
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
BELASUNGKAWA KEPADA RAKAN
SELEPAS KEHILANGAN ‘PERMATA HATI’
Assalamualaikum,
Selepas berpulangnya ke rahmatullah ‘permata hati’ keluarga, Ikram Hafiz senja 26 Ogos 2008, saya seolah-olah sudah dijadualkan bagi menyampaikan belasungkawa kepada rakan-rakan pula. Misalnya, 27 Ogos 2008 seniman besar Melayu Dato’ Ahmad Mahmud meninggal dunia, di samping rakan Ikram Hafiz yang sama terbabit dalam kemalangan motosikal iaitu pelajar Unisel, Shamsul Noor Ariffin bin Noordin yang koma sejak senja 26 Ogos kembali ke rahmatullah jam 3.45 pm, 27 Ogos 2008. Diikuti pula tokoh kewartawanan dan sasterawan Tan Sri A Samad Ismail (Pak Samad) meninggalkan keluarga dan rakan-rakan buat selama-lamanya pada petang 4 September 2008, kira-kira hampir jam 6.00 petang. Keesokannya saya diberitahu oleh Ahmad Afian Abdul Kadir dari Muzium Negeri Sembilan berpulangnya ke rahmatullah Profesor Nurhalim Ibrahim.


Maknanya, bukanlah keluarga saya sahaja berhadapan dengan fenomena kehilangan ‘permata hati’ menjelang Ramadan, di samping bagi menyambut lebaran tak lama lagi, malah rakan-rakan yang lain turut mengalaminya sama ada keluarga Dato’ Ahmad Mahmud, keluarga Shamsul Noor Arifiin, keluarga Pak Samad mahupun bagi keluarga Profesor Nurhalim, termasuk juga mereka yang turut sama menempuh insiden kehilangan ahli keluarga tersayang. Aduhai! Memang ‘berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’, tentulah sukar bagi sesiapa pun menghadapi detik kehilangan orang tersayang dalam tempoh beberapa minggu. Justeru bagi saya kehilangan Ikram Hafiz sama juga seperti kehilangan Dato’ Ahmad Mahmud, Shamsul Noor Ariffin, Pak Samad dan Profesor Nurhalim kepada keluarga masing-masing.
Istighfirullah al-azim!
-Pak Dharma
INFO HAK ASASI MANUSIA:
MAJLIS BACA YASIN & TAHLIL
BADAN PELAJAR UNISEL DI SERI GOMBAK
Badan pelajar Universiti Industri Selangor (Unisel) diketuai oleh Nurul menggerakkan majlis berbuka puasa, baca Yasin dan tahlil di rumah keluarga pelajar Dip. Komputer Industri, Ikram Hafiz Abdul Muluk pada petang Sabtu lalu (5 September 2008) di Taman Seri Gombak. Ikram Hafiz meninggal dunia pada 26 Ogos 2008 selepas terbabit dalam kemalangan motosikal bersama rakannya pelajar kursus yang sama Shamsul Noor Ariffin (meninggal dunia keesokan harinya selepas koma hampir 20 jam) dari Sungai Besi, di Wilayah Persekutuan. Menurut Nurul, majlis yang sama juga turut digerakkan di rumah keluarga Shamsul Noor Ariffin pada 6 September 2007 (Ahad) sebagai keprihatinan pelajar dengan musibah yang menimpa keluarga rakan mereka. “Kami merasakan insiden berkenaan sebagai kehilangan kepada sebahagian daripada diri kami sendiri yang sama belajar di IPTS berkenaan,” beritahu Nurul.
Sementara itu Setiausaha Politik Perdana Menteri, Dato’ Suhaimi Ibrahim ketika menghubungi sekretariat PRIMA mengalu-alukan inisiatif badan pelajar Unisel yang prihatin dengan musibah menimpa rakan pelajar mereka. Katanya, sekalipun beliau tidak sempat menghadiri majlis berkenaan atas urusan lain, tetapi tetap memberi sokongan dengan usaha yang digerakkan oleh badan pelajar Unisel terutama berkaitan kepentingan kebajikan pelajar-pelajar. Dato’ Suhaimi yang juga bekas Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) melahirkan rasa terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh badan pelajar Unisel apabila menganjurkan majlis berbuka puasa, baca Yasin dan tahlil buat Allahyarham Ikram Hafiz. “Moga-moga inisiatif badan pelajar Unisel ini menjadi contoh kepada pimpinan pelajar IPTA dan IPTS yang lain,” katanya.

MAJLIS KAHWIN BUKAN MELAYU
SISA BABI MENGALIR KE LONGKANG
Majlis kahwin masyarakat bukan Melayu yang diadakan di dewan Sekolah Rendah (Jenis) Kebangsaan Kampung Baru Petaling, di Jelebu semalam (7 September 2008) menyaksikan air kotor akibat masak memasak di lokasi berkenaan termasuk mencuci pinggan mangkuk oleh pihak katering masuk ke longkang yang mengalir ke kediaman Hajjah Safiah bin Jatin, 82. Air kotor berkenaan termasuk sisa-sisa babi yang menjadi menu hidangan bukan sahaja melimpah di longkang, malah meresap hingga bertakung di sekeliling rumah, menurut aktivis tabligh di sini Abdul Latiff Sheikh Haji Ahmad, 68. Fenomena berkenaan kata Abdul Latiff sudah berlaku sejak bertahun-tahun lalu, tetapi pihak sekolah terbabit sekadar membuat longkang sahaja bagi dialirkan ke sungai. “Tak hairanlah pencemaran sungai juga turut bertambah serius,” jelas Abdul Latiff.
Beliau seterusnya memberitahu, masyarakat Melayu terus memendam rasa dengan kerenah jiran-jiran bukan Melayu, sebaliknya apabila mereka bertindak balas akan dilabel pula sebagai membangkitkan isu perkauman. Menurutnya lagi, sepatutnya masyarakat bukan Melayu perlu bertimbang rasa di samping menghormati keluarga Melayu, apalagi berkaitan dengan isu babi. Mereka berseronok dengan jamuan menu yang dihidangkan katering, sebaliknya keluarga Melayu menanggung rasa tak selesa. Sekolah Cina terbabit terletak dalam ADUN Chinnah yang diwakili MCA sejak 1959, sepatutnya prihatin dengan masalah keluarga Melayu, beritahu Abdul Latiff menambah. Seterusnya beliau mencadangkan majlis jamuan masyarakat Cina boleh diadakan di Dewan Orang Ramai berdekatan. “Kerajaan dah bina Dewan dengan peruntukan beribu-ribu ringgit, kenapa tak digunakan?” tegas Abdul Latiff.
Sebelum ini Ketua PAS Kampung Petaling, Haji Hassan Abdul Rahman pernah juga membangkitkan isu air limpahan masakan babi mengalir ke halaman rumahnya dari gerai medan selera berdekatan. Pihak penduduk membuat bantahan sejak 2006, tetapi tak diberi perhatian oleh Majlis Perbandaran Daerah Jelebu. Bagaimanapun apabila kes berkenaan dipanjangkan oleh PRIMA ke pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada 2007, barulah langkah positif diambil bagi menghalang gerai terbabit meneruskan operasi. Kesabaran keluarga Melayu diambil peluang oleh masyarakat bukan Melayu dengan kerenah yang kurang sopan, tak beretika kejiranan di samping menggunakan pengaruh politik. “Kebebasan mereka menjamah makanan berasaskan daging babi, jangan dibiarkan mencemari kediaman keluarga Melayu,” beritahu Abdul Latiff lagi.
ISU MEMPERSENDA KESUCIAN ISLAM
PENTADBIR AGAMA JUGA WAJAR DIPANTAU

Menurutnya lagi banyak rungutan diterima apabila wanita-wanita Islam berhadapan kes rumahtangga, ianya kurang diberi perhatian oleh jabatan agama bagi diselesaikan secara bijaksana. Dato’ Kamal Amir mengambil contoh insiden yang berlaku di daerah Jelebu, Negeri Sembilan apabila seorang isteri enggan dirujuk semula setelah dicerai oleh suaminya. Mengikut fakta, beritahu Dato’ Kamal Amir dalam insiden tersebut si isteri diperhina oleh suaminya kerana mas kahwin sekadar RM12 ketika itu disebabkan beliau berstatus janda. Justeru beliau memberitahu, ketua pimpinan PRIMA membangkitkan isu mas kahwin dinaikkan di Negeri Sembilan pada mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan pada 2003. “Berdasarkan kes tersebut mesyuarat berkenaan sebulat suara menghapuskan perbezaan mas kahwin status ‘anak dara’ dan ‘janda’, tetapi apabila diumumkan oleh Menteri Besar ianya masih kekal berbeza,” beritahu Dato’ Kamal Amir.
INFO SASTERA & BUDAYA:
NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz
(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).
(sambungan kelmarin…)
(3)
USTAZ SENGAJA SURUH MENGUCAP
MAHU MALUKAN DI KHALAYAK RAMAI
Kakak saya yang memilih diploma sains komputer dari IPTS beritahu mengenai kemahiran gunakan ‘random access memory’ (RAM) dan ‘read only memory’ (ROM) kalau kendalikan sistem operasi ‘Windows XP’, Microsoft. Setidak-tidaknya tahu menggunakan RAM dengan saiz 128MB, bukan 64MB kerana sering bermasalah dalam aplikasi.
Memang saya tahu mengenai RAM merupakan capaian data secara rawak di mana sesuatu data yang kita kehendaki akan dipanggil mengikut kelajuan RAM ketika ianya beroperasi. ROM merupakan tempat untuk membaca data seperti CD-ROM misalnya. Kalau kakak saya tak tunjukkan pun, saya sudah mempunyai asas pengetahuan komputer sebelum itu.
Kadangkala merungut juga emak disebabkan saya habiskan masa di bilik bermain ‘game’ komputer apabila balik dari sekolah. Tetapi abah tak peduli sekiranya saya asyik bermain komputer, asal sahaja jangan membuang masa melepak di mana-mana.
Ombak yang bergulung terus hanyutkan bot kami, disebabkan tak boleh dikawal lagi. Selagi enjin bot tak berfungsi kami hanya berserah sahaja kepada takdir. Abang Din juga sama seperti saya sengaja berpura-pura tak bimbang apa-apa. Kalau kami tunjukkan rasa cemas, tentulah tiga lagi kawan yang masih dalam Tingkatan Empat bertambah bimbang.
“Tentu emak saya marah ni!” gerutu Sahak Salai merenung ombak laut. “Sebab saya tak beritahu emak fasal ikut Abang Din ke laut,” katanya perlahan.
“Kamu pun sama macam Hang Lekiu, sikit-sikit takut emak kamu marah,” sahut Usin Sodok mencemik muka. “Tengok aku ni macam Hang Kasturi, hati mesti berani,” dia tersengih-sengih menepuk dadanya.
“Berani aje tak cukup, Usin,” lantas Abang Din marahi Usin Sodok. “Tahukah kamu kita sekarang hanyut tak berhaluan, sebab itu perlu mempunyai kekuatan fizikal mahu pun mental,” ujarnya menyeka peluh yang banyak memercik di dahi.
“Betul kata Abang Din tu,” segera saya ingatkan kawan-kawan. Kami tak boleh bergantung kepada keberanian semata-mata ketika hanyut tak berhaluan. Sebaliknya kami perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental.
Hang Tuah lima bersahabat juga akan kecundang sekiranya tak memiliki kekuatan lahiriah dan batiniah ketika ke laut mendayung sampan bersama Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Apalagi dalam usia mereka masih kanak-kanak keberanian sahaja tak mungkin sampai ke mana.
Abang Din juga berani. Justeru dia tak bimbang mengharung ombak Selat Melaka apabila kami mula merancang sebelumnya. Memang saya mengajak kawan-kawan ke laut. Saya rahsiakan daripada emak dan abah, kerana mereka memang melarang ikut sesiapa sahaja menangkap ikan di laut.
Apalagi emak tahu memang saya anak nakal di kalangan adik beradik kami. Sudah beberapa kali saya diberi amaran oleh pengetua kerana markah ‘merit’ yang tinggi. Pengetua pula tak akan menerima alasan saya, kerana dituduh berbohong setiap kali ditangkap murid pengawas.
Guru penolong kanan, Cikgu Normah sendiri rekemen untuk buang saya dari sekolah. Dia marahkan saya kerana menghempas pintu bilik guru setelah saya menafikan dituduh merokok dalam kawasan sekolah. Ustaz Zin pula berang kerana saya tolak meja apabila disuruh mengucap dua kalimah syahadat.
Hati saya tersinggung kerana dianggap tak tahu mengucap dua kalimah syahadat. Sebelum itu Ustaz Zin sekadar mendengar laporan murid pengawas mengenai kalung salib yang saya pakai. Sedangkan kalung itu bukanlha salib; tetapi anak kunci simbol sudah menjangkau dewasa.
“Tahukah ustaz, ayah saya pernah dijemput hadir dalam mesyuarat majlis agama Islam negeri?” ujar saya apabila enggan mengikut perintahnya mengucap dua kalimah syahadat untuk memalukan saya di depan bilik darjah. “Tahukah ustaz, ayah saya lebih tinggi pendidikan agamanya dari ustaz?” soal saya merenung tepat ke mukanya.
“Saya menyuruh kamu mengucap dua kalimah syahadat, bukan babitkan ayah kamu!” bentak Ustaz Zin semakin marah.
(bersambung…)
SAJAK
Semalam Di Malaya
(dengan apologi
kepada Saiful Bahari
- bukan Mohd Saiful Bukhari)
i
Aku pulang dari rantau
bertahun-tahun di negeri orang
oh Malaya,
oh di mana kawan dulu
kawan dulu yang sama berjuang
oh Malaya,
kekasih hatiku telah pula hilang
hilang tiada pesan
aduhai nasib,
apakan daya cinta hampa
seorang pengembara yang hina.
(dendangan S Affandi)
ii
Oh di manakah hilangnya
kegagahan semangat bangsaku
oh Melayu,
para pemimpinnya
telah pun tewas
pagar makan padi
haruan makan anak
longlai lumpuh nasib bangsaku
yang malang!
(lirik tumpangan)
-Yassinsalleh
Kajang, Selangor.
08-09-08
INFO SUARA PROLITAR:
BN TERUS MENGATA PKR
LIMA MINYAK DI LIMA NEGERI
BN (Barisan Nasional) kata PKR (Parti Keadilan Rakyat) akan turunkan harga minyak di lima negeri berkuat kuasa 16 September 2008; iaitu (i) di Kedah, minyak gamat; (ii) di Pulau Pinang, minyak buah pala; (iii) di Kelantan, minyak lintah; (iv) di Perak, minyak urut dan (v) di Selangor, minyak khinzir. Tunggu dan lihat! – (SMS; 8 September 2008; 14:34:04 – Abu Nawas; Kuala Lumpur).
DEWAN SEKOLAH BUAT JAMUAN
AIR KOTOR MENGALIR KE RUMAH
Masyarakat Melayu selalunya memendam rasa, ketika bukan Melayu bangkitkan macam-macam hal. Apabila orang Melayu melenting, maka dituduh perkauman. Di Kampung Petaling, Jelebu dah bertahun-tahun dewan sekolah dijadikan tempat majlis keramaian. Air masak memasak dan cuci pinggan mangkuk termasuk sisa-sisa babi mengalir ke longkang sampai melimpah ke rumah orang Melayu. Sekarang komplain dibuat, jangan pula dianggap perkauman – (SMS; 8 September 2008; 20:21:49 – Alba, Jelebu, Negeri Sembilan).
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
JANGAN BERBALAH UMAT ISLAM
APALAGI DILARANG BERMUKA-MUKA

Sebermula pada suatu ketika berkatalah Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sewaktu bertemu orang banyak di Masjid an-Nur Kampung Ketapang, di Pahang Tua janganlah berbalah sesama umat Islam. Syahdan Orangkaya Timbalan Perdana Menteri itu turutlah ia menyampaikan bantuan kepada 52 orang warga emas dan 22 ibu tunggal, adanya. Adapun berbalah itu memang dilarang; apalagi kalau terbabit bunuh membunuh, fitnah memfitnah, malah bermuka-muka seperti perihal orang munafik di zaman Rasullullah. Arakian bukanlah umat Islam sahaja dilarang, umat yang terdahulu juga dilarang bunuh membunuh, fitnah memfitnah, apalagi bersumpah dengan memperolok-olok nama Allah SWT. Maka disebut orang banyak akan Qabil dan Habil menjadi manusia pertama terbabit bunuh membunuh itu. Astaga!
Arakian akan Bendahara Seri Maharaja pun terlalu baik rupanya, lagi sangat berhias, pada sehari enam kali bersalin pakaian, bajunya yang hadir juga seribu banyaknya, pelbagai rupa dan warna, destar yang sudah terikat pada kelebut dua tiga puluh, semuanya sudah dipakai belaka; cermin besar sama tinggi berdiri sedia. Apabila Bendahara Seri Maharaja memakai, sudah berbaju, berkain, berkeris, bersebai, lalu naik duduk ke buaian. Maka Bendahara Seri Maharaja bertanya pada isterinya katanya, ‘Tuan, tuan, destar yang mana patut dengan kain baju beta ini?’ Maka kata Bendahara perempuan, ‘Destar anu itu patut.’ Maka barang yang dikatakan bendahara perempuan itulah yang dipakai. Adapun kata orang banyak akan Bendahara Seri Maharaja bukanlah takutkan bini, tetapi tak mahu berbalah sahaja seperti disurat ‘Kitab Melayu’ oleh:

HIDUP BAHASA MELAYU!