Sunday, May 17, 2009

ANALITIKAL UMUM...

Najib cuba alih perhatian:
Hanya Sultan Perak bubar DUN

Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak cuba mengalih perhatian umum berkaitan isu pembubaran DUN Perak kepada peruntukan kuasa istana. Kalau Sidang DUN yang dirasmikan oleh Sultan Perak (bagaimana Raja Muda Perak yang mewakili baginda Paduka Seri Sultan Perak) dikepung dengan pasukan polis dan FRU, bagaimana pula kalau dibubarkan. Sebagai raja yang memaham adat istiadat Melayu serta perlembagaan, sudah tentu baginda tak mahu melihat negeri baginda berberantakan. Pembubaran DUN Perak berdasarkan raja berperlembagaan, adalah dengan persetujuan heh heh heh! (gambar, kebangkitan rakyat di Perak).

Justeru tak hairanlah baginda Paduka Seri Sultan Perak pernah menyampaikan titah ucapan berkaitan institusi istana:

"Walau seberapa banyak sekalipun askar, polis atau pengawal istana digaji untuk melindungi dan menjaga tahta, namun tiada satu pun akan dapat mengatasi kehendak dan aspirasi rakyat jelata." "Walau seberapa banyak peluru bedil atau peluru meriam sekali pun digunakan, namun tidak satu pun dapat menyekat kemarahan aspirasi rakyat." "Jika kehendak rakyat jelata dimakbulkan Allah, maka (berlakulah) perpindahan takhta dari istana ke muzium seni dan budaya" -

(Sultan Azlan Shah ketika dianugerahkan Doktor Kehormat Undang-undang, di Majlis Konvokesyen, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada 29 Jun 1980.Justeru itu, kembalikan hak rakyat. Bubarkan DUN Perak. Sebelum titah-titah Tuanku diatas menjadi kenyataan. Ampun Tuanku - http://www.greenboc.blogspot.com/ )

KEMELUT PERAK...


Rakyat tahu siapa punca:
Mahu penyuluh di gelap gelita

Tak perlu menggunakan 'Nujum Pak Belalang' P. Ramlee, rakyat Malaysia tahu Presiden UMNO Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak adalah punca kemelut di Perak. Malah Dato' Dr Zamry Abd Kadir mahupun Dato' Seri Dr Ahamd Zahid Hamidi atau Dato' Seri Nazri Aziz sekadar 'budak-budak' suruhan yang menuruti kemahuannya, beritahu bekas Exco Pemuda UMNO Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz. Menyentuh isu yang dibangkitkan oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang, beliau menegaskan: "Zambry tak akan berani pertahankan kedudukan MB berikutan perintah Mahkamah Tinggi pada 11 Mei, kalau sekadar ikut emosinya semata-mata."

Justeru menurut Dato' Kamal Amir yang juga Jurucakap PRIMA, tak payah ungkit mengenai pembabitan Najib kerana 'sudah terang lagi bersuluh'. Sebaliknya beliau menambah, mesej yang diberi oleh rakyat Perak setiap hari mendesak dibubarkan DUN, adalah peringatan kepada Najib iaitu kebencian majoriti Melayu terhadapnya dan UMNO akan bertambah dari sehari ke sehari. Generasi muda tak menerima lagi pendekatan UMNO menggunakan polis, jentera kerajaan dan propaganda media apabila rakyat bersatu menolak perhambaan minda. "Tak perlu 'Nujum Pak Belalang' atau Macbeth dengan tukang tilik mempertahankan takhtanya, rakyat mahukan seperti lirik lagu 'Anakku Sazali' iaitu penyuluh di gelap gelita," kata Dato' Kamal Amir.

KOMENTAR:

bersama Pak Parjo...

Maka guru dipuji-puji
Habis manis sepah dibuang

Arakian tersebutlah ceritera Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerana ia juga Orangkaya Menteri Pelajaran pergilah ia ke negeri Terengganu. Maka berkatalah ia, kerajaan meluluskan pertambahan 2,141 khusus (disebut ia kuota) untuk jawatan Guru dan Pengetua Cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) siswazah di sekolah menengah berkuat kuasa serta merta. Orangkaya itu berkata, kerajaan juga bersetuju mewujudkan 1,910 jawatan Guru Cemerlang bagi PPP siswazah yang berkhidmat di sekolah rendah.

Syahdan dikatakanlah hadiah kepada sekalian guru sebagai tanda penghargaan dan penghormatan kepada guru-guru semasa ia berucap merasmikan Hari Guru 2009 Peringkat Kebangsaan iaitu berteraskan 'Guru Pembina Negara Bangsa' di Taman Tamadun Islam di negeri Terengganu itu. Maka tak tersuratlah oleh fakir akan angka-angka yang disebut, kerana masa masa dahulu guru itu adala pendeta yang mengajar di gua-gua sebagaimana perihal Pendeta Adi Putra yang sakti itu. Pendeta Adi Putra tak ingin ia akan anugerah dan sanjungan orang besar, menteri dan pegawai-pegawai sekalian, kerana tak mahu ia 'habis manis sepah dibuang'.

Sebermula Tun Mai Ulat Bulu mengaji pada makhdum. Bahawa Tun Mai Ulat Bulu itu asal namanya Tun Muyi'd-Din (seakan-akan Orangkaya Timbalan Perdana Menteri di kemudian hari kelak), anak Tun Zanu'l-Abidin, cucu Bendahara Paduka Raja; sebab tubuh dato' itu berbulu maka disebut orang Tun Mai Ulat Bulu. Dan Tun Mai Ulat Bulu itu mengaji pada makhdum, barang yang diajarkan oleh makhdum itu tiada diturutnya, kerana lidah Melayu itu tiada dapat mengikut lidah Arab, amat keras. Maka makhdum ngerinlah kerana susah mengajar, oleh itu diperbuat orang pantun:

Mana beramai dari hulu
Padi kunca dalam nyiru
Di mana Tun Mai Ulu Bulu
Sudah tua baru nak berguru

Arakian disebut orang turun temurun seperti dirawi dalam 'Kitab Melayu' daripada:






HIDUP BAHASA MELAYU!

DARI LAMAN BLOG...

Nostalgia p/raya '59 di Temerloh:
Pak Sako & aktivis UMNO tak siuman

Assalamualaikum,

Kebimbangan UMNO berhadapan dengan pilihanraya selepas pilihanraya kecil Permatang Pauh(Ogos 2008) , Kuala Terengganu (Januari 2009), Bukit Gantang dan Bukit Selambau (April 2009), dianggap bimbang berhadapan dengan rakyat apabila dosa-dosa mereka didedahkan kepada umum, menurut pimpinan PKR di Pahang, Haji Suhaimi Said (gambar). Dalam blognya Haji Suhami(http://www.lubukkawah.blogspot.com/) menyebut beliau pernah dilimpar dengan najis bersama calon SF di Temerloh Pak Sako (gambar bawah), apabila penyokong-penyokong UMNO bertukar menjadi tak siuman.


"Kami naik boat dari Kuala Semantan ke Kg Sanggang. Jalanraya belum ada. Sesampai di Sanggang kami mahu naik tebing, tiba-tiba habis baju, seluar dan badan kami dibaling dengan najis manusia. Kami turun semula ke Boat. Terus terjun ke Sungai Pahang. Basuh baju seluar dan badan serta merta, busuk betul tahi orang UMNO tu.Tapi kami degil, apabila baju kami dah kering, kami naik juga tebing itu dan terus ke kedai makan diatas tebing. Kami pinta beli minuman, dengan keras tuan kedai itu berkata: "Tak Jual" dan kami dihalau macam anjing," menurut Haji Suhaimi menelusuri nostalgia pilihanraya 1959.

Bagaimanapun beliau bersama rakan-rakannya menang kes di mahkamah apabila seorang daripada rakannya cedera dibelasah oleh penyokong-penyokong UMNO yang perongos dan pongah. Ketika menurun dari Bukit Kelulut penyokong-penyokong UMNO yang tak siuman menunggu dengan parang, penggali dan cangkul. Melalui lawyer Sivasubramaniam (pernah jadi ADUN Bandar Kuantan mewakili PRM), ketua pemuda UMNO Belengu yang memukul rakan Haji Suhaimi terpaksa membayar pampasan RM200.00.

Justeru kata Haji Suhaimi kalau UMNO dulu boleh menggunakan penyokong-penyokong tak siuman bagi mendapatkan kuasa, sekarang sudah bertambah lagi dengan sokongan polis, SPR, jentera kerajaan dan segala wang negara, kenapa tak mahu berhadapan dengan rakyat? Bukankah wajar bertanding dalam plihanraya kecil Penanti, di samping membubarkan DUN Perak, beliau menambah. Barangkali pengalaman Haji Suhaimi di Temerloh, pernah menjadi tema cerpen saya 'Hidup Diburu Gelisah' (Utusan Zaman, 30 Jun 1974) mengenai kumpulan belalang dibubuh dalam botol najis, kemudian dilepaskan di kawasan rapat umum, heh heh heh!

-Pak Dharma