Dari Segi Moral Dan Etika:Bolehkah
dan Perlukah Rasuah Dihapuskan?
Kini rakyat Malaysia bermaharajalela bercakap tentang rasuah, seolah-olah itulah saja perkara penting dalam kehidupan rakyat sekarang. Ada pun makna rasuah yang dibisingkan itu hanyalah berpusat kepada perilaku yang dapat dilihat dan dikesan melalui saksi atau benda-benda yang boleh dibuktikan digunakan untuk tujuan memberi rasuah. Tidak pernah dibincangkan aspek lain daripada makna rasuah yang sebenarnya, yang hakiki. Tidak ada orang menegaskan rasuah bersumber daripada mentaliti rasuah, iaitu yang disebut rasuah tersembunyi.
Rasuah adalah manifestasi manusia yang menderhaka kepada Allah Ta’ala, yang memusuhi Nabi SAW, yang tidak percayakan Akhirat, oleh itu menolak adanya dosa pahala dalam kehidupan manusia. Rasuah adalah sejenis penghinaan sesama manusia, dengan maksud pemberi rasuah menghina penerimanya; manakala penerima pula menghina apa juga hukum, baik buatan manusia mahu pun yang diwahyukan Allah Ta’ala. Bagi orang beragama Islam, pemberi dan penerima rasuah terang-terang menghina ajaran Nabi SAW yang mengharamkan perbuatan itu.
Sesiapa juga yang menggalakkannya dalam bentuk apa sekali pun, hatta orang itu seorang yang dipandang alim dan diterima kedudukannya sebagai seorang ulama, pada dasarnya mempunyai jiwa orang kafir yang terkutuk, oleh itu apa juga kata-kata yang keluar dari mulut manusia jenis ini tidak memberi kesan dan tidak dapat membantu masyarakat untuk mendapat keredaan Allah Ta’ala. Oleh itu jika terdapat orang seperti ini yang terlanjur menyokong dan menggalakkan pengikutnya menerima rasuah, maka dia harus memohon ampun dari masyarakat di samping bertaubat nasuha.
Tidak ada cara lain untuk membersihkan dirinya, dan selagi dirinya belum bersih, dia tidak layak mengutuk rasuah yang digalakkannya melalui kata-kata dan nasihat berbentuk politik.
Para pemimpin UMNO tidak pernah keliru tentang rasuah ini, kerana mereka dengan jelas dapat membezakan mana satu rasuah dan mana satu pula masalah etika. Yang dihukum, menurut mereka, ialah mereka yang melanggar etika parti yang tidak membenarkan apa-apa juga bentuk kempen dalam pemilihan parti. Orang yang melakukannya, sama ada melalui agen atau secara peribadi, akan dihukum kerana melanggar tatasusila yang murni itu.
Para pemimpin UMNO tidak pernah keliru tentang rasuah ini, kerana mereka dengan jelas dapat membezakan mana satu rasuah dan mana satu pula masalah etika. Yang dihukum, menurut mereka, ialah mereka yang melanggar etika parti yang tidak membenarkan apa-apa juga bentuk kempen dalam pemilihan parti. Orang yang melakukannya, sama ada melalui agen atau secara peribadi, akan dihukum kerana melanggar tatasusila yang murni itu.
Tatasusila itu sendiri hanya berupa panduan umum, bukan sesuatu yang mengikat dalam pembentukan peribadi para pemimpin. Semua hujah ini sebenarnya penting untuk mengelak daripada dituduh melakukan rasuah; juga penting dalam memberi sejenis alasan yang boleh menghiburkan sesiapa yang tidak beretika tadi, kerana mereka bukan rasuah. Oleh itu tidak perlu dihadapkan mereka ke mahkamah, seperti yang diminta oleh rakyat supaya dilakukan oleh badan pencegah rasuah (nama asal yang lebih jelas maksudnya). Dari segi moral dan etika, seseorang yang tidak bermoral atau tidak beretika atau melanggar etika tidak semestinya melakukan rasuah.
Para pemimpin UMNO cukup arif tentang hal ini, oleh itu mereka tidak malu dan tidak segan atau tidak berasa berdosa sama sekali. Hanya berasa sedikit kesal kerana “tertangkap” dalam kelam kabut mencari pengaruh itu, hingga terkena tempias rasuah (hanya tempias, bukan betul-betul kena hujan rasuah). Walaupun dari segi kuantum tempias itu boleh membuat orang jadi kaya atau berada di atas di dalam parti UMNO, basahnya tidaklah sampai kuyup hingga menampakkan segala jenis kurap atau panau di badan yang empunya tubuh yang kena tempias rasuah itu. Pengalaman yang lama dan beraneka ragam dalam pelaksanaan rasuah di kalangan ahli dan ketua-ketua UMNO ini meyakinkan mereka bahawa mereka tidak bersalah, tetapi hanya terkena sedikit tempias yang tidak dapat dielakkan.
Oleh itu, menurut jumhur para pemimpin UMNO, rasuah politik tidak kena mengena dengan apa jenis jenayah sekali pun, oleh itu tidak harus dijadikan sebab untuk menolak para pemimpin yang baik, jujur, telus, sayangkan parti dan bertanggung jawab. Dengan itu mereka bersetuju rasuah politik perlu diteruskan dan sesiapa juga yang terkena mestilah diberi peluang merayu dan menjelaskan kedudukan sebenar supaya rakyat dan ahli-ahli UMNO tidak keliru. Pandangan ini sesuai dengan teori sosiologi pembangunan yang mengatakan bahawa dalam sesebuah negara membangun rasuah diperlukan untuk memudahkan pelaksanaan projek pembangunan. Lagi pula negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah mengamalkan rasuah secara besar-besaran untuk memastikan mereka mendapat tempat dalam politik dan diberi peluang untuk menjadi pemimpin negara mereka.
Kita harap profesor dan pakar sosiologi di Malaysia dapat dan mahu menghuraikan aspek ini untuk memudahkan orang ramai faham tentang perkara rasuah ini, supaya mereka tidak keliru lagi. Sayang sungguh jika para pemimpin yang jujur, sayangkan parti, telus dan baik itu dinyahkan dari menjadi ketua hanya semata-mata kerana kekeliruan tentang makna rasuah dan perbezaannya dengan tata etika (yang tidak merupakan satu dosa sebenarnya). Demikianlah cerita rasuah politik dalam UMNO seperti yang dijelaskan oleh para pemimpin mereka dan diterima sebagai satu budaya yang menguntungkan mereka dan rakyat yang mereka bela dengan penuh kasih sayang selama lebih 51 tahun ini. Wallahu a’lam. Semoga Allah ampunkan mereka yang berdosa. (20/3/2009)
(*Mohd Affandi Hassan sasterawan dan pengkritik sastera yang sering menimbulkan kontroversi, dan terbabit dalam polemik Asas 50 serta isu 'penulis mesti kaya kalau mahu jadi agung' sekitar dekad 1970-an. Pandangannya yang kritis sering disalah ertikan, sekalipun beliau sekadar mahukan perbincangan keilmuan)