S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
ANGGOTA RELA USAP-USAP COTAR
BAWA TAHANAN IMIGRESEN KE HOSPITAL!
Assalamualaikum,
Ketika menunggu di ruang jabatan kecemasan Hospital Daerah Teluk Intan semalam (20 Jun 2008), bagi urusan memasukkan bapa mertua saya ke wad, terlihat lima orang wanita memakai baju-T ‘tahanan imigresen’ dikawal dua orang anggota RELA wanita. Salah seorang anggota RELA wanita itu mengusap-usap cotar di pinggang apabila melintasi di hadapan saya, seolah-olah ‘akulah aku’! Apalagi lima orang tahanan wanita berkenaan digari tangan, untuk mendapatkan rawatan di jabatan kecemasan itu. Salah seorang wanita berkenaan memangku anaknya (mungkin sahaja wanita Indonesia), seolah-olah mereka dilayan bagaikan penjenayah yang berbahaya. Malah Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Syed Hamid Albar, mungkin sahaja tak pernah melihat fenomena yang berlaku di Hospital Teluk Intan itu.
Memang prosedur menetapkan tahanan terbabit perlu digari, tetapi atas budi bicara peraturan menggari boleh diketepikan; apalagi mereka dibawa ke hospital bagi rawatan perubatan. Malah mereka juga tak mungkin mampu melarikan diri, disebabkan sebagai pendatang tanpa izin adalah sukar bagi tahanan terbabit memahami selok belok laluan di persekitaran Teluk Intan. Dato’ Seri Syed Hamid Albar kalau mengikuti pertikaman lidah di Parlimen antara Lee Kuan Yew-Tan Sri Syed Jaafar Albar sekitar dekad 1960-an tentu terhiris perasaan apabila Lee Kuan Yew menyebut Albar (Allahyarham Tan Sri Syed Jaafar) lahir di Makasar, Indonesia. Warga Indonesia yang memasuki negara ini tanpa izin pun boleh dirujuk kepada aktivis NGO, Zainal Abidin Rasidin.
Pada period sebelum Dato’ Seri Syed Hamid memegang portfolio kementerian dalam negeri, episod membawa masuk warga Indonesia ke negara ini boleh dianggap fenomena biasa sahaja. Malah beritahu Zainal Abidin, sindiket yang membawa masuk mereka ke negara ini adalah warga tempatan, di samping dikenakan RM800 (bagi satu kepala) kepada majikan yang memerlukannya. (Bayaran yang dikenakan seolah-olah membenar pembiakan virus perhambaan yang menjadi legasi sejak period ‘Kuntakente’, dengan menjual warga Indonesia oleh sindiket terbabit pada harga RM800 seorang. Malah harga seekor kambing untuk aqiqah pun hampir RM1,000.)
Justeru ketika mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan pada 2003, saya mahu ‘mas kahwin’ di Negeri Sembilan dinaikkan daripada (RM24 anak dara, dan RM12 janda) kepada RM1,000 (tetapi sekarang sudah diterima RM200) sekalipun ditentang hebat, kononnya akan ‘meramaikan’ anak dara tua di negeri berkenaan. Sebaliknya mereka tak pernah diberitahu mengenai insiden di Petasih, Jelebu mengenai seorang suami memperlekeh isterinya (seorang janda) yang dinikahi dengan ‘mas kahwin’ RM12. Apabila pihak jabatan agama Islam bertindak untuk menyelesaikan kes tersebut si isteri terbabit memberitahu, sekilo daging di pasar pun harganya RM14 (maknanya lebih mahal dari ‘mas kahwin’). Begitulah!
Mungkin sahaja kenaikan nilai ‘mas kahwin’ (di Negeri Sembilan masih lagi dikekal perbezaan ‘mas kahwin’ anak dara dan janda, sekalipun dalam mesyuarat Majlis Agma Islam 2003, sebulat suara menerima pandangan saya iaitu dihapuskan perbezaan mas kahwin anak dara dan janda, setelah rujuk ayat 4 surah an-Nisaa’), tak sama dengan nilai kenaikan harga minyak. Apabila ke Bagan Datoh semalam (20 Jun 2008) harga petrol dengan Proton Iswara ialah RM100 (pergi dan balik), berbeza dengan tahun 2004 hanya RM35 (pergi dan balik), itupun menggunakan kereta Galant Sigma. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Shahrir Abdul Samad tentu memahami ‘fakta angka’ yang menjadi amalan BN, dengan tak perlu secara sinis menunggu andaian perubahan kerajaan pada September 2008. (Rujuk forum di TV baru-baru ini).
-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA:
PERJUANGAN NUBE TERLALU LAMA
RINTANGAN DALAM INSTITUSI PERBANKAN
(Kenyataan media pimpinan PRIMA, Pak Dharmala N.S. di Kuala Lumpur pada 22 jun 2008, berkaitan isu kenaikan gaji 32,000 pekerja bank yang merangkumi 23 institusi perbankan dalam Persatuan Bank Perdagangan Malaysia - MCBA)
Kenaikan gaji bagi kakitangan bank memang sudah lama diperjuangkan oleh pihak Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (Nube), malah ahli-ahli mereka turut secara berani berkempen dengan memakai lencana mengkritik majikan ketika bertugas iaitu sebelum PRU12. Malah mereka juga menentang sebarangn usaha kerajaan melaksanakan ‘penggabungan bank’ yang menyebabkan ramai kakitangan bank berhadapan dengan isu ‘kehilangan jawatan’. PRIMA bukan sahaja mengalu-alukan kenaikan gaji bagi 32,000 kakitangan perkeranian dan bukan perkeranaian meliputi 23 institusi perbankan, malah mendesak lebih 10,000 kakitangan yang kehilangan jawatan berikutan ‘penggabungan bank’ diambil semula bertugas meneruskan perkhidmatan.
Institusi perbankan memang berkait rapat dengan penjanaan ekonomi, malah bagi negeri-negeri membangun banyak digerakkan oleh pertumbuhan institusi perbankan yang terancang. Majikan dalam institusi perbankan perlu prihatin dengan perjuangan Nube yang sejak lama berhadapan dengan tekanan-tekanan, terutama apabila pelaksanaan ‘penggabungan bank’ memberi implikasi kepada pimpinan Nube sendiri. Kenaikan gaji 17 peratus melalui perjanjian bersama (CA) dengan Persatuan Bank Perdagangan Malaysia (MCBA) yang dimetrai semalam (21 Jun 2008) bukanlah 100% tercapai matlamat sasaran, tetapi ianya menjadi dorongan kepada pembaharuan seterusnya dalam memberi jaminan kepada perjuangan Nube selama ini.
MENENTANG PUAK ANTI ISLAM
PAKATAN RAKYAT MAKIN LONGGAR
Aktivis NGO, Ezam Mohd Noor menafikan akan menggempur Terengganu dan Kelantan apabila menyertai semula UMNO. Memberitahu kritikan terhadap Pakatan Rakyat ketika berucap di Terengganu 20 Jun 2008 lalu, Ezam menjelaskan beliau sekadar memenuhi jemputan rakan lama di salah satu Bahagian UMNO di Terengganu. Katanya, tumpuan tetap diberikan kepada Selangor, Perak dan Pulau Pinang bagi menentang puak yang menggerakkan naratif anti Islam dan Melayu di samping bertopengkan parti politik, kononnya untuk semua kaum. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA, Ezam secara tegas menjelaskan, “Tumpuan saya di Selangor, Perak dan Pulau Pinang terhadap puak anti Islam/Melayu dalam PKR dan DAP”.
Ezam dilaporkan berucap di Terengganu baru-baru ini memberitahu, permuafakatan Pakatan Rakyat tak bertahan lama dengan persefahaman yang longgar, di samping sikap pemimpin-pemimpinnya lebih rakus untuk berkuasa. Selaras dengan analisis pemerhati-pemerhati politik, PAS dikatakan enggan untuk menerima Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Ismail bagi menjadi Perdana Menteri sekiranya usul undi tak percaya dibawa ke Parlimen bagi menumbangkan kerajaan BN. Menurut sumber, PAS tak berkompromi dengan isu wanita memimpin negara Islam. “DAP pula akan berperanan seperti di Perak dan Selangor dengan memastikan polisi mereka diterima bagi mengekalkan kerajaan yang serba goyah,” menurut sumber berkenaan.
BEKAS ADUN RASMI RUMAH OKU
LINDUNG MEREKA KURANG UPAYA
Bekas ADUN Gombak Setia, Haji Yuszahari Yusuff akan merasmikan rumah kebajikan Orang Kurang Upaya (OKU) di Taman Seri Gombak, 12 Julai 2008 ini beritahu ahli jawatankuasa perlindungan OKU, Haji Ahmad Radzi. Orang ramai dijemput hadir bagi meraikan perasmian rumah berkenaan, di samping mendengar taklimat dari pimpinan OKU di Taman Seri Gombak berkaitan dengan aktiviti mereka. Menurut Haji Ahmad Radzi yang juga nazir Masjid al-Khiriyyah, Taman Seri Gombak, rumah tersebut mendapat suntikan daripada Haji Yuszahari bagi melindungi nasib kalangan OKU yang selama ini bergerak secara individu dalam menangani masalah mereka. “Dengan wujud rumah OKU ini, mereka akan ditempatkan di situ dalam usaha membantu kebajikan mereka,” beritahu Haji Ahmad Radzi.
Rumah perlindungan OKU yang terletak di lokasi fasa 9, Taman Seri Gombak iaitu di Jalan 9/1 sudah diberi suntikan oleh Haji Yuszahari sejak awal tahun ini, sebelum PRU12 digerakkan yang menyaksikan kerajaan negeri Selangor berubah tangan. Kalangan OKU dan penduduk Taman Seri Gombak menurut Haji Ahmad Radzi lagi, sudah merancang menganjurkan perasmian rumah kebajikan berkenaan sebelum Mac 2008. Bagaimanapun bagi memberi laluan kepada PRU12 pada 8 Mac 2008, jawatankuasa pengelola bersetuju tarikh perasmian ditangguhkan hingga 12 Julai ini. “Keprihatinan Haji Yuszahari dalam menangani isu OKU tetap akan diteruskan, sekalipun beliau bukan lagi ADUN Gombak Setia,” menurut Haji Ahmad Radzi.
INFO SASTERA & BUDAYA:
PERJUANG MASALAH ARTIS MELAYU
TAK PERLU PIMPINAN DUDUK DI PARLIMEN
Kalangan artis tak perlu merungut apabila banyak masalah mereka tak diperjuangkan sekalipun mempunyai wakil di Dewan Negara iaitu Tan Sri Jins Shamsuddin, kerana fungsi senator bukan khusus untuk artis, beritahu pengarah terbaik Pesta Filem Malaysia dekad 1980-an, Yassinsalleh. Mengulas laporan media hari ini (22 Jun 2008) mengenai Tan Sri Jins Shamsuddin tak memperjuangkan masalah artis setelah menduduki kerusi senator, Yassinsalleh mengingatkan, artis-artis jangan terlalu ghairah mahukan wakil mereka di Dewan Negara kerana masalah mereka hanya boleh ditangani oleh kalangan pejuang, bukan oleh sesama artis. “Pejuang hanya lahir di kalangan pemimpin yang mempunyai pandangan jauh, bukan mengejar glamor atau kepentingan peribadi,” ujar Yassinsalleh seterusnya.
Menurut beliau, pemimpin yang berwawasan tak perlu menduduki Dewan Negara, malah tak semestinya seorang artis bagi memperjuangkan masalah artis. Katanya, pada dekad 1970-an dan 1980-an, (Allahyarham) Haji Idris Ibrahim ketika menduduki kerusi Dewan Rakyat (Setapak, sebelum ditukar kepada Tititwangsa) bukan seorang artis, tetapi beliau menempatkan pejabat kepada Persatuan Seniman di Jalan Haji Hussein bagi menggerakkan aktiviti. “Haji Idris juga memberi suntikan kewangan bagi membiyai aktiviti Persatuan Seniman, di samping memperjuangkan nasib mereka di Dewan Rakyat, hingga Menteri Penerangan (ketika itu Dato’ Seri Rais Yatim) mewujudkan polisi membantu artis menerusi ‘drama swasta’ ketika perfileman Melayu merudum,” kata Yassinsalleh.
INFO SUARA PROLITAR:
EKSPLOIT PAK LAH SERAH KUASA
UMNO TAK IZIN UTAMAKAN KELUARGA!
Alwi, Reezal dan Shabree di KK, skuad khas di bawah arahan KB sedang rosakkan UMNO dengan mengeksploit Pak Lah akan serah kuasa selepas persidangan UMNO, sedang ketika yang sama burukkan Najib & Muhyiddin tak layak dan tak mampu pimpin UMNO. Keluarga AAB terlalu tahu yang Pak Lah mesti melepasi MT, Disember 08 untuk terus heh heh heh. Mereka sangat takuti yang ahli-ahli UMNO tidak akan izinkan kepentingan keluarga melebihi kepentingan parti, agama & bangsa. Jika ikhlas umumkan peralihan, sebelum cawangan mesyuarat. Jangan perbodohkan ahli-ahli UMNO lagi! – (SMS; 20 Jun 2008; 18.52:40 – Yassinsalleh, Kajang, Selangor).
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
‘SAPU RINGIN’ HULUBALANG MELAYU
BERMAINLAH DENGAN BIJAK TUTUR KATA
Sebermula hulubalang di balairongseri (Dewan Rakyat) bernama Orangkaya Dato’ Seri Nazri Aziz (yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri) berkatalah ia ketika di Padang Rengas, tak ada sebarang usul undi tak percaya kepada Orangkaya memanda Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badari esok, 19 Jamadilakhir 1429 (atau disebut orang banyak 23 Jun 2008). Arakian akan Orangkaya Dato’ Seri Nazri itu konon memberitahu usul di balairongseri esok ialah kenaikan harga barang akan dibentangkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Orangkaya Dato’ Shahrir Abdul Samad. Syahdan hulubalang di balairongseri itu memberi jaminan tiada usul seperti itu akan dibawa bagi menjatuhkan memanda Orangkaya Dato’ Seri Abdullah daripada jawatan Perdana Menterinya.
Syahdan, maka betara Majapahit pun memberi titah pada Sultan Mansor Shah, ‘Ada pun sekarang Jawa dan segala orang negeri lain semuanya ini telah bermainlah, masing-masing dengan permainannya, dan segala orang Melaka juga tiada bermain; suruh apa ia bermain, kita hendak melihat’. Maka Sultan Mansor Shah pun memberi titah pada Tun Bija Sura, ‘Titah betara Majaphit suruh orang Melaka bermain’. Maka Tun Bija Sura fikir seketika di dalam hatinya, ‘Baik aku bermain sapu-sapu ringin, supaya berlunjur di hadapan hulubalang Jawa ini’. Arakian, Tun Bija Sura hulubalang raja Melaka itu lalu ia menyembah, ‘Tuanku, apatah ada permainan kita Melayu ini melainkan sapu-sapu ringin’. Maka dilarang oleh hulubalang-hulubalang Jawa, tetapi segera disuruh oleh betara Majapahit bermain seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ oleh: