Saturday, March 28, 2009

SUARA HATI LEO A.W.S...



UMNO TAK MAHU BINCANG PPSMI:
KUALITI PERWAKILAN KE PERHIMPUNAN


Salam afiat. Perhimpunan Agung UMNO dah berlangsung (24-28 Mac 2009). Tapi tak ada komen mengenai PPSMI @ martabat bahasa. Kecuali seorang perwakilan Kuala Terengganu. Mereka tak sentuhlihat isu bahasa penting @ berkait maruah bangsa. PRIMA termasuk Pak Dharma, Pak Yahaya, Dato' Kamal Amir, Profesor Dato' Dr Mohd Mansor Abdullah, Mohd Affandi Hassan, L Mankadir Shamsi dan lain-lain perjuangkan terus. Kami rakyat prolitar menyokong sahaja. Memang saya ikuti menerusi media Gerakan Mansuh PPMSI (GMP) yang dipimpin Dato' Hassan Ahmad, Dato' A Samad Said, Profesor Emeritus Dr Nik Safiah Karim dan ramai lagi; apalagi khabarnya mereka disoal siasat polis kerana sayangkan bahasanya sendiri, malah menikmati semburan gas pemedih mata dalam usia melewati 70-an.


Dengan pengkhianatan pemimpin UMNO dalam isu Bahasa Melayu, bagaimana anak-anak muda mahu menghormati kepimpinan mereka? Perhimpunan Agung UMNO tak bincang isu PPSMI, maknanya mereka menyokong bukan Bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu. Mereka yang mahu kekebalan raja-raja Melayu dipulihkan dan mendaulatkan Bahasa Melayu tak menang untuk menjadi pemimpin UMNO. Justeru itulah kualiti perwakilan UMNO yang lebih bersifat 'kokok berderai-derai, ekor bergelmang taik'. Anak-anak muda Melayu berasa malu dengan sikap serta penampilan pemimpin UMNO. Demi perjuangan Bahasa Melayu, kita harap PRIMA akan terus menjadi benteng anak-anak muda. Harap kerjasama dengan GMP akan bereterusan hingga PPSMI lenyap dari bumi negara kita.


(*Dr Leo A.W.S penyair dan penulis muda dari Kelantan. Terbabit dalam penulisan sejak di sekolah menengah. Beliau sudah menghasilkan beberapa buah antologi sajak)

INFO SASTERA & BUDAYA...

PUISI


Sang Matador Si Lembu-LEMBU


Bertemu dan berpisah
adat manusia biasa
hilang di mata
tapi dihati
takkan lupa.

Membeli dan menjual
adat orang kaya raya
hilang maruah
tapi dapat
kekalkan kuasa.

Demi bangsa
demi negara
demi agama
demi matlamat
makanya,
halallah segala cara.

Dari meratah
bangkai saudara
sehinggalah
menaburkan isi
gua Qarun
sambil berebutan
mengkakak tuakan
hadis dan Quran
dan mengucup
keris dengan penuh azam
tak akan minta ampun
minta maaf lagi
kali ini.

MAKAnya,
mustainlah gerombolan
kafilah itu membina
fatamorgana
idaman bangsa
yang dirayakan
penuh sorak sorai
hilai tawa
yang amat gempita,
mengiringi nakhoda perkasa
mempertinggi tempat jatuhnya.

Bertemu dan berpisah
adat manusia biasa
pulanglah yang buta tuli
dan bisu
setelah shopping
sesakan-sakannya.

Tinggallah
patung-patung
biara
berpencak dan
bertandak
mematuhi
rentak dan bentak
sang matador si lembu-LEMBU


-Yassinsalleh
Masjid Jamek, Kuala Lumpur
28 Mac 2009
jam 16:57:39

Seminar Penulisan Biografi...

Guru-Guru Sejarah Berseminar
Tiga Kertas Kerja Akan Dibentang
Seminar penulisan biografi tokoh-tokoh Negeri Sembilan anjuran Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Negeri Sembilan akan diadakan di Sekolah Dato' Abdul Razak, Sungai Gadut, Seremban 2 April 2009 ini, beritahu Setiausaha Kehormatnya Dato' Haji Sudin Kamari. Ketua Pimpinan Warga Prihatin Malaysia (PRIMA) Pak Dharma turut diundang membentangkan kerts kerja bersama Haji Jaafar Kassim dan Hajjah Mahaya Yassin. Seminar yang berlangsung selama sehari bermula jam 8.00 pagi akan dirasmikan oleh Pengerusi Persatuan Sejarah cawangan Negeri Sembilan, Tan Sri Abu Zahar Ujang. "Adalah dijangkakan kira-kira 200 orang guru sejarah sekolah-sekolah menengah Negeri Sembilan akan menyertai seminar ini," jelas Dato' Haji Sudin dalam surat jemputannya.

Pak Dharma akan membentangkan kertas kerja 'Disiplin dan Keberkesanan Penulisan Biografi' jam 10.30 pagi, selepas Haji Jaafar Kassim memulakan dengan 'Teori dan Kaedah Penulisan Biografi' pada 8.50 pagi, diikuti Hajjah Mahaya Yassin 'Kreativiti Dalam Penulisan Biografi'. Kata Dato' Sudin, setakat ini Pak Dharma sudah menghasilkan penulisan autobiografi bagi tokoh-tokoh di Negeri Sembilan termasuk: 'Tan Sri Abdul Samad Idris: Angry Young Man Dari Negeri Sembilan', 'Dato' Sati Haji Daud Haji Ahmad: Pejuang Prolitar Di Daerah Kecil', 'Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato' Haji Mohd Jan Abdul Ghani: Ketuanan Melayu Johol' dan Dato' Lela Maharaja Dato' Haji Muhamad Sharip Haji Othman: Legasi Ketuanan Rembau'.

Di samping menghasilkan skrip filem 'Raja Melewar', Pak Dharma juga turut menulis buku autobiografi 'Tun Abdul Razak: Pemimpin Berjiwa Rakyat', 'Dato' Onn Jaafar: Potret Pejuang Terbilang', 'Dato' Ahmad Badawi: Lilin Membakar Diri' dan 'Khir Toyo: Iltizam Pimpinan Selangor'. Lain-lain buku dalam proses penerbitan ialah 'Nasionalisme Di Negeri Sembilan', 'Kronologi Pimpinan Perlis', 'Sentimental Keabangan Sarawak' dan '150 Tahun Kuala Lumpur'. Jemputan yang dibuat ke atas Pak Dharma, tak mempunyai kaitan dengan kedudukan sebagai anak Negeri Sembilan, tetapi penglibatan selaku penulis biografi paling prolifik di Malaysia sekarang, kata Dato' Haji Sudin.

Teks Ceramah Pak Dharma...

Jangan Baca Buku Sejarah:
Tapi Hendaklah Cipta Sejarah!


(Teks ceramah Ketua Pimpinan Warga Prihatin Malaysia - PRIMA, Pak Dharma akan diadakan pada 2 April 2009 jam 11.00 pagi di Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban kepada guru-guru sejarah di Negeri Sembilan anjuran Persatuan Sejarah Negeri Sembilan).


MUKADIMAH


Ilmuan tasauf teragung Imam al-Ghazali menerusi kitabnya 'Ihya Ulumuddin' menghuraikan secara ethics mengenai pemahaman syakiyyah dan pengingkaran terhadap segala ilmu menjelaskan: "Serendah-rendah tingkat orang yang berpendidikan, ialah orang yang dapat menghargai dirinya sendiri dari orang-orang biasa yang tidak berpendidikan. Orang yang berpendidikan tidak akan menghirup madu sekalipun mendapatkannya di dalam besen pembekaman, oleh kerana ia tahu bahawa besen itu tidak mengubah zat madu."

Memang besen bekas pembekaman itu menampung darah kotor, justeru ianya tak mampu mengubah zat madu yang diisikan, walaupun dicuci sebersih-bersihnya. Begitu juga mangkuk tandas yang dibersihkan, tak akan mengubah persepsi manusia terhadap makanan lazat yang diletakkan di dalamnya. Begitulah! Maknanya, ilmu sejarah atau sebelumnya dikenali ilmu tawarikh (atau bagi pelajarpelajar sekolah agama di masa lalu disebut ilmu tarikh); ianya tak akan mengubah tanggapan umum sejarah itu rakaman dokumentasi kehidupan manusia dalam tranformasi zaman bahari ke zaman baharu.

Justeru disiplin penulisan sejarah memerlukan orang yang berpendidikan sama ada secara formal mahupun tak formal, di samping kaji selidik yang berpaksi kepada etika keilmuan. Malah dalam kitab 'Hakikat Tawassul dan Wasilah' oleh Musa Muhammad Ali yang diterjemah oleh Ustaz Haji Ali Haji Mohamed ke Bahasa Melayu menjelaskan: "Apabila dinisbahkan kepada ayat-ayat al-Quran yang mulia, hadis-hadis yang suci dan perkataan orang-orang terdahulu, maka semuanya sesuai dengan keadaan yang kita sebutkan tentang pada penghuni barzakh." Penjelasan tersebut menghuraikan al-Quran dan hadis menerangkan perkara-perkara di masa lalu untuk dijadikan tauladan kepada generasi manusia kemudiannya.

Memang penulisan sejarah menjadi dokumentasi bagi mempelajari perlakuan manusia di masa lalu sama ada kebobrokan mahupun kegemilangan, kepongahan mahupun ketulusan, keperongosan mahupun keperibadian berhemah! Bagi saya penulisan sejarah bolehlah diberikan kepada tiga kategori: (1) sejarah ketokohan atau biografi dan sirah, (2) sejarah sumbangan kepada peradaban manusia atau autobiografi, dan (3) sejarah umum terhadap tamaddun sesebuah negara atau tawarikh. Tak hairanlah apabila Napoleon Bonaparte yang meminati buku-buku sejarah ditegur oleh gurunya dengan mengingatkan beliau: "Kamu tak perlu membaca sejarah, tapi kamu wajar mencipta sejarah."

Sudut Pandangan Mohd Affandi Hassan...


Makna Perubahan Bagi UMNO:
Bukan Pusingan Keldai Mengelilingi Perigi

UMNO mempunyai syahwat politik yang sangat kuat. Kita akan lihat bagaimana syahwat politik itu mereka puaskan dengan memperkasa (jangan baca “memperkosa”) undang-undang untuk menjamin keselamatan mereka dan melindungi mereka dalam kegiatan rasuah politik. Anda tentu pernah melihat keldai kurus ditutup matanya mengelilingi perigi mencurahkan air ke dalam parit mengairi tanaman di padang pasir. Walaupun beribu batu keldai berjalan, dia tidak berpindah dari telaganya, malah dia tidak pun tahu dia hanya mengelilingi telaga. Itulah jenis perubahan yang dicadangkan oleh UMNO dalam perhimpunan mereka Mac 2009 di telaga besar kepunyaan mereka bernama PWTC (nama itu pun sama dengan UMNO, tetap bercorak Inggeris!).

Kali ini mereka bercakap banyak tentang perubahan, tentang “memperkasa” (jangan baca “memperkosa”) orang Melayu supaya mereka sedar mereka tidak ada pilihan lain selain UMNO. Jika mereka pilih selain UMNO, mereka akan jahanam sebelum kiamat lagi. Itulah persoalan yang mereka bincangkan setengah abad dulu, diulang-ulang dengan ghairah dengan memakai retorik baru yang mungkin lebih canggih, tetapi tetap kosong dari segi makna terhadap orang Melayu, yang masih susah dan masih meraba-raba mencari kepastian setelah selama lebih 50 tahun dijadikan hamba oleh para pemimpin UMNO. Kini terdapat sedikit perubahan, apabila mereka mengaku mereka rasuah, mereka elitis, mereka sombong, mereka mengetepikan rakyat setiap kali menang pilihan raya, dan lain-lain perkara yang dulunya mereka tolak dengan keras sehingga sanggup bergaduh besar.


Ketika orang Melayu mula sedar dari mimpi khayal mereka mempercayai UMNO, maka para pemimpin UMNO menaikkan semula syahwat dalam politik, sehingga sanggup melakukan apa saja untuk memuaskan syahwat itu. Syahwat politik UMNO sudah terkenal dan sudah diterima dalam budaya politik Malaysia sebagai tidak terbatas, penuh dengan rangsangan yang boleh mengeluarkan air liur orang-orang yang suka dirangsang. Kerana kuatnya syahwat politik itu, maka Perak dirampas dan hingga kini dalam keadaan haru biru. Dalam perhimpunan UMNO baru lepas, diperlihatkan dengan jelas bagaimana kuatnya syahwat politik UMNO dipertontonkan berganti-ganti oleh perwakilan dan ketua-ketua mereka.

Antara lain, kata mereka, sekiranya syahwat politik UMNO itu mahu diperkasakan (jangan baca “diperkosa”), maka UMNO harus diputihkan (kerana sekarang sangat hitam, comot, kotor, dan busuk) supaya dapat dipulihkan kekuatan syahwatnya. Bagaimana ini boleh dilakukan? Perdana Menteri Abdullah Badawi memberi senarai lengkap supaya UMNO tidak mengkhianati aspirasi bangsa Melayu (misalnya dengan menolak PPSMI yang dipeluk erat dalam perhimpunan 2009); bersikap terbuka dalam menjalin kerjasama dengan bukan Melayu ; bijak menangani tuntutan bercanggah; selalu berubah mengikut peredaran zaman; menerima perubahan sosial dan politik yang baru muncul; memelihara yang lama tetapi bersedia menerima yang baru.

Itulah unsur-unsur yang selama ini menguatkan syahwat politik UMNO. Walaupun prinsip-prinsip itu bagus dan munasabah, mengapa pemimpin UMNO tidak mengamalkannya? Itulah persoalan yang perlu dijawab, yang jawapannya tidak diberikan. Jawapan itu tidak diberikan kerana UMNO tidak mahu terikat kepada kebenaran, kejujuran, sifat amanah, telus, bercakap benar dan sebagainya. Semuanya boleh menghalang wujudnya rasuah politik menggunakan wang untuk mendapat kedudukan dan pengaruh. Bagi UMNO, hanya dengan rasuah saja syahwat politik mereka dapat diperkasa (jangan baca “diperkosa”).

Sekarang ketua-ketua UMNO bercakap perlunya diadakan pembaharuan untuk menarik kembali sokongan orang Melayu. Jika semua hujah mengenai perlunya pembaharuan itu diteliti, diperhalusi, dan dianalisis dengan kritis, maka yang mereka maksudkan dengan “pembaharuan” itu ialah umpan-umpan baru yang boleh disogokkan kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia untuk menarik mereka kembali. Umpan baru itu, antara lain, ialah upaya yang mesti dilakukan dengan segera untuk menarik minat orang muda menyokong UMNO. Sebenarnya ini satu perkara yang sangat pelik, malah boleh dikatakan bodoh.

Sudah bertahun-tahun anak-anak muda ini dikongkong di universiti dengan segala macam akta, dengan wujudnya pula jawatan akademik (yang tidak ada unsur akademik sama sekali) untuk menghukum mereka jika mereka bersuara dengan suara yang berbeza daripada yang dibenarkan oleh UMNO. Anak-anak muda ini wajib membenci dan memusuhi UMNO/BN kerana tekanan mental dan fizikal yang mereka terima daripada kerajaan UMNO/BN selama berada di universiti. Tidak wajar mereka menyokong puak yang menzalimi mereka yang mengajar mereka menjadi bodoh dan pak turut membuta tuli.
Ternyata polisi UMNO membelenggu anak-anak muda ini dengan segala macam akta gagal sama sekali, malah menimbulkan kebencian dan kemarahan. Akta dan sekatan bersuara itu baik dari segi menanam kebencian terhadap UMNO/BN yang akhirnya mendorong mereka menentang UMNO/BN. Hanya dari segi itu saja bagusnya akta dan sekatan bersuara itu, oleh itu perlu diteruskan oleh UMNO/BN supaya lebih ramai lahir penentang mereka. Satu lagi perubahan yang dicanangkan (tidak semestinya dicadangkan dan dilaksanakan dengan jujur) ialah untuk UMNO kembali ke akar umbi, memberi peluang kepada akar umbi memilih sendiri pemimpin mereka, dengan itu akan hapuslah rasuah politik. Hujah ini terlalu kebudakan, terlalu memperbodoh rakyat, terlalu dangkal dan tidak jujur.

Jangan lupa berapa banyak wang ditaburkan oleh UMNO/ setiap kali diadakan pilihan raya; oleh itu adalah karut untuk memberi kebebasan kepada akar umbi yang sudah biasa menerima wang setiap kali diadakan pilihan raya. Siapa yang dapat wang umpan itu? Ahli-ahli UMNO sendiri. Oleh itu mengapa mereka harus dinafikan daripada mendapat wang ketika diadakan pemilihan ketua-ketua parti peringkat tinggi? Cadangan ini akan menyuburkan rasuah politik, dan kuantumnya akan lebih besar; oleh itu tidak mungkin menghapuskan rasuah itu. Lagi pula, tidak logik sama sekali bagi UMNO yang pemurah kepada pengundi tiba-tiba menjadi kedekut kepada ahli sendiri.

Lebih baik diteruskan praktik sekarang supaya rakyat tidak terbuka kepada kejahatan ahli politik yang mencari pengaruh itu. Cadangan ini hanya akan berkesan jika praktik UMNO yang mengumpan rakyat dengan wang dan lain-lain dihentikan; tetapi ini tidak dapat dilakukan kerana UMNO akan ditinggalkan terus oleh rakyat yang sudah biasa dengan rasuah. Jika ini dilakukan, UMNO akan memberi kemenangan percuma kepada parti lawan. Dalam pilihan raya yang bersih, UMNO tidak akan menang.

Apakah pilihan yang terbuka kepada UMNO? Tidak mungkin UMNO dibubarkan oleh ahlinya, walaupun itulah pilihan terbaik. Secara khusus hanya dua pilihan yang ada pada UMNO: meneruskan rasuah politik dengan menghalalkannya menerusi undang-undang, dengan memperkenalkan undang-undang khusus yang mungkin diberi nama Undang-undang Pengecualian Rasuah. Undang-undang ini bermaksud untuk mengeluarkan rasuah politik daripada senarai tindakan rasuah dengan beberapa peraturan yang boleh dilaksanakan dengan mudah.

Misalnya, setiap calon diberi kebenaran untuk berbelanja tidak lebih daripada sepuluh juta untuk berkempen mendapat pengaruh (kini tiada had, antara 20 hingga 30 juta); setiap perbelanjaan diaudit oleh juru audit politik yang kerjanya menentukan perbelanjaan itu dijalankan tanpa sebarang penipuan; selain itu sumbangan wang boleh diterima daripada sesiapa pun yang mahu memberinya, tetapi dihadkan dari sumber dalam negara saja. Jika ini dilakukan, UMNO selamat daripada rasuah politik; dan rakyat berpuas hati kerana mereka mendapat habuan mengikut budi bicara calon atau agennya. Kita juga dapat membuka peluang secara telus kepada para penderma yang ikhlas menyokong calon yang terbaik.

Calon yang menang dibolehkan membalas budi kepada para penderma dan sebagainya, asal saja dilakukan secara terbuka. Misalnya, jika sebuah syarikat memberi derma yang banyak sebagai saham dalam perniagaan (yang memang dilakukan secara senyap-senyap), maka syarikat itu dibolehkan mendapat faedah daripada pelaburannya. Yang penting ialah semua ini dibuat secara terbuka, bukan sembunyi-sembunyi seperti sekarang. Pilihan kedua ialah ahli-ahli UMNO yang berminat menjadi ketua didaftarkan oleh sekretariat UMNO yang akan menapis dan menentukan berupaya tidaknya calon tadi menjadi ketua yang baik berasaskan laporan daripada akar umbi, yang dibuat melalui borang tertentu.

Hanya calon yang telah mendaftar selama lima tahun berturut-turut, dengan sejumlah jasa yang benar-benar dapat diukur, akan diterima menjadi calon dalam apa juga pertandingan merebut jawatan, yang peringkatnya ditentukan daripada jumlah mata yang didapat oleh calon daripada borang tadi. Semua ini dapat dilakukan dengan mudah dengan menggunakan IT. Semua maklumat yang diterima dari akar umbi diproses dengan tepat dan cepat oleh komputer. Setiap calon yang benar-benar berwibawa dan benar-benar berjasa disenaraikan dalam penerbitan khusus oleh UMNO, yang diedarkan ke seluruh cawangan dan bahagian. Sistem ini boleh dibuat dengan mudah dan baiknya rasuah politik tidak mungkin berlaku. Mana satu yang dipilih oleh UMNO tidak jadi soal, kerana tujuan UMNO ialah untuk mengelak dari rasuah politik.
Baiknya ialah UMNO akan dapat ketua yang benar-benar berwibawa, dan rakyat boleh mengawal hanya yang terbaik dari segi moral dan sempurna peribadinya serta cerdik sahaja yang layak diberi kedudukan sebagai ketua mereka. Jika ini dilakukan, mungkin tidak seorang pun ahli MT yang terpilih baru-baru ini dapat memenuhi syarat yang ditetapkan. Oleh itu sudah pasti para pemimpin UMNO akan menentang keras apa juga usaha dan idea baik yang akan membebaskan mereka daripada berbuat jahat, seperti mengamalkan rasuah politik. Kesimpulannya, UMNO tidak akan berubah sebab perubahan akan merugikan mereka; dengan itu berapa jauh pun UMNO pergi, yang terjadi hanya putaran bulat dalam lingkungan kecil yang ditetapkan oleh keperluan kebendaan, kekayaan, dan kuasa yang digunakan untuk menindas penentang UMNO, dari luar atau dari dalam.

UMNO akan terus berpusing di telaga kuasa syahwat politik mereka dengan mata tertutup, dibuka hanya sekali sekala ketika mereka berpesta, seperti mengadakan perhimpunan agung. Oleh sebab sudah jelas UMNO menjadi beban kepada rakyat, maka cara terbaik bagi rakyat ialah dengan menolak UMNO dalam pilihan raya. Rakyat akan jadi lebih selamat dan tidak lagi menanggung beban sejarah. Paling kurang rakyat Melayu dapat menyelamatkan bahasa Melayu dan budaya Melayu, setelah mereka kehilangan Tanah Melayu. Wallahu a’lam. (27/3/2009)

(*Mohd. Affandi Hassan ialah pengkritik sastera Melayu tersohor. Berpengalaman dalam pengurusan dan pentadbiran kerajaan sejak memegang jawatan Penolong Pegawai Daerah (ADO) hingga kepada pengarah di beberapa kementerian. Pesara PTD, tetapi tak bersara sebagai penulis dan sasterawan Melayu berwibawa)

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...


Pembangkang Yang Jadi Sebab:
Khir Tak Dapat Penghulu Anak Muda
Sebermula akan Orangkaya Sungai Panjang, Dato' Seri (Tabib) Mohd Khir Toyo itu berasa tak puas hatilah ia dengan kekalahan untuk menjadi penghulu segala anak-anak muda harakah Melayu (UMNO). Arakian Orangkaya Sungai Panjang disalahkan pembangkang menyebabkan anak-anak muda harakah Melayu tak menyokongnya. Adapun pengakuan Orangkaya Sungai Panjang itu samalah macam mengakui anak-anak muda harakah Melayu itu mudah dipengaruhi pembangkang. Maka terkilanlah anak-anak muda kerana Orangkaya Sungai Panjang itu seolah-olah menuduh mereka tak tahu berfikir sendiri. Syahdan Orangkaya Sungai Panjang itu mengaku ia tak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Orangkaya Rembau Khairy Jamaluddin yang dipilih menjadi penghulu anak-anak muda itu.
Shahdan maka pada suatu malam bendahara turun hendak sembahyang subuh. Maka dilihat bendahara betul-betul kepala Tun Mutahir bernyala, cahaya menerus ke langit. Maka dihampiri oleh bendahara, dilihatnya Tun Mutahir. Maka dengan sekejap itu juga cahaya itu pu padamlah. Maka kata bendahara, 'Akan Tun Muthahir ini kelak menjadi orang besar lebih daripada aku kebesarannya, tetapi tiada kekal.' Arakian oleh bendahara segala candu peti yang ditinggalkan Seri Nara Diraja akan anaknya itu semuanya dituangi timah, supaya jangan dapat dibuka orang lagi; dan makan minumlah Tun Mutahir dan Tun Tahir itu pada bendahara. Ketika itu Tun
Mutahir itulah dijadikan penghulu anak-anak muda di kampung bendahara itu seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' daripada:






HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG...


Serasi Atau Tak Serasi:
Melayu Tetap Dengan Melayu

Barisan pimpinan UMNO selepas pemilihan 26 Mac 2009 dianggap 'padu dan ampuh', malah gandingan Najib-Muhyiddn dilihat sebagai 'serasi'. Maknanya, barisan pimpinan sebelumnya tak 'padu dan ampuh', justeru gandingan Abdullah-Najib pula 'tak serasi'. Barangkali! Penilaian yang subjektif seharusnya tak diungkapkan terlalu awal, kerana yang akan dilihat selepas barisan pimpinan berkenaan diuji. Sekitar dekad 1970-an misalnya, gandingan Harun-Musa dianggap 'mantap' dalam pimpinan Pemuda UMNO, tetapi pergolakan yang membabitkan Dato' Harun Idris ketika, tak memperlihatkan sokongan daripada Tun Musa Hitam. Pimpinan UMNO sekadar meneruskan legasi 'teman ketawa ramai bersama, teman menangis berseorangan sahaja'.

Gandingan Najib-Muhyiddin sama sahaja dengan Onn Jaafar-Hamzah Abdullah, Tunku-Tun Razak, Tun Razak-Tun Dr Ismail/Hussein Onn, Hussein Onn-Mahathir dan Mahathir-Musa/Ghafar/Anwar/Abdullah. Persaingan politik tak akan menunggu masa untuk melonjak naik, kerana senyuman mempunyai seribu makna. Berpeluk-pelukan juga mempunyai seribu erti yang tersirat dan tersurat. Pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau atau Batang Air, juga akan melihat aksi berjabat tangan dan saling bertukar-tukar senyuman calon yang bertanding. Ianya tak membawa makna calon-calon bertanding itu 'suka sama suka' apabila mengalami kekalahan atau mencapai kemenangan.

Justeru pemilihan Najib-Muhyiddin tak semestinya gandingan serasi. Cantas mencantas sudah menjadi agenda; apalagi perubahan yang disebut-sebut sekadar mencantas mereka yang pro Dato' Seri Abdullah. Kalau tak dicantas akan menyukarkan pula pihak yang lain. Tun Razak juga mencantas mereka yang pro Tunku; malah Tun Sardon Jubir yang sepatutnya menggantikan Tun Dr Ismail pada 1973; tup tup Tun Hussein Onn yang heh heh heh! Begitu juga pada period pasca merdeka, Abdul Aziz Ishak perlu dicantas sebelum menggugat kedudukan Tun Razak. Aziz Ishak menteri paling popular dengan kapasiti Menteri Pertanian dan Syarikat Kerjasama.
Selepas Aziz Ishak dicantas, gandingan Tunku-Razak dianggap semakin mantap. Tun Razak diberi kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi menarik sokongan golongan prolitar yang mempopularkan Aziz Ishak. Idea Aziz Ishak melaksanakan kilang baja urea untuk petani-petani Melayu dan kilang kertas bagi meningkatkan kemampuan syarikat kerjasama Melayu perlu dileburkan. Siapa sahaja yang mempunyai idea bernas perlu dicantas, sebelum keterampilan individu itu menggugat pimpinan. Inilah amalan politik; tak kira UMNO atau bukan UMNO. Justeru dalam politik, Muhyiddin juga akan dicantas kalau dilihat lebih 'pintar' daripada bos. Maknanya, iklan 'dengan bos andalah bos' sebenarnya tak berfungsi apa-apa!
UMNO pasca Abdullah-Najib tak menjanjikan apa-apa. Melayu perlu bangun dengan daulat Melayunya, bukan menyerahkan nasib masa depan kepada UMNO. Apalagi UMNO sendiri bergantung kepada sokongan Melayu yang tak akan hilang di dunia, mengikut konsep Hang Tuah. Melayu akan hilang jatidirinya; sekiranya Bahasa Melayu sekadar menjadi pecacai, malah menjadi caca merba kerana tak tahu bangsanya. Bangsa itu dikenali kerana bahasanya, Melayu apakah kedudukannya kalau tak mempunyai bahasa? UMNO tak mampu mendaulatkan bangsa Melayu, justeru Melayu perlu bangkit untuk mendaulatkan bangsanya. Ayuh, tak perlu Melayu terlalu bergantung harap kepada keupayaan gandingan Najib-Muhyiddin. Begitulah!

- Pak Dharma