JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG
PERIHAL GURU KENCING BERDIRI
MURID PASTI TERKENCING BERLARI!
Assalamualaikum,
Bukanlah ditujukan kepada guru apabila bidalan menyebut: ‘Guru kencing berdiri, murid kencing berlari’; tetapi ianya membabitkan juga mereka yang mahu membendung perilaku yang tak baik, harus memberi tauladan kepada masyarakat. Hari ini (19 April 2008) misalnya, akhbar ‘Harian Metro’ melaporkan insiden lelaki menyamar anggota Rela menyerbu sebuah sekolah di Pandan Indah, bagi membelasah pelajar (berusia 14 tahun) atas alasan bergaduh dengan anaknya. Isu pelajar-pelajar bergaduh sepatutnya dirujuk kepada Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), kerana tak mungkin budak-budak berusia 14 tahun boleh bertindak seakan-akan samseng. Malah berasa hairan juga saya, bagaimana pihak pengawal di sekolah membenarkan lelaki berkenaan masuk ke kawasan kompaun sekolah. Aduhai!
Tak lama dulu pernah berlaku di Pahang, pelajar dibelasah oleh senior mereka tetapi pihak sekolah memberikan laporan yang keliru, celaru dan selaru! Terpaksalah baginda Sultan Pahang (Tuanku Sultan Haji Ahmad al-Mustain Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin al-Muadzam Shah) turun padang melihat sendiri suasana di sekolah tersebut, sebaliknya masih juga menerima laporan yang berbelit-belit, berlilit-lilit dan berselit-selit. Entahlah! Kalau di sekolah pun murid-murid tak selamat seperti di Pandan Indah, di mana lagi mereka mahu boleh diberi perlindungan? Apalagi isu di Pandan Indah didedahkan oleh media, tak seperti isu di Selayang yang membabitkan pelajar Tingkatan 2 (atau berusia 14 tahun juga).
Adik angkat saya Ir Adnan Haji Khalid diberitahu mengenai anak saudaranya dalam Tingkatan 2, ditahan polis Khamis lalu (17 April 2008) ketika berada di bilik darjah atas dakwaan bergaduh sesama pelajar. Pergaduhan tersebut membabitkan pelajar bukan Melayu minggu lalu (kira-kira seminggu sebelumnya), malah dianggap perkara kecil sahaja yang tak seharusnya diperbesarkan. Malangnya, pihak ibu bapa bukan Melayu membuat laporan polis (dengan alasan menggunakan haknya sebagai warga negara, dengan tak memikirkan implikasinya). Selepas seminggu insiden pergaduhan tersebut, pelajar Tingkatan 2 itu ditangkap semasa di bilik darjah, dengan tak merujuk kepada PIBG mahupun guru untuk penyelesaian.
Pelajar berkenaan ditahan di balai polis dengan berpakaian seragam sekolah seolah-olah tak mementingkan ‘budi bicara’ lagi. Ir Adnan bersama abangnya memepersoalkan tindakan tersebut, hingga sekolah dan PIBG bagaikan tak berfungsi lagi. Lainlah ianya membabitkan pelajar-pelajar berusia 17 tahun, atau remaja-remaja yang sudah dewasa, hingga ditahan di lokap (seperti ugutan lelaki yang menyamar anggota Rela di sekolah Pandan Indah itu). Hingga jam 12.00 malam Ir Adnan di rumah saya hari berkenaan, pelajar terbabit masih lagi ditahan. Malah beberapa orang pegawai yang dihubungi adik angkat saya Ir Adnan memberitahu kes berkenaan di bawah seorang pegawai bukan Melayu. Bagaimana kira-kira jam 1.00 pagi apabila Ir Adnan ke balai polis, menerusi budi bicara (pegawai tertentu), pelajar berkenaan dibebaskan. Aduhai!
-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA
ISU LADANG TERNAKAN BABI
NAKHAIE PERLU BERSIKAP TELUS
Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mempersoal ketelusan Pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Dato’ Nakhaie Haji Ahmad apabila membangkitkan isu ladang ternakan babi. Dalam laporan ‘Buletin Utama’ TV3 malam ini (19 April 2008), Dato’ Nakhaie menyebut mengenai sensitiviti orang Islam diketepikan apabila mahu komorsialkan ladang ternakan babi bagi tujuan di eksport. Dengan tak merujuk kepada isu ladang ternakan babi yang diluluskan kerajaan negeri Selangor baru-baru ini, Dato’ Nakhaie seolah-olah mahu menjadi juara, tetapi berdiam diri ketika isu ternakan babi di Melaka dibangkitkan sebelum pilihanraya 8 Mac lalu. “Yadim perlu telus apabila membangkitkan isu berkaitan Islam,” jelas Dato’ Kamal Amir.
Menurut Dato’ Kamal Amir, semua pihak menyedari kedudukan Islam selaku agama rasmi, tetapi mengambil sikap ‘play save’ apabila membabitkan kepentingan politik. Misalnya, beritahu Dato’ Kamal Amir semua menteri besar dan ketua menteri tahu dalam undang-undang tubuh negeri masing-masing, kedudukan Islam sebagai agama rasmi tak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Justeru, orang bukan Islam tak dibenarkan untuk mempengaruhi orang Islam menganut agama mereka. Seterusnya, kata Dato’ Kamal Amir dalam pertemuan dengan bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo baru-baru ini, menteri besar itu mengakui undang-undang tubuh negeri sudah cukup jelas mengenai kedudukan agama Islam.
“Isu babi memang semua pihak menolak sebarang usaha mahu menjadikan Malaysia pengeksport utama,” beritahu Dato’ Kamal Amir. Katanya lagi, Dato’ Nakhaie wajar tak menjadikan isu ladang ternakan babi sebagai gimmik politik, kerana ketelusan Yadim perlu dilaksanakan termasuk di Melaka yang melebihi kapisiti yang dibenarkan apabila kelulusan diberikan. Dato’ Nakhaie, perlu bangkit menghalang ladang ternakan babi di Melaka, sekalipun sebelum pilihanraya 8 Mac lalu, Ketua Menteri Dato’ Seri Mohd Ali Rustam mengarahkan supaya ditembak. Sebaliknya, pihak berkuasa gagal menembak babi-babi berkenaan apabila benteng manusia dibuat oleh aktivis MCA dan DAP. “Pihak PRIMA hanya mahukan Dato’ Nakhaie bersikap telus,” ujar Dato’ Kamal Amir.
INFO SASTERA & BUDAYA
SAJAK
Tukar Pemerintahan
Tiba-tiba dikejutkan politik tsunami
ribut, banjir dan petir
esok hari
seperti bakal berubah
yang dinanti
pembaharuan, kebebasan dan keadilan.
Keputusan PRU 2008
Digempur gelombang tsunami,
mata dan telinga
bukan sebarang gelombang,
rakyat dan negara!
NAHMAR JAMIL
Kangar, Perlis
1429 - 2008
Engkaukah Itu Fatamorgana!
Kalaulah langit biru
hiasan bulan malam ini
tiba-tiba mencurahkan hujan
itu adalah rembasan airmata
seorang fakir kasih
yang tersula matanya
dan darah yang mencurah
menyiram nestapa semalam
kembali segar meraikan
permakamanku!
Tak mengapalah,
pun jernih dingin tebat ini
airnya akan kembali menjadi
bara pasir hamparan tidurku
akan ku dakap semula
seloka nestapa
dan serelanya akan ku minum
cangkir demi cangkir
duri kaktus
kerana sudah demikian
takdir menentukan
persendaanKASI.
YASSINSALLEH.
Jam 0152, April 19, 2008
Dusun Damai, Pagoh
Johor.
Jam 0152, April 19, 2008
Dusun Damai, Pagoh
Johor.
INFO SUARA PROLITAR
LANTIK ADUN JADI SENATOR
HINA AHLI PARLIMEN WANITA.
Saya terima banyak SMS dan call bertanya apakah logiknya (jangan eja gila pula) melantik ADUN wanita jadi senator untuk dilantik ke jawatan timbalan menteri, sedangkan ada Dato’ Halimah Sadique yang menang sah dalam pilihanraya? Tak ada cara lainkah nak hina Wanita UMNO? Rakyat makin bingung, dan marah. Kalau nak merasa tsunami kedua, teruskanlah! (SMS, 19 April 2008 – Wanita Kerepot, Johor).
ORANG KAMPUNG MENGELUH
FASAL HARGA BARANG MASIH NAIK
Nak pergi Kampar beli beras dan barang keperluan lain untuk mami sebab orang kampung dah mengeluh harga beras naik. Kalau berterusan orang kampung nak tanam padi huma, ubi kayu di bukit macam zaman Jepun (SMS 19 April 2008, sahabat dari Perak).
LANTIKLAH PEMIMPIN PUTERI
KALAU MAHUKAN TENAGA MUDA
Tindakan tak masuk akal. Dia (Dato’ Maznah Mazlan) dah Exco (di Pahang), cukuplah! Takkan Pergerakan Wanita UMNO kekurangan pimpinan yang layak diangkat ke kerusi senator, seterusnya ke jawatan timbalan menteri (yakni bukan ADUN atau Exco). Kalau nak yang muda-muda belaka, pemimpin Puteri yang tak jadi calon pilihanraya pun, apa salahnya dilantik? Kalau nak berpengalaman pun ramai lagi di kalangan Pergerakan Wanita! (SMS, 19 April 2008 – Khadam Dol, Pahang).
KALAU KERBAU DITINDIK HIDUNG
SUKAR PERBETULKAN MENJELANG 2020
Kalau pimpinan UMNO tahu ahli-ahlinya semua bagaikan ‘kerbau ditindik hidung’, kenapa nak diperbangangkan lagi. Apabila semua ahli-ahli sudah biul, yang susahnya orang Melayu kerana sukar nak diperbetulkan semula menjelang 2020 atau 3020 atau 4020 nanti. Tak guna pemimpin-pemimpin UMNO hebat-hebat belaka, tetapi ahli-ahli yang majoritinya penduduk Malaysia menjadi ‘kutu belahak’ dalam negara sendiri. (SMS, 19 April 2008 – Akademisyian, Kuala Lumpur).
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
PM WANITA DI NEGERI MELAYU
WAN AZIZAH MEMANG BERSEDIA
Kata sahibul hikayat tersebutlah sebuah negeri Melayu bernama Malaysia, akan rakyat jelatanya berhasrat mahukan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail menjadi Perdana Menteri, apabila undi tak percaya dikemukakan di Balairongseri (atau disebut anak cucu fakir Dewan Rakyat). Syahdan disuratkan orang banyak hari ini, 12 Rabiulakhir 1429 (disebut oleh anak cucu fakir 19 April 2008) bahawa Datin Seri Dr Wan Azizah berkata, bersedialah ia memegang jawatan Perdana Menteri sementara itu. Maka memanda Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi pula mengisytiharkan pelantikan pimpinan wanita dari Pahang Dato’ Maznah Mazlan menjadi timbalan menteri, ketika ura-ura Datin Seri Dr Wan Azizah mahu dilantik menjadi Perdana Menteri.
Arakian terdengarlah kepada Sultan Mansor Shah perihal kecantikan Tun Teja anak Bendahara Seri Buana di Pahang. Maka dukacitalah baginda kerana ingin memperisteri akan Tun Teja itu, apalagi puteri bendahara dari Pahang itu sudah bertunang dengan Megat Panji Alam anak raja Terengganu. Baginda pun bertitah, “Bolehkah kita biarkan Pahang dan Terengganu bersemenda, kerana apabila sudah bersatu engganlah mereka menyembah ke Melaka?” Maka Bendahara Paduka Raja pun menyembah, “Benarlah seperti titah itu, tuanku.” Setelah didengar oleh Hang Tuah akan Sultan Mansor Shah terlalu berahikan Tun Teja, maka ia pun bersiap-siaplah ke Pahang seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ yang disuratkan:
HIDUP BAHASA MELAYU!