Sunday, February 17, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:



PRIMA AMBIL KETETAPAN
SOKONG CALON, BUKAN PARTI




Assalamualaikum,






Pagi ini (17 Februari 2008) ketika bersarapan, tak semena-mena Haji Abu Bakar Ninggal menelefon beritahu fasal satu majlis di Istana Budaya jam 2.00 petang anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KekWa) yang turut dihadari oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Memang Haji Abu Bakar sudah beberapa kali tak ikut sama aktiviti PRIMA, mungkin sahaja disebabkan fakta usia. Bagaimanapun beliau turut juga hadir ketika majlis baca puisi karyawan di kediaman Setiausaha Usaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim di Bukit Damansara pada 12 Februari lalu. Tetapi semalam (16 Februari 2008) Haji Abu Bakar tak ikut sama dalam mesyuarat tak rasmi PRIMA di Taman Seri Gombak.






Mesyuarat tak rasmi itu mengambil ketetapan PRIMA menyokong ‘calon’ berkarisma bukan ‘lambang parti’ pada pilihanraya umum ke 12 kali ini. Memang tak sempat untuk hubungi Haji Abu Bakar, tetapi pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail (Pak Ya) memberitahu beliau akan ke Kepala Batas pada hari penamaan calon (24 Februari 2008) bagi mengiringi calon BN (Pak Lah). Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz akan ke Gua Musang pada hari penamaan calon juga mengiringi calon BN, tetapi Haji Mohd Sayuti Omar ke Pasir Mas bagi memberi sokongan moral kepada calon PAS. Tak tahulah dengan Haji Abu Bakar kerana sebelumnya desas desus menyebut beliau akan turut berarak di Permatang Pauh bersama penyokong PKR. Barangkali!




Disebabkan saya juga diminta membuat pendirian, kemungkinan akan menyertai perarakan calon BN di Gombak dengan Ketua Bahagiannya Dato’ Ahmad Bujang dan timbalannya Haji Yuszahari Yusuff pada hari penamaan calon, 24 Februari 2008 nanti. Bagaimanapun ketika balik dari mesyuarat tak rasmi PRIMA kira-kira jam 12.00 malam, saya terserempak pergaduhan membabitkan hampir 50 penunggang motosikal. Salah seorang pula patah tangan akibat terjatuh dalam pelanggaran yang serba berserabut, berkelabut dan kelam-kabut! Disebabkan kereta peronda polis sudah sampai mengawal keadaan, saya juga turut berhenti bagi mengetahui punca pergaduhan.




Rupa-rupanya pergaduhan berkenaan rentetan daripada insiden ‘pelanggan’ di sebuah pasaraya di Selayang (Parkson Grand) membelasah ‘pekerja pasaraya’ yang didedahkan oleh Dato’ Kamal Amir dalam laman blog PRIMA dua hari lalu. Pasaraya berkenaan tak berhadapan masalah, sebaliknya anak-anak muda terbabit menggerakkan perpecahan Melayu dengan keegoan tak berkesudahan. Masing-masing berbangga menjadi ‘abang long’, ‘abang cik’dan ‘ayahanda’ dalam persepakatan longgar hingga ianya membabitkan pergaduhan sesama sendiri, sebaliknya pasaraya tersebut heh heh heh!


-Pak Dharma.




INFO HAK ASASI MANUSIA:



‘PENGUNDI HANTU’ DI KEPALA BATAS
GUGAT KEDUDUKAN KERUSI PAK LAH



Spekulasi di kalangan penganalisi politik menyebut kawasan Parlimen Kepala Batas akan berhadapan masalah ‘pengundi hantu’ yang boleh menjadikan kedudukan Perdana Menteri Dato’ Abdullah Ahmad Badawi bermasalah. Menurut sumber hampir 30,000 ‘pengundi hantu’ disusupkan di luar pengetahuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menggugat kedudukan Pak Lah, berikutan isu ‘pengundi hantu’ yang banyak membantu kemenangan BN pada pilihanraya 2004. Kata sumber itu lagi, kalau Pak Lah selesa dengan isu ‘pengundi hantu’ pada pilihanraya 2004, sebaliknya beliau akan menerima padah akibat ‘pengundi hantu’ juga. “Apabila ‘pengundi hantu’ dijadikan senjata BN, tak hairanlah pula ianya akan menjadi senjata makan tuan,” beritahu sumber tersebut.



Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz ketika ditanya mengenai isu ‘pengundi hantu’ di Parlimen Kepala Batas tak menafikan hakikat ‘senjata makan tuan’ yang pernah dialami oleh UMNO sebelum ini. Menurut Dato’ Kamal Amir, apabila bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba menggunakan kaedah ‘undi bonus’ selepas menduduki kerusi Timbalan Presiden UMNO pada 1987, kerjaya politik beliau dimusnah oleh kaedah ‘undi bonus’ pada pemilihan 1990. Begitu juga kaedah 30% pencalonan bagi merebut jawatan tertinggi dalam UMNO yang diperkenalkan oleh Tun Dr Mahathir dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim ianya menjadi masalah memulihkan demokrasi dalam UMNO. “Kalau benar 30,000 ‘pengundi hantu’ disusupkan bagi menggugat Pak Lah di Kepala Batas, maknanya ‘jerat tak pernah lupakan pelanduk’,” beliau menjelaskan.



TAHANAN ISA PIMPINAN ‘HINDRAF’
BEBAS MENJELANG PENAMAAN CALON?



Lima pemimpin Barisan Tindakan Hak-Hak Hindu (Hindraf) yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dijangka akan dibebaskan sebelum tarikh hari penamaan calon pada 24 Februari 2008, menurut penganalisis politik. Fakta yang ianya mendorong kepada pembebasan tersebut, kata sumber berkenaan ialah undi masyarakat India boleh menjadi ‘penentu’ dalam pilihanraya ke 12 ini. Di kawasan yang mempunyai lebih 20% pengundi India boleh memberi impak buruk kepada calon-calon BN, sekiranya tahanan terbabit terus kekal di bawah ISA. Seterusnya beritahu sumber berkenaan, undi Melayu tak mungkin berlaku anjakan besar-besaran, justeru UMNO tak bimbang dengan pengundi Melayu. “Faktor undi ‘penentu’ memang boleh menjejaskan peluang calon-calon BN,” jelas sumber itu.




Aktivis PRIMA Haji Mohd Sayuti Omar ketika ditanya mengenai spekulasi berkenaan mengakui, bukanlah perkara yang mustahil sekiranya lima pemimpin Hindraf terbabit dibebaskan dari tahanan ISA menjelang hari penamaan calon. Bukan sahaja desakan di dalam negeri, malah ianya turut membabitkan tekanan masyarakat antarabangsa hingga mendorong pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi bersedia membebaskannya. Apalagi kata Haji Mohd Sayuti seterusnya, memang pentadbiran Pak Lah ‘lemah’ justeru sukar mempertahankan isu berkenaan. “Memang saya yakin lima orang pimpinan Hindraf itu akan dibebaskan dari tahanan ISA sebelum tarikh bagi hari penamaan calon 24 Februari ini,” menurut Haji Mohd Sayuti.



7,294 KAUNSELOR DI SEKOLAH
MENTERI PELAJARAN PERLU MALU




Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein perlu berasa malu apabila pegawai di kementeriannya menyebut 7,294 kaunselor di sekolah rendah dan menengah boleh terus memberikan kaunseling dengan tak perlu mendaftar sebagai kaunselor bertauliah dengan ‘Lembaga Kaunselor’. Bekas pensyarah di USM Haji Yahaya Ismail berkata, adalah malang bagi seorang pegawai dengan status Timbalan Pengarah (Dasar) Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran tak memahami ianya berlawanan dengan Seksyen 22(1)(a) Akta Kaunselor 1998. Haji Yahaya (Pak Ya) yang juga pimpinan kanan PRIMA mengulas kenyataan Presiden Lembaga Kaunselor, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah baru-baru ini berkaitan gelaran kaunselor yang digunakan di sekolah-sekolah.



Dato’ Dr Mohd Mansor dalam kenyataannya di akhbar arus perdana baru-baru ini membidas kementerian pelajaran yang sewenang-wenang menggunakan gelaran tersebut bagi memberi perkhidmatan kaunseling, di samping tak berdaftar kepada Lembaga Kaunselor yang bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi diberi sijil ‘Parakuan Amalan’ di tempat umum. Menurut Pak Ya lagi, kalau kementerian pelajaran sendiri tak memahami perkara pendidikan bagaimana ianya mahu menjadi ‘penghulu pendidikan’ di negara ini. “Sebelum memberi kaunseling kepada pelajar-pelajar, lebih baik pegawai-pegawai di kementerian juga perlu diberi kaunseling,” katanya merujuk kepada beberapa insiden kebobrokan disiplin pelajar.



INFO SASTERA & BUDAYA:


NILAI PUISI PANTUN BARU
SEKADAR DIPENGARUHI RIMA



Usaha mengetengahkan pantun di radio ‘klasik nasional’ memang dialu-alukan dalam mempertahankan puisi lama Melayu, tetapi pemilihannya terlalu semborono hingga jelas sebahagian pantun-pantun yang disiarkan sekadar dipengaruhi rima sahaja. Tak menjadi kesalahan mengangkat pantun sebagai propaganda, asal sahaja nilai estatika masih terus terpelihara, kata aktivis budaya Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Menyentuh beberapa pantun yang pernah disiarkan di radio ‘klasik nasional’, Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga pakar kaunseling dan bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM memberitahu, unsur-unsur propaganda juga digunakan dalam sajak atau ‘puisi moden’, tetapi biarlah dicerna dengan penuh seni dan menakjubkan, katanya.




Memberitahu mengenai kebanyakan pantun-pantun yang disiarkan oleh radio ‘klasik nasional’, Dato’ Dr Mohd Mansor menjelaskan terdapat pantun yang rima pada baris satu dan tiga, atau baris dua dan empat sama tetapi kombinasi ‘pembayang maksud’ dengan ‘isinya’ tak seimbang seolah-olah sebuah sajak (puisi moden). Berbeza dengan sajak garapan pantun (puisi lama) perlu mengasingkan pembayang maksud dengan isinya dalam kombinasi yang estatik. Misalnya kata Dato’ Dr Mohd Mansor pantun: ‘Pisang emas bawa belayar/masak sebiji di atas peti’ adalah pembayang maksud, sesuai dengan isinya: ‘Hutang emas dapat dibayar/hutang budi dibawa mati’. Kedua-dua pembayang maksud dan isi tetap dipisah oleh kombinasi yang tersusun sebagai sebuah pantun, menurut Dato’ Dr Mohd Mansor selanjutnya.



KOMENTAR
bersama Pak Parjo



PERIHAL NAJIB YANG MELATAH
RAWAT KELANTAN, RAWAT MALAYSIA



Kata sahibul hikayat tersebutlah Timbalan Perdana Menteri bernama Dato’ Seri Mohd Najib anak kepada Tun Abdul Razak daripada keturunan Dato’ Syahbandar Hussein bin Taib, Orangkaya Berlapan di Pahang itu bersungguh-sungguh ia mahu ‘merawat’ negeri Kelantan seolah-olah melatahlah kerana rakyat di seluruh pelusuk negeri akan ‘merawat’ pula Malaysia. Syahdan akan Malaysia yang perlu dirawat itu termasuklah ‘klip video Lingam’ yang kononnya berkaitan dengan kehakiman jua, seperti keperihalan disebut fasal ‘Altantuya Shaaribu’ yang sedang dalam penghakiman, adanya! Maka bagaimana Kelantan akan dirawat gamaknya, ‘merawat lebih baik daripada mengubati’, kerana kalau sudah parah seperti klip video Lingam dan Altantuya amat sukarlah mahu diubati.




Adapun fakir diberitahu oleh sekalian yang ada akan Tun Abdul Razak pernah juga bersungguh-sungguh mahu menawan negeri Kelantan sebelum pilihanraya 1969, hingga terdengarlah khabar akan pembunuhan Ahli Parlimen Pasir Mas, Abdul Samad Gul Ahmad dan insiden nahas jalanraya yang menimpa Profesor Zulkifli Muhammad sekitar dekad 1960-an. Maka tidaklah jatuh negeri Kelantan pada 1969, tetapi hampir pula negeri Kedah, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan ‘pak pong pak mustape’, dan Pulau Pinang pula ‘wa tamaat kalimatu’ kerajaan Perikatan. Heh heh heh! Syahdan akan Tun Razak itu apabila Kelantan tak jatuh, dibawanyalah Tan Sri Asri Muda bersama-sama memerintah negara Malaysia ini, adanya!




Sebermula tersebutlah akan raja Pahang Sultan Muhammad itu dibunuhnya Telanai Terengganu dengan tak diberitahu ke Melaka terlebih dahulu, kerana dia ‘abang’ yang lebih tua sekalipun dibuang oleh Bendahara Paduka Raja dirajakan ke Pahang setelah membunuh Tun Besar kerana bola raga jatuh menimpa destarnya. Maka berkata Seri Akar Diraja, “Salahlah perbuatan kita ini tuanku, kerana tak memberitahu paduka adinda di Melaka”. Maka titah Sultan Muhammad, “Akan beta langgarkan gajahku bernama Kepenyang ini ke balairong raja Melaka, apa kita takutkan!”. Setelah didengar ke Melaka lalu dikirimkan Laksamana Hang Tuah ke Pahang. Maka gemparlah orang Pahang, akan sepupu Seri Akar Diraja dibunuh oleh hulubalang Melaka. Bangunlah Hang Tuah sambil mengisar hulu keris di peseban, “Siapa yang berani melukai hulubalang Melaka itu, tampillah ke hadapan!”. Diamlah Sultan Muhammad melihat kehebatan Hang Tuah itu, seperti diriwayatkan oleh:




HIDUP BAHASA MELAYU!