
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG
POLIS TURUT BACA ‘HARAKAH’
RAKYAT MENOLAK PERHAMBAAN MINDA
Assalamualaikum,

Memang pagi lagi adik sepupu saya Sazali dari Seremban menelefon jam 7.00 a.m. beritahu mengenai Kak Jah yang dimasukkan ke wad hospital berkenaan sejak semalam, tetapi keadaannya sudah agak stabil. Selepas itu pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail dan bekas profesor Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah pula menelefon bertanyakan isu di Terengganu, berikutan Tengku Razaleigh Hamzah menghadap ke Istana Negara jam 3.00 petang semalam (26 Mac 2008). Berikutnya penyair Yassinsalleh mengirim SMS berkaitan cemuhan orang ramai terhadap pimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan pelbagai ejekan, sindiran dan usikan berkaitan peribadi pimpinan negara itu yang terlalu jelek untuk dipaparkan. Aduhai!
Sekalipun hulubalang-hulubalang di sekeliling Dato’ Seri Abdullah sudah bersuara bagi mempertahankan wibawa ketua, tetapi keberangan rakyat sudah sampai kepada kemuncaknya. Menteri Luar yang baru, Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim menyifatkan Menteri Besar Terengganu yang menerima watikah dari istana, Dato’ Ahmad Said boleh jatuh bagaikan ‘nangka masak’, begitu juga pelbagai pihak mengingatkan beliau akan berhadapan dengan undi tak percaya di DUN Terengganu. Semua pihak menyedari suara hulubalang-hulubalang berkenaan sekadar ‘ngauman harimau kertas’, kerana majoriti rakyat berdiri teguh di belakang raja-raja Melayu. Sekalipun UMNO belum jatuh bagai ‘nangka masak’, tetapi hakikatnya sudah terkulai, tersalai dan tersadai!

-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA
WAJARNYA PERHIMPUNAN KHAS
ATAU PAK LAH PERLU BERUNDUR!

Justeru menurut Dato’ Kamal Amir, sekiranya Dato’ Seri Abdullah mahu membawa UMNO bersidang pada Disember 2008, adalah lebih baik pimpinan UMNO itu meletak jawatan. Apabila UMNO mengalami prestasi buruk pada pilihanraya 8 Mac 2008, pihak PRIMA merasakan kesalahan tersebut adalah secara kolektif. Tetapi apabila Dato’ Seri Abdullah mahukan Perhimpunan Agung pada Disember 2008, menurut Dato’ Kamal Amir ianya adalah kesalahan Presiden UMNO sendiri. Justeru sebagai ahli UMNO kata Dato’ Kamal Amir, beliau mendesak Dato’ Seri Abdullah berundur tanpa syarat, kerana UMNO sudah dimalukan di Perlis dan di Terengganu. “Malah hari ini (27 Mac 2008) UMNO dimalukan lagi dengan peletakan jawatan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato’ Ghaffur Salleh,” beliau menjelaskan.
KHALID DIMINTA SEGERA SIASAT
EXCO LINDUNGI PERUSAHAAN MAKSIAT

Dakwaan tersebut menurut Sdr Sobri membabitkan isu belia, justeru langkah susulan perlu diambil demi kepentingan negeri Selangor yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuhnya, Islam adalah agama rasmi. Menurut Sdr Sobri lagi, ianya juga membabitkan gejala sosial, disebabkan wanita-wanita yang dibawa masuk ke Selangor bagi perusahaan rumah maksiat, adalah wanita-wanita asing yang sekadar diberikan visa lawatan bagi tempoh beberapa bulan bukannya pas kerja. Pelantikan ADUN terbabit sebagai Exco kerajaan negeri adalah mencemarkan imej negeri Selangor. “Pihak gerakan belia akan menghantar memorandum kepada DYMM Tuanku Sultan, sekiranya Tan Sri Khalid berkompromi dalam isu ini,” beritahu Sdr Sobri.
KERAJAAN DIDESAK KEMBALIKAN:
TANAH RAKYAT MISKIN DI PULAU PINANG

Menurut Sdr Yassinsalleh, pihak PRIMA sekadar menyampaikan mesej dari rakyat yang menjadi punca kebobrokan pentadbiran hingga BN berhadapan dengan prestasi buruk pada pilihanraya lalu. Serentak dengan itu Sdr Yassinsalleh juga mendesak kerajaan negeri Pulau Pinang yang baru mendedahkan nama individu yang diberikan hakmilik tanah berkenaan, setelah merampasnya dari pemilik-pemilik miskin yang malang. Seterusnya kata Sdr Yassinsalleh, adalah tak menghairankan rakyat Pulau Pinang menukar kerajaan negeri, berikutan sikap arogan BN sebelum ini yang pongah terhadap hegemoni kuasa politik mereka. “Langkah mendedahkan kebobrokan itu bukanlah ‘balas dendam’, sebaliknya memberikan keadilan kepada mereka yang teraniaya sebelum ini,” beritahu Sdr Yassinsalleh.
ORANG MELAYU TAK KOMPROMI
PERTAHAN KEDAULATAN RAJA-RAJA

Haji Yahaya juga menyentuh insiden di Perak dan di Selangor apabila pimpinan politik bukan Melayu cuba memperlekeh institusi istana. Sambil menyebut ‘Deklarasi Perdana 10 Keprihatinan’ yang sudah disembahkan kepada raja-raja Melayu pada November 2007 Haji Yahaya menegaskan, orang Melayu tak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mahu memperlekeh institusi raja-raja Melayu. Malah PRIMA katanya akan menggerakkan penyatuan Melayu apabila terdesak sekiranya ketuanan raja-raja Melayu cuba diperlekehkan. “Justeru jangan cuba mempersoal kedaulatan raja-raja Melayu semata-mata mahu mempertahan ego politik, kerana orang Melayu tak akan berkompromi demi menegakkan ketuanannya,” beritahu Haji Yahaya.
PENGENDALI BLOG JADI CONTOH
PELIHARA PERSEFAHAMAN BERSAMA

Sambil melahirkan rasa kecewa apabila pengendali laman blog menggunakan ruang terbatas untuk menjatuhkan rakan sendiri atas konsep menolak ‘perhambaan minda’, Dato’ Dr Mohd Mansor mengingatkan dalam masa berusaha membangun pertumbuhan minda masyarakat, adalah malang apabila bercakaran sesama sendiri. Katanya lagi, Raja Petra Kamaruddin membuktikan laman web yang dikendalikannya mampu mendedahkan isu yang sering disembunyikan. Justeru, rakan-rakan pengendali laman blog dan laman web perlu memberi sokongan moral kepada Raja Petra Kamaruddin. “PRIMA sentiasa memandang berat dengan isu yang dihadapi rakan-rakan, justeru kita tak seharusnya bercakaran sesama sendiri,” ujar beliau.
INFO SASTERA & BUDAYA
TEROPONG SASTERA LEBIH TELUS
UNTUK PANEL PENILAI ANUGERAH

Menurut Mankadir, sekiranya pihak penyelidik sastera di DBP menggunakan teropong sastera yang telus, masakan mereka tak pernah menemui nama-nama seperti Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, Dharmala N.S., Yahaya Ismail, Habsah Hassan, A.F. Yassin, Mohd Affandi Hassan, Khadijah Hashim, Zaharah Nawawi, Salmi Manja dan ramai lagi yang mampu mengangkat martabat sastera Melayu. Seterusnya kata Mankadir, mungkin sahaja di kalangan penulis-penulis terbabit terdapat juga yang enggan menerima anugerah berkenaan, tetapi pihak panel seharusnya mencari sebab musabab kenapa mereka bertindak demikian. “Janganlah berlaku seperti insiden Allahyarham Pak Sako menolak anugerah Budayawan Gapena sekitar dekad 1980-an,” ujarnya.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo
PENDEKATAN BARU FASAL AGAMA
GABUNGAN ILMU DAN PENGETAHUAN

Sebermula akan perkara agama itu, maka oleh Sultan Mansor Syah dititahkan Tun Bija Wangsa ke Pasai bertanyakan suatu masalah: “Segala isi syurga itu kekalkah ia di dalam syurga dan segala isi neraka itu kekalkah di dalam neraka?”. Maka Tun Bija Wangsa membawa bersama emas urai tujuh tahil dan dua orang perempuan peranakan Makasar, Dang Bunga namanya seorang anak biduanda Muar, Dang Bibah namanya seorang. Berasa hairanlah segalah pendeta di Pasai, kerana perkara agama yang mahu diketahui oleh Sultan Melaka itu bersabit dengan ‘tahakik’. Arakian akan pendeta-pendeta di Pasai taklah bermegah-megah dengan ilmu agamanya, tetapi memberikan jawapan secara tahakik seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ menerusi:
HIDUP BAHASA MELAYU!