Sunday, February 1, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
SUARA <<< >>> PRIMA

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

PERLEKEH DR KHIR TOYO JADI BLOGGER:
MACAM SURUH TOK GURU DUDUK MADRASAH

Assallamualaikum,

Kadangkala ada pihak terlalu beremosi, apabila menyampaikan mesej menerusi blog; apalagi diberi peluang tampil di kaca TV bercakap mengenai peranan blog. Malah terasa pula pengendali laman blog hebat sangat, hingga memperlekeh orang lain. Misalnya dua hari (30 Januari 2009) lalu saya menonton TV yang bincangkan isu blog, tapi taklah khusuk sangat. Hairan juga saya apabila bekas Ketua Pengarang Berita Harian, Dato A Kadir Jassin macam tak suka bekas MB Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo kononnya doktor gigi nak terbabit jadi blogger. Apa salahnya? Satu waktu MB Kelantan Dato’ Nik Aziz Nik Mat pernah ingatkan Tun Dr Mahathir Mohamad, kalau guru agama tempatnya di madarasah, doktor pun tempatnya di klinik. Tak payah berpolitik!

Logiknya, Mao Tze Tung (Mao Xe Dung) yang digeruni oleh blog barat sekitar dekad 1950-an hingga dekad 1980-an tak seharusnya berpolitik, kerana beliau penyair terhebat di China. Atau Ronald Reagon sekadar jadi koboi di bioskop, yang tak wajar terbabit
dalam politik. Malah Sukarno di Indonesia meneruskan kerjaya sebagai insunyir (jurutera), bukan memimpin negaranya menuntut kemerdekaan. Apabila rakyat di Malaysia menyangkan merekalah yang terhebat daripada segala yang hebat, jadilah Luncai yang terjun dengan labu-labunya. Tan Sri A Samad Ismail dan Tan Sri Melan Abdullah, ketika di mercu kerjayanya tak malu pun keluar minum tek tarik di gerai-gerai dengan stringer dan ‘kutu belahak’. Begitulah!

Begitu juga kawan yang menuduh Tun Dr Mahathir nyanyuk apabila buat ulasan keputusan pilihanraya kecil Kuala Terengganu. Kononnya beliau membaca laman web Malayasiakini. Tak apalah! Saya tak mahu siarkan tulisan berkenaan, kerana terlalu beremosi. Menuduh seseorang nyanyuk mengikut persepsi sendiri, memang sukar diterima akal, kerana ianya memerlukan fakta perubatan. Apabila Tun Dr Mahathir masih mampu menyampaikan mesej mengikut pandangan beliau, sepatutnya kita berbangga kerana Tun Dr Mahathir bersedia untuk berkongsi pandangan. Justeru ketika ramai penulis memusuhi Yahaya Ismail dan Mohd Affandi Hassan sekitar dekad 1960-an dan 1970-an kerana dianggap pengkritik sastera yang meruntuhkan, saya mengakui suka dengan kritikan-kritikan mereka. Entahlah!

PM TURKI MEMANG BEREMOSI:
KEWAJARAN MESEJ KEPADA YAHUDI

Seacara negatif memang langkah Perdana Menteri Turki, Reccep Tayyip Erdogan bersikap kurang ajar dalam Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, apabila keluar meninggalkan Presiden Israel, Shimon Peres. Tetapi rasionalnya beliau mengambil sikap wajar bagi menyampaikan mesej kepada blok barat, pendekatan berdiplomasi terhadap Zionis dan Yahudi tak memberi kesan. Apalagi pengerusi forum, David Ignatius dari Washington masih menyangka George W Bush raja di Rumah Putih, walaupun sudah menjadi ‘kutu belahak’ sejak 20 Januari 2009 lalu. Tak hairanlah, Erdogan disambut sebagai wira apabila balik ke tanah air. Tetapi dominasi propaganda barat, wira-wirA bangsa dibunuh satu demi satu.

Di Perancis misalnya, Napoleon Bonarparte masih dianggap wira mereka; begitu juga di Jerman, Adolf Hitler adalah wira yang mengangkat martabat bangsanya. Di Jepun, penampilan Jeneral Tojo dalam perang dunia kedua memang disanjung sebagai wira oleh warga Jepun, kerana pencapaiannya tak muda digapai oleh pemimpin sekarang yang terpaksa mengikut telunjuk Amerika Syarikat. Erdogan sudah membuktikan Turki mempunyai kedaulatan yang mesti dipertahankan, apabila di dalam forum berkenaan beliau sekadar diberi berucap beberapa minit sahaja, ketika Peres selesa dengan 25 minit. Sebenarnya dalam forum Sosialis Antarabangsa pun, wakil Malaysia sekadar diberi masa 10 minit sahaja untuk berucap berbanding wakil blok barat, malah satu waktu dulu Peres (sebelum jadi Presiden) diberi masa lebih 40 minit di forum Sosialis Antarabangsa. Ironinya, wakil Malaysia masih juga mahu menjadi ahli Sosialis Antarabangsa. Huh huh huh!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

KRISIS PIMPINAN DI PERINGKAT PUSAT:
FAKTA TUMPAS DI KUALA TERENGGANU

(Kenyataan akhbar ahli Parlimen Gua Musang YBM Tengku Razaleigh Hamzah, mengenai keputusan Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari 2009, berkaitan krisis pimpinan di peringkat nasional yang membawa implikasi buruk kepada prestasi UMNO di negeri Terengganu)

Sudah tiga kali dalam tempoh sepuluh bulan Barisan Nasional dimalukan dalam pilihan raya besar dan kecil. Saya kagum benar betapa gigihnya para anggota parti di medan juang tempatan bertungkus lumus selama dua minggu. Namun kita tumpas atas sebab masalah di peringkat nasional. Rakyat memang menolak UMNO dalam bentuk dan wataknya sekarang, dan mereka menolak kepimpinannya. Begitu kuat rakyat mencanangkan kehendak mereka pada PRU 8 Mac dan di Permatang Pauh, UMNO sama ada tuli lantas tidak mendengar seruan rakyat yang mendambakan perubahan fundamental atau memang tidak mampu memberi respons yang sewajarnya.
Kekuatan dan kuasa wang, jentera dan penjawat tidak berdaya mengungguli seruan mendesak perubahan. BN akan tewas dan akhirnya akan kehilangan segala-galanya, sehinggalah kita secara ikhlas lagi bersungguh memberikan respons yang sewajarnya. Sayangnya, balik-balik lagu lapuk “ini tak harus ditafsirkan sebagai pengundi mengetepikan BN”” yang dikumandangkan. Para pemimpin kita terus menyangkal kebenaran hinggakan anggota parti dan anggota BN yang setia akan terasa mereka bagaikan di dalam kapal yang sedang karam.

Dalam kawasan pilihanraya Melayu pun UMNO dimalukan dengan kekalahan dengan majoriti sebanyak 90%. Kita kalah sebab orang Melayu tidak mengundi kita dalam negeri di mana kita memerintah. Begitu banyak sumber nasional parti yang menguasai Persekutuan ini kita hamburkan namun kita tumpas jua. Ini sebenarnya lebih menyerupai referendum mengenai kepimpinan dan ujian sama ada UMNO masih relevan. Maka, jika UMNO dalam bentuknya kini tidak lagi relevan kepada bangsa Melayu, rumusan yang bernama BN sudah berkubur. Sebab kaum Cina tiada sebab lagi untuk terus menyokong MCA, dan begitulah seterusnya. Dengan itu ranaplah konsensus perjanjian perkongsian kuasa yang mendasari sistem politik kita sejak Merdeka dulu.
Hal ini punya implikasi amat serius. Selama ini kita mendakwa bahawa bertitik tolak atas perjanjian itulah wujud keamanan sosial di Malaysia. Sebuah parti yang menafikan hakikat sebenar tidak mungkin membentuk kerajaan dengan cukup realisme dan keberanian untuk menghadapi ekonomi yang meleset dan sedang lebur – apatah lagi jika ia menafikan itulah keadaan ekonomi sebenar. Memang kita kini terumbang ambing di segara yang tidak dicartakan dan tiada nakhoda yang mengawal teraju.
PELANTIKAN KP DBP DIPERTIKAI:
BAHASA DAN BUDAYA BUKAN MAIN-MAIN
Kerajaan diminta memahami Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1956, dalam pelantikan Ketua Pengarah supaya tak sewenang-wenang diserah kepada keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam, kata bekas Setiausaha Front Bertindak Bahasa Melayu 1966, Haji Yahaya Ismail (Pak Ya). Serentak dengan itu Pak Ya menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat proses yang dijalankan oleh JPA dan menentukan kriteria pelantikan individu terbabit yang akan menjadi Ketua Pengarah DBP 3 Februari 2009 ini menggantikan Dato’ Dr Firdaus Abdullah. Menurut Pak Ya, bagi jawatan Ketua Pengarah DBP mestilah individu yang prihatin dengan membuktikan sumbangannya kepada sastera dan budaya Melayu. “Pelantikan menerusi kriteria kerana mempunyai kabel yang kuat di kementerian perlu dihapuskan,” beritahu Pak Ya.

Sementara itu bekas Exco Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz turut menggesa SPRM menyiasat proses pelantikan yang dibuat oleh JPA yang berdasarkan ‘kabel yang kuat’ di kementerian. Seterusnya Dato’ Kamal Amir, mengingatkan Menteri Pelajaran Dato’ Hishamuddin Hussein perjuangan bahasa dan budaya Melayu bukan main-main, hingga meletakkan individu terbabit dengan sewenang-wenang bagi jawatan Ketua Pengarah DBP. Menurut Dato’ Kamal Amir, DBP diasaskan bukan seperti agensi badan berkanun lain yang komersil, tetapi daripada roh dan jiwa bangsa Melayu yang mahu memartabatkan Bahasa Melayu. Sambl mnyentuh bakal Ketua Pengarah DBP yang akan memegang jawatan 3 Februari ini, Dato’ Kamal Amir mencabar Dato’ Hishamuddin dan JPA memberitahu berapa buku ilmiah yang sudah dihasilkan oelh individu berkenaan. “Jangan main-main dengan isu Bahasa Melayu macam mengendalikan isu Pemuda UMNO,” tegas Dato’ Kamal Amir.

Aktivis NGO Ezam Mohd Noor ketika dihubungi di Jakarta terkejut apabila diberitahu mengenai individu yang akan mengisi jawatan Ketua Pengarah DBP. Menurut Ezam, pembangunan Bahasa Melayu akan kecundang kalau bukan dikendalikan oleh tokoh yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan. Pelantikan jawatan Ketua Pengarah DBP bukan seperti anugerah untuk ‘menolong’ kawan, tetapi kepentngan bangsa, negara dan tanah air. “Jangan perjudikan maruah Bahasa Melayu, kerana kepentingan individu,” kata Ezam menerusi SMS. Bekas Ketua Pengarah DBP, Dato’ A Aziz Deraman turut tergamam, malah sukar mahu memberikan penjelasan. “Terlalu berat untuk mempercayai keputusan yang dibuat oleh kementerian dan JPA,” beliau memberitahu. Sementara itu bekas pemimpin GPMS Dato’ Suhaimi Ibrahim menelefon sekretariat PRIMA, di samping memberi jaminan akan memaklumkan kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Penyair Yassinsalleh yang dihubungi memberitahu, langkah melantik Ketua Pengarah DBP secara semborono adalah mempersendakan perjuangan memartabat Bahasa Melayu. Di samping menyifatkan Dato’ Hishamuddin sebagai pembunuh Bahasa Melayu dengan hasrat mahu melaksanakan PPSMI (Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris), beliau juga mendakwa isu pelantikan Ketua Pengarah DBP sama macam menguji kesabaran orang Melayu. “UMNO perlu menyampaikan mesej kepada Hishamuddin Mac 2009 ini dengan jangan mengundinya bagi jawatan Naib Presiden UMNO,” ujar Yassinsalleh menambah.

INFO SASTERA & BUDAYA

PERJUMPAAN PENULIS WARGA EMAS:
KEPRIHATINAN DAULATKAN BAHASA MELAYU

Pengkritik sastera tersohor sekitar dekad 1960-an dan 1970-an, Mohd Affandi Hassan menyarankan perjumpaan penulis-penulis warga emas digerakkan bagi mengilmiahkan minda dalam pembinaan sastera Melayu sekarang. Dalam emelnya kepada secretariat PRIMA, Mohd Affandi berharap pertemuan secara besar-besaran bukan sahaja turut mencambah perkembangan minda secara ilmiah, malah menyedarkan semua pihak dengan kedudukan Bahasa Melayu yang seolah-olah hilang martabatnya. Katanya, pemababitan ramai penulis dalam berkarya tak memberi makna kepada pertumbuhan sastera dan pembangunan Bahasa Melayu. “Penulis-penulis warga emas yang prihatin dengan kepentingan bahasa perlu tampil memimpin penulis-penulis muda yang leka berkarya dengan mempeduli daulah Bahasa Melayu,” belaiau mengingatkan.

Seterusnya Mohd Affandi meminta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang mempunyai suntikan kewangan dari kerajaan, tak lokek untuk menyumbang kepada pertemuan penulis-penulis warga emas. Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan peminggiran penulis-penulis warga emas yang dianggap tak sehaluan pandangan dengan kerajaan, tetapi sebenarnya mereka bersama-sama mempertahankan kedaulatan Bahasa Melayu dan kepentingan budaya bangsa. Penulis-penulis yang berprinsip menurut Mohd Affandi yang juga bekas pengarah di beberapa kementerian, adalah mereka yang sentiasa memelihara maruah bangsanya bukan menjual dengan harga yang murah apabila terpaksa menjadi pengampu dan ‘yes man’. “PRIMA wajar menganjurkan segera perjumpaan penulis-penulis warga emas ini secara ilmiah sekalipun tak perlu bentangkan kertas kerja,” katanya.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ANAK BUAH DIBOGELKAN ORANG:
TERLALU MARAH ORANGKAYA HISHAMUDDIN

Arakian terlalu marah Orangkaya Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein akan kejadian anak-anak buahnya dibogelkan oleh orang-orang Dato’ Temenggung. Syahdan sekalian orang banyak sekadar menyangka kemarahan Orangkaya Dato’ Seri Hishamuddin disebabkan perihal anak-anak buahnya dibogelkan semasa disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Adapun mereka dari SPRM itu sama jualah dengan orang-orang Dato’ Temenggung, adanya. Sebermlula Orangkaya Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Syed Abdul Hamid Albar akan bertanding melawan Orangkaya Dato’ Seri Hishamuddin dalam pemilihan pimpinan harakah Melayu (UMNO) tak lama lagi. Arakian, perkara dibogelkan itu taklah penting mana gamaknya, tetapi perkara nak berlawan itulah yang menjadi taruhan.Heh heh heh!

Hatta, maka oleh Sultan Abdul Jamil disuruh baginda lepaskan seekor gajah jinak. Maka dikepunglah dengan beberapa ekor gajah yang lain, dan beberapa orang bomoh yang tahu memegang jerat seperti laku orang menjerat gajah liar. Maka disauk-sauklah jerat pada kaki gajah yang lepas itu, tiada kena, maka kena pada kaki gajah yang lain, dan kena pada leher sama-sama bomoh. Maka segala bomoh itu pun hairanlah. Maka sembah segala bomoh kepada Sultan Abdul Jamil, ‘Adapun tuanku, tiada dapat patik sekalian menjerat di hadapan Seri Dewa Raja ini, kerana orangkaya ini terlalu tahu pada gajah.’ Maka Sultan Abdul Jamil pun terlalu malu melihat perihal itu. Maka baginda pun masuk ke istana; segala yang yang menghadap masing-masing pulang ke rumahnya. Tetapi malu Sultan Abdul Jamil itu tak sama malunya dengan Orangkaya Hishamuddin seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:







HIDUP BAHASA MELAYU.