Thursday, March 13, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


PRIMA SOKONG PIMPINAN NEGARA
PAK LAH PERLU PULIHKAN KEYAKINAN

Assalamualaikum,

Makan tengahari PRIMA semalam (12 Mac 2008) dihadiri hampir 30 orang aktivis dan pengendali laman blog di restoran makanan Minangkabau di Kampung Baru yang disponsor Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, mengambil ketetapan menyokong pimpinan negara di bawah Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Bagaimanapun Dato’ Seri Abdullah diminta memulihkan segera keyakinan rakyat kepada parti pimpinannya dengan membawa masuk pimpinan veteran seperti Tengku Razaleigh Hamzah dalam pimpinan parti dan kerajaan, kerana beliau dilihat mempunyai karisma dan kewibawaan ke arah penyelesaian tersebut. Semua aktivis PRIMA hadir dalam majlis jamuan makan tengahari tersebut, sekalipun beberapa jemputan yang lain tak sempat turut serta.

Mungkin sahaja berlaku sedikit ketegangan pada peringkat awalnya, apabila Sdr Sobri Ahmad (Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Belia Asean) mempersoal wibawa pimpinan veteran, termasuk juga perjumpaan PRIMA bersama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 15 Ogos 2007, tetapi Dato’ Suhaimi Ibrahim (bekas Presiden GPMS - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung) mampu mengawal keadaan. Bagaimanapun saya terpaksa meninggalkan perbincangan jam 5.00 petang ketika keadaan tegang, di samping berlarutan sejak selepas makan tengahari, di samping menyerahkan kepada Haji Yahaya Ismail, Dato’ Kamal Amir, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah dan Haji Mohd Sayuti Omar mengambil ketetapan seterusnya.

Kira-kira jam 6.00 petang, Dato’ Dr Mohd Mansor menghubungi saya memberitahu mengenai ketetapan yang dicapai, diikuti Haji Mohd Sayuti mengirim SMS. Dato’ Kamal Amir memberitahu ketetapan yang dicapai bersama pada 6.30 petang, di samping Haji Yahaya juga mengakui keputusan menyokong pimpinan negara adalah selaras dengan keputusan pilihanraya 8 Mac 2008. Justeru krisis keyakinan yang dihadapi oleh pimpinan negara pula perlu dipulihkan menerusi pelbagai cara termasuk membawa pimpinan veteran membantu melaksanakan tanggungjawab bersama. Tengku Razaleigh pula satu-satunya pimpinan veteran yang masih kekal dalam pilihanraya lalu, memang sesuai bagi beliau membantu melaksanakan tanggungjawab secara kolektif, beritahu Haji Yahaya.

Sdr Zainal Abdul Rahman pula menelefon jam 9.00 malam juga bersetuju dengan ketetapan PRIMA menyokong kepimpinan negara, di samping usaha memulihkan semula keyakinan rakyat dengan kerjasama pimpinan veteran parti. Malah PRIMA juga turut menggerakkan semula ruh ‘Deklarasi Perdana 10 Keprihatinan’, dengan menyibarkan secara meluas, bukan sahaja kepada raja-raja Melayu serta pimpinan utama parti-parti politik Melayu, bahkan kepada semua Ahli Parlimen dan ADUN Melayu dan persatuan-persatuan Melayu. Penyibaran ‘Deklarasi Perdana 10 Keprihatinan’ selaras dengan seruan pimpinan PRIMA pada pilihanraya lalu ‘undi calon, bukan undi parti’.

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

PERTAHAN KETUANAN MELAYU
MENJADI PRINSIP PERJUANGAN BANGSA

Mempertahankan ketuanan Melayu adalah menjadi prinsip dalam perjuangan bangsa sejak frasa menentang ‘Malayan Union’ pada 1946, beritahu jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Mengulas kemurkaan baginda Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin berikutan langkah memboikot istiadat angkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak hingga terpaksa ditangguhkan di Istana Kinta hari ini (13 Mac 2008), Dato’ Kamal Amir menjelaskan PRIMA berdiri teguh menyokong langkah istana menangguhkan istiadat berkenaan. Malah PRIMA juga menyokong penuh keputusan baginda Sultan Sharifuddin Idris Shah enggan menerima hamba rakyat baginda bukan Melayu menjadi Timbalan Menteri Besar Selangor.

“Setiap pihak tak seharusnya cuba menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat, setelah menerima mandat pada pilihanraya lalu,” menurut Dato’ Kamal Amir. Katanya, pihak istana wajar mempertahankan ketuanan Melayu sebagai raja yang berdaulat, kerana baginda adalah payung kepada hamba rakyat. Seterusnya beritahu Dato’ Kamal Amir, kemenangan pihak tertentu pada pilihanraya lalu bukan berdasarkan pengaruh parti, sebaliknya rakyat bersetuju menyokong ‘calon’ bukannya parti. Beliau juga menjelaskan PRIMA berpegang kepada prinsip ‘undi calon, bukan undi parti’, justeru tak akan bersetuju dengan sebarang usaha membelakangkan ‘ketuanan Melayu’. “Kami akan bersama baginda raja-raja Melayu dalam kemelut yang besar sekalipun,” katanya.

KANDUNGAN 10 KEPRIHATINAN
DEKLARASI PERDANA DIGERAKKAN

1. Keprihatian Pertama: Bangsa Melayu adalah pewaris yang sah di bumi bertuah Malaysia sebagai peribumi. Justeru identiti atau jatidiri MELAYU dari segi BAHASA, KEUDAYAAN dan AGAMA mestilah dipertahan, dlindung dan diperjuangkan sebagai legasi seluruh zaman.

2. Keprihatinan Kedua: Keluhuran PERLEMBAGAAN NEGARA yang menjamin HAK ISTIMEWA BANGSA, BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA RASMI NEGARA, ISLAM SEBAGAI AGAMA RASMI NEGARA dan KEDUDUKAN RAJA-RAJA MELAYU yang melindungi kepentingan ISLAM dan BANGSA MELAYU mestilah menjadi sumber kekuatan perjuangan BANGSA dan para pemimpinnya tanpa kompromi.

3. Keprihatinan Ketiga: KETUANAN MELAYU dalam kepimpinan politik khasnya dan bidang-bidang lain amnya mestilah dipertahankan secara konsisten demi memelihara, di samping menjaga kepentingan masa depan BANGSA.
4. Keprihatinan Keempat: INSTITUSI RAJA sebagai tonggak kerajaan Malaysia mestilah dipertahan, dilindung dan dilestari demi menjamin iltizam MELAYU dan kesyumulan ISLAM sebagai pewaris tradisi kepimpinan dan legasi KETUANAN MELAYU. Justeru Duli Yang Maha Mulia RAJA-RAJA MELAYU mestilah selaras memperlihatkan kewibawaan dan tingkahlaku sesuai dengan status mereka sebagai RAJA BERPERLEMBAGAAN.

5. Keprihatinan Kelima: ISLAM sebagai agama rasmi NEGARA mestilah membawa pendekatan kesyumulan ISLAM sebagai ADDEN yang dinamik, progresif dan reformis menurut peredaran masa.

6. Keprihatinan Keenam: DASAR EKONOMI BARU (DEB) mestilah diteruskan sebagai kesinambungan menjaga kepentingan MELAYU dalam bidang ekonomi, di samping melindungi daripada dipinggirkan oleh anasir-anasir luar dan dalam yang menentang hak kepentingan MELAYU.

7. Keprihatinan Ketujuh: Dalam melaksanakan PEMBANGUNAN NEGARA kepentingan NEGARA dan MELAYU mesti diutamakan agar MELAYU tidak terpantul menjadi seperti ‘ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan’ oleh kerana amalan ‘kera di hutan disusukan, anak di pangkuan ditinggalkan’!

8. Keprihatinan Kelapan: ILMU menjadi tuntutan ISLAM. Justeru BANGSA MELAYU mesti menjadikan ILMU sebagai sumber kekuatan UMMAH, dan para pemimpin MELAYU yang berkuasa metilah bertanggungjawab memperkasakan khazanah ILMU dalam perjuangan mereka agar BANGSA MELAYU mampu menjadi benteng mempertahankan KETUANAN MELAYU hingga ke akhir zaman.

9. Keprihatinan Kesembilan: Demi memperkasakan BANGSA MELAYU maka pendidikan dalam segala bidang kehidupan mestilah diutamakan agar MELAYU tidak terpinggir di tanah pusakanya atau ‘menjadi pengemis di tanah airnya’ oleh kerana daif dalam bidang keilmuan dan muflis tata pengetahuan, apabila persaingan ‘dunia langit terbuka’ dan ‘dunia tanpa sempadan’ menjadi cabaran global.

10. Keprihatinan Kesepuluh: PEMIMPIN datang, PEMIMPIN pergi! BANGSA MELAYU mesti bijak memilih para PEMIMPIN yang BERILMU, bermoral mulia, tidak memperdagangkan AGAMA, BANGSA dan NEGARA; perlu memusuhi korupsi, meletakkan kepentingan RAKYAT JELATA di atas kepentingan peribadi, mengamalkan KEADILAN dan tidak berlaku zalim. Sekiranya mereka salah pilih PEMIMPIN maka gerhanalah masa depan BANGSA MELAYU, hancurlah NEGARA dan pudarlah sinar ISLAM.

INFO SASTERA & BUDAYA

MAMPUKAH SASTERAWAN MELAYU
MENEMBUSI TEMBOK HADIAH NOBEL

Sebelum ini dikatakan terdapat ura-ura mencalonkan sasterawan Melayu bagi menerima anugerah berprestij ‘Hadiah Alfred Nobel’ (Hadiah Nobel) di peringkat antarabangsa di Sotckholm, Sweden. Sebaliknya dibimbangkan yang dinilai ialah sasterawannya, bukan berdasarkan karya sasterawan terbabit, kata aktivis budaya Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Menurut beliau yang juga pakar kaunseling dan bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, di Indonesia novelis Pramoedya Ananta Toer tak dinilai karyanya, tetapi lebih dititikberatkan diri beliau yang dikatakan terbabit dengan komunisme. “Justeru banyak pihak di Indonesia menentang sebarang usaha mencalonkan Pramoedya menerima Hadiah Nobel,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.
Ketika Pramoedya menerima ‘Anugerah Magsasysay’ dari Filipina juga, kalangan aktivis sosial turut memprotes dengan alasan yang sama iaitu sasterawan terbabit pernah menyertai PKI (Parti Komunis Indonesia), sekalipun karya-karya beliau memang sukar disaingi oleh sasterawan lain di Indonesia, kata Dato’ Dr Mohd Mansor lagi. Di samping itu Dato’ Dr Mohd Mansor juga merasakan pemilihan anugerah yang berdasarkan amalan ‘pencalonan’ di pihak sekretariat yang dikendalikan oleh kerajaan, sekadar menilai latar belakang sasterawan bukan karya-karyanya. Berdasarkan pencalonan demikian kata Dato’ Dr Mohd Mansor, sukar bagi sasterawan Melayu melonjak ke persada peringkat antarabangsa, kerana panel penilai ‘Hadiah Nobel’ adalah memilih hasil karya.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

BAGINDA RAJA NAN BERDAULAT
TEMPAT BERPAYUNG SEGALA RAKYAT

Sebermula tersebutlah sekali persetua akan raja di negeri Melayu itu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Almarhum Tuanku Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah berkenanlah baginda melantik Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan menerima menghadap untuk mengangkat sumpah hari ini (5 Rabiulawal 1429, atau mengikut anak cucu fakir 13 mac 2008). Syahdan akan baginda raja yang berdaulat seperti disebut dalam ‘Deklarasi Perdana 10 Keprihatinan’ yang disembahkan PRIMA suatu ketika dulu, maka engganlah baginda menerima hamba rakyat bukan Melayu menjadi wazir kepada Menteri Besar itu, adanya. Arakian Duli Yang Maha Mulia Raja Dr Nazrin ibni Tuanku Sultan Azlan, Pemangku Sultan Perak juga murkalah baginda dengan kerenah hamba rakyat bukan Melayu itu, hingga ditangguh istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak. Wallahua’alam!
Kata sahibul hikayat maka tersebutlah perkataan Sultan Ibrahim, raja Siak disebut orang di dalam ‘Kitab Melayu’ itu, hamba rakyat kepada raja Melaka lagi Melayu pula keturunannya. Maka dibunuh baginda akan hamba rakyatya dengan tak memberitahu ke Melaka terlebih dahulu. Syahdan Sultan Alauddin Riayat Syah pun menitahkan hamba Melayu Laksamana Hang Tuah kerana baginda raja berdaulat yang menjadi payung kepada segala hamba rakyat. Semasa Laksamana Hang Tuah masuh ke balairongseri diiringi oleh menteri Siak, Tun Jana Pakibul lalu ditunjalnya muka menteri itu dengan jarinya sambil memangkis, “Ceh, tiada berbudi tuan hamba, maka tiada tahu cara adat bahasa, hendak merajalelakah tuan hamba di Siak ini?”. Maka Sultan Ibrahim pun diamlah kerana baginda lagi hamba rakyat ke Melaka jua, seperti disuratkan oleh:











HIDUP BAHASA MELAYU!