Friday, May 8, 2009

MALAYSIA DI LUAR NEGERI


Imej 1Malaysia tercemar:
Maruah di luar negeri isy isy isy!
TV Antara di Indonesia melaporkan Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mendakwa seramai 400 anggota polis telah menceroboh dan melakukan keganasan di dalam Dewan Undangan Negeri Perak semasa sidang DUN semalam (7 Mei 2009)termasuk memijak perut Ahli Dewan Undangan Negeri serta berlaku kasar terhadap ADUN OKU daripada Pakatan Rakyat.Antara anggota polis yang di bawa masuk ke dalam Dewan termasuk berpuluh-puluh daripada Cawangan Khas (Special Branch).

Speaker V. Sivakumar juga telah dihina dengan diheret dan dikurung dalam bilik stor DUN selama sejam.Bercakap pada sidang akhbar yang diadakan di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Perak di Ipoh petang semalam Datuk Seri Nizar berkata setelah melihat apa yang dilakukan oleh Barisan Nasional dalam DUN yang membelakangi dan menodai nilai-nilai demokrasi. Di dalam negeri mungkin sahaja UMNO/BN boleh menangkis dakwaan terhadap kezaliman mereka, tetapi di luar negeri isy isy isy!

Sidang media Ir Mohamad Nizar turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Ahmad Awang, serta pimpinan PAS seperti Drs Khalil Idham Lim, Dr Hatta Ramli, Dr Lo' Lo' Ghazali dan Salahuddin Ayub, memohon Sultan Azlan Shah membubarkan DUN sebagai penyelesaian adil dan seksama. Beliau yang juga Ahli Parlimen bukit Gantang berkata pimpinan Pakatan Rakyat akan segera turun ke padang untuk memberi penerangan dan penjelasan kepada rakyat mengenai insiden yang berlaku dalam DUN Perak.

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...

Orangkaya Menteri berkata-kata:
Orang banyak terbahak-bahak ketawa

Arakian tersebutlah kepada suatu hari akan Orangkaya Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Hishamuddin Hussein berkata, ia akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang negara tanpa mengira kaum, agama dan fahaman siasah. Maka hendaklah Orangkaya itu mengambil tindakan ke atas dirinya terlebih dahulu kerana PPSMI itu melanggar undang-undang jua. Sebermula disuruhlah anak-anak buah dato' temenggung mengheret Orangkaya Yang Dipertua DUN Perak keluar dari balarirong.

Syahdan diketahui orang banyak Orangkaya Menteri Besar itu masih dbicarakan di balai panjang nan tinggi. Maka kekecohan yang berlaku di balairongseri negeri Perak semalam (12 Jamadiawal 1430) itu akan mempengaruhi pula perbicaraan di balai panjang nan tinggi yang belum memutuskan mengenai Orangkaya Menteri Besar itu. Adapun orang banyak bertanya kepada fakir tidakkah ia berlawanan dengan daulat di balairong. Maka sukarlah mahu menjawab kerana adat resam itu tak sama, adanya.

Hatta, maka Betara Majapahit menyuruh panggil seorang kepetangan yang terlalu tahu, lagi lekas daripada yang lain. Maka titah Betara Majapahit kepada kepetangan itu, "Sendalkan aku keris Tun Bija Sura itu, kerana ia cerdik amat ku lihat." Maka sembah kepetangan itu, "Apa daya kula menyendal dia kerana Melayu itu berkeris di hadapan, jika ia bekeris di belakang dapat juga kula sendal." Maka fikir Betara Majapahit adat resam Melayu itu memang kerisnya di hadapan, tetapi sekali sekala dihunus juga lalu dicium, selepas itu meminta maaflah sekalipun orang banyak terbahak-bahak ketawa dengan berpantun:

Perigi timbanya gayung tiris
Mari digali di tepi kota
Sekali hamba menghunus keris
Dua kali maaflah dipinta.

Maka kepetangan itu berfikir juga di dalam hati, akan segala Jawa memang keris di belakang kerana resam Melayu keris di depan seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' daripada:





HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG:


Fokus ditumpu isu DUN Perak:
Lupalah dengan kebobrokan yg lain

Assalamualaikum,
Kekecohan DUN Perak (gambar) semalam (7 Mei 2009) menyebabkan fokus ditumpukan ke Ipoh, justeru rakyat dilalaikan dengan isu kebobrokan yang lain termasuk PPMSI, pembuangan kerja institusi kewangan atau politik wang, tragedi wanita Mongolia dan masalah golongan prolitar di kampung-kampung. Isu sekeluarga orang Melayu tak mampu menghantar anak-anak sekolah, kemiskinan masih lagi membelenggu sekalipun sudah lebih setengah abad merdeka - semua tak dibincang lagi. Fokus hanya DUN Perak yang lintang-pukang, jongkang-kalang dan tunggang-langgang. Alahai!

Sekitar dekad 1960-an rakyat dimomok-momok dengan isu komunisme, subversif dan konfrantasi, menyebabkan mereka dilalaikan mengenai isu bahasa, pendidikan dan perjawatan dalam kerajaan. Anak-anak Melayu sekadar mengisi jawatan perkeranian, peon dan tak berapa kerat yang mampu memegang jawatan ADO pun; apalagi jawatan tinggi di kementerian. Justeru isu DUN Perak semalam, rakyat sekadar melongo sahaja, tetapi mereka macah sudah terbiasa dengan harga barang yang naik seterusnya tak turun-turun lagi.

Restoran nasi kandar di Ipoh juga menjadi tumpuan, di samping ramai mangsa ditangkap polis di situ, sebaliknya tak siapa pertikai dengan harga menu yang dihidangkan. Kalau nasi beriani ayam diletakkan harga RM6.90 pun, pelanggan akan memugar penuh selera, kerana isu DUN Perak yang bergegar, berdegar dan berlegar lebih seronok difokuskan. Dua tahun lalu nasi beriani ayam sekadar RM4.90 sahaja; atau roti canai 40 sen, kari kepala ikan barangkali RM14 sepinggan, tapi sekarang kurrr semangat!
Tak apalah! DUN Perak yang bergolak lebih penting daripada kepapaan rakyat berterusan, malah mereka sekadar didendangkan dengan projek mega berbilion-bilion termasuk koridor wilayah Iskandar, utara atau timur. Mereka yang ketinggalan ialah tak mampu merebut peluang, yang menganggur kerana memilih kerja dan huh huh huh semuanya sama seperti fenomena dekad 1960-an atau sebelum tragedi 13 Mei. PPSMI yang menggusarkan orang Melayu adalah insiden sama dengan menghina Bahasa Melayu pada 1967 - apabila ditangguh dijadikan bahasa rasmi kerana tak layak, heh heh heh!

-Pak Dharma

SUMBER MALAYSIAKINI...

Pet ditawar RM30 ribu sebulan:
Henti tulis mengenai isu Altantuya


Dalam pendedahan terbarunya penulis blog Raja Petra Kamaruddin (Pet) mendedahkan identiti seseorang yang rapat dengan Perdana Menteri baru, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menawarkan imbuhan RM30 ribu sebulan bagi memberhentikan sebarang pendedahan yang berkaitan isu Altantuya Shaariibuu. Dalam tulisannya Raja Petra mendakwa, kenalan rapat Dato' Seri Najib memintanya berhenti menulis tentang wanita Mongolia itu. Bagaimanapun beliau terus mendedakan identiti pegawai tentera yang memberi maklumat heh heh heh berada di lokasi Altantuya dan C4. (Gambar, Pet ketika keluar dari balai polis Sentul tak lama dulu)

Menurut pengendali blog Malaysia Today, maklumat kontroversi tersebut datang daripada Leftenan Kolonel Azmi Zainal Abidin, “orang nombor dua dalam unit khas bahagian risikan tentera” Malaysia. Beliau bertemu pegawai tentera melalui seorang rakannya, Nik Azmi Nik Daud, yang dikenalinya sejak 45 tahun lalu. Nik Azmi seorang pembantu ahli politik veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, kata penulis itu lagi. Beliau juga memohon pertolongan daripada beberapa individu antaranya termasuk pemimpin PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seorang lagi pembantu Tengku Razaleigh tentang kredibiliti pegawai tentera tersebut.

MANUSIA & PERISTIWA

Tragedi memalukan Malaysia:
'Rampasan kuasa' secara kekerasan

Kekuatan muncung senapang digunakan bagi 'merampas kuasa' mirip kepada 'junta' di DUN Negeri Perak, menyebabkan segalanya berlaku mengikut manuskrip UMNO/BN pada 7 Mei 2009. DUN yang sepatutnya bermula 10.00 pagi terpaksa menunggu 4.30 petang bagi acara rasmi titah ucapan diraja. ApalagiDYMM Paduka Seri Sultan Perak tak turun mencemar duli, sebaliknya diwakilkan kepada Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin. Perak dikuasai oleh polis sejak 8.36 pagi dengan kekuatan pasukan ditumpukan di Ipoh. (gambar polis mengawal DUN Perak)

Dilaporkan di Kuala Lumpur perbicaraan di mahkamah Jalan Duta (jam 2.30 petang, 7 Mei 2009) barang kes sebuah motosikal tak dibawa ke mahkamah, disebabkan tak mempunyai kenderaan bagi mengangkut barang kes berkenaan. Semua kenderaan sudah dihantar ke Ipoh, justeru barang kes berkenaan tak dapat dibawa ke mahkamah. Begitulah. Insiden Speaker, Sivakumar dikerenyuk juga tak seharusnya berlaku dalam negara yang bertamaddun. Memang rampasan kuasa 'junta' boleh betahan di Myanmar, tetapi negara berkenaan tersisih daripada masyarakat antarabangsa.

10.17 pagi polis mula menggerakkan tangkapan dengan lima mangsa, di samping 10.18 pagi Ahli Parlimen Parti Buntar, Mujahid Yusuff Rawa pula ditangkap. 10:32 pagi beberapa orang lagi pimpinan Pakatan Rakyat (PR) ditangkap termasuk Jeyakumar Devaraj, Helen Ang dan Sallahuddin Ayub dibawa ke dalam Black Maria. 11.02 pagi Ganesan mengangkat sumpah menjadi Speaker mirip kepada pelantikan pengerusi mesyuarat yang tak berstatus DUN. 11.26 pagi dilaporkan lebih 60 mangsa ditangkap. Pesta menangkap mangsa diteruskan, malah mereka yang sedang makan tengah hari di restoran nasi kandar juga diberkas polis. Aduhai! Kronologi yang berlaku di Ipoh (7 Mei 2009) boleh layari http://www.ahmadtarmizi.blospot.com/., malah sehingga 3.59 petang, Raja Muda masih tak dapat merasmikan sidang DUN.