Saturday, July 26, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:


PETINJU NEGARA DEKAD 1980-AN
MELAWAK MACAM TAN SRI P RAMLEE


Assalamualaikum,



Dalam perjalanan ke Seri Kembangan semalam (25 Julai 2008) menjemput anak saya Nurul Salwa untuk menjemput balik, tak dapat dielakkan kesesakan lalu lintas sepanjang jalan, disebabkan jam kira-kira 6.00 petang memang waktu heh heh heh! Ketika saya bersama isteri memasuki pekan Seri Kembangan anak saya menelefon beritahu mengenai rumah sewannya dipecah masuk hingga mangga solex pun terberancai. Anak saya tinggal bersama kawan-kawannya (lima orang) pelajar Universiti Industri Selangor (Unisel) dalam sesi menyiapkan pengajian praktikal di Seri Kembangan. Sebaik sahaja sampai di rumah berkenaan, saya terus membawa pelajar-pelajar terbabit membuat laporan di Balai Polis Seri Kembangan (hampir masuk maghrib).



Selepas membuat laporan, pelajar-pelajar terbabit dibawa menemui Sarjan Adnan Harun penolong penyiasat jenayah, bagi prosedur selanjutnya. Tak disangka pula Sarjan Adnan mampu berlawak seakan-akan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dengan ‘sarjana dalam filem Ahmad Albab’. Rupa-rupanya Sarjan Adnan memang mempunyai pertalian keluarga dengan Tan Sri P. Ramlee, di samping menyimpan dengan baik salinan kad pengenalan seniman legenda berkenaan. Beliau pula bukanlah aktivis seni, sebaliknya pernah terbabit sebagai atlet negara mewakili Malaysia ke sukan SEA di Istora Senayan, Jakarta pada 1980-an dalam sukan tinju. Sekalipun melawak beliau mengakui terpaksa menggantung glov selepas diminta oleh ‘kekasih’nya berbuat demikian (kemudian menjadi isterinya). Begitulah!

Terima kasih kepada Sarjan Adnan dan anggota polis di Seri Kembangan yang bertindak pantas, apabila sampai ke lokasi tempat tinggal pelajar-pelajar berkenaan (termasuk anak saya) dalam tempoh tak sampai setengah jam. Bukan sahaja pandai melawak, malah segera bertindak sebaik sahaja menerima laporan. Ketika sampai di lokasi tempat tinggal pelajar, anggota polis terbabit juga turut melawak apabila pelajar-pelajar berkenaan membenarkan mereka (orang tak dikenali) masuk dengan tak bertanya terlebih dahulu. Bagaimanapun pelajar-pelajar terbabit cam mereka yang mengetuk pintu memang anggota polis tak beruniform.



Sebelumnya ketika di luar bilik Sarjan Adnan pun, seorang lelaki menunggu selepas membuat laporan kenderaannya dipecahkan apabila singgah di pasar malam. Beliau turut mengakui kecekapan polis di Seri Kembangan, dalam tempoh tak sampai satu jam suspek dapat ditahan apabila cuba memecah dua tiga buah kereta lagi. Barang-barang berharga yang ditinggalkan di dalam kereta termasuk komputer riba ditemui semula. Justeru PRIMA berasa bangga dengan kecekapan Balai Polis Seri Kembangan menangani isu jenayah dalam tempoh singkat, sekalipun dalam suasana melawak tetapi lebih berkesan ketika bertindak membantu masyarakat. Syabas!


-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:


UMNO-PAS DISARAN BUBAR
TUBUHKAN PARTI POLITIK BARU!


Saranan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya UMNO dan PAS dibubarkan bagi menubuhkan sebuah parti baru bersama dilihat sebagai kaedah terbaik menyelesaikan kesongsangan politik Melayu sekarang, menurut kalangan rakan-rakan penganalisis politik. Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan ketika membuat sarana tersebut selepas muktamar majlis mursyidul PAS di Kota Bharu hari ini (26 Julai 2008), mengulas kebimbangan Presiden UMNO Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan senario politik sekarang yang memerlukan skop kerjasama UMNO-PAS tak berkisar pada ‘muzakarah’ dan ‘muqabalah’ sahaja. Saranan tersebut perlu dilihat dari pelbagai dimensi, kerana ianya bukan keputusan muktamar PAS secara syura.

Mungkin sahaja penyokong taksub PAS mahupun UMNO, menganggap ianya tak sesuai dilaksanakan kerana kedua-dua pihak perlu mengorbankan banyak kepentingan politik masing-masing. Bagaimanapun PAS dan UMNO tetap mempunyai kelemahan dan kekuatan tersendiri yang mampu merealisasikan kaedah terbaik seperti saranan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz, asal sahaja kedua-dua pihak boleh mencapai kompromi yang tebal dengan sentimen kaum dan agama sebelum ini. Dato’ Seri Abdullah perlu melihat kelemahan dan kekuatan UMNO, di samping Presiden PAS Tuan Guru Dato’ Seri Hadi Awang juga menelusuri kelemahan dan kekuatan partinya. Secara retorik landasan politik UMNO-PAS tak jauh berbeza, kecuali pendekatan masing-masing sahaja kadangkala lebih emosional daripada rasional. Barangkali!



Parti politik bukan Melayu memang menganggap tak selesa dengan kerjasama yang digerakkan UMNO-PAS menerusi ‘muzakarah’ atau ‘muqabalah’, apalagi dibubarkan untuk sasaran penubuhan parti baru itu. Sekalipun berat untuk difikirkan, tetapi senario politik sekarang seolah-olah menuntut pengorbanan daripada UMNO-PAS dalam cara pendekatan masing-masing kerana ‘Melayu’ (yang diperjuangkan UMNO) dan ‘Islam’ (yang diperjuangkan PAS) berada di atas landasan yang sama tetapi berlainan lokomotif. Secara historikal memang UMNO sukar dibubarkan, malah mereka bersedia kehilangan Dato’ Onn Jaafar daripada membenarkan bukan Melayu menjadi ahlinya pada 1951. Malah PAS juga bersedia kehilangan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan daripada membenarkan ianya condong menyokong Dato’ Onn. Begitulah!



INFO SASTERA & BUDAYA:

USAHA KLASIK NASIONAL DIHARGAI
PANTUN SEBAGAI PUISI MELAYU LAMA


Puisi Melayu lama terutama pantun dan syair perlu digalakkan menerusi penulisan generasi sekarang bagi melestarikan kesusasteraan lisan yang menjadi legasi masyarakat di masa lalu. Peminat dan pengumpul pantun-pantun lama Haji Mohd Noor Jion, 92 dari Simpang Tiga, Gombak mengalu-alukan usaha stesen radio iaitu ‘Klasik Nasional’ mempromosi pantun menerusi pertandingan menjelang Hari Kemerdekaan. Di samping pantun sebagai puisi Melayu lama, Haji Mohd Noor juga berharap syair juga kembali diberi penghargaan. Katanya di masa lalu, bukan sahaja syair ‘Selendang Delima’, ‘Siti Zubaidah’ atau ‘Danda Setia’ menjadi kegemaran masyarakat, malah syair berbentuk dakwah seperti ‘Syair Muhammad Ali Hanafiah’ juga menjadi bahan bacaan kepada mereka yang rajin membaca.


Haji Mohd Noor berasal dari Chenor, Pahang pernah berkhidmat selaku pendidik lepasan Maktab Perguruan Tanjung Malim (MPSI) sekitar dekad 1930-an, mengakui selepas berhenti daripada perjawatan pada period pasca Jepun, sijil MPSI ‘tak laku’ untuk memegang jawatan selain daripada guru. Puisi-puisi lama yang sempat disusun oleh Haji Mohd Noor diperturunkan di bawah ini:


Melaka:


Di Melaka Hang Tuah kita megahkan
Taat setia raja negarajadi cogan
Tetapi sekarang,
Mat Zalim, Ah Chong kita tuankan


Sejak kota Melaka telah terdiri
Pekan Melaka tambah berseri
Tetapi sekarang,
Di mana kuburnya Hang Kasturi?


Kedah:


Di Kedah zaman Merong Mahawangsa
Pernah berperang dengan raksasa
Tetapi sekarang,
Tengkorak itu hanya di istana raja.


Di Kedah ada kota masih disebut
Kota bernama Kota Sarang Semut
Tetapi sekarang,
Riwayatnya hampir luput.


Dahulu peri Pulau Langkawi
Puteri Cina, putera Rom bersembunyi
Tetapi sekarang,
Hanya tinggal lengang dan sunyi.


Pahang:


Di Pahang sudah kita dengari
Di sana ada Kota Gelanggi
Tetapi sekarang,
Dewa dan kayangan tak ada lagi.


Masyhur ceritanya kita dapat
Kotanya tujuh dekat-dekat
Tetapi sekarang,
Ada terletak di hutan padat.


Johor:


Di Johor Puteri Gunung Ledang
Tun Mamat disuruh meminang
Tetapi sekarang,
Kisahnya sudah hampir hilang.


Perak:


Di Perak dekat daerah Lumut
Kotanya kulit kerang dan siput
Tetapi sekarang,
Kerana tak dijaga dah reput.


Sajak:


SEHABIS IKHTIAR

Pulau batu Putih
Rumah api tiada jalur gemilang berkibar
Jauh hati sampai bila kita bersabar
Pulau terlepas
Batu menghempap
Putih mata.

ABDUL HADI MUHAMAD
23 Mei 2008



NAIK MINYAK NAIK
Tiada haiwan selain gajah
dikatakan naik minyak
penghuni terbesar rimba itu
membunyikan tempiknya
Pelanduk dan musang
meremang ikut naik segala roma
tiada terkecuali awak-awak serangga
Naik minyak naik
memerah muka gajah meta
senak perut senak
memulas sakit mencair mata


ABDUL HADI MUHAMAD
10 Julai 2008.



INFO SUARA PROLITAR:

TAK WAJAR 5 TAHUN SEKALI
TOPI KELEDAR PERLU DIGANTI


Berita ringkas di radio (Klasik Nasional) jam 6.00 petang hari ini (26 Julai 2008), dilaporkan ‘jangka hayat’ topi keledar bagi penunggang motosikal akan dilupuskan selepas lima tahun. Bukan topi keledar itu jadi pelindung keselamatan, tapi ialah sikap penunggang sendiri. Langkah tersebut sekadar memberi kepentingan kepada ‘pembekal’ topi keledar, bukan masalah keselamatan. Kerajaan diminta jangan melayani sangat fakta topi keledar tak sesuai selepas digunakan lima tahun akibat fenomena cuaca. Ketika kempen menyuruh rakyat berjimat, jangan layan nafsu ‘peniaga’ dengan memperalat isu keselamatan jalanraya. – (SMS: 26 Julai 2008; 21: 47: 08 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

TIBA-TIBA SAHAJA NAJIB BERSUARA
MINTA BERI SOKONGAN PADA JUN 2010.


Sebermula tersebutlah akan Orangkaya Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak berkatanya ia di Kuala Terengganu, hendaklah semua rakyat jelata menyokongnya apabila beliau menjadi Orangkaya Perdana Menteri pada 1431 Hijrah kelak (atau disebut anak cucu fakir Jun 2010). Arakian akan bekas Orangkaya Memanda Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan kembalilah menyertai harakah Melayu (atau UMNO) pada 1431 Hijrah itu, adanya. Maka berasa hairanlah segala orang banyak, seolah-olah sekarang ini Orangkaya Dato’ Seri Najib itu tak disokong oleh rakyat jelata, gerangannya. Syahdan, tak perlulah Orangkaya Dato’ Seri Najib menunggu hingga 1431 Hijrah, kerana sekarang pun ia memang wazir ketua kerajaan jua, adanya.

Hatta beberapa lamanya di jalan, maka sampailah ke benua Siam. Maka diwartakan orang kepada Paduka Bubunnya, ‘Utusan dari Melaka datang’. Maka oleh Paduka Bubunnya disuruh jemput surat itu pada Pra Kelong, disuruhnya arak dengan sepertinya. Telah datang ke balairong, maka surat itu dibaca oleh jurubahasa. Setelah diketahui ertinya, maka terlalu suka Paduka Bubunnya mendengar bunyi surat itu. Maka titah Paduka Bubunnya kepada Tun Telanai, ‘Siapa mengarang surat ini?’. Maka sembah Tun Telanai, ‘Mangkubumi raja Melaka, Tuanku’. Arakian bertanyalah raja Siam mengapa Melaka tak alah diserang Siam, jawabnya tak payah raja (orang pertama), wazir pun (yakni orang kedua) juga boleh diharap memerintah negeri seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:






HIDUP BAHASA MELAYU.