Shahril dibawa semula ke kabinet pada Mac 2008, setelah disingkirkan pada 1987 oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir. Beliau terpilih memenangi persaingan MT pada 2003, ketika tak memegang jawatan di dalam kabinet. Justeru, kata Profesor Dato' Dr Mohamad Mansor ketika pimpinan UMNO berebut-rebut mengejar kedudukan menjadi menteri, Dato' Seri Shahrir mengambil langkah 'anak jantan'. "Dato' Seri Shahrir membuktikan beliau bukan aktivis UMNO yang mengejar kedudukan dan pangkat," kata beliau menambah.

(Profesor Dato' Dr Mohamad Mansor Abdullah ialah bekas Timbalan Naib Canselor HEP UTM, di samping aktivis persuratan di Pahang. Beliau menjadi contoh bagi kejayaan pelajar aliran sekolah menengah Melayu, yang mampu melonjak dengan pencapaian Phd di universiti di Amerika Syarikat. Justeru beliau menolak pelaksanaan PPSMI yang membuktikan Bahasa Melayu tak menghalang pencapaian akademiknya).

PANDANGAN L MANKADIR...

Macam Rasa Nak Tergelak:
Dicabar Langkah Mayat UMNO!

Rakyat jangan mengharap pemimpin UMNO bertindak untuk orang Melayu terutamanya isu Bahasa Melayu dan pelaksanaan PPSMI serta agihan ekonomi, kecuali untuk mengkayakan diri, keluarga dan kroni mereka sahaja. Ahli bawahan dan penyokong UMNO hanya alat titian mereka saja. Orang Melayu diperdengarkan dengan ucapan wakil-wakil UMNO menerusi TV dalam Perhimpunan Agung, malah malam ini (27 Mac 2009), salah seorang wakil mendabik dada. Kononnya, kalau nak melawan institusi raja-raja, langkah mayat UMNO dulu. Nak gelak pun tak jadi, sebab lawaknya tak menjadi. Wakil tu lupa mayat UMNO dah bergelimpangan di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Apalagi di Kelantan UMNO ada atau tak ada pun sama sahaj bagi rakyat Kelantan.

Puahhh palih weh! Di Pahang pun UMNO dah tinggal nyawa-nyawa ikan, wakalupun orang Pahang yang jadi Presiden UMNO. Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob pun tak menang MT. Nasib baik Imam Masjid Negara tak benarkan bersumpah di masjid, kalau tidak di mana mukanya nak pandang? Ketua Bahagian di Pahang sendiri sambut cabaran untuk sumpah di masjid. Sebabnya budaya bersumpah tu dah dimulakan oleh Dato' Seri Mohd Najib Razak. Apalagi kerana ahli UMNO memang tak tahu bahasa, sumpah di masjid dah jadi mainan saja. Itulah Presiden UMNO sekarang. Tak malukah ahli-ahli UMNO dengan perangai Presiden yang macam tu. Jadi, kalau nak cabar suruh langkah mayat UMNO, patutnya cermin-cerminlah diri sebelum dimalukan, di'tak malukan' dan dipermalukan!

(*L Mankadir Shamsi aktivis teater, perfileman dan pendeklamator sajak. Pernah memenangi tempat ketiga pertandingan menulis skrip drama pentas anjuran DBP pada dekad 1980-an. Bekas editor majalah 'Koleksi' yang popular sekitar dekad 1980-an, beliau juga penggerak awal sebagai editorial akhbar Harakah bersama Dato' Nakhaie Ahmad)

Pemikiran Mohd Affandi Hassan...

Siapa Lebih Berjasa, Antara:
Petualang dan Pengkhianat Bangsa?

Cucu Dato Onn, anak Tun Hussein yang disingkirkan Dr. Mahathir Mohamed, Timbalannya, bekas (bukan mantan) Ketua Pemuda UMNO, menyelar kehadiran petualang dalam politik Malaysia yang menurutnya menentang semua yang dipropagandakan oleh UMNO. Ketua Pemuda ini menyenaraikan perkara-perkara yang kita dengar dan baca setiap hari yang ditujukan kepada parti bukan UMNO. Antara yang sering disebut ialah mereka (para petualang) menentang dan melanggar Perlembagaan Negara, mempersetankan undang-undang negara, menderhaka kepada raja-raja Melayu, menentang ketuanan Melayu.

Dengan lagak seorang raja besar, Ketua Pemuda ini dibawakan sebilah keris panjang, lalu ditarik dari sampirnya, dicium seperti Agong mencium keris kerajaan pada upacara rasmi. Sungguh hebat Ketua Pemuda UMNO ini. Lepas mencium keris itulah beliau membelasah para petualang yang tidak disebut namanya, tetapi dikomen oleh juru hebah TV beliau maksudkan Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat. Orang ini nampaknya sudah lupa daratan tidak ingat lagi datuk dan bapanya keluar UMNO kerana tidak bersetuju dengan prinsip-prinsip UMNO. Sampai hati orang ini mengutuk datuk dan ayahnya sebagai petualang, pengkhianat bangsa Melayu kerana meninggalkan UMNO waktu kedua-duanya diperlukan oleh UMNO.

Hussein Onn ketika itu jadi Ketua Pemuda. Sekarang kedua-dua tokoh UMNO yang pernah lari dari UMNO ini menjadi ikon di Bangunan UMNO dalam lukisan potret a la Hang Tuah yang cukup menarik. Lagak lupa diri, lupa daratan, lupa taraf peribadi, lupa pendeknya lompat katak, lupa ceteknya semburan seranah, adalah gambaran jelas nyata kualiti tanpa kualiti para “pemimpin” (jangan tinggal koma pengikat kata pada perkataan “pemimpin”) UMNO yang hebat, tetapi tidak menggerunkan. Bandingkan dengan lembutnya Dr. Burhanuddin, yang menggerunkan sesiapa juga yang tahu erti karamah, ketika beliau memberi ucapan memperingatkan bangsanya supaya jangan mengkhianati perjuangan mereka.

Dr. Burhanuddin tidak mencabut keris panjang-panjang ketika berucap, tetapi tiap patah kata yang lahir dari mulutnya adalah keris pendek yang tajam bagi orang yang tahu bahasa bersopan. Itulah watak negarawan bertamadun. Sungguh ajaib bagaimana bekas Ketua Pemuda UMNO begitu bangga dengan watak tidak bertamadunnya. Adakah itulah watak para “pemimpin” UMNO? Barisan baru kepemimpinan UMNO yang diketuai Najib Tun Razak yang menolak Abdullah Badawi dengan cara memalukan (kata orang UMNO itulah tradisi UMNO kerana Tun Razak buat begitu kepada Tunku Abdul Rahman, Dr. Mahthir sendiri pun berbuat begitu terhadap Hussein Onn), dengan arahan Dr. Mahathir Mohamed, adalah barisan Malayan Union.

Bagi orang yang tidak faham tentang rahsia Malayan Union dalam politik UMNO, tentulah terasa agak pelik bagaimana tiba-tiba muncul balik Malayan Union dalam barisan kepemimpinan baru UMNO? Inilah kemenangan Dr. Mahathir Mohamed yang membawa bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu untuk orang Malaysia, khususnya orang Melayu, melalui PPSMI yang dikutuk oleh para pejuang bahasa itu. Kemenangan besar cucu Dato’ Onn sebagai Naib Presiden UMNO dengan undi besar membuktikan UMNO, melalui perwakilannya, menerima bahasa Inggeris dan Malayan Union sebagai warisan UMNO yang mesti dipertahankan “hingga ke titisan darah terakhir”.

Begitu hebat komitmen mereka terhadap bahasa Inggeris dan semangat kolonial (penjajah) ini, sehingga semangat dan komitmen itu dijadikan asas “kemajuan Malaysia” dalam abad 21 yang mesti dipertahankan walaupun UMNO ditolak oleh orang Melayu dan akan dihumban ke Laut China Selatan dalam PRU 13 nanti. Memang benar gesaan Prof. Emeritus Nik Safiah Karim, bahawa PPSMI hanya dapat dihapuskan dengan menolak UMNO dalam pilihan raya nanti, dengan menghumbannya ke dalam laut. Adakah perwakilan UMNO tidak berjiwa Melayu atau pura-pura berjiwa Melayu dengan menerima PPSMI?

Mereka tentu tidak bodoh untuk mengkhianati perjuangan mereka membela bahasa Melayu, seperti yang mereka sering laungkan sambil mencium keris, dengan memilih PPSMI sebagai asas kekuatan UMNO di bawah Najib Tun Razak. Sekiranya orang Melayu belum sedar dan belum lihat erti barisan baru ini, maka mereka, orang Melayu yang sudah hilang Tanah Melayunya, akan hilang bahasa Melayunya dan budaya Melayu yang telah dijadikan prinsip utama dalam Kongres Kebudayaan Melayu 1971. Tentu saja para pemimpin UMNO sudah lupa semua ini kerana mereka sudah kaya dan mereka tahu bahasa Inggeris akan lebih mengayakan mereka lagi, oleh itu mesti diperjuangkan sebagai bahasa baru untuk orang Melayu.

Kini timbul persoalan: Siapa petualang, siapa pula pengkhianat bangsa Melayu? Adakah dua kumpulan ini sama taraf? Menurut cucu Dato’ Onn, mereka bukan petualang, bukan juga pengkhianat walaupun mereka memperjuangkan bahasa Inggeris dengan jujur untuk memajukan orang Melayu. Mereka adalah pewaris Malayan Union yang diberi wajah baru dalam PPSMI yang disokong penuh oleh Najib Tun Razak, ahli-ahli MT UMNO yang baru, dan seluruh perwakilan UMNO.

Orang Melayu harus bersyukur dan gembira kerana kini mereka tahu dengan jelas siapa UMNO sebenarnya. Adakah mereka mahu kekalkan UMNO dalam politik Malaysia setelah mengetahui hakikat sebenar parti warisan Malayan Union itu? Bodohlah orang Melayu jika mereka masih mahu menerima kumpulan PPSMI yang mengkhianati seluruh cita-cita politik dan aspirasi mereka selama ini untuk mendaulatkan bahasa dan budaya Melayu di Tanah Melayu yang sudah hilang itu. (27/3/2009)

(*Mohd Affandi Hassan, sasterawan dan pengkritik sastera Melayu tersohor. Berpengalaman dalam pengurusan dan pentadbiran negara. Pesara PTD dan bekas pegawai tinggi kementerian, beliau peka dengan pendidikan Melayu dan menghasilkan buku 'Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid; DBP, 1992.)

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...


Tak Dipilh Duduk Bersaf-saf:
Memang Amalan Di Istana Melaka

Arakian sekalian anak-anak buah harakah Melayu (UMNO) itu sudah memilih akan pegawai-pegawai mereka di balai penghadapan hari semalam (26 Mac 2009). Maka Orangkaya Bagan Datoh Dato' Seri Zaid Hamidi itu dipilih orang duduk bersaf-saf bersama Orangkaya Dato' Seri Hishamuddin Hussein dan Orangkaya Shafie Apdal. Adapun Orangkaya Dato' Seri Rais Yatim tak dipilih ia duduk di saf-saf kerana mahukan Bahasa Melayu dan raja-raja Melayu didaulatkan heh heh heh! Maka sahabat-sahabat fakir memberitahu, sampailah masanya akan harakah Melayu dilupakan sahaja, kerana mereka memilih orang yang mahukan bahasa orang atas angin dimuliakan. Fakir tiadalah mengikuti sangat permuafakatan harakah Melayu itu, disebabkan mereka semua orang bijak laksana yang tak boleh ditegur lagi, seperti diberitahu oleh nenek moyang fakir: Cerdik tak boleh diikut; bodoh tak boleh diajar!

Hatta keesokan harinya, maka sultan keluar di hadap oleh segala pegawai; semuanya ada menghadap, melainkan laksamana juga tiada. Maka Sultan Mansor Shah menyuruh memanggil Bendahara Paduka Raja. Maka bendahara pun datang. Syahdan sultan bertanya kepada bendahara akan kelakuan tatkala di Pasai. Maka bendahara pun berdatang sembah mengkhabarkan tatkala perang di Pasai itu serta berbagai-bagai puji-pujiannya akan laksamana. Maka baginda pun hairan mendengar dia. Maka baginda memberi persalin akan Bendahara Paduka Raja dengan selengkap pakaian kerajaan dianugerahkan baginda, dan dipersalin akan Tun Pikrama, dan Hang Isap, dan Nina Ishak dan Tun Hamzah. Maka Tun Pikrama digelar Paduka Tuan, kerana peri jatuh menjatuhkan pembesar negeri sudah jadi amalan di istana Melaka dahulu seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' oleh:








HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG...

UMNO Kena Bayar Harga Perubahan:
Bukan Sekadar Macam Gendang Kosong!

Assalamualaikum,

Secara rasmi Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak diproklamir Presiden UMNO semalam 26 Mac 2009, dengan barisan pimpinan mengulangi period awal dekad 1970-an. Ketika Tun Razak mengambil alih pimpinan UMNO, Tun Dr Ismail dari Johor timbalannya. Keadaan ini diulangi oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Johor juga. Sekalipun bagi jawatan Naib Presiden dimenangi Dato' Ahmad Zaid Hamidi di Perak (ketika itu Tun Sardon Jubir dari Johor juga), tetapi ianya diikuti oleh Dato' Seri Hishamuddin Hussein (ketika itu Tun Hussein Onn) dan seorang lagi Dato' Shafie Apdal dari Sabah (sebelumnya Tun Ghafar Baba dari Melaka). Justeru di atas kertas sekarang, memang Dato' Seri Mohd Najib bakal Perdana Menteri apabila Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatannya. Begitulah!

Tetapi Tun Ghafar pernah memberikan pandangannya, politik sentiasa berubah dalam masa 24 jam. Tak tahulah dengan Dato' Seri Najib yang mengakui UMNO masih belum berubah dan Dato' Seri Abdullah pula menegaskan kalau UMNO tak berubah, justeru kerajaan yang wujud sekarang ialah kerajaan terakhir bagi UMNO. Mungkin sahaja UMNO juga mengikuti kaedah kerajaan Pasir Dua Butir yang diimaginasikan oleh Allahyarham Tan Sri Dr P. Ramlee dalam menggarap filem terakhirnya 'Laksamana Do Re Mi'. Bagi Ketua Wanita UMNO Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil pula yang perlu berubah ialah pimpinan UMNO, barulah berlaku perubahan dalam UMNO. Entahlah!

Maknanya, kalangan pimpinan UMNO sendiri tak sekata apabila mempersoal isu perubahan, kerana 'melakukannya' tak semudah 'bercakap'. Malah Nabi Allah Yunus bin Matta a.h. dalam tempoh 40 tahun mahu membuat perubahan, sekadar enam orang sahaja yang mengikutnya. Baginda terpaksa melalui dibuang ke laut, ditelan ikan nun dan terdampar ke gurun tandus. Nabi Muhammad SAW juga dari usia baginda 25 tahun hingga berusia 40 tahun pun masih sukar membawa perubahan kepada kaumnya. Baginda dilontar batu ketika di Taif hingga terpaksa bersembunyi di kebun anggur. Kalau sekadar berucap mahukan perubahan, tetapi diri sendiri tak berubah ianya sekadar menipu diri sendiri, kerana harga bagi perubahan itu terlalu mahal.

Rasullullah terpaksa berhijrah ke Madinah dengan jarak lebih 400 kilometer dari Mekah merentasi gurun pasir, bersembunyi di gua di samping sahabatnya Saidina Abu Bakar al-Siddiq dipatuk ular bagi membawa perubahan. Dato' Seri Anwar Ibrahim juga lebam mata untuk membawa perubahan tetapi dilabel oleh Dato' Seri Hishamuddin Hussein sebagai 'petualang' (tetapi tak dinyatakan petualang kepada siapa). Pimpinan gerakan militan India satu ketika dulu Subhas Chandra Bose turut mengakui: "Mahukah anda memetik bunga ros yang indah, tapi perlulah mersakan kesakitan tusukan durinya; mahukah anda kebebasan dan keadilan, harga untuk kebebasan dan keadilan ialah kesengsaraan dan pengorbanan."
Perubahan yang disarankan oleh Dato' Seri Najib tak sama macam bulat datang bergolek pepeh datang melayang, tetapi perlu dihadapi seperti natijah yang dilalui Dato' Seri Anwar Ibrahim bermata lebam pada 1998. Bersediakah? Kalau sekadar duduk di kerusi empuk, tersandar di kereta mewah atau sering bertanya: 'hari ini apa kita mahu makan, pak; hari ini kita makan di mana pak, hari ini siapa kita nak makan, pak', tak payah bercakap mengenai 'perubahan'. UMNO kena bayar harga 'perubahan', bukan sekadar memukul gendang kosong. Biarlah menjadi ayam hutan disogokkan makan di pinggan emas pun, ia akan balik mengekas bersama kerabatnay di tengah belukar. Begitulah!
-Pak Dharma.

INFO SASTERA & BUDAYA...

PUISI

Uwan

Uwan
masa aku kecil
uwan serahkan rotan sebilah
pada Ulung Berahim guru Quranku
"Kalau jahat cucu se
dogil dio taknak belajar
taknak nongar cakap;
kau rotanlah dio
jangan buto jangan patah
sudahlah."

Alhamdullillah
uwan
aku membesar, remaja
berkeluarga
dan kini sudah tua
dalam sesempurna
yang terdaya ku renangi
arus takdir
hayatku.

Uwan
di kota digital ini
anak-anak mengaji
pakai software
uwan,
pada siapa nak ku serahkan
rotan?

Uwan
bawalah aku
pulang ke kampung
dan kembalikan
semalamku
yang hilang
di kota ini
orang-orang
dirotan
kalau mereka
takmahu jadi
setan.

-Yassinsalleh
Mac 26, 09
perjalanan pulang
jam 21.28.