Monday, April 20, 2009

INFO ANTARABANGSA...

Anwar sampaikan ucaptama
Di persidangan ekonomi di Jeddah

Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh Dato' Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucaptama di sidang ekonomi Arab Direct Mail & Marketing Forum 2009 di Jeddah, Arab Saudi. Sidang ini ditaja bersama oleh Saudi Arabian General Investment Authority (SAGIA). Ucapan beliau yang bertajuk ‘The State of Responsible Competitiveness: Making Sustainable Development Count in Global Markets’ akan disampaikan pada hari esok (21 April 2009). Jemputan yang diterima Anwar memperlihat keyakinan negara-negara Arab terhadap sumbangan ketua pembangkang Malaysia itu.

Pejabat Anwar melaporkan, beliau sudah berlepas ke Jeddah bagi menghadiri sidang berkenaan. Di samping menyampaikan ucaptama di persidangan tersebut, Anwar juga dijangka berbincang dengan pemimpin-pemimpin Arab berkaitan ekonomi global. Justeru penganalisis politik juga berpendapat jemputan yang dibuat negara-negara Arab kepada Anwar, sebagai penghormatan kepada Malaysia. Bagaimanapun teks ucaptama Anwar di persidangan tersebut akan disibar esok (21 April 2009) sebaik sahaja Anwar selesai menyampaikan ucaptama berkenaan.

TEBONG SELADANG TEMERLOH...

Gamatlah kedai kopi
Siapa Ganti Adnan di Pahang?


Maka dengan berita ini (Menteri Besar Pahang diarah mahkamah bayar RM63 juta kepada syarikat konsisi pembalakan) bertambah gamatlah kedai kopi di seluruh pelusuk negeri Pahang menceritakan prihal bakal pengganti Dato Sri Adnan!Ada yang mengatakan Shahkar Shamsuddin - Ada juga mengatakan Ishak Muhammad - Ada mengatakan Jamaluddin Jarjis yang akan bertanding di DUN Pelangai sementara Dato Adnan akan bertanding di Rompin sebagai Ahli Parlimen - Yang terbaru pula ialah Wan Adnan.Oleh itu siapa pandai bodek Najib dia akan dapat. Namun siapa boleh tolong Dato Adnan mungkin juga masa depannya cerah!

(*Seladang ialah pengendali laman blog http://www.tokperan.blogspot.com/. Motto beliau ialah untuk mempertahankan warisan tradisi, termasuk hutan rimba, bukit bukau, sawah ladang dan seumpamanya. Turut juga terbabit sebagai penggiat teater dan pendeklamator puisi.)

INFO SASTERA & BUDAYA

PUISI

CawatBESI KalisANJING

Bayangkan,
di sepanjang
lebuhraya Utara-Selatan
dipasang billboards
bertulis:
PENGUMUMAN
telah ditemui
satu kaedah
innovative
untuk melatih
anjing-anjing alsatians
mengadili dan menghukum
pengadil-pengadil bola sepak
yang tidak adil.


Bayangkan,
All England FA
mengarahkan dipasang
di setiap gerbang
stadium plagues bertulis:
BEWARE of dog!
pengadil-pengadil
yang takADIL
akan diadili dan dihukum
oleh Anjing
Pengadil & Pelaksana
Hukuman.


Bayangkanlah
pula,
tajuk berita
The London Times:
Judge, Jury &
Executioner Dogs
Ripped off Biased Refree's Balls!
Bila anjing
pengadil dan pelaksana
hukuman
MENDAPATI
Bahawa Refree Telah
Dengan Tidak Adil
Melayangkan Kad Merah
kepada Wayne Rooney, -
seramai tujuh ekor anjing
pelaksana itu telah mengejar
refree itu
sekeliling stadium
dan anjing itu
telah ngap dan mamah
telur refree
yang takADIL itu.


Bayangkanlah
betapa sempurnanyalah
dapat dimuktamatkan
perihal ceritera
pohon pokok si balai-balai
sekiranya khidmat para anjing
mahaADIL itu diterima
dan digunapakai
berebutlah pulak nanti
orang-orang nak minta lesen
buka kilang
cawatBESI kalisANJING.

-Yassinsalleh
jam 1838
April 20, 09
lebuhraya menuju
selatan.

LAPORAN TV TENGAH HARI...



Tempoh 14 hari MB Pahang:
Bayar RM63 j kpd syarikat balak

Laporan BERNAMA menerusi TV tengah hari (20 April 2009) menyebut Menteri Besar Pahang Dato' Seri Adnan Yaakob diarah Mahkamah Tinggi Kuantan membayar RM63 juta kepada sebuah syarikat konsesi pembalakan dalam tempoh 14 hari.Bayaran tersebut bagi melunas bayaran penghakiman kepada sebuah syarikat berkenaan apabila melanggar perjanjian pemberian konsesi pembalakan di Mukim Bebar, Pekan, dekat Kuantan. Hakim Datuk Abd Halim Aman membuat penghakiman, syarikat berkenaan memperoleh perintah Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 yang membenarkan syarikat Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd mendamus (untuk memaksa), selepas segala saluran perundanga untuk tuntutan dibuat.

Dalam penghakimannnya Abdul Halm berkata, "Menteri besar adalah orang yang tepat serta berkelayakan dinamakan sebagai respondan kerana Pahang dan manamana negeri sekalipun kecuali Sabah dan Sarawak, tiada wujud jawatan menteri kewangan negeri." Berdasarkan Artikel 41 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang turut menyatakan menteri besar mempunyai kuasa serta berkompeten untuk menyempurnakan jumlah bayaran dari Tabung Kumpulan Wang Yang Disatukan Negeri.

Seruan Gemilang diwakili peguam Rajoo D Moothy dan Richard Bong Chong Fook manakala Adnan diwakili oleh Datuk Shafie Abdullah. Pada 15 Oktober 2008, syarikat pembalakan berkenaan memfailkan permohonan ‘mandamus’ setelah gagal menerima sebarang pembayaran walaupun telah menuntut pembayaran jumlah penghakiman dan faedah pada 7 April 2008 dan 27 Ogos 2008. Pada 9 Disember 2002, syarikat itu memfailkan saman terhadap kerajaan negeri Pahang Pahang dan Pengarah Perhutanan Negeri kerana didakwa melanggar perjanjian
kontrak konsesi pembalakan berhubung pengeluaran kayu balak di atas tanah seluas 4,000 hektar di Mukim Bebar.

Pada 17 September tahun lalu, kerajaan Pahang diperintah membayar sejumlah RM60 juta kepada syarikat tersebut selepas ia gagal dalam usaha terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mendapat kebenaran merayu. Mahkamah Persekutuan dengan itu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 yang memerintahkan kerajaan Pahang membayar RM37,127,471.60 beserta faedah lapan peratus setahun mulai 31 Disember 2000.
Sementara itu, Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri, Datuk Mat Zara’Ai Alias berkata pihaknya akan memfailkan permohonan menangguhkan keputusan esok.

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo

Jambatan bengkok dibatal:
Sekarang mahu dibuat semula!

Kata sahibul hikayat tersebutlah ceritera Orangkaya Johor Bahru Dato' Shahrir Samad yang tak mahu lagi menjadi menteri bersuaralah ia meminta dibuatkan semula jambatan bengkok untuk menghubungkan Tanjung Puteri ke Singapura. Adapun jambatan bengkok itu sudah dibatalkan oleh bekas Orangkaya Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi. Arakian barulah orang banyak mendengar akan Orangkaya Johor Bahru itu menyokong akan bekas Orangkaya Perdana Menteri Tun (Tabib) Mahathir Mohammad. Adapun sejak sekalian lama tak pernah Orangkaya Johor Bahru itu bersetuju dengan Tun (Tabib) Mahathir, adanya.

Syahdan jambatan bengkok (gambar sebelah ialah tambak Johor) itu diketahui orang banyak tak dipersetujui oleh kerajaan Singapura, sekalipun ianya tak mengeluarkan perbelanjaan membuatnya. Maka terlalulah gembira Tun (Tabib) Mahathir mendengar peri Orangkaya Johor Bahru itu sudah bersetuju menyokongnya. Maka iapun menyuruh Orangkaya Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak pergilah melawan Orangkaya Permatang Pauh, bagi memilih orangkaya yang baru di Penanti itu. Arakian serba salahlah Orangkaya Dato' Seri Mohd Najib, kerana bekas Orangkaya Tun (Tabib) Mahathir menyuruhnya juga berlawan macam Tuah dan Jebat. Barangkali!

Arakian akan Raja Maluku itu terlalu gagah; jika nyiur duduk umbi, ditikamnya dengan lembing, terus ke sebelah. Akan Sultan Alauddin pun perkasa, jika nyiur duduk umbi, dipanah baginda, berbayang ke sebelah. Maka Sultan Alauddin terlalu banyak kurnia kepada Raja Maluku, maka baginda berjanji akan mengambil Maluku dari tangan Kastilan, seperti itulah juga akan bekas Orangkaya Tun (Tabib) Mahathir menolong akan Orangkaya Dato' Seri Mohd Najib menjadi Perdana Menteri yang berkuasa di balairongseri itu. Maka oleh Raja Muluku diambilnya kuda Maulana Yusuff, hingga diperbuat orang nyanyian:

Raja Maluku meminjam kuda
kuda dipinjam kuda Maulana;
Tuanku nyawa orang muda
bertambah arif bijaksana

Itulah yang disuratkan dalam 'Kitab Melayu' daripada:





HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG:

PAS Perak tak nafikan:
Paduka Sultan lebih tahu!

Assalamualaikum,

Kalau pimpinan PAS Negeri Perak tak membuat kenyataan semalam (19 April 209) dengan menjelaskan Menteri Besar PR Dato' Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin tak menderhaka, barangkali Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sudah lebih maklum. Paduka Seri Sultan Azlan yang juga bekas Ketua Hakm Negara dalam titahnya sempena keputeraan baginda menyebut mengenai fungsi raja berperlembagaan di samping pihak-pihak tertentu cuba mencetuskan kebencian rakyat terhadap institusi istana. Telitilah baik-baik teks titah ucapan baginda, ehem ehem ehem!
Pada 1993 dalam episod pindaan perlembagaan membabitkna kekebalan raja-raja, PAS dan S46 tak menyokong di Parlimen. Malah kerajaan negeri PAS di Kelantan juga tak membawa apa-apa enakmen berkenaan ke Dewan Undangan Negeri. Dalam insiden kereta 'Lamborgini' dan Sultan Kelantan di pejabat kastam, PAS juga mempertahankan baginda yang dikritik keras oleh media arus perdana. Barangkali aktivis politik PAS mahupun S46 tak tergamak mahu mengutuk raja-raja Melayu; apalagi ianya dilindungi di bawah Akta Hasutan. Kalau begitu, siapa gerangannya?
Allahyarham Dato' Dr Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) mahupun Dato' Ahmad Boestamam (Pak Boes) yang tebal dengan sentimen sosialisme juga tak pernah mengkritik institusi istana. Malah Pak Sako akan menyebut 'raja aku' apabila merujuk kepada Sultan Pahang, atau Pak Boes pula 'sultan negeri aku' sekiranya menyebut 'Sultan Perak'. Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris juga cenderung kepada pemikiran sosialisme, tetapi beliau akan menyebut 'Tuanku' kalau merujuk kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Begitulah!

Berdasarkan rekod, pada mesyuarat agung UMNO di Johor Bahru 25-26 Januari 1948, wakil SEBERKAS, Azahari Taib meminta pimpinan UMNO mengkaji semula kes Sultan Ali diturunkan takhta oleh Mac Michael kerana enggan menurunkan tandatangan Malayan Union. Tetapi heh heh heh! UMNO Singapura pula terkubur pada 1965, apabila kerajaan haramkan PAP yang bertapak di Malaysia pada 1964. Justeru Lee Kuan Yew bertindak balas dengan mengharamkan UMNO dan diganti dengan PKMS. Sejarah Hamid Jumat dan Lim Yew Hock yang mahu dilupakan, barangkali!


- Pak Dharma

DARI PEJABAT ANWAR...

Komisyen kapal selam:
RM510 juta tak membazir?

(Kenyataan media Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, di Penanti, Pulau Pinang 19 April 2009, mengenai kenyataan Dato' Seri Mohd Najib pembaziran wang rakyat mengadakan pilihanraya kecil)

Beberapa hari kebelakangan ini terpampang di muka hadapan media arus perdana bahawa umno-barisan nasional berkemungkinan tidak akan bertanding di pilihanraya kecil DUN Penanti.
Alasan yang diberi Dato Najib kononnya pemilihan ini akan membazirkan duit rakyat. Gesaan agar jangan membazir tidak terbatas pada pilihanraya sahaja, seharusnya ianya juga mengambil kira kaedah kempen, sogokan wang dan cambahan projek serta pesta. Amalan rasuah, komisyen, pesta-pestaan masih ketara dalam amalan pimpinan negara. Ini wajib dihentikan segera.

Isu Mohammad Fairus dan Penanti dijelaskan sendiri oleh beliau dalam kenyataannya. Inshaallah kita akan pastikan wakil yang dipilih nanti mampu menggalas tanggungjawab termasuk kekuatan menangani masalah masyarakat Melayu dan rakyat miskin lainnya. Maka seandainya Dato Sseri Najib jujur dengan perakuannya, umno wajar mengiktiraf hasrat rakyat Penanti dengan tidak mengemukakan calun.

Saya tidak menolak betapa pentingnya usaha membawa negara ini keluar dari kegawatan. Namun sikap hipokrit bukanlah caranya memulihkan ekonomi negara. Saya tertanya-tanya apakah dengan memberikan komisyen berjumlah RM 510 juta kepada Perimekar Sdn Bhd untuk pembelian kapal selam scorpene dan pemberian tender secara tertutup projek jalur lebar berdaya laju bernilai RM 11.31 bilion tidak membazirkan wang rakyat.