Sunday, October 11, 2009

SENSASI ARTIS

AKIBAT TIDAK MENGAKU BAPA
NASHA BAYAR GANTI RUGI



Pelakon dan model yang sentiasa menjadi kontroversi, Nasha Aziz diperintah oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi am RM10,000 kepada bapa kandung beliau, Abdul Aziz Mohd Ali dalam kes saman fitnah yang difailkan oleh Abdul Aziz terhadap Nasha Aziz. Nasha juga diperintahkan membayar faedah lapan peratus setahun kepada bapanya dari tarikh saman difailkan iaitu pada 31 Mac 2005 sehingga penyelesaian penuh saman itu.


Nasha Aziz atau nama sebenarnya Noraishah Abdul Aziz yang memulakan kerjaya dalam bidang permodelan kira-kira 19 tahun tenang ketika hadir bersama peguamnya di Mahkamah walaupun tidak hadir pada perbicaraan kes itu Rabu lalu. Beliau bagaimanapun tidak memberi ganti rugi tambahan seperti yang diminta oleh Abdul Aziz kerana saman itu melibatkan perkara dalam keluarga. Nasha yang dipelihara oleh keluarga angkatnya sejak kecil pernah mendakwa Abdul Aziz bukan bapa kandungnya yang disiarkan oleh akhbar Mingguan Malaysia.


Apabila membaca kenyataan ini, waris mula terfikir mengapa setelah Nasha Aziz dikenali masyarakat dan mampu memiliki aset sendiri, baru bapa kandungya muncul dan membuat huru hara dalam hidup Nasha Aziz? Mengapa bapa kandungnya meletakkan penjagaan seratus peratus kepada keluarga angkat yang memelihara Nasha Aziz sehingga berjaya kini? Mungkin ada pandangan menyatakan yang bapa kandung Nasha cuba mengaut keuntungan hasil titik peluh Nasha selama bergelar artis?


Waris juga mempunyai sahabat yang senasib dengan Nasha namun perjalanan hidup Nasha mungkin tidak sama dengan nasib sahabat waris ini. Sahabat waris ini telah diserahkan kepada keluarga angkat setelah ibu bapa kandungnya bercerai dan ibunya terpaksa memelihara enam orang anak termasuk sahabat waris ini. Kerana kesempitan hidup dan pengabaian tanggungjawab nafkah oleh bapa kandungnya maka sahabat waris ini diserahkan kepada keluarga angkat, begitu juga adik beradiknya yang lain. Setelah menamatkan pengajian dan kini berjaya menjadi pegawai di salah sebuah perkhidmatan awam bapa kandung yang disangka sudah 'tidak ada' muncul pada Aidilfitri tahun lepas. Pada mulanya sahabat waris ini tidak mahu mengaku bapa kandungnya itu sebagai bapanya kerana bapanya sanggup ceraikan ibunya gara-gara mengidam beristeri muda.


Adik beradik sahabat waris ini yang masih bersekolah juga tidak mengganggap bapa kandungnya ini dan dek kerana cuba 'menjilat ludah di tanah' bapa kandungnya ini cuba mencari helah untuk mengikis duit sahabat waris ini pula walau dengan cara apa sekalipun. Namun hanya segelintir sahaja ayah seperti ini wujud di muka bumi ini. Kadang-kadang bukan anak-anak tidak mahu mengaku ayahnya tetapi sikap ayah seperti ini terlalu 'mual' untuk diperkatakan. Darah daging tetap darah daging, tetapi tanggungjawab tidak boleh diabaikan dan jangan ayah seperti ini menyalahkan anak-anak pula.


Walau jauh disudut hati sahabat waris ini telah memaafkan perbuatan ayahnya terhadap ibunya, namun sahabat waris tidak akan sesekali menabur wang ringgit kepada ayah kandungnya kerana jasa keluarga angkatnya yang perlu dibalas dahulu kerana telah membesarkannya. Ayah kandungnya hanya tahu 'membuat' anak dan tanggungjawab dilepaskan. Biarlah urusan anak beranak ini diselesaikan oleh mereka sendiri dan mereka tahu baik buruk akibat perbuatan mereka itu. Bagi waris masih ada insan yang bergelar Ayah mempunyai hati nurani yang murni dan bertanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anaknya. Wallahualam..


p/s: Waris masih menghargai jasa insan yang bergelar 'Ayah' walaupun dia tiada di sisi...


-Waris Pak Dharma