Monday, March 23, 2009

LAPORAN TERKINI...

Injuksi Ke Pejabat ROS:
Halang Perhimpunan UMNO

Perhimpunan Agung UMNO dijangka bermula esok 24 Mac 2009, berhadapan dengan isu krisis perlembagaan, apabila dua orang aktivis UMNO mengambil langkah drastik menyerahkan injuksi kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bagi menghalang ianya diteruskan Dalam satu laporan menyebut, keputusan menyerahkan injuksi itu bagi memastikan UMNO menyelesaikan segala isu berbangkit sebelum persidangan dijalankan. Menurut sumber, Dato' Kadar Shah dan Dato' Mazlan akan ke pejabat ROS esok jam 2.00 petang di Aras 2 Presint 1 Kompleks Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya 62546 WP, tel 03-88863301. Dato' Kadar Shah adalah anak bekas Pengerusi Tetap UMNO Malaysia, Tun Sulaiman Ninam Shah.

Sementara Dato' Mazlan pula ialah anak bekas Ketua Pemuda UMNO yang juga Menteri Besar Selangor (1964-1974) Dato' Harun Idris. Sebelum itu mereka berdua pernah membuat sidang media untuk mengambil tindakan terhadap Perhimpunan Agung UMNO yang dijadual esok 24-28 Mac 2009. Dalam sidang media sebelum ini, Dato' Kadar Shah menganggap Persidangan Agung itu wajar ditangguhkan, bagi memastikan UMNO bersih daripada sebarang dakwaan politik wang dan masalah dalaman yang perlu diselesaikan. Rakan-rakan media termasuk juga pengendali laman web dan laman blog, dijemput hadir ke pejabat ROS jam 2.00 petang esok bagi mendapatkan perkembangan selanjutnya. "Bangsa Melayu perlu bangkit mempertahankan maruah yang tercalar, tercakar dan tercemar!" kata sumber berkenaan.

Penjelasan Pak Ya...

Kecoh Khairy Lapor Polis:
Deal Untuk Beli Hakcipta Buku


Panel peguam Melayu bersedia membantu sasterawan Haji Yahaya Ismail (Pak Ya) menghadapi tindakan calon Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin sekiranya berhadapan dengan kes mahkamah. Mereka juga memberitahu bersedia melancarkan dana bagi mempertahankan hak kebebasan penulis memberikan pandangan dan kritikan. Pak Ya yang juga bekas pensyarah di USM sekitar dekad 1970-an tak terkejut apabila Khairy membuat laporan polis berkaitan dengan buku yang ditulisnya 'Tuah & Sial Khairy Jamaluddin', di samping didakwa mengugut RM100,000 bagi mengelakkan buku berkenaan diterbitkan. "Hanya mereka yang tak tahu bahasa Melayu sahaja tak faham istilah sebenarnya," kata Pak Ya.

Bagaimanapun Pak Ya berasa hairan kerana Khairy tak memberikan penjelasan yang sebenar dalam isu berbangkit. Menurut Pak Ya, beliau diperkenalkan oleh seorang kenalan kepada Khairy dalam pertemuan lebih kurang 30 minit di pejabatnya di Bukit Kirara. Dalam pertemuan tersebut perbincangan berkisar ke atas manuskrip buku mengenai 'Pemuda UMNO', di samping kesediaan Pak Ya menjual 'hakcipta' RM100,000. Selepas 24 jam berlalu, pihak terbabit tak bersetuju untuk membeli hakcipta, justeru beliau menerbitkan sendiri manuskrip buku itu dengan judul sekarang, jelasnya. "Isu sebenar ialah satu deal untuk membeli hakcipta, apabila dia tak mahu, saya ambil semula hakcipta saya," beritahu Pak Ya menambah.

APA KATA MOHD AFFANDI HASSAN...

Masalah Pemimpin Melayu:
Tidak Sama Dengan Masalah Melayu


Kekalutan politik tentang ”masalah Melayu” terjadi kerana para pemimpin Melayu menyamakan masalah mereka dalam merebut kuasa sesama mereka sebagai masalah Melayu secara umum. Masalah pemimpin bukan masalah rakyat. Tetapi UMNO menjadikan masalah mereka sebagai masalah rakyat, oleh itu mereka mengambil kesempatan untuk menggunakan sokongan orang Melayu bagi menguatkan kedudukan politik peribadi mereka. Mereka menakut-nakutkan orang Melayu bahawa masalah mereka adalah masalah Melayu. Perkara ini menjadi lebih keliru apabila satu kumpulan orang-orang terbuang yang menggelar diri mereka anggota PERKASA mengadakan muktamar untuk kononnya membincangkan masalah Melayu.

Sebenarnya tidak ada pun masalah Melayu dibincangkan dalam muktamar itu. Yang riuh rendah disuarakan ke angkasa lepas ialah perasaan tidak puas hati ketua-ketua dari kumpulan terbuang yang satu ketika dulu “pernah” menjadi pemimpin Melayu (malah ada di antara mereka yang sangat hebat dari segi kuasa dan pengaruh). Seperti biasa, mereka membangkitkan masalah raja-raja Melayu (tetapi tidak dibincangkan sama ada masih relevan atau tidak dalam politik moden berasaskan demokrasi), hak-hak istimewa orang Melayu, agama Islam dan bahasa Melayu, masalah tanah di kalangan orang Melayu, dan perpecahan Melayu.

Kumpulan orang-orang terbuang ini satu ketika dulu memang dekat dengan raja-raja Melayu, malah ada di antara mereka yang begitu dekat hingga mereka berani mengacau hak raja-raja Melayu dengan membuang imuniti raja-raja yang kini mereka jeritkan sedang terancam kedudukannya. Kegagalan mereka menyelesaikan “masalah Melayu” dijadikan alasan untuk menghentam orang-orang bukan Melayu yang menurut mereka kini sangat berani menyoal kedudukan dan hak istimewa orang Melayu, agama Islam dan raja-raja Melayu. Sebenarnya merekalah yang menjadi masalah kerana kerakusan mereka sewaktu berkuasa untuk mempermainkan orang Melayu sebagai hamba politik mereka.
Sebagai contoh, kumpulan terbuang yang mendakwa mereka mengambil berat tentang “masalah orang Melayu” sebenarnya mengkhianati orang Melayu dengan meminggirkan bahasa Melayu, memandang rendah kemampuan bahasa itu (kerana mereka sendiri sangat lemah dalam bahasa Melayu) untuk membina tamadun sehingga mesti digantikan dengan bahasa Inggeris, lalu mereka mulakan projek penjajahan baru dalam budaya Melayu dengan mewujudkan PPSMI yang sangat mahal harganya itu. Kata mereka, itulah masalah Melayu, tidak mahu maju, mahu terus ketinggalan dalam zaman IT ini dengan menolak penggunaan bahasa Inggeris dalam PPSMI.

Contoh lain tentang Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Menurut kumpulan terbuang ini, sekarang wujud gerakan tersusun untuk mencabar kedudukan Islam dalam Perlembagaan, dengan menimbulkan masalah penggunaan nama Allah, masalah murtad dan lain-lain yang tidak boleh disentuh, tidak boleh dibincangkan kerana telah dijadikan perkara sensitif. Apakah punca yang disebut “masalah agama Islam” itu? Puncanya ialah para pemimpin UMNO menolak Islam sebagai asas tamadun, oleh itu dengan sengaja meletakkan Islam dalam keadaan yang lemah dan dikelirukan peranannya dalam kehidupan moden, dengan menjadikan Islam hanya satu “ritual” peribadi yang tidak mempunyai fungsi politik dan kemasyarakatan.

Orang bukan Islam melihat ini sebagai peluang untuk melemahkan Islam, yang mereka lihat dipinggirkan oleh para pemimpin Melayu sendiri, terutama dalam UMNO. Mereka tidak melihat kekuatan Islam sebagai pembina tamadun dunia moden, kerana peluang itu dinafikan dalam pembangunan di Malaysia dengan alasan bahawa Islam adalah punca kemunduran masyarakat. Oleh itu apa yang disebut “pembangunan” itu menjadi punca masalah sosial, misalnya pembangunan rumah untuk rakyat di kawasan banjir, dengan struktur rumah yang kecil, panas, sesak dan tiada tempat warganya berinteraksi secara normal (bukan dengan paluan gong memanggil mereka berkumpul untuk mendengar propaganda).
Islam tidak memainkan peranan langsung dalam pembangunan masyarakat yang dibentuk begitu rupa untuk menyuburkan maksiat, memberi peluang kepada masyarakat melakukan segala jenis jenayah. Dengan itu rakyat tidak diberi peluang untuk melihat dan menikmati keadilan Islam dalam pembangunan negara. Yang terjadi ialah suburnya pembangunan berbentuk fasad yang dikutuk dalam Islam. Apabila timbul cabaran daripada orang-orang bukan Islam, maka kumpulan pemimpin terbuang dan rakus mengumpul kekayaan peribadi ini, berasa sangat tercabar kedudukannya, oleh itu para pencabar itu dipersalahkan.

Andainya pembangunan bangsa dan masyarakat berlandaskan prinsip-prinsip Islam, yang mengutamakan keadilan, keselamatan, keamanan dan persaudaraan, maka kritikan terhadap Islam dijawab sendiri kalam bentuk pembangunan yang demikian cirinya tadi. Dalam keadaan itu, jika sekiranya timbul persoalan penggunaan nama “Allah”, tentang murtad (yang menurut angka tidak rasmi sudah mencapai setengah juta di kalangan orang Melayu) dan hak-hak wanita, maka para pencabar tadi boleh ditangani secara rasional dan terbuka dengan mencabar mereka untuk membuktikan bahawa mereka boleh memberikan keadilan, keselamatan, keamanan dan persaudaraan seperti yang dianjurkan dan dipraktikkan dalam Islam.

Apakah dengan membenarkan mereka menggunakan nama “Allah” dalam propaganda keagamaan mereka, maka mereka dapat menjamin wujudnya keadilan, kesejahteraan, keamanan, persaudaraan dan sebagainya yang diberikan oleh Islam dalam bentuk pembangunan ekonomi dan masyarakat? Apabila prinsip Islam itu ditolak sebagai asas pembinaan tamadun, maka sudah wajar dan munasabah jika Islam dicabar oleh orang bukan Islam dalam konteks yang mereka lakukan sekarang.
Mereka sebenarnya menyuarakan perasaan meluat melihat penyelewengan dalam pembangunan ekonomi dan kemasyarakatan yang mereka alami sekarang. Jawapan kepada cabaran yang disebutkan itu ialah dengan menjadikan Islam asas pembinaan tamadun moden. Tetapi ini ditolak oleh para pemimpin Melayu dari kumpulan terbuang yang begitu lantang menjeritkan kelemahan orang Melayu, agama Islam, kedudukan raja-raja Melayu dan sebagainya, yang mereka sendiri lakukan dalam kerakusan mereka merebut kuasa dan mengumpul kekayaan peribadi.

(* Mohd Affandi Hassan penulis prolifik sekitar dekad 1970-an dan 1980-an, di samping beberapa kali memenangi hadiah karya sastera, tetapi menolaknya. Pengkritik sastera yang disegani, beliau adalah pesara PTD dan berpengalaman luas dalam pentadbiran negara.)