Wednesday, October 13, 2010

CERPEN:

SEKEPING HATI YANG TERLUKA...

BAHAGIAN PERTAMA:

Zara termenung lagi. Dia teringat akan kisah itu. Entah mengapa, semakin dia cuba untuk melupakan semua itu, semakin menggila memori itu menerjah ke ruang fikirannya.

20 tahun dahulu:

"Hey orang tua, kau tau tak aku ni baru balik dari kerja, aku lapar, kenapa tak masak lagi?" jerkah Zara pada Mak Humairah, ibunya yang telah mengandungkannya sembilan bulan. Begitu biadap tutur kata Zara pada seorang ibu tua yang setia melayan kehendak anaknya walaupun dia tahu hanya racun pemedih jiwa yang dihamburkan kepadanya sebagai balasan."Bukan mak tak mau masak, Za. Mak sakit lutut tadi, sakit sangat. Mak pun berehat la sekejap. Mak tak sangka kau balik awal, nak," lembut saja suara Mak Humairah membalas."Aku peduli apa kau sakit ke, apa ke. Kalau aku balik, aku nak makan. Dah lah aku penat menanggung keluarga ni, tapi bila aku balik tak ada makanan, apa guna aku cari duit macam nak tercabut nyawa aku!" Mak Humairah cuba untuk menyentuh lembut muka Zara dengan harapan hati anaknya itu akan sejuk semula, tapi dengan kasarnya dia menolak tangan ibu tua itu sehingga hampir terjatuh. Qira hanya mampu mendengar pertengkaran itu sambil menangis.

Zara bergegas keluar dari rumah untuk makan di luar tanpa rasa bersalah atas sikapnya terhadap Mak Humairah. Qira yang muda lima tahun dari Zara segera mendapatkan ibunya yang hanya mampu menangis hiba. "Bu, sabar bu, Qira ada di sini. Biarlah kak Zara tu bu, tak guna ibu bazirkan air mata ibu yang berharga hanya kerana seorang anak yang tak sedar diuntung. Kalau tak ada arwah abah dan ibu, dia tak dapat nak tengok dunia. Baru dua bulan arwah abah tinggalkan kita, dia dah buat kita macam ni. Tapi nak kata apa, masa arwah abah ada dulu pun, dia dah tunjuk sikap besar kepala dia tu, bu. Tak apa bu, lepas je Qira habis SPM, Qira cari kerja, Qira bawa ibu pindah dari neraka yang kak Zara ciptakan untuk kita!" lancar sahaja kata Qira dalam tangis sendunya."Jangan kata begitu pada kakak kau, Qira. Kita doakan sahaja kakak kau berubah," serak dan sebak sahaja suara Mak Humairah meluahkan apa yang terbuku di hatinya.


********************

Pagi itu, sesudah solat Subuh dan bersiap-siap untuk ke sekolah, Qira membantu ibunya membuat kuih dan nasi lemak untuk dihantar ke Gerai Pak Jali sebelum pergi ke sekolah."Sebelum Qira pergi sekolah, boleh tak tolong ibu hantarkan kuih dan nasi lemak ini pada Pak Jali? Sakit sangat lutut ibu ni nak jalan ke gerai tu."pinta Mak Humairah. Selalunya dia yang menghantarkan makanan-makanan itu ke Gerai Pak Jali kerana tidak mahu menyusahkan Qira, tapi kali ini dia terpaksa meminta bantuan anaknya disebabkan lututnya yang berdenyut-denyut. "Boleh bu, rasanya sempat nak hantar makanan-makanan ni pada Pak Jali."

Dengan muka sombongnya, Zara keluar dari bilik tanpa rasa bersalah kerana tidak membantu ibunya."Mana sarapan aku? Aku dah lambat nak pergi kerja ni!" arah Zara seolah-olah ibunya itu seperti hamba abdi yang tidak layak mendapat belas ihsan. "Za, boleh tak kalau Zara buat sendiri, ibu sibuklah. Adik kau pun buat sarapannya sendiri," perlahan sahaja suara ibu tua itu."Tak apa kak, Qira dah buat sarapan untuk akak sekali. Nah, ni dia," manis sahaja suara Qira membalas sambil menghulurkan sarapan Zara dengan cepat, bimbang ibunya diherdik lagi. Dalam hati, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa sakitnya hati terpaksa melayan kerenah kakak kandung yang berlagak seperti Permaisuri. Zara menghabiskan sarapannya dengan cepat dan bergegas keluar dari rumah.

"Qira ada duit belanja tak, kalau tak ada ambil dalam dompet ibu."tanya Mak Humairah. "Tak apa, bu. Duit belanja semalam pun masih berbaki lagi sebab semalam Qira tak makan sangat,"tutur Qira dengan jujur. Sebelum keluar dari rumah, Qira mengucup tangan dingin ibunya tanda meminta restu dan mengucup dahi ibunya tanda kasihnya pada ibu yang disayangi, lalu mencapai basikal untuk ke destinasi yang ingin dituju.

~Bersambung...

(Setelah pelbagai ulasan mengenai isu semasa yang AW tulis di sini, kini AW ingin mencuba pula menulis dalam bidang cerpen yang pernah menjadi genre penulisan arwah ayahanda AW, arwah Pak Dharma, pengasas blog ini. Sekiranya ingin mengkritik cara penulisan AW, bolehlah memberi komen mengenainya supaya AW boleh mengasah lagi cara penulisan AW. Sekian, wassalam.-ANAK WARISAN...)