Thursday, July 24, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


KEBOBROKAN JADI RAKYAT MELUAT
KERAJAAN PAKATAN PERLU RASIONAL

Assalamualaikum,

Balik dari pejabat Tabung Haji di Selayang semalam (23 Julai 2008), saya ternampak kren Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bersiap sedia untuk ‘menarik’ kereta di depan Eon Bank, Taman Seri Gombak. Apalagi ‘penguatkuasa’ yang lengkap beruniform pun ‘mendada’ terlangah-langah mahu memastikan pemilik kenderaan terbabit. Begitulah! Fenomena pada period pentadbiran BN di bawah Menteri Besar Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo, tak berbeza apa-apa dengan kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) yang diketuai Tan Sri Khalid Ibrahim. ‘Perubahan’ bagaimana yang mahu dilaungkan kalau: Wal hasil balik hasal; wal hasal balik hasil! Meter letak kereta terus beroperasi yang diberikan kepada syarikat ‘pilihan’, dengan PR meneruskan legasi kebobrokan yang menjadikan rakyat meluat pada PRU12 lalu.

Dua hari lalu seorang rakan di Selayang mahu dikenali ‘Man Cincai’ beritahu fasal kenderaannya disaman sekadar letakkan lima minit sahaja sementara ‘top up’ hansetnya di kedai berdekatan. Saman dilaksanakan pula selepas pelantikan ahli MPS yang sudah tentunya kroni-kroni PR yang berselindung di sebalik kalagan aktivis NGO, kerana selepas PRU12 saman ‘kepenyamunan’ tak pernah dilakukan. Pada period pentadbiran BN saman dikenakan RM30, tetapi apabila di bawah PR saman yang dikeluarkan oleh MPS ialah RM60. Kenderaan saya pernah disaman oleh MPS ketika itu, hanya berhenti beberapa minit sahaja membeli barang di kedai ‘barang RM2 seunit’. Maknanya, si penguatkuasa ‘stand by’ untuk menyaman, kerana sebelumnya saya tak melihat individu berkenaan melancarkan gerakan menyaman (@ menyamun).

Bagaimanapun saya menulis surat kepada MB ketika itu Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo apakah logiknya kutipan meter tempat letak kereta, kalau tak memberi sebarang khidmat. Dalam tempoh dua minggu, MPS menurap jalan-jalan yang berlubang, baiki bahu jalan yang terlopong dan terpokah, di samping membina lampu jalan di jalan utama dan menanam pokok-pokok. Maknanya Dato’ Seri Dr Mohd Khir memberi respons serta merta sebaik sahaja menerima aduan, justeru saman RM30 yang dikenakan MPS berbaloi apabila memperbaiki prasarana dengan peruntukan beribu-ribu ringgit. Padan muka! Di samping kawan saya Man Cincai, kenderaan saya juga disaman baru-baru ini, tapi kadar sudah dinaikkan kepada RM60.

Insya Allah, PRIMA akan mengirim surat kepada Tan Sri Khalid bagi meminta penjelasan terhadap unsur-unsur ‘kepenyamunan’ ini; yakni mengutip duit dengan tak memberi apa-apa perkhidmatan. Kalau PR berasa mereka sudah gagah perkasa, tak apalah! Aura pimpinan PR boleh diturunkan melalui kemeluatan, kemualan dan kebencian rakyat menerusi peti undi. Sekalipun Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat sudah memberi penjelasan, muzakarah PAS-UMNO tak bermakna akan membawa partinya menyertai BN, tetapi tak menghalang ianya mewujudkan formula kerjasama dalam bentuk yang lain. Apalagi Dato’ Seri Anwar Ibrahim pernah melabelkan PAS sebagai parti ‘maki hamun’ (sila lihat hansad Parlimen sekitar dekad 1990-an). Aduhai!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


BELANG SINGAPURA MAKIN JELAS
BERIKAN BETIS HENDAKKAN PAHA

(Kenyataan media Ketua Pimpinan PRIMA, Pak Dharmala N.S. di Kuala Lumpur pada 24 Julai 2008, mengenai isu Batu Putih selepas diberikan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan tuntutan kawasan perairan sebagai Zon Ekonomi Eksklusif).

Tuntutan yang dibuat Singapura melalui Menteri Kanannya, Balaji Sadasivan ke atas perairan wilayah 12 batu nautika dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di sekitar Batu Putih jelas memperlihat ‘belang’ negeri itu, diberikan betis hendakkan paha. Singapura mahu menjadikan kemenangan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Mei 2008 lalu berkaitan tuntutannya ke atas Batu Putih sebagai mutlak, dengan tak menghiraukan ianya menggugat keikhlasan jiran tetangga. Sebelumnya ketika berucap dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean (AMM) Ke 41, Perdana Menterinya Lee Hsian Loong secara biadap menyentuh politik dalaman di Malaysia.


Justeru PRIMA berasa hairan bagaimana Menteri Luar Malaysia, Dato’ Seri Dr Rais Yatim menganggap ucapan Lee sebagai tak ‘berniat’ jahat, sebaliknya tak membuat sebarang bantahan rasmi. Sama ada Batu Putih sekadar batuan di atas air atau sebuah pulau, Singapura jangan menganggap ianya boleh diterima dengan mudah oleh majoriti rakyat Malaysia. PRIMA menyokong penuh kenyataan Ketua Pengarah Institut Maritim Malaysia (MIMA) Dato’ Cheah Kong Wai berdasarkan Artikel 121 (3) Undang-Undang Laut (UNCLOS) iaitu kawasan batuan tak sesuai untuk habitat manusia. Sebagai manusia adalah wajar Malaysia tak melayan negara yang merebut lokasi bukan untuk habitat manusia kerana sengaja mahu menimbulkan kekecohan.

INFO SASTERA & BUDAYA

LMNS TERBIT BULETIN SENDIRI
PAPAR MAKLUMAT BUDAYA DAN SEJARAH

Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) mengorak langkah lebih proaktif dengan menerbitkan buletinnya sendiri sebagai proksi saluran maklumat, bermula April 2008 lalu. Keluaran pertama ‘Buletin’ memuatkan maklumat program LMNS sepanjang tahun 2007, termasuk kunjungan pelawat dalam dan luar Negeri Sembilan yang tertarik dengan program LMNS di bawah pengarahnya Drs Shamsuddin Ahmad. Misalnya, pada 27 September 2008, serombongan 40 pelajar Sekolah Elit Thailand dan pensyarah universiti di Thailand melakukan kunjungan ke Muzium Negeri Sembilan dengan dibawa melihat pameran Galeri Setem dan Filateli, Galeri Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah, Galeri Pra Sejarah dan Pameran Tokoh Negeri Sembilan.

Di samping pelajar-pelajar dari Thailand, rombongan kerabat diraja Negeri Sembilan seramai 50 orang juga turut melawat tapak sejarah termasuk melihat Istana Ampang Tinggi (dikenali juga Istana Ampang Rambai yang pernah dijadikan tempat bersemayam Yamtuan Antah). Program yang sudah digerakkan tahun 2008 pula termasuklah wacana sejarah di dewan ceramah Muzium Negeri Sembilan, di samping majlis kerjan (tabal) Undang Luak Johol, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Haji Mohd Jan Abdul Ghani. LMNS juga terbabit bagi majlis sambutan 10 Tahun pemerintahan Undang Luak Rembau, Dato’ Lela Maharaja Haji Mohd Sharip Othman, November 2008 ini. ‘Buletin’ yang diterbitkan LMNS ini memang sumber maklumat yang bernilai dalam info budaya dan sejarah di Negeri Sembilan.

PEMBESAR ISTANA MEMBAWA DIRI
DISEMADI DI PINGGIR SUNGAI LINGGI

Misteri makam lama di pinggir Sungai Linggi berhampiran jeti Pengkalan Kempas dikenal pasti sebagai milik Dato’ Sheikh Ahmad Hussein seorang pembesar Melayu yang meninggal dunia sekitar kurun ke 16, beritahu pembantu muzium Negeri Sembilan, Ahmad Afian Abdul Kadir. Katanya, makam berkenaan dikenali oleh penduduk tempatan di sini sebagai ‘Keramat Tiga’ terletak berhampiran ladang kelapa sawit, malah dilihat terbiar begitu sahaja. Dato’ Sheikh Ahmad Hussein bergelar Dato’ Seri Maharaja ialah panglima kanan di istana kesultanan Melaka. (Bagaimanapun panglima Melayu terkanan pada period pemerintahan Sultan Mahmud ialah Laksamana Khoja Hussein iaitu menantu Laksamana Hang Tuah).

Di samping itu Ahmad Afian tak dapat menjelaskan sama ada makam berkenaan ianya mempunya kaitan dengan Laksamana Khoja Hussein yang disebut dalam epik ‘Sejarah Melayu’ terbabit dalam perang melawan Portugis pada 24 Ogos 1511. Laksamana Khoja Hussein juga turut berundur, tetapi tak ikut bersama Sultan Mahmud yang bertahan di Pagoh, Johor sebelum mengundurkan diri ke Kopak di Bentan. Sewaktu mendirikan kerajaan di Bentan, Sultan Mahmud melantik pula Hang Nadim selaku laksamana setelah Khoja Hussein meninggal dunia. “Makam ini dikenali sebagai ‘Keramat Tiga’ kerana ukurannya terlalu panjang seperti tiga orang dimakamkan secara menegak,” beritahu Ahmad Afian.

INFO SUARA PROLITAR

ERTI NEGERIKU YANG MAKMUR
SEKARANG KARIPAP 40 SEN SEBIJI

Kira-kira jam 11.00 tengahari hari ini (24 Julai 2008) saya ke pasaraya NSK di Selayang. Harga beras jenama NSK bagi kampit isian 10 kg ialah RM25.90, iaitu turun daripada sebelumnya RM26.90, dengan campuran 5% beras hancur. (Sebelum PRU12 harganya ialah RM15.60). Tetapi harga beras jenama yang lain masih tak berubah, malah beras wangi hingga mencecah hampir RM50. Harga kuih karipap pun dah 40 sen sebiji, tak dapat lagi tiga biji RM1.Makmurnya negeriku! – (SMS; 24 Julai 2008; 17:42:33 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PERIHAL PAS MAHUKAN ‘MUQABALAH’
UMNO PULA BERITAHU HENDAK ‘MUZAKARAH’.

Arakian empat pemimpin harakah Islam (PAS) di negeri Melayu iaitu Orangkaya Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, Orangkaya Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Orangkaya Haji Nasharuddin Mat Isa dan Tuan Guru Dato’ Dr Harun Din bertemulah mereka di negeri Kelantan semalam (20 Rejab 1429). Maka bersetujulah mereka berbincang dengan pemimpin harakah Melayu (UMNO), tetapi bukanlah ianya ‘muzakarah’, sebaliknya hendaklah sebagai ‘muqabalah’. Alhamudllillah! Syahdan akan persetujuan empat pemimpin harakah Islam itu sudahlah memberikan pandangan jelas kepada penitir canang, bahasa mereka tak pernah bercanggah pendapat. Maka tahulah fakir pemimpin harakah Islam itu tak mahu ‘muzakarah’ tetapi mengikut kaedah ‘muqabalah’.

Syahdan setelah hari petang, maka Sultan Pasai pergi ke rumah Makhdum Muda. Maka kata Sultan Pasai, ‘Jikalau seperti jawab tuan kepada utusan itu, orang Melaka tahu akan dia; mengapa pula ditanyakan kepada kita ke mari? Kalau-kalau ada yang lain daripada itu dikehendakinya. Maka kata Makhdum Muda, ‘Pada hamba demikianlah; kepada shah alam betapa benarnya’. Arakian kata Sultan Pasai, ‘Mudah saja pekerjaan itu. Apabila hamba sudah kembali, tuan suruh panggil utusan itu, maka tuan katakan kepadanya, tadi sedang tuan bertanya di hadapan orang banyak, maka demikian kata hamba; sekarang pada tempat yang sunyi, hamba katakan yang tahakiknya, inilah dia’. Maka Makhdum Muda pun menyuruh memanggil Tun Bija Wangsa, seperti yang disurat dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:









HIDUP BAHASA MELAYU!