
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
USAHAWAN MINAT BUDAYA
TERBABIT DG AKTIVITI PENYELIDIKAN
Assalamualaikum,
Ketika ke Taman Paroi Jaya, di Seremban semalam (23 Oktober 2008) sempat juga saya singgah di rumah Cikgu Md Derus (yang juga jiran Allahyarham Haji Kamaruddin). Memang Cikgu Md Derus bersama isterinya Kak Timah beritahu mengenai Dato’ Haji Abdul Rashid dalam keadaan kritikal. (Isteri Dato’ Haji Abdul Rashid, Datin Hajjah Rashidah Rashid pernah mengajar di sekolah yang sama dengan Cikgu Md Derus, justeru mereka juga memang berkawan rapat sejak di Jelebu lagi). Secara kronologi, saya lebih akrab dengan Cikgu Md Derus ketika beliau mengajar di Jelebu, disebabkan sama-sama terbabit sebagai aktivis belia di Kuala Kelawang. Sebaliknya Dato’ Haji Abdul Rashid kurang berminat dalam gerakan belia. Barangkali!


Kali terakhir saya menemui Dato’ Haji Abdul Rashid pada 2003 (iaitu sebelum Tan Sri Abdul Samad Idris berpulang ke rahmatullah), ialah ketika sama-sama menyertai rombongan Muzium Negeri Sembilan berkunjung ke propinsi Riau bagi menelusuri perjuangan Tuanku Tambusai (Haji Mohd Salleh Maulana Kadi) di Daludalu, Rokan Hulu. Sebelumnya, memang setiap tahun bertemu di kediaman Tan Sri Abdul Samad ketika menyambut Hari Raya bersama Persatuan Anak-Anak Negeri Sembilan di Kuala Lumpur. Memang sumbangan Dato’ Haji Abdul Rashid atas kapisiti tokoh korporat dalam aktiviti Muzium Negeri Sembilan sukar dilupakan, sekalipun tak sempat untuk meneruskan perancangan pemuliharaan makam Dato’ Siamang Gagap di Kampung Terusan, berikutan berpulangnya ke rahmatullah Tan Sri Abdul Samad pada 15 Oktober 2003 (iaitu lima tahun dulu). Aduhai!
-Pak Dharma
INFO HAK ASASI MANUSIA:
ROMBAKAN KABINET PAK LAH
SEKADAR TEMPOH HINGGA MAC 2009


Berdasarkan lanskap politik sekarang, Dato’ Seri Abdullah tak perlu untuk membuat rombakan disebabkan tempoh jawatan beliau hingga Mac 2008 seperti dipersetujui melalui pelan peralihan kuasa. Sebelumnya Dato’ Seri Abdullah sudah mengumumkan pelan peralihan kuasa sehingga Jun 2010, tetapi Tan Sri Muhyiddin bersama Dato’ Mokhriz Tun Dr Mahathir mendesak ianya perlu dipercepatkan. Secara kebetulan pula setakat ini Tan Sri Muhyiddin dan Dato’ Mokhriz menerima pencalonan tertinggi bagi jawatan yang ditandingi mereka. Tak hairanlah menurut sumber, Dato’ Seri Abdullah mahukan rombakan kabinet akan membabitkan Tan Sri Muhyiddin dan Dato’ Seri Hishamuddin yang dilihat sebagai proksi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Entahlah!
INFO SASTERA & BUDAYA:
NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz
(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).
(sambungan kelmarin…)
(25)
8
MELAWAN IDEA MUSUH
SI TONGKOL TAK PANIK PENDARAHAN:
TAPI OBJEK TENTERA BONEKA LEBIH PINTAR
“TAK tahulah, tapi orang tua tu perlukan bantuan pakcik untuk dapatkan bekalan makanan,” tuturnya tersenyum sekalipun dahinya berkerut menahan kesakitan.
“Tapi luka ni parah, Pakcik Si Tongkol perlukan rawatan hospital,” Usin Sodok pula mencelah.
Tersengih-sengih Si Tongkol disebabkan kami semua melayannya dengan ramah mesra. Kami tak berdendam sekalipun pernah didera sebelum itu. Sebaliknya Si Tongkol juga mengajar kami cara merawat luka ketika mengalami kecederaan serius. Malah dia mengaku tak bimbang dengan kecederaan tersebut. Sejak dalam tentera lagi Si Tongkol terbabit dalam gerakan komando di Indonesia.
Memang dia pakar kimia semasa dalam komando. Bukan takat seorang komander berpangkat kolonel, Si Tongkol juga doktor perubatan terlatih. Tahu sangat dia fasal komposisi darah seperti pernah dianalisis oleh Profesor Karl Landsteiner pakar anatomi patologi di Venna itu. Dia juga memahami mengenai paroksismal hemoglobinuria dan penyelidikan morbid anatomi dan imunisasi.
Sebab itu Si Tongkol tak mudah panik apabila mengalami pendarahan. Dia tahu had hemoglobin darah yang diperlukan tubuh badan manusia. Memang kekurangan darah boleh mendorong kepada punca poliomielitis. Bagi menghentikan pendarahan Si Tongkol menunjukkan kepada saya rawatan yang perlu dilakukan.
“Selagi tentera boneka mengawal di pintu gua, kita tak dapat membolos keluar,” ujar Sahak Salai membantu membersihkan darah di bahagian luka yang dialami Si Tongkol.
“Memang strategi perang manusia tak dapat tandingi strategi perang komputer,” jelas Si Tongkol mengeluh perlahan.
“Kalau begitu, kita kena lawan dengan strategi komputer juga,” sahut saya lantas mencapai radio transistor di atas meja. Segera saya rosakkan sistem gelombang radio berkenaan hingga tak boleh berfungsi.
Ketika itu objek tentera-tentera boneka berpaling ke dalam gua. Pantulan cahaya dari mata tentera-tentera boneka itu tak melepaskan sebarang tembakan. Tetapi menyuluh ke dalam gua seolah-olah terlalu marah apabila sistem gelombang radio dimusnahkan. Apabila silau pantulan cahaya itu berterusan menyuluh, segera saya letakkan cermin muka menampan alirannya.
Tiba-tiba sahaja tentera boneka jatuh terlentang sebaik sahaja pantulan melantun ke mukanya. Tetapi ia bingkas bangun semula, sekalipun tak dapat mara ke hadapan. Cahaya gelap di dalam gua menyebabkan objek tentera-tentera boneka tak mampu lagi bergerak mara.
“Eksprimen kita berjaya, Pakcik Si Tongkol,” beritahu saya lantas menyentuh wayar di dalam radio transistor. Bunyi bising radio transistor tak berfungsi itu menjadikan objek tentera-tentera boneka terlangah-langah.
“Wah, kamu juga tahu fasal program komputer,” tersenyum bangga Si Tongkol selepas melihat objek tentera boneka kecoh apabila mendengar bunyi radio transistor bising akibat gelombang tak berfungsi. Gegaran gelombang radio transistor itu turut jejaskan kelancaran operasi tentera boneka.
“Kita perlu menawan salah satu objek boneka itu,” jelas saya mencari idea bagaimana mahu menewaskan tentera-tentera boneka. Taktik mereka sama seperti semut kerengga iaitu lebih banyak objek akan menyerbu asal sahaja salah satu objek boneka itu diserang.
(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).
(bersambung)
PUISI LAMA
Adat Si Ayam Jantan
-apologi kepada Ku Li
Kata raja titah nan adil
kata menteri janji tak mungkir
kata penghulu kata penyelesai
berjalan nan lurus, berkata nan benar
berhukum nan adil
di lingkungan bendul
rumah nan berketak
tangga nan berlaman
jangka nan berelak.
Ambil tuah pada nan menang
ambil contoh pada nan sudah
pipih datang melayang
bulat datang menggolek
harapkan bulan jatuh ke riba
seciuk bak ayam
sedencing bak besi
di mana padi rebah
di situ tekukur meniti batang
heh heh heh, heh heh heh!
Ayam jantan
berkokok di bawah rumah
tak akan hilang tuahnya
ular menyusur akar
tak akan hilang bisanya.
-Alba,
Jelebu, Negeri Sembilan
24 Oktober 2008.
INFO SUARA PROLITAR:
GALI KUBUR DAN KOREK LIANG LAHAD
‘FARDU KIFAYAH’ YANG DIPANDANG REMEH

Sekalipun dianggap remeh temeh, tetapi mengorek liang lahad bagi mengkebumikan jenazah adalah ‘fardu kifayah’, menurut Tok Busu yang pernah dilantik menjadi siak Masjid Jamek Kampung Teriang sebelum ini. Beliau juga turut melahirkan rasa kesal berikutan kemahiran kraftangan Melayu juga turut diabaikan, termasuk membuat larik, ulu parang, gasing, lekar, jeramak, lukah, tengkalak dan sebagainya. Memang barang-barang tersebut tak menjadi keperluan lagi dalam kehidupan orang Melayu sekarang, tetapi kemahiran tersebut wajar dipelihara. Sementara aktivis budaya, Yassinsalleh ketika ditanya bersetuju, kemahiran kraftangan Melayu dipelihara. Justeru katanya, jabatan-jabatan terbabit sama ada jabatan kebudayaan mahupun muzium mengambil inisiatif memulihara kraftangan dan kemahiran Melayu ini. “Mungkin 100 tahun akan datang orang Melayu pun tak kenal lagi dengan kraftangan berkenaan,” beritahu Yassinsalleh.
KENA ORANG SERONOK HATI
BATANG HIDUNG SENDIRI, MELENTING!
Hairan juga apabila isu cerpen dibangkitkan di Parlimen. Tak cukup dengan Parlimen buat pula laporan polis. Nampaknya marah sangat si ahli politik tu pada penulis Chamil Wariya. Mungkin bukan kerana cerpen, tetapi si ahli politik sering mengikuti penulisan Chamil yang juga berkas wartawan. Kalau nak kira cerpen itu menyinggung individu tertentu, novel ‘Sheet…’ Shahnon Ahmad lebih teruk mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad. Seronoknya si ahli politik itu, kerana novel hentam Tun Dr Mahathir. Tapi kena batang hidung sendiri, melenting macam nak gila! – (SMS; 24 Oktober 2005; 14:28:53 – Wak Kimin, Pucung, Selangor).
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
ORANG BANYAK PERTIKAI PEMBELIAN:
KELENGAKAAN PERANG NEGERI ATAS ANGIN

Sebermula pada masa dahulukala negeri Pahang itu negeri besar, takluk ke benua Siam, Maharaja Dewa Sura nama rajanya, keluarga juga pada Paduka Bubunnya. Setelah Sultan Mansor Shah mendengar khabar Pahang itu, maka terlalu ingin baginda akan negeri Pahang itu. Arakian baginda pun menitahkan Bendahara Paduka Raja menyerang Pahang. Maka bendahara pun pergilah dengan Tun Pikrama dan Tun Bijaya Maha Menteri dan Seri Bija Diraja, dan Seri Pikrama, dan Tun Sura Diraja, dan Tun Amar Diraja, dan Tun Bija Diraja, dan Tun Bija Setia, dan Sang Bija Rakna, dan Tun Rana, dan Tun Seri Setia, dan Sang Naya, dan Sang Guna, dan Sang Jaya Pikrama, dan Sang Aria, dan Sang Rana Rana Sura, dan Sang Sura, dan Sang Jaya, san Sang Sura Pahlawan, dan Tun Aria, dan Tun Bija Pikrama, dengan sekalian hulubalang pergi mengiringkan akan Bendahara Paduka Raja, dua ratus banyaknya kelengkapan besar kecil. Syahdan alahlah Pahang, sekalipun tak menggunakan kelengkapan dari negeri atas angin tetapi bersatu hati seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada: