Sunday, June 7, 2009

INFO PEJABAT ANWAR IBRAHIM

Keadilan untuk semua:
Menolak belenggu penjajah


Pas merupakan salah satu organisasi politik yang tertua di negara ini. Perjuangannya tercetus kerana mahu Islam dihayati oleh pimpinan negara, memastikan keadilan untuk semua dan menolak belenggu penjajah yang masih jelas kelihatan terhadap Perikatan ketika itu. Sosok seperti Dr Burhanuddin al Helmy(gambar), Prof. Zulkifli Mohammad dan Ustaz Abu Bakar al Baqir dari Gunung Semanggol menyuntik semangat kepada saya untuk terlibat bersama-sama memaknai perjuangan memerdekakan bangsa melalui wadah Abim. Terkesan dengan pemikiran tokoh-tokoh tersebut yang ada di antaranya disampaikan melalui tulisan, seumpama Falsafah Kebangsaan Melayu oleh Dr Burhanudin serta Masyarakat dan Syariat oleh Prof Zulkifli, melebarkan pemahaman saya mengenai kehendak maqasid keadilan Islam.

Tulisan mereka malah menyedarkan kami aktivis Islam ketika itu untuk bersikap merangkul dan tidak meminggirkan, walau apapun agama dan bangsa seseorang itu. Kini keringat dan jerih perih para pejuang Pas telah pun membuahkan hasil.Tidak ada pihak yang berhak menafikan sumbangan Pas kepada amalan demokrasi di Malaysia. Momokan ciptaan umno-bn bahawa Pas tidak mungkin meraih sokongan masyarakat bukan Islam hanya tinggal sebagai mitos. Pilihanraya Mac 2008 membuktikan kerjasama Pas dengan Keadilan dan Dap merupakan pilihan terbaik buat rakyat Malaysia untuk melaksanakan Perubahan.

Alhamdulillah kerjasama tersebut semakin utuh di bawah Pakatan Rakyat. Hari ini rakan-rakan kita ahli-ahli Parti Islam SeMalaysia akan berhimpun untuk bermuktamar di Shah Alam buat kali ke 55. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat bermuktamar kepada saudara semua dan moga doa agar Perubahan yang kita hasratkan untuk Rakyat Malaysia keseluruhannya dimakbulkan oleh Allah S.W.T. - (Dato' Sri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh)