Thursday, July 30, 2009

Janji Tun Razak terhadap ISA..

Tun Razak beri jaminan
ISA hanya untuk komunis
oleh Ahmad Tajdid

GERAKAN MANSUHKAN ISA (GMI) akan mengadakan perhimpunan di ibu negara pada 1 Ogos ini sempena penyerahan memorandum kepada Istana Negara menggesa supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan. Tanggal 1 Ogos akan datang juga adalah tahun ke-49 ISA diluluskan Parlimen. Apakah tujuan sebenar ISA diwujudkan? Ikuti sedutan ucapan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Tun Abdul Razak Husain ketika Rang Undang-undang ini dibawa ke Dewan Rakyat pada 21 Jun 1960:

" Tuan Yang Dipertua, saya suka hendak terangkan sedikit berkenaan dasar Rang Undang-undang (Keselamatan Dalam Negeri) ini. Seperti Ahli-ahli Yang Berhormat ketahui bahawa Kerajaan bercadang hendak menamatkan darurat yang ada pada ketika sesudah 12 setengah tahun lama-nya iaitu akan tamat pada 31 haribulan Julai. Oleh itu mustahaklah diadakan Rang Undang-undang termasuklah Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri atau Internal Security Bill.

Seperti yang telah diterangkan, kerap kali bahawa sungguhpun Darurat akan tamat pada 31 haribulan Julai ini, tetapi musuh iaitu pengganas komunis masih lagi ada di negeri kita di antara sempadan Tanah Melayu. Sudah saya terangkan tadi lebih kurang 580 orang lagi pengganas komunis di sempadan Tanah Melayu dan barangkali 90 orang lagi ada dalam negeri Tanah Melayu. Jadi, mustahak-lah kita mengadakan satu undang-undang supaya dapat Kerajaan meneruskan serangan terhadap pengganas-pengganas komunis ini supaya dapat dihapuskan dengan seberapa segera.

Begitu juga oleh sebab musuh masih ada dalam negeri kita yang mana musuh itu disebabkan dan memikirkan yang mereka itu telah kalah dalam peperangan yang akan menjalankan seberapa usaha tenaganya dengan cara meresap subversif hendak menjatuhkan Kerajaan negeri ini dan hendak merosakkan keamanan. Oleh sebab itu, mustahak-lah kita mengadakan undang-undang bagi mencegah atau melawan anasir-anasir subversif itu.

Undang-undang atau Rang Undang-undang yang ada ini bertujuan satu bagi hendak menjalankan peperangan di sempadan antara Tanah Melayu dengan Siam supaya pengganas komunis akan dihapuskan dengan segera. Kedua, hendak mencegah anasir-anasir pengganas komunis yang ada dalam negeri ini yang menjalankan pekerjaan dengan cara meresap atau subversif. "- http://www.lanailestari.blogspot.com/

Anwar ke Istana Negara...

Seri Paduka Baginda YDP AGONG.
oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim


Majlis Mesyuarat Pakatan Rakyat yang berlangsung semalam memutuskan antaranya memohon kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi membolehkan saya bersama Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dan Sdr. Lim Kit Siang mengadap Seri Paduka Baginda. Permohonan untuk mengadap YDPA juga demi untuk menzahirkan kebimbangan kami kerana Suruhanjaya DiRaja gagal menjadi wahana serius menangani permasalahan berbangkit. Kegagalan sebegini memperlihatkan peranan Suruhanjaya DiRaja dengan sengaja diremehkan dan penggunaan nama Di Raja diperalatkan hanya untuk menutup kebobrokan yang berlaku.

Selain itu permintaan agar pertemuan segera diadakan di antara saya, Tuan Guru Haji Hadi dan Sdr Lim Kit Siang dengan Dato’ Sri Najib Razak juga disampaikan sebentar tadi kepada pejabat beliau. Menyedari ketidakpuasan hati rakyat semakin hari semakin memuncak, terutamanya, apabila acapkali dikecewakan dengan penjelasan yang seumpama melepas batuk di tangga, Pakatan Rakyat memutuskan untuk mengadakan pertemuan ini bagi membincangkan beberapa perkara yang mendesak kerana ianya membabitkan integriti beberapa institusi kenegaraan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) dan Polis DiRaja Malaysia(PDRM).


Pertemuan juga dijangka membincangkan kontroversi kematian mendiang Teoh Beng Hock dan bidangkuasa suruhanjaya yang terbatas. Turut disentuh di dalam surat kepada perdana menteri ialah, adanya pembabitan agensi kerajaan untuk menggugat kestabilan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Hasrat untuk bertemu Dato’ Sri Najib juga adalah untuk menuntut agar tempoh perkhidmatan Tan Sri Musa Hassan tidak dilanjutkan, terutamanya apabila nama beliau dikaitkan dengan kongsi gelap pelbagai skandal seumpama pembelian Eurocopter. Manakala selari dengan kehendak rakyat dan perkembangan semasa, adalah wajar untuk negara ini memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA).

Ayah Ahmad Nizam di IJN...

Selepas rawatan awal di Temerloh:
Ayah Penasihat Undang2 PKR Pahang ke IJN


Pimpinan PRIMA melahirkan rasa berdukacita kepada Penasihat Undang-Undang PKR negeri Pahang dan aktivis masyarakat di sini, Ahmad Nizam Hamid berikutan ayahnya dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) hari ini (30 Jun 2009). Sebelum ini ayah Ahmd Nizam dimasukkan ke hospital di Temerloh bagi rawatan awal, di samping sentiasa berulang alik menerima doktor di sana. Selepas menerima khidmat nasihat selanjutnya, Ahmad Nizam memasukkan ayahnya ke IJN hari ini. Ketika dihubungi sekretariat PRIMA, beliau memberitahu keadaan ayahnya stabil tetapi memerlukan rawatan lanjut di IJN.

Bagi pihak pimpinan PRIMA saya mendoakan ayah Ahmad Nizam segera sembuh, di samping keluarga beliau sentiasa bersabar. Bagaimanapun Ahmad Nizam tak menjelaskan sama ada pelawat dibenarkan menziarahi ayahnya atau sebaliknya. Disebabkan ayahnya sudah lama menerima rawatan di hospital Temerloh, Ahmad Nizam tak menggalakkan ayahnya dkunjungi sahabat handai dan pelawat-pelawat. "Harap kawan-kawan doakan ayah saya selamat menjalani rawatan, di samping segera sembuh," beritahu Ahmad Nizam.

INFO SASTERA & BUDAYA

PUISI

Kalau Otak Tak
Sampai Segenggam

Ada orang kata
PRIMA anjur deklamasi sajak
sebab nak pecah belahkan Melayu
dia ni ngok ke apa?

Melayu tak payah
siapa nak cuba pecah belahkan
sememang dah pecah
dan punah ranah pun.

Melayu dah lama terbarai
dan terburai
lantaran ngoknya akal
hemah dan budi
orang Melayu otaknya
terletak di buku lali
bahagia jadi haruan
makan anak sendiri.

Demikian para seldadu upahan
bersyahwat melontar tuduhan
dia ni tahu ke
sajak tu apa?

Kalau kail panjang sejengkal
jangan menduga dalamnya lautan
kalau otak tak sampai segenggam
jangan mencabar kafilah pejuang
percuma nanti mandi telanjang.

-Yassinsalleh
jam 1805
Julai 30, 09
Langit Kuala Lumpur
tak berlembayung
sarat jerebu menutup pandang.

info suara prolitar...

PRIMA pelingkup bangsa
Cina, Hindu pariya yg suka

Pandak Akat said...
Awak ni pelingkup bangsa melayu. Cinacina hindu pariya suka orang macam hampa. mereka boleh lanjak orang melayu. - Pandak Akat.

July 30, 2009 8:31 AM
Post a Comment
(mengenai jemputan PRIMA ke majlis baca puisi)

Puisi tak pecah belah Melayu

Tak baca puisi pun orang Melayu dah pecah belah oleh UMNO. Politik wang bukan sahaja dalam pilihanraya, dalam pemilihan UMNO pun pecah belah. Ali Rustam dah sah dijatuhkan hukum 'politik wang', tapi masih kekal jadi KM. Apa dah jadi? - (Yassinsalleh, Puchong, Selangor - SMS, 30 Julai 2009; 18:09:43).

Selama ni Melayu bersatu ke?

Kalau pecah Melayu jangan ada berbalas pantun, jangan ada debat piala perdana menteri, bubarkan semua parti politik. Selama ni Melayu bersatu ke? - (Rozmal Malakan, Seremban, N.S.; SMS, 30 Julai 2009; 17:44:4o).

Siapa tukang komen tu?

Siapa tukang komen yang minda leceh tu? - (Ahmad Nizam; Semantan, Pahang; SMS 30 Julai 2009; 17:36:03)

Berpecah kerana pemimpin tak berfungsi.

Melayu berpecah kerana rebut kerusi, pasal isu basi, pasal makan tak kongsi, pasal pemimpin tak berfungsi, bukan kerana berpuisi- (Zakaria Bidin; Cheras, KL; SMS 30 Julai 2009; 17:46:21 )

Links to this post

BIAQPILA: UMNO PAS: NIK AZIZ MEMANG POWER
AKU TABIK SPRING KAT TG NIK AZIZ...SEKALI DIA CAKAP,PUAK UMNO SEMUANYA MENGGELUPUR BAGI ULASAN.MEMANG POWER LA...MANA TAK POWERNYA,NIK AZIZ DIKATAKAN BOLEH MENGHANCURKAN ORANG MELAYU.KALAH PELURU BERPANDU BEB. ...
Posted byBiaqpila atJuly 30, 2009 11:00 AM

BIAQPILA: Keluarga Teoh Beng Hock Tetap Mahu Suruhanjaya Diraja ...
Walaupun bertemu dan mendengar janji Perdana Menteri , keluarga mendiang Teoh Beng Hock tetap dengan pendirian suruhanjaya diraja mesti menyiasat punca kematian mendiang Beng hock.. Keluarga mendiang Beng Hock mengadakan pertemuan ...
Posted byBiaqpila atJuly 30, 2009 9:00 AM

BIAQPILA: Adun dakwa salah guna dibuat BN
SHAH ALAM: Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, antara tujuh wakil rakyat Pakatan Rakyat yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan wang peruntukan kerajaan negeri, semalam mendedahkan ...
Posted byBiaqpila atJuly 30, 2009 7:00 AM

Create a Link - http://www.biaqpila.blogspot.com/.

Pimpinan UMNO jangan melawak...

Amanah yang dipikul:
Untuk bersihkan parti

Ketua Penerangan UMNO Dato' Ahmad Maslan diingatkan jangan 'melawak' apabila diberi amanah memikul tanggungjawab pimpinan Pusat, kata bekas Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gombak, Omar Sudi Abdul Manan. Mengulas kenyataan Ahmah Maslan di akhbar Utusan Malaysia hari ini (30 Julai 2009) mahu mendahulukan perkataan 'agama' dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO yang menyebut perjuangan untuk 'bangsa, agama dan negara', Omar Sudi memberitahu segala yang termaktub dalam perlembagaan itu sudah cukup berkesan. "Semuanya diutamakan serentak dalam perjuangan UMNO iaitu bangsa, agama dan negara, tak perlu nak melawak," menurut Omar Sudi.

Ketika keberangan rakyat terhadap UMNO masih belum reda, Ahmad Maslan perlu memahami kelemahan yang wajar diperbaiki iaitu isu 'politik wang' yang menyebabkan perjuangan UMNO tergadai, kata Omar Sudi lagi. Seterusnya beliau menyentuh sikap Ketua Penerangan itu sebelum ini yang mahu mendekati 'orang kampung' dengan menunggang basikal dan berkain pelikat; perbuatan itu juga adalah melawak malah ditertawakan oleh lawan. UMNO perlu membuat perubahan bukannya untuk melawak, jelas beliau. "Kalau UMNO mahu berubah hapuskan terlebih dahulu 'politik wang', dan jangan biarkan jawatan bagi pimpinan di peringkat Cawangan juga boleh dibeli," beritahu Omar Sudi menambah.

H1N1 Semakin Serius Landa Negara

11 kem PLKN pula ditutup:
Rakyat terdedah kpd jangkitan

30/07/2009 1:35pm

PULAU PINANG 30 Julai — Selepas beberapa buah sekolah dan pusat pengajian tinggi ditutup sementara, 11 pula kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di semenanjung diarah tutup setakat ini berikutan pelatihnya menunjukkan tanda-tanda jangkitan influenza A (H1N1). Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penutupan kem itu melibatkan 4,500 pelatih dan kira-kira 200 petugas dan mereka diminta berada di rumah selama seminggu.
Beliau berkata semua aktiviti PLKN akan diadakan semua mengikut modul yang ditetapkan selepas semua pelatih dibenar kembali ke kem. “Kami akan ambil tindakan sama ke atas kem PLKN yang lain jika keadaan yang sama berlaku di kem-kem itu. Terdapat 87 kem di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan petugas kem tentera Tun Razak di Bayan Lepas, di sini. Ditanya jumlah pelatih yang disahkan positif virus itu, Ahmad Zahid berkata:

“Kami tidak pasti berapa ramai yang dijangkiti tapi daripada maklumat yang saya dapat, tiada yang pulang dari dari luar negara, termasuk petugas kami”. Beliau meminta ibu bapa pelatih terlibat supaya tidak panik kerana kementerian akan mengambil tindakan drastik bagi mengatasi masalah itu. Ahmad Zahid juga berkata pertandingan akhir kem PLKN terbaik seluruh negara yang dijadual 19 Ogos telah ditunda. — BERNAMA

INFO PENDIDIKAN MELAYU


Kemahiran Hidup: Perlu selitkan biografi
Orang berjaya walau kurang pencapaian akademik.

Ditulis oleh: Cikgu Fadzli, 30 July 2009

Hal silibus memang penting dalam pendidikan. Nadi kepada pembaharuan pendidikan generasi muda adalah bergantung kepada keupaayan memperkasakan kurikulum. Sebagai sebahagian daripada subjek elektif, Kemahiran Hidup seringkali dikatakan kurang bernyawa di sekolah. Silibus yang hanya mengajarkan membuat itu dan ini yang fokus utamanya hanya menghasilkan produk. Tidak dinafikan minat pelajar dapat dilentur apatah lagi Kemahiran Hidup sudah diajar di sekolah rendah lagi.

Sebagai cadangan yang dapat difikirkan, masa kini selain daripada kandungan silibus Kemahiran Hidup dapat diperkayakan lagi dengan biografi ringkas orang berjaya sama ada tempatan mahupun luar negara. Sesetengah mungkin menganggap remeh perkara ini, tetapi tiada salahnya jika ia dapat diserap dalam silibus sekarang.

Mempelajari sikap dan tujuan hidup orang berjaya dapat sekurang-kurangnya melentur sifat jati diri yang kukuh berasaskan semangat berdikari serta usaha yang gigih. Tokoh-tokoh perniagaan dan usahawan mungkin dapat diambil sebagai pilot test sebagai pengisian silibus ini. Pakar-pakar pengkaji tingkah laku dan psikologi dapat menyumbang dalam merumuskan tingkah laku kejayaan supaya anak-anak kita memandang tinggi sifat keusahawanan mereka. - www.cikgumalaysia.com .

SEKALI PERSETUA...

Sekalian penghulu-penghulu rakyat:
Menuntut diganti Orangkaya Temenggung

Sebermula sekalian penghulu-penghulu Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Orangkaya Permatang Pauh Dato' Seri Anwar Ibrahim berhimpunlah mereka di balai peseban menuntut Orangkaya Temenggung Seri Maharajalela Tan Sri Musa Hassan itu jangan dilanjutkan lagi khidmatnya dan perlu digantikan dengan Orangkaya Temenggung yang lebih berwibawa. Arakian maka berkatalah ketua penghulu itu, Orangkaya Dato' Seri Anwar Ibrahim, desakan itu dibuat selepas dalam mesyuarat Pakatan Rakyat yang dihadiri semua penghulu-penghulu yang menyetujui bahawa Orangkaya Temenggung Tan Sri Musa Hassan tak berjaya ia mengurangkan kadar jenayah di negara ini.

Syahdan menurut Orangkaya Dato' Seri Anwar itu, masalah jenayah dan rasuah masih terus membelenggu negara hingga pandangan negara lain buruk terhadap negeri Melayu ini. Maka inginlah semua penghulu-penghulu sekalian menemui Orangkaya Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak berhubung hal tersebut, dan meminta Orangkaya Perdana Menteri memberi pertimbangan tuntutan itu. Adapun Orangkaya Temenggung Tan Sri Musa dakwa Orangkaya Anwar, terbabit dengan beberapa perkara buruk yang hingga kini masih disangsikan kerana siasatan yang tiada keputusan ke atasnya.

Arakian setelah sampai, maka Sultan Mansor Shah pun murka akan bendahara, tiga hari tiada ditegur, oleh tiada mahu kembali ke Pasai merajakan Sultan Zainu'l-Abidin, bukannya sekadar berjawatan Orangkaya Temenggung. Maka Sultan Mansor Shah menyuruh memanggil laksamana. Telah laksamana datang, maka baginda bertanya kepada laksamana perihal tatkala di Pasai. Maka laksamana berdatang sembah, berjahat bendahara kerana kasadnya mahu mengampu-ampu jua, adanya. Hatta oleh sekalian orang banyak diperbuat nyanyi jua:

Laksamana berdatang sembah
Bendahara bukannya Temenggung
Ke mana sokong membawa rebah
Sementara hati belum tersinggung

Hatta sekalian hamba sahaya itu pergilah mereka membaca 'Kitab Melayu' daripada:






HIDUP BAHASA MELAYU!

JEMPUTAN KEPADA SEMUA...

============================================
BACA PUISI 'MANIFESTASI RAKYAT'
Warga Prihatin Malaysia (PRIMA)

menjemput ke majlis
BACA PUISI MANIFESTASI RAKYAT
menentang PPSMI dan isu rakyat prolitar.

Tempat: Kelab Golf Perangsang, Templer Park, Selangor
Masa : 8.30 malam
Tarikh : 15 Ogos 2009

Tetamu Istimewa:..............

Semua dijemput hadir.

Turut mengundang
Pimpinan PRIMA:

Pak Dharma - Yahaya Ismail - Dato' Kamal Amir - Prof Dato' Dr Mohamad Mansor Abdullah - Yassinsalleh - Dr Seri Intan Mokhtar - Datin Rozie Rahman - L Mankadir Shamsi - Ahmad Nizam Hamid - Zainal Rasidin - MSO - Yasleh Rita Ayu - Adiah Mat Lana - Haji Abu Bakar Ninggal - Zakaria Bidin.
================================

SEKILAS PANDANG...

Kerana lenggang baju koyak
Kerana lonjak kupiah pesuk


Ekoran laporan Utusan Malaysia mengenai kenyataan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum muktamar PAS Jun 2009 lalu yang menyebut: 'NASIHAT SAYA MESTI DIDENGAR', beliau memfailkan samannya terhadap akhbar terbabit. Justeru akhbar berkenaan mengakui kesilapannya secara terbuka, sekalipun implikasinya memang menjejaskan reputasi akhbar Melayu tertua itu. Sebaliknya kalau ianya tak terlalu ghairah mahu memerangkap lawan UMNO, barangkali segalanya masih boleh dielakkan.

Misalnya sekitar 1965, akhbar berkenaan melaporkan Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Syed Jaafar Albar seolah-olah menggambarkan Lee Kuan Yew seorang pengamal komunisme. Justeru apabila Lee Kuan Yew bertindak balas, bukan sahaja Tan Sri Jaafar Albar menanggung risiko, sebaliknya bangsa Melayu turut terheret di samping Tunku mengambil langkah menyingkirkan Singapura dari Malaysia. Aduhai!Pengalaman saya bersama Tan Sri Abdul Samad Idris pada 1970-an juga bermula daripada laporan Utusan Melayu (akhbar jawi), seolah-olah bekas menteri itu menyebut: 'Orang Melayu dalam DAP bukan Melayu'.

Sebenarnya beliau tak berkata begitu, tetapi apabila saman difailkan dengan mendakwa beliau menafikan hak orang Melayu yang menjadi ahli parti itu, saya terpaksa meminta Pak Mail (jurulatih di Dusun Tua) membeli buku 'Who Lives if Malaysia Die' di ibu pejabat parti itu. Bagaimanapun lembaga pengarah Utusan Melayu (Tan Sri Abdul Samad salah seorang ahli lembaga pengarah) bersetuju membuat penyelesaian di luar mahkamah. Maknanya, wartawan yang ghairah sangat (sekarang) eloklah belajar dari pengalaman masa lalu! Seperti diungkap pepatah orang tua-tua: "Kerana lenggang baju koyak, kerana lonjak kupiah (songkok) pesuk". Di bawah ini keratan akhbar berkenaan menurut http://siasahdaily.com/ hari ini (29 Julai 2009):
"PERMOHONAN MAAF

Utusan Malaysia memohon maaf kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Mat, Menteri Besar Kelantan di atas kesilapan laporan mengenai kenyataan beliau yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 15 Jun 2009.YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz sebenarnya bermaksud bahawa "nasihat beliau tidak semestinya didengar" ketika mengulas mengenai cadangan kerajaan perpaduan pada sidang media itu.Oleh itu, tajuk atas sebelah kiri, muka surat hadapan Utusan Malaysia pada 15 Jun 2009 iaitu Nasihat saya mesti didengar adalah salah serta bukan menggambarkan apa yang dimaksudkan oleh YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz pada sidang media itu.

Begitu juga fakta berhubung perkara yang sama pada berita penuh mengenai kenyataan beliau itu pada muka surat 7, Utusan Malaysia keluaran 15 Jun 2009, adalah salah.Utusan Malaysia dengan ini menarik balik dengan sepenuhnya kesilapan tersebut dan secara tulus ikhlas memohon maaf kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz di atas kesilapan yang tidak disengajakan itu dan atas apa jua kedukaan atau pengaiban yang mungkin diakibatkan kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz daripada kesilapan tersebut. "

- Pak Dharma

MOHD AFFANDI HASSAN MENULIS...

PENGARUH BESAR TOK GURU NIK AZIZ
DALAM POLITIK MALAYSIA

Kutukan Tok Guru Nik Aziz terhadap UMNO, “Pergi jahanamlah UMNO!”, menimbulkan huru-hara di kalangan ahli UMNO dan penyokong UMNO, yang mendorong para pemimpin UMNO mengisytiharkan diri merekalah pemimpin sejati orang Melayu dan Islam. Semua mereka sebulat suara mengajak rakyat Malaysia, terutama sekali orang Melayu dan orang Islam, supaya melupakan saja Tok Guru Nik Aziz, tidak memberi perhatian lagi kepada Tok Guru yang sangat bisa mulutnya itu. Seorang Timbalan Manteri dari Kelantan berkata, Tok Guru itu hendakkan buah, tapi tak mahu pohon apabila menolak kerjasama dengan UMNO tetapi bersedia bekerjasama dengan kerajaan pusat. - (Gambar, Mohd Affandi Hassan)

Jika anda pernah ke pasar tani yang kebetulan ada penjual durian, bagaimana perasaan anda jika penjual durian bertanya, “Tuan mahu buahnya saja atau pohonnya sekali?” Tentulah anda anggap penjual buah durian itu sudah gila. Apa perlunya pembeli hendak beli pokok durian, jika buahnya saja yang dia mahu? Tidakkah gila jika setiap kali anda ingin makan buah-buahan, anda terpaksa membeli pokoknya sekali. Tetapi Timbalan Menteri yang terlalu cerdik itu jadi amat bodoh apabila menggunakan analogi yang tidak masuk akal itu. Inilah taraf pemikiran pemimpin UMNO, baru berada pada kelas budak-budak sekolah, belum lagi sampai ke taraf seorang ulama seperti Tok Guru Nik Aziz.

Kelemahan terbesar UMNO ialah tidak dapat menerima kekalahan, oleh itu mereka akan menjahanamkan musuh politik mereka dengan cara apa saja, misalnya dengan merampas kuasa seperti yang mereka lakukan berkali-kali di Kelantan, Terengganu, di Perak (terbaru) dan kini sedang mencuba bermati-matian hendak menjahanamkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang. Mereka boleh malakukannya kerana mereka mempunyai kuasa undang-undang kerana masih berkuasa di peringkat pusat. Mereka menggunakan undang-undang yang mereka bikin sendiri dalam Dewan Rakyat untuk memastikan mereka terus berkuasa. - (Gambar hiasan, FRU berkawal di depan DUN Perak)

Dalam konteks inilah ucapan keras Tok Guru Nik Aziz itu harus difahami. UMNO dan sekutunya menganggap Malaysia kepunyaan mereka, dengan alasan bahawa merekalah yang “memperjuangkan” kemerdekaan Malaysia. Sebenarnya mereka bukan pejuang dalam makna yang tepat yang digunakan dalam politik perjuangan kemerdekaan yang dialami di Indonesia, Vietnam, Burma dan lain-lain. UMNO adalah “perunding” kemerdekaan, yang dicipta oleh penjajah Inggeris untuk mewakili orang Melayu dan raja-raja Melayu. Kerana adanya perasaan “Malaysia UMNO punya”, maka UMNO tidak boleh terima sebarang kekalahan.

Sikap inilah yang telah menjahanamkan orang Melayu, kerana orang Melayu dipaksa berada dalam keadaan yang sentiasa bergantung kepada UMNO “demi keselamatan Melayu dan Islam”. Sedar atau tidak, orang Melayu telah dijadikan hamba oleh UMNO untuk terus berkuasa. Begitu terhutang budinya si Melayu ini apabila diberi sebuah jambatan baru berharga RM300,000 selepas PRK 14 Julai 2009 baru-baru ini. Diberi seekor anak beruk atau anak kambing pun mereka sangat terhutang budi kepada UMNO. Demikian hinanya menjadi Melayu di bawah naungan UMNO, terpaksa menjadi peminta sedekah untuk mendapat sesuatu yang mereka perlukan.

Walaupun disedari mereka perlukan jambatan, pemimpin UMNO memberi syarat dan kata dua kepada para pengundi dalam sejenis amaran yang dihamburkan oleh TPM Muhyiddin Yassin di Manek Urai baru-baru ini: “Kita boleh bagi jambatan baru, Insya Allah, tetapi ada syarat. Yang itu senang saja, pangkah saja Barisan Nasional. Kita nak beritahu semua, mu (kamu) nak lalu sini, mu kena pangkah Barisan Nasional. Kalau tidak, esok tak dapat jambatan. Nak jambatan, pangkah Barisan Nasional.” (Siasah, 19-25 Julai, 2009).

Keangkuhan seperti ini mendorong sebahagian besar rakyat Manek Urai menjeritkan kutukan, “Pergi jahanamlah UMNO!” Suara rakyat itulah yang digemakan kembali oleh Tok Guru Nik Aziz ketika beliau mengulang kutukan itu. Ituah makna sebenar “rakyat diutamakan” yang digembar-gemburkan oleh Najib Tun Razak, yang kononnya mencipta One Malaysia (bukan Satu Malaysia kerana satu sen tidak ada harga sekarang!). Nah, mengapa pula UMNO marah-marah apabila rakyat benar-benar diutamakan dengan mengulang kutukan mereka, “Pergi jahanamlah UMNO!” seperti yang dibuat oleh Tok Guru Nik Aziz. - (Gambar)
Kalau betul-betul rakyat diutamakan, UMNO wajib dengar suara yang berbeza daripada rakyat, walaupun berupa kutukan. Kutukan demikian sebenarnya perlu untuk mengimbangi keangkuhan para pemimpin UMNO seperti yang ditunjukkan oleh Muhyiddin Yassin di Manek Urai. Dalam konteks ini, UMNO mesti bersedia untuk dikalahkan, malah UMNO mesti belajar menjadi kumpulan yang kalah.

Pendeknya, hanya dengan menerima kekalahan sebagai ketua parti yang budiman dan bersikap lapang dada, barulah UMNO boleh berubah. Jika UMNO tidak mahu kalah, maka sikap itu bertentangan dengan Islam yang dikatakan amat disanjung oleh UMNO. Atau sebenarnya UMNO berpura-pura dalam semua perkara, termasuk dalam agama? Kalau begitu, tepatlah tempelak Tok Guru Nik Aziz, “Pergi jahanamlah UMNO!” - [29/7/2009] Mohd. Affandi Hassan.